Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Mei 2012

PUDING LAICI KASTARD



Hai....  malam-malam begini tiba-tiba terasa pahit mulut pula dan ingin menjamah sesuatu yang manis dan sejuk bila masuk ke tekak.  Buka peti ais tiada apa-apa desert enak yang hendak dimakan.    So... teringat ada lebihan agar-agar stripe di dalam almari.  Bila ditimbang, adalah lebih kurang 30 gram.  Dua hari yang lalu Kak Noor beli laici tin.  Just simpan sebagai stok, bila nak guna, benda tu dah tersedia ada.  Intip-intip juga bahan-bahan lain di dalam almari.  Alrite... semuanya cukup untuk menyediakan suatu puding yang enak.  Banyak juga bahan-bahan yang perlu digunakan untuk menyediakan puding in.


Ini guna acuan loyang aje....  potong guna pisau biasa aje.....

Puding diletakkan di dalam bekas plastik, keluar daripada peti ais, terus makan.  
Kebiasaannya bila Kak Noor menyediakan sesuatu sajian, Kak Noor akan menyediakannya dalam kuantiti yang banyak.  Telah memang terbiasa sebab keluarga Kak Noor `meriah'.  Setelah ketiga-tiga orang anak  keluar rumah untuk melanjutkan studi mereka, maka tiadalah orang yang `kaki makan' kat rumah ini.  Tetapi itulah.... Kak Noor tak pandai nak adjust masak sikit-sikit.  Walaupun dah cuba adjust, masih ada lebihan jugak. Tak pe lah..... selalunya Kak Noor bawa ke pejabat sahaja, beri kawan-kawan rasa.  Sedeqah juga tu kan..!

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat puding laici kastard ini adalah seperti di bawah.  Kak Noor amat puas hati dengan hasilnya.  Teksturnya lembut dan gebu. Tak caya tengoklah gambar di atas tu...  Selamat mencuba....

Bahan A:
250 gm gula pasir
30 gm agar-agar stripe
4 cawan air
1/2 tin air laici

Bahan B (disatukan dan dikisar sebati):
4 biji kuning telur
1 tin susu cair
3 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar bes minuman buah laici
1 tin buah laici (guna 3/4 sahaja), *asingkan 1/4 untuk ditabur dalam puding
1 sudu kecil garam halus
1/2 tin air laici
50 gm butter

Bahan C:
4 biji putih telur
1 biji isi oren (sunkist)
(putih telur dan isi oren di kisar sehingga sebati dan kembang)
*Buah laici yang diasingkan tadi-dipotong kecil

Caranya:
1.  Masak agar-agar dengan air sehingga larut.
2.  Selepas itu, masukkan gula bersama air laici dan masak sehingga gula larut.
3.  Sementara itu kisar bahan-bahan B kecuali butter.   Setelah dikisar sebati, baru dimasukkan butter dan kisar sedikit lagi. Masukkan ke dalam larutan agar-agar tadi dan masak sehingga mendidih.
4.  Selepas itu masukkan bahan C dan kacau hingga sebati dan pekat. Tutup api. Masukkan buah laici yang dipotong kecil ke dalamnya dan kacau rata.
Tuangkan ke dalam acuan yang digemari dan biar beku di dalam peti sejuk.
Bolehlah dihias dengan belahan isi oren jika mahu.

25 Mei 2012

SUP CAMPUR


Kebiasaannya bila cuti hujung minggu begini, pagi-pagi lagi Kak Noor dan hubby akan ke pasar mencari lauk pauk dan sayur-sayuran untuk seminggu.  Biasalah orang bekerja kan.... pada hari-hari biasa kebanyakan masa di pejabat sahaja.  Bila balik kerja, tengok mood dulu, kalau sempat Kak Noor masak, kalau tak sempat main tunjuk-tunjuk aje kat kedai (lauk segera lah tu...). 


Di dalam peti ais tu memang dah clear lauk pauk.  Hanya tinggal daging sahaja.  Tak rajin sangat nak pergi ke pasar hari ini.   Ingat esok aje....  Hari ini Kak Noor dan hubby mempunyai agenda sendiri, iaitu mengemas rumah dan membuang benda-benda lama yang telah lama menjadi khazanah arkib dalam rumah ini.   Lagipun tak lama dah nak puasa.  Masa bulan puasa, tenaga pun kurang, dah tak larat nak buat kerja-kerja berat lagi.



So... kalau dah sibuk tu... masak pun ala kadar saja  Cuma gunakan apa yang ada di dalam peti ais.   Masakan yang paling senang ialah sup campur.  Banyak jugalah bahan-bahan yang Kak Noor masukkan di dalam sup campur ini. Gadingan lauk ini ialah sambal belacan, ulam-ulaman dan ikan goreng.  Sedia dimakan dengan nasi yang masih panas.  Walaupun ringkas, masih bisa membuka selera.....

