Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

31 Disember 2011

Ikan Talapia Masak Stim (Ala Thai)

Semalam anak lelaki Kak Noor yang berumur 13 tahun tu bawa balik ikan talapia yang dipancingnya di sungai berdekatan rumah.  Inilah antara aktivitinya saban hari bersama kawan-kawan dalam musim cuti sekolah selain `mengemaskinikan' basikalnya . Rasanya habis ikan talapia di sungai tu kerana setiap hari ada sahaja hasil tangkapannya.  Kebiasaannya Kak Noor tak kasi dia bawa balik rumah sebab Kak Noor tidak menggemari ikan talapia ini (tapi anak-anak Kak Noor suke...).  Kalau dah banyak sangat, Kak Noor suruh dia beri sahaja kepada emak kawan-kawannya.  Apa lagi kalau fikir bab untuk menyiang ikan talapia ini, memang tak ambil port le... Yang jadi mangsanya hubby Kak Noor.  Dialah tukang menyiang ikan ini.

Ikan talapia ini kebiasaannya orang  goreng begitu sahaja, masak sambal, tiga rasa atau sweet sour.  Tetapi kali ini Kak Noor nak cuba masak stim pulak.  Kak Noor terjumpa resepi ini semasa menggodek laman web untuk mencari resepi yang berkaitan dengan ikan talapia.  Tetapi resepi yang dimuatkan di sini telah Kak Noor olahkan mengikut citarasa Kak Noor sendiri.  Banyak juga Kak Noor masak sebab nak jamu kawan-kawan anak Kak Noor makan sama. Kalau masak untuk keluarga, 3 - 4 ekor telah memadai.

Selamat mencuba....



Bahan-bahannya:
1 kg. ikan talapia
1 kuntum bunga kantan - dihiris halus
1 biji bawang besar - dipotong bulat
3 batang daun sup - dihiris
3 - 4 helai daun limau purut
2 biji lemon - 1 biji diperah jusnya dan 1 biji lagi dihiris bulat
1 biji limau nipis - diperah jusnya
Asam boi putih 5 biji
2 batang serai -  dihiris
Halia muda - dihiris
Sedikit garam
Sedikit bawang goreng untuk ditabur atas ikan setelah masak

Bahan-bahan untuk perapan ikan:
2 sudu besar pes tom yam
2 sudu besar sos nanas
3 - 5 ulas bawang putih yang dikisar
1 sudu besar kicap masin
Sedikit garam
(Lumurkan ikan dengan bahan-bahan di atas dan perap sekurang-kurangnya 30 minit)

Penyediaannya:
  • Letakkan ikan yang telah diperap di dalam bekas periuk kukus.
  • Taburkan hirisan bunga kantan, serai, daun sup, bawang besar, halia muda dan asam boi serta daun limau purut di atas ikan.
  • Perah jus lemon dan jus limau kasturi ke atas ikan.
  • Kukus sehingga masak, anggaran 20 minit.
  • Sedia untuk dihidangkan dan dimakan dengan nasi panas.

Petua/Tips:
Bagi menghilangkan hanyir ikan talapia, setelah ikan dibersihkan, perapkan dengan limau nipis, limau kasturi, dan garam lebih kurang 20 minit.  Selepas itu dibersihkan.
Kemudian direndamkan ikan di dalam air beras sekurang-kurangnya 15 minit.  Lebih masa pun tak mengapa (Air beras hasil basuhan yang pertama; yang masih berwarna putih susu).
Dibersihkan.  Kalau hendak digoreng, lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam.

Rendang Tok

Pejam celik, pejam celik, tak terasa minggu hadapan sekolah akan dibuka.   Bagi ibubapa yang belum lagi membeli kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka, cuti tiga hari ini digunakan semaksimum yang boleh membawa anak-anak ke gedung membeli belah untuk membeli barang-barang keperluan persekolahan.  Kak Noor telah membeli keperluan sekolah anak-anak sejak awal bulan Disember lagi.  Tak mahu kelam kabut di saat akhir.  Maklumlah kita ni bekerja, mesti bijak menggunakan masa; untuk kerjaya dan juga keluarga.

Itu cerita anak-anak kita yang  yang akan mula bersekolah minggu hadapan.  Apa pula cerita mengenai resepi yang akan Kak Noor paparkan pada tengah hari ini.  Resepi ini adalah kegemaran hubby Kak Noor sejak dahulu lagi iaitu Rendang Tok.    Asal resepi ini menggunakan daging, tetapi Kak Noor gantikan dengan ayam sebab keluarga  Kak Noor lebih gemarkan ayam. 

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik - dipotong 12 
2 cawan santan pekat
½ cawan kerisik
3 sudu besar gula merah
3 keping asam keping
Daun kunyit (koyakkan)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dimesin kering:
2 sudu besar ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar lada hitam
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih

Bahan-bahan dimesin basah:
25 biji cili kering
20 biji bawang merah
5 cm halia
5 batang serai
3 cm lengkuas
Air secukupnya

Penyediaannya:
Masukkan semua bahan kecuali daun kunyit, kerisik dan asam keping di dalam kuali.
Masakkan dengan api perlahan sehingga pekat dan naik minyak.
Bila telah pekat,masukkan daun kunyit, asam keping dan kerisik.  Kacau rata.
Masakkan lagi sehingga naik minyak dan cukup pekat.  (Sebaiknya keringkan sikit rendang ini).
Hidangkan.

29 Disember 2011

Ikan Siakap Goreng Tiga Rasa

Minggu lalu Kak Noor sekeluarga pergi makan di Restoran Thai yang terletak di Datuk Keramat.  Minggu itu pakcik dan makcik Kak Noor datang dari Utara.  Ada majlis yang mereka perlu hadir di Kuala Lumpur.  Sebelum berangkat pulang ke Butterworth menaiki tren malam, Kak Noor sempat membawa mereka sekali singgah untuk makan malam di Restoran Thai ini.  Telah agak lama juga Kak Noor sekeluarga tidak berkunjung ke restoran ini, sampai nama restoran pun telah ditukar daripada Ali Tom Yam kepada Restoran Thai.

Malam itu Kak Noor order nasi putih  bersama lauk pauk seperti siakap goreng tiga rasa, kerabu mangga, sup tom yam campur, sayur paprik, dan telur dadar.  Berselera sungguh anak-anak Kak Noor makan sampai licin, terutama lauk ikan siakap goreng tiga rasa.  Kak Noor memang tak gemar makan ikan sejak kecil lagi; dalam erti kata lain lauk ikan is my last choice. Setakat masak aje lah....

Bila teringatkan betapa berseleranya  anak-anak Kak Noor menjamah ikan siakap pada malam itu, maka timbullah idea untuk memasak resepi ikan siakap goreng tiga rasa ini.  Hidangan ini rasanya pedas, manis, dan masam.  Mungkin disebabkan itulah ia dinobatkan dengan perkataan tiga rasa.






Bahan-bahannya:
1 ekor ikan siakap (anggaran lebih kurang 1 kg).
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris
1 biji tomato dipotong kiub
1 tin kecil pineapple cubes - Kak Noor guna Ayam Brand
3 sudu besar sos pineapple
3 sudu besar sos cili padi -  Kak Noor guna jenama Agro Mas
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tiram
2 sudu pes tom yam
1/2 biji lemon diperah airnya
1 sudu tepung jagung + air untuk memekatkan kuah
1 tangkai daun sup - untuk hiasan
1/2 biji tomato - untuk hiasan
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng ikan secukupnya
Sos cili padi dan potongan nanas kiub, antara bahan-bahan yang digunakan untuk resepi ini.
Penyediaan ikan untuk gorengan:
Campurkan 1 biji telur, serbuk kunyit, garam, lada sulah, dan tepung jagung. Gaul sehingga sebati.  Kemudian lumurkan kepada ikan siakap dan ketepikan.