Bahan-bahannya:
300 gm daging (direbus)
2 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1/3 biji lobak merah - dipotong dadu
3 - 5 biji ubi kentang saiz kecil - dipotong kecil
Bunga kobis (banyaknya  - dipotong kecil
1 batang daun saderi - dipotong dadu
1/2  biji cili benggala warna kuning - dipotong dadu
1 - 2 biji cili padi - diketuk
2 paket kecil soun - direndam di dalam air sehingga lembut dan ditoskan
1 kiub ayam Knorr
Garam secukupnya
Daun sup/daun bawang
2 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk ditumis:
2 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris

Cara-caranya:
1.  Rebus daging sehingga empuk.  Selepas empuk, asingkan daging daripada air rebusan dan biarkan daging sejuk. Ketepikan air rebusan kerana air ini akan digunakan untuk membuat sup.   Bila daging telah sejuk, bolehlah dipotong dadu.  Perapkan daging dengan serbuk lada hitam kasar selama lebih kurang 10 - 15 minit.
2. Panaskan minyak di dalam periuk yang lain.  Tumis bawang merah, bawang putih, dan halia sehingga naik bau.  Kemudian masukkan daging, cili benggala, cili padi, dan batang daun saderi.  Gaul rata dan masak selama 1- 2 minit.
3.  Kemudian masukkan air rebusan daging tadi.  Perasakan dengan garam dan masukkan  kiub ayam.  Masak sehingga mendidih.
4.  Setelah sup mendidih, masukkan ubi kentang dan lobak merah.  Masak sehingga kedua-duannya empuk.
5.  Kemudian masukkan bunga kobis dan soun.  Masak sehingga sup mendidih sekali lagi dan tutup api.
6.  Taburkan daun sup/daun bawang dan bawang goreng.  Tutup periuk.

23 Mei 2012

SARDIN GORENG KICAP


Pabila keletihan melanda diri dan mood masuk ke dapur pun hilang, maka inilah sajian lauk yang dapat Kak Noor hidangkan untuk anak-anak di rumah.  Walaupun ringkas, tetapi ia masih membuka selera anak-anak. Dimakan bersama dengan nasi panas.  Kalau rajin, goreng telur dadar sekali.  Silap haribulan boleh bertambah nasi... Amat sesuai juga untuk anak-anak bujang di perantauan.  Selain mee segera yang selalu disimpan sebagai stok, sardin tin juga patut disimpan sebagai stok apabila  bahan mentah di rumah tiba-tiba habis; di mana ia bertindak sebagai penyelamat perut kita yang tengah lapar...

Ok mari kita tengok resepi yang ringkas ini.  Tak sampai 15 minit dah boleh dihidangkan...


Bahan-bahannya;
1 tin sardin cap ayam
1 labu bawang besar - dipotong bulat
1 biji buah tomato - dipotong empat
1 biji cili merah - dihiris
Daun sup/daun bawang
1 sudu besar cuka makan
Kicap manis secukupnya
Kicap masin secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan A (ditumis):
2 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - diketuk
4 - 5 biji cili padi - diketuk
1 inci halia - dihiris

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan A sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Masukkan sardin bersekali dengan sosnya di dalam kuali.  Kacau dan masak sehingga sos agak kering.
3.  Kemudian masukkan cuka, kicap masin, kicap manis dan kacau.  Rasa kuahnya, seimbang manis dan masin.  Sekiranya kurang masin, boleh tambah sedikit garam.
4. Akhir sekali masukkan bawang besar, buah tomato, cili merah,dan daun sup/daun bawang.  Kacau rata dan biarkan seketika di atas dapur.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

22 Mei 2012

SIAKAP TIGA RASA








Siakap Tiga Rasa lagi..... sebelum ini memang telah ada N3 mengenai siakap tiga rasa ini dalam blog ini. Memang favourite anak-anak semua, apalagi kalau dihidangkan terus selepas dimasak. Hari Sabtu yang lalu, sempat `sambar' 2 ekor siakap saiz sederhana di Carrefour Wangsa Maju. Seekor harganya R7.00. Ok jugalah sebab ikannya pun fresh.

Sejak di pejabat tadi dah berangan-angan nak masak siakap tiga rasa untuk hidangan makan malam. Dah tiga hari di dalam peti ais, masih tidak berkesempatan untuk menyiangnya lagi. Hari ini mesti nekad dan rajinkan diri untuk masuk ke dapur. Sepulangnya dari pejabat, terus singgah di Giant Setiawangsa membeli bahan-bahan sampingan seperti nanas, sos ikan, sos cili thai, dan cili benggala. Bahan-bahan inilah yang akan menambahkan perisa kepada resepi ini nanti.


Resepi asal siakap tiga rasa ini Kak Noor ambil di sini (Aznanie blogspot). Terima kasih kepada empunya blog kerana sudi berkongsi resepi ini. Memang ternyata sedap sehingga menjilat jari. Ada beberapa bahan yang ditambah mengikut citarasa Kak Noor bagi penyediaan resepi siakap tiga rasa ini. Resepi asal menggunakan seekor ikan, tetapi resepi ini menggunakan dua ekor (alang-alang nak masak, masak sampai habis.....)


Bahan-bahannya.
Untuk Ikan:
2 ekor ikan siakap
Tepung jagung untuk dilumur pada ikan
Serbuk Pasti Sedap Knoor
Minyak untuk menggoreng ikan

Untuk Kuah:
2 biji bawang besar - dipotong dadu
6 biji bawang putih - dititik
10 biji cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu
Kiub nanas - Kak Noor beli yang siap ditinkan; kiub nanas dalam jus nanas jenama Ayam Brand (Snacky Nanas) - 280 gm
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili thai
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan
2 batang serai - dititik
Beberapa helai daun limau purut
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Ikan dibersihkan dan ditoskan
2.  Lumurkan ikan dengan serbuk pasti sedap knoor. Pastikan semua bahagian dilumur rata. Kemudian, lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur kedua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam.
3.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan cili padi, halia, serai,  dan bawang putih.
5.  Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan, dan 3 sudu jus nanas di dalam tin. Kacau sebentar.
6.  Masukkan bawang besar, tomato, nenas, dan cili benggala.
7.  Masukkan air sedikit. Tambahkan garam, gula dan ajinomoto.
8.  Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang. 


21 Mei 2012

RENDANG PEDAS AYAM

Assalamualaikum...

Telah agak lama juga jari jemari ini tidak menaipkan resepi  untuk dikongsi dengan rakan-rakan semua.  Itulah.... kadang-kadang bila keletihan melanda dan banyak perkara yang perlu diberi keutamaan, maka N3 untuk blog ini pun turut pending buat sementara waktu. Bila semuanya telah reda, barulah minda ini boleh berfikir dengan tenang dan mencetuskan idea.

Resepi yang ingin kongsikan dengan rakan-rakan semua ialah Rendang Pedas Ayam.  Kebiasaannya Kak Noor masak rendang pedas daging, di mana rendang pedas daging ini merupakan resepi turun temurun keluarga Kak Noor.  Bila Hari Raya, tak kiralah hari raya puasa ke.... hari raya haji ke.... rendang pedas daging ini telah menjadi satu sajian wajib keluarga untuk dicicah dengan ketupat nasi dan ketupat palas.  Rendang pedas ini juga sedap dimakan dengan nasi tomato dan nasi minyak.


Tapi kali ini Kak Noor telah olahkan resepinya kepada Rendang Pedas Ayam.  Sama juga bahan-bahan yang digunakan, cuma masaknya tidaklah terlalu lama sangat seperti kita masak rendang pedas daging, kerana daging ayam cepat empuk.  Kak Noor menggunakan ayam organik kerana ia tidak mudah hancur.  Tapi kalau ada ayam kampung lagi bagus.  Isinya lebih pejal daripada ayam biasa dan memang kelas jika digunakan untuk memasak rendang.  Lagi satu yang ingin Kak Noor kongsikan ialah daging ayam akan lebih terasa kesedapannya  sekiranya kita dapat memerapnya semalaman di dalam freezer setelah digaramkunyitkan.  Kak Noor menggunakan kaedah perapan sebegini untuk resepi rendang pedas ayam ini. Justeru itu, sebelum kita memasak rendang pedas ayam ini, eloklah sehari sebelum itu kita memerapnya terlebih dahulu di dalam freezer.  Keesokan harinya kita keluarkan daripada peti sejuk dan nyahbekukan sebelum kita memasaknya


Pada hari Jumaat lalu, diadakan jamuan di pejabat sempena meraikan pelajar-pelajar yang telah tamat latihan industri di jabatan tempat Kak Noor bekerja. Meriah jugalah makanan-makanan yang disajikan.  Ada bihun goreng, nasi putih, roti jala, kuih-muih, kari ikan ala mamak, nasi empet dengan kuah kacang, jeli kelapa, dan juga rendang pedas ayam.  Rendang pedas ayam ini Kak Noor yang tolong masakkan. So... di sini Kak Noor nak kongsi resepi rendang pedas ayam ini dalam kuantiti yang banyak, anggaran untuk 30 - orang makan.