Cara-cara memasak:
  1. Panaskan kuali. Goreng ikan siakap dengan minyak terendam sehingga garing.  Ketepikan.
  2. Gunakan minyak ikan goreng tadi untuk menumis, anggaran 1 senduk minyak.
  3. Tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga naik bau dan kekuningan.
  4. Masukkan kesemua sos, buah tomato yang telah dipotong kiub, dan air nanas di dalam tin. Sekiranya mahukan lebih kuah, boleh tambah 1 cawan air.   Perasakan dengan garam.  Biarkan kuah mendidih.   
  5. Tuangkan bancuhan tepung jagung di dalam kuah untuk memekatkannya.  Kacau sehingga sebati.
  6. Akhir sekali masukkan kiub nanas dan perahan air lemon.  Biarkan kuah mendidih sekali lagi dan tutup api.
  7. Letakkan ikan siakap yang telah digoreng tadi di dalam bekas.  Kemudian tuangkan kuah yang telah dimasak tadi di atas ikan.
  8. Hiaskan dengan daun sup dan hirisan tomato.
  9. Sedia untuk dimakan dengan nasi panas-panas.
Bertambah-tambah berseleralah anak-anakku dengan hidangan ini. Bukan selalu dapat menikmatinya.... 

26 Disember 2011

Sambal Sotong Kembang Berkacang

Dalam entri terdahulu Kak Noor telah muatkan resepi sambal sotong kering.  Kali ini Kak Noor muatkan pula resepi sambal sotong kembang berkacang. Sukatan kacang yang digunakan untuk masakan ini terpulanglah kepada citarasa masing-masing.  Ada orang suka kacang yang banyak, dan ada pula yang suka sedikit.  Disebabkan inilah Kak Noor tidak menetapkan kuantiti sukatan yang perlu digunakan.

Kelainan resepi sambal sotong kembang berkacang ini ialah Kak Noor gunakan sos nanas untuk menggantikan asam jawa.  Pertama kali menggunakan sos nanas dalam masakan ini, tidak menjejaskan keenakan resepi sambal sotong kembang berkacang ini. Sambal sotong kembang berkacang ini Kak Noor gandingkan dengan sup sayur soun, dihidangkan dengan nasi panas.





Bahan-bahannya:
1 kg  sotong kembang
1 biji tomato saiz sederhana  - dipotong kiub
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos nanas - (Kak Noor guna jenama Muslim Besar Salsa Sauce)
2 sudu besar sos tiram
2 biji bawang besar - dihiris bulat
4 sudu besar kacang tanah yang telah dikisar (Kak Noor beli kacang tanah yang telah siap dikisar di kedai)
1 cawan air
Minyak masak secukupnya untuk menumis
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
Serbuk perasa (opsyen)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk cili kering yang telah dikisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci belacan

Penyediaannya:
  1. Sotong kembang dipotong anggaran 4 cm dan direbus sekejap untuk buang air kapur. Kemudian ditoskan dan diketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan tumiskan sehingga terbit minyak.  
  3. Kemudian masukkan buah tomato yang telah dipotong kiub, sos cili, sos nanas, dan sos tiram. Kacau rata dan masak sehingga kuah agak pekat.
  4. Masukkan gula merah, gula putih, garam dan serbuk perasa.  Biarkan mendidih sekejap.
  5. Kemudian masukkan sotong dan masak hingga kuah pekat sedikit pekat dan melekat pada sotong. Akhir sekali masukkan bawang besar dan kacang.  Kacau rata dan siap untuk dihidangkan.


Sup sayur soun
Tips:
  • Senduk yang Kak Noor gunakan untuk sukatan ialah senduk nasi.
  • Pastikan cili kering kisar senantiasa ada di dalam peti sejuk.  Caranya ialah beli 1 kg. cili kering.  Pilih cili kering kerinting kerana cili kering ini tidak pedas jika dibandingkan dengan cili kering berkilat.  Gunting atau potong cili kering dalam potongan yang kecil, kemudian direbus di dalam periuk.  Teknik rebusan digunakan supaya cili kering lembut dan mudah dikisar nanti. Apabila cili kering telah lembut, angkat dan ketepikan seketika.  Kemudian toskan air rebusan.  Alirkan cili kering di bawah air paip dan sambil itu diramas-ramaskan supaya biji cili keluar daripada cili kering.  Basuh dan asingkan cili kering daripada biji.  Ulangi teknik ini sehingga tiada lagi biji cili.  Kemudian cili kering ditoskan dan sedia untuk dikisar. Masukkan cili kering yang telah dikisar di dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk.  Sedia untuk digunakan pada bila-bila masa sahaja.

25 Disember 2011

Percutian Kak Noor sekeluarga di Cameron Highlands



Antara replika buah yang menjadi trademark Cameron Highlands

Buah strawberi segar yang baru dipetik dari ladang

Pada 15 - 17 Disember baru-baru ini,Kak Noor dan keluarga sempat bercuti di Cameron Highlands.  Tak tahu musim hujan di Cameron Highlands pada bulan Disember.  Tapi apa nak buat, bayaran semua telah dijelaskan, kalau tak pergi rugi pula.  Walaupun berada di sana selama 3 hari 2 malam, tetapi tidak banyak tempat yang boleh dilawati sebab hujan dan cuaca yang sejuk; 19 darjah celcius.

Cerita percutian Kak Noor sekeluarga boleh dilayari di sini.

24 Disember 2011

AYAM MASAK ROS


Hari ini Kak Noor kembali dengan resepi untuk masakan keluarga. Rasanya dah seminggu Kak Noor tidak memuatkan resepi dalam blog ini. Dalam minggu ini Kak Noor agak sibuk dengan persiapan sekolah anak-anak. Maklumlah tak lama lagi sekolah akan buka. So.... masa untuk mengadap komputer haruslah disingkatkan, kalau tidak semua kerja tidak selesai. Tahu ajelah bila kita mengadap komputer dan membuka blog, dalam sedar tak sedar boleh sampai 2 - 3 jam.

Ayam Masak Ros ini memang terkenal sejak dulu lagi. Kalau di Utara, kebiasaannya disajikan dengan nasi minyak atau nasi tomato, jelatah, dan papadom. Bonda Kak Noor gemar memasak resepi ini semasa Hari Raya Kedua atau semasa adik-beradik semua berkumpul.





Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dipotong 14
3 senduk cili kisar
6 sudu makan sos cili
6 sudu makan sos tomato
3 sudu makan tomato puri
1/2 tin susu cair
3 batang serai - diketuk
2 sudu besar kismis hitam
Minyak secukupnya untuk menumis


Bahan-bahan untuk ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 inci kulit kayu manis
2 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih


Bahan-bahan untuk dikisar:
4 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga separuh masak. Ketepikan.
2. Gunakan minyak gorengan ayam untuk menumis. Masukkan bahan-bahan tumisan, diikuti dengan kismis dan bahan-bahan yang dikisar. Masak sehingga naik bau dan garing.
3. Kemudian masukkan cili kisar bersama serai dan biarkan ia masak sehingga terbit minyak.
4. Apabila garing, masukkan sos cili, sos tomato, dan 1 cawan air. Kacau rata dan biarkan ia mendidih. Kemudian masukkan ayam yang siap digoreng. Kacau rata.
5. Tuangkan susu cair bersama tomato puri. Kacau hingga sebati dan biarkan masak hingga kuahnya agak pekat.
6. Perasakan dengan serbuk perasa, garam dan gula secukup rasa dan angkat.
7. Semasa dihidangkan, boleh taburkan sedikit kismis.



19 Disember 2011

Nasi Lemak

Nasi lemak adalah menu sarapan pagi untuk hari ini.  Sejak dua hari lalu asyik beli sahaja di kedai. Sebungkus nasi lemak biasa RM1.30.  Ahli keluarga ada enam orang.  Kalau RM1.30 didarab dengan 6, dah berapa?  Bukanlah Kak Noor nak berkira sangat, tetapi setakat sebungkus seorang tu memang tak puas makan.  Tau-tau ajelah anak-anak Kak Noor ramai lelaki, semuanya remaja. Orang kata tengah berselera makan.