Bahan-bahannya:
3 ekor ayam organik (dalam anggaran 5.5 kg) - setiap ekor dipotong 12
3 batang serai - dititik
6 helai daun kunyit - dihiris halus
4 - 5 helai daun limau purut - dikoyak
1 kilo pati santan kelapa
3 senduk nasi kerisik
4 - 5 keping asam gelugor (asam keping)
Garam secukupnya
Serbuk perasa sekiranya suka
1 sudu besar gula perang

Bahan-bahan dikisar:
RM2.00 cili kering kerinting - dipotong dan direbus, kemudian dibersihkan
5 - 6 biji cili padi - bergantung kepada kepedasan yang diingini
6 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
15 batang serai - dihiris halus
Halia - 3 ketul  (setiap ketul sebesar ibu jari berukuran 2 inci)
Kunyit hidup - 3 ketul (setiap ketul sebesar ibu jari berukuran 2 inci)
Lengkuas - 2 ketul (setiap ketul sebesar ibu jari berukuran 2 inci)

Cara-cara Mengisar:
Memandangkan bahan-bahan digunakan adalah kuantiti yang banyak, maka sekiranya kita menggunakan blender yang kecil, maka sudah tentu kita tidak dapat memuatkan kesemua bahan tersebut sekali gus.  Oleh itu kisarlah bahan-bahan di atas mengikut step seperti di bawah ini.  Bahan-bahan ini hendaklah dikisar bersama air secukupnya sehingga hancur. Sekiranya menggunakan blender yang besar, bahan-bahan di atas bolehlah disatukan sekali dan dikisar sekali gus.

1.  Cili kering dan cili padi.
2.  Bawang besar dan bawang putih
3.  Halia, kunyit hidup, serai, dan lengkuas di dalam blender dan kisar.

Cara-cara memasak:
1.  Gunakan kuali yang besar.  Masukkan kesemua bahan yang dikisar dan santan.  Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
2. Selepas itu masukkan daging ayam dan kacau rata.  Masukkan serai yang telah dititik, asam gelugor,  dan beberapa helai daun limau purut yang telah dikoyakkan.  Perasakan dengan garam,  gula perang, dan serbuk perasa sekiranya suka.  Masak sehingga ayam empuk.  Jika perlu, tambah air sehingga ayam cukup masak.
3.  Selepas ayam masak, masukkan kerisik dan hirisan daun kunyit.  Kaup balikkan sehingga sebati. Masak lagi sehingga kuahnya agak kering.  Tapi bagi yang suka ada kuah, janganlah masak sehingga kering rendang tu.... ye!


7 Mei 2012

DAGING MASAK KICAP LADA HITAM


Bahan-bahan A : (Disatukan dan diperap)
600 gram daging isi - (dihiris nipis-nipis atau dipotong kecil)
1 bungkus (40 gram) perencah lada hitam Maggi
1 sudu kecil  lada hitam kasar
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar gula perang

Bahan-bahan B (ditumis):
Minyak untuk menumis
1 labu bawang besar - dimayang
3 ulas bawang putih - dimayang
2 inci halia - dimayang
Setangkai daun kari

Bahan-bahan lain:
4 biji ubi kentang - dikupas kulit dan dipotong wedges
2 sudu besar sos cili thai
3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos lada hitam sarawak
2 labu bawang besar - dihiris bulat
3 - 4 helai daun limau purut - dikoyak-koyakkan
Beberapa biji cili padi saiz besar
Daun sup/daun bawang
Gula dan garam secukupnya

Cara-carannya:
1.  Perapkan bahan-bahan selama 30 minit.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau dan kekuningan.
3.  Masukkan bahan-bahan A yang telah diperap tadi.  Masukkan air secukupnya dan kacau rata.  Masukkan sos cili thai, kicap manis, dan sos lada hitam dan kacau lagi.  Masak sehingga daging empuk. Sekiranya air kering dan daging belum empuk, boleh tambahkan air lagi.
4.  Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang.  Perasakan dengan garam dan gula. Sekiranya anda mahukan kuah lebih, boleh tambah air.  Masak sehingga ubi kentang empuk.
5.   Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, daun limau purut, daun sup/daun bawang, dan cili padi. Kacau hingga bawang agak layu, angkat dan hidangkan. Selamat mencuba.

2 Mei 2012

KARI NANGKA MUDA DENGAN UDANG (TUMIS DARAT)



Hari ini Kak Noor cuti. Pada masa yang sama hubby pun off hari ni. So… bolehlah `berpacaran’ dengan hubby hari. Selepas `date’ sarapan pagi, terus dengan urusan yang yang hendak dilakukan. Sewaktu pulang, sempat singgah di pasar tani Setiawangsa dan tengok apa-apa yang berkenan. Sempatlah beli sehelai anak tudung putih dan tudung putih untuk anak bongsu Kak Noor untuk ke sekolah.

Biasalah kalau kat pasar tani, banyak ulam-ulaman kampong dan sayur-sayuran kampong yang mungkin tidak boleh didapati di pasar raya. Semuanya segar-segar belaka. Sempat Kak Noor beli nangka muda yang telah dibungkus siap. Harganya RM1.50