Sambal tumis bilis petai semalam masih ada lagi.  So pagi ini Kak Noor tanak nasi lemak guna santan kelapa sawit.  Sajian sampingan ialah telur rebus, kentang goreng pedas,  papadom, dan timun.  Tiada kacang.  Lagipun anak-anak Kak Noor tidak berapa menggemari kacang.



Kentang goreng pedas, favourite anak-anak
Papadom, suatu kemestian untuk menambah selera
Timun Jepun, lebih rangup
Telur rebus

Sambal Tumis Ikan Bilis Petai

Semalam dah ada resepi ini di dalam kepala sebab petai masih banyak di dapur. Petai ini dibeli di Cameron Highlands semasa Kak Noor dan keluarga pergi bercuti.    Di sepanjang perjalanan pergi dan balik di tepi-tepi jalan ramai orang menjual petai dan durian.  Ingat di sepanjang perjalanan sahaja boleh nampak petai, tak sangka di Cameron Highlands pun ada jualan petai.  Bersaing dengan buah strawberry.  Tapi menurut hubby Kak Noor, rasa petai  Cameron Highlands  berlainan daripada petai kampung.  Petai kampung baunya kuat, daripada petai Cameron Highlands.  Kak Noor perasan hal ini sebab semasa mengupas kulit petai semalam, tangan tak berbau pun.  Cuma berbau daun aje.


Resepi untuk sambil tumis ikan bilis boleh dilihat pada entri Kak Noor dalam blog ini.  Cuma pada akhir penyediaannya semasa memasukkan bawang besar, masukkan bersama petai bagi melengkapkan resepi sambal tumis ikan bilis petai ini.  Selamat mencuba....

17 Disember 2011

Goreng Sotong Berkunyit



Untuk makan tengah hari pada hari ini, Kak Noor masak ringkas sahaja iaitu Goreng Sotong Berkunyit.  Hanya sotong dan ikan sahaja yang ada dalam peti sejuk ketika ini.   Sejak hari Khamis lalu, Kak Noor bercuti ke Cameron Highlands bersama keluarga.  Semalam baru balik.  Letih sangat dan urat-urat pun sakit.  Sejuk di Cameron Highlands tu.  Lebih-lebih sekarang musim hujan.  Masa Kak Noor pergi hari Khamis lalu pun hujan, balik pun hujan. Tak banyaklah tempat yang boleh diziarahi.  Suhu 18 - 19 darjah celcius.  Sejuk tu... menggigil.   Cerita penuh mengenai percutian ini Kak Noor paparkan dalam blog Citarasasantai.  Rajin-rajin singgah le... kat blog Kak Noor yang satu lagi tu...

Ok kita letak titik noktah pasal percutian itu. Kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk masakan ini.

Bahan-bahannya:
1 kg. sotong dibersihkan - dipotong gegelang
14 batang kacang buncis
1/2 biji lobak merah dihiris memanjang
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
1 sudu besar kunyit
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
2 biji cili hidup dihiris serong
Gula, garam, dan perasa 

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.  Goreng sotong 3/4 masak.  Angkat dan ketepikan.
2.  Di dalam kuali yang sama, gunakan minyak yang sama sebanyak 1 senduk.  Tumis bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga naik bau.
3.  Kemudian masukkan sotong, serbuk kunyit, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk cili, garam, gula dan sedikit perasa. Kacau dan kaup balikkan sehingga sebati.
4.  Kemudian masukkan lobak merah.  Setelah lobak merah masak, akhir sekali masukkan sayur dan cili merah yang telah dihiris.  Kacau rata (Jangan masak sampai sayur layu).   Selepas semuanya telah masak, angkat dan hidangkan.
5.  Hiaskan dengan daun sup dan daun bawang.

Sedap dimakan bersama nasi panas.

Koktel Sosej Ayam Masam Manis

Resepi ini amat ringkas dan mudah, dan sesuai untuk dibawa  pergi berkelah.  Budak-budak amat menyukainya.  Kebiasaannya kita goreng, bakar atau kukus  sahaja sosej dan dimakan begitu sahaja.  Tetapi kali ini Kak Noor mempelbagai cara masakan sosej ini. Sesuai dimakan dengan nasi dan dimakan begitu sahaja.  Anak-anak Kak Noor lebih suka meratah sosej ini.  Dalam sekelip mata, boleh clear....




Bahan-bahannya:
1 bungkus  koktail sosej ayam (1 kg) - digoreng 3/4 masak
3 senduk cili kering kisar
3 sudu besar sos masam manis - Kak Noor guna jenama life
2 sudu besar sos tiram
2 sudu sos cili
1 biji tomato - dipotong kiub
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 cawan air
Gula, garam, dan perasa
Daun sup/bawang untuk hiasan

Penyediaannya:

  1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.  Goreng sosej 3/4 masak dan toskan.
  2. Gunakan 1 senduk minyak daripada gorengan sosej tadi.  Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili kering yang telah dikisar dan tumis sehingga terbit minyak  Masukkan air dan buah tomato.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  4. Selepas itu masukkan  sos masam manis, sos cili, sos tiram, gula, garam,dan perasa.  Biarkan ia mendidih dan kuah sedikit pekat.
  5. Perlahan api.  Akhir sekali masukkan sosej yang telah digoreng tadi.  Kaup balikkan sosej bersama kuah pekat tadi.  Biarkan 2 - 3 minit di atas dapur, kemudian angkat.
  6. Boleh dihiaskan dengan daun sup dan daun bawang.




13 Disember 2011

Kentang Goreng Pedas


Resepi ini amat ringkas sekali dan sesuai untuk yang telah berkeluarga dan yang masih bujang.  Masakan ini amat disukai oleh anak-anak Kak Noor.  Sekali masak bukan setakat 1 atau 2 biji kentang, tetapi sekurang-kurangnya 10 biji.  Selain makan bersama nasi, ia sedap dimakan begitu sahaja.

Bahan-bahan yang diperlukan:
10 biji kentang - dikupas kulit dan dipotong macam `wedges'
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai daun kari
1 biji buah tomato dipotong kiub
2 senduk besar cili kering kisar - Kak Noor guna sukatan senduk nasi
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 camca besar sos tiram
Gula perang + gula putih secukup rasa (nisbah gula perang mesti lebih daripada gula putih)
Garam dan perasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ubi kentang
Minyak untuk menumis


Cara-cara memasak:
  1. Ubi kentang dikupas kulit dan dipotong seperti `wedges'.  Basuh dan toskan.  Gaulkan dengan sedikit kunyit dan garam.  
  2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali.  Goreng ubi kentang sehingga masak kekuningan.  Angkat dan ketepikan.
  3. Minyak gorengan ubi tadi dibuang sedikit.  Tinggal lebih kurang sesenduk dalam kuali untuk menumis. 
  4. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan daun kari sehingga naik bau.
  5. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
  6. Kemudian masukkan buah tomato dan kacau rata.  Sekiranya kuah pekat, boleh dimasukkan sedikit air.  Biarkan ia mendidih.
  7. Kemudian masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram.  Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  8. Perlahankan api.  Akhir sekali masukkan ubi kentang goreng dalam kuah dan kaup balikkan sehingga sebati.  Angkat dan boleh dihidangkan.  Boleh tabur daun sup/daun bawang jika suka.
Mudahkan!  Semudah ABC.  Anak-anak bujang pun boleh memasaknya.



Apam Pisang Kukus

Sejak minggu lalu, hubby minta Kak Noor buat apam pisang.  Katanya pisang masih banyak di dapur tu... Teringat masa kat kampung dulu, emaknya kerap buat apam pisang.  Tapi resepi orang dulu-dulu cuma menggunakan bahan asas sahaja iaitu tepung gandum, gula, kelapa, dan ibu apam (marupan). Semua bahan dibancuh dan diperap.  Katakanlah esok nak makan apam, maka malam ni dibancuh siap-siap dan diperap semalaman dan esok pagi baru dikukus.  Inilah apam yang bonda dan nenda pernah ajar Kak Noor buat.

So.... kali ini Kak Noor mahukan sedikit kelainan daripada resepi yang asal.  Nak cari resepi yang tidak perlu diperap semalam. Maka godeklah Kak Noor laman-laman web masakan dan terjumpalah resepi asalnya di siniAdalah sedikit pertambahan bahan yang Kak Noor gunakan bagi menyedapkan lagi apam pisang ini dan olahan ayat bagi cara-cara penyediaannya.  Resepi di bawah adalah untuk tiga adunan (resepi asal 1 adunan sahaja).  Satu adunan Kak Noor bawa ke pejabat untuk menjamu rakan-rakan dan dua adunan lagi tinggal di rumah.



Apam pisang kukus ini Kak Noor buat pagi tadi.  Bangun seawal jam 5.00 pagi tau! Ingat nak buat semalam, tetapi letih sangat.  Lagipun dok teringat kata-kata hubby Kak Noor yang teringin sangat nak makan apam pisang.

Pertama kali Kak Noor cuba resepi ini, nasib baik menjadi.  Memang sedap, lebih sedap daripada resepi yang pernah Kak Noor belajar dulu.  Memang betul kata Ros, rugi kalau sape tak cuba....


Bahan-bahannya:
12 biji pisang rastali, sederhana besar
Alat sukatan metrik (sudu dan cawan)
1/2 sudu teh garam
3 cawan tepung gandum
1½ sudu the baking powder
1½ sudu teh soda bikarbonat

2 sudu besar susu tepung
6 biji telur 
300 ml minyak jagung atau mentega cair - (Kak Noor guna minyak kelapa sahaja)
1/2 cawan gula
1/4 cawan gula perang 


Cara-cara penyediaannya:
  1. Pisang dan garam disatukan dalam bekas dan dilecek sehingga halus. Ketepikan. (Bahan A)
  2. Tepung gandum, susu tepung, baking powder, dan soda bikarbonat disatukan dan diayak bersama.  Ketepikan. (Bahan B)
  3. Minyak, gula, dan telur disatukan di dalam blender.  Kisar sehingga semuanya sebati dan halus.  (Bahan C)
  4. Setelah semua bahan siap disediakan, ambil bekas baharu.  Masukkan bahan C diikuti dengan bahan A.  Gaul rata.  Akhir sekali masukkan bahan B dan gaul sehingga sebati.  Ketepikan.
  5. Panaskan kukusan. Sediakan loyang atau acuan kegemaran.  Sapukan dengan sedikit minyak pada acuan.  Panaskan loyang atau acuan 2 minit dalam kukusan.  
  6. Keluarkan acuan daripada kukusan dan tuang adunan apam 3/4 penuh dan kukus selama 12 - 15 minit.  Buat hingga habis. 
  7. Bila apam telah masak, biarkan ia sejuk sebentar baru dikeluarkan daripada acuan.
  8. Sedia dihidangkan.  Sedap dimakan bersama kelapa muda.

Pisang dilecek bersama garam
Acuan disapu dengan sedikit minyak
Adunan apam 3/4 di dalam acuan
Apam pisang yang telah siap dikukus

11 Disember 2011

Kedai Ikan Rakyat

Minggu lalu Kak Noor berkesempatan berkunjung di Kedai 1 Malaysia yang terletak di Seksyen 4, Wangsa Maju.  Lihat entry kak Noor sebelum ini mengenai Kedai 1 Malaysia.

Pagi tadi Kak Noor berkunjung pula ke Kedai Ikan Rakyat yang terletak di Setiawangsa, di seberang jalan Sekolah Rendah Kebangsaan Setiawangsa.  Kedai Ikan Rakyat ini dimiliki oleh Sekinchan Ikan Bakar Sdn. Bhd.   Sempat juga Kak Noor tengok harga-harga ikan di situ. Ada yang murah dan ada yang mahal. Yang paling ketara hari ini ialah ikan kerisi di sini dijual dengan harga RM14.50.  Pada pendapat Kak Noor, harganya jauh lebih mahal daripada harga ikan kerisi yang dijual di NSK, Taman Sri Rampai.  Biasalah kat mana-mana pun, ada harga yang rendah dan ada harga yang tinggi.  Pandai-pandailah kita buat pilihan berdasarkan kemampuan kita sendiri.

Selepas snap beberapa keping gambar, Kak Noor dan hubby terus ke NSK.  Kata hubby kat NSK banyak pilihan lagi.  Lagipun Kak Noor dan hubby dah biasa beli barang-barang basah di pasar raya NSK di hujung minggu. Bolehlah dibuat bandingan dari segi harga dan kualitinya.

Kedai Ikan Rakyat terletak di seberang jalan SRK Taman Setiawangsa







Ikan kerisi dijual dengan harga RM14.50 sekilogram.  Di NSK Sri Rampai RM8.50sekilo.

10 Disember 2011

Kari Ikan Nasi Kandar

Resepi yang hendak Kak Noor ketengahkan kali ini ialah Kari Ikan Nasi Kandar. Ikan yang paling sedap dimasak kari ialah ikan ketul seperti ikan merah, ikan tenggiri, ikan nyok-nyok, ikan pari dan ikan bawal. Tapi bagi resepi kali ini, Kak Noor cuma gunakan ikan selar besar sahaja kerana di dalam peti ais ada ikan ini sahaja.

Kari ini sedap jika dicicah dengan roti benggali, biskut kering, capati, roti canai dan lempeng. Lagi lama, lagi sedap rasanya.





Bahan-bahan yang diperlukan:
1 kg. ikan yang telah dibersihkan (boleh guna apa-apa ikan)
150 gm. santan pekat atau 1/2 tin susu cair.
2 biji tomato (dipotong empat)
6 biji bendi - basuh dulu baru dipotong tangkainya
2 biji terung dipotong 4
2 biji cili hijau
1 senduk besar minyak masak
Garam secukup rasa.

Bahan-bahan B (ditumis):
1 sudu kecil halba campur
2 biji bawang besar dipotong dan dihiris
3 helai daun kari.
Bahan-bahan B (dikisar atau ditumbuk):
4 biji bawang putih
1 biji bawang besar
1 inci halia

Bahan-bahan C (disatukan dan dibancuh dengan sedikit air):
125 gm rempah ikan
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kas-kas (sekiranya diperlukan)


CARA PENYEDIAAN:
Panaskan minyak di dalam periuk atau kuali.Masukkan halba campur.
Apabila naik bau, masukkan bawang besar yang dihiris dan daun kari.
Apabila hirisan bawang bertukar warna keemasan masukkan kisaran bawang putih dan halia. Kacau rata dan kemudian masukkan kisaran bawang besar.
Apabila tumisan mula mendidih, masukkan bahan-bahan C dan biarkan sebatian kari masak hingga terbit minyak.
Masukkan air asam jawa dan 1 cawan air, dan biarkan ia mendidih selama 5 -10 minit.
Perlahankan api dapur dan masukan ikan. Biarkan ikan ini masak selama 15-20 minit.
Masukkan terung. Biarkan kari itu mengelegak selama selama 3-5 minit lagi.
Masukkan santan/susu cair dan garam secukup rasa. Kacau perlahan dan berhati-hati supaya isi ikan tak pecah/ hancur.
Apabila ikan telah masak, masukkan bendi, tomato dan cili hijau. Kacau seketika dan tutup api dapur. Tudung periuk dengan penutup supaya bau haruman rempah kari tidak terbebas.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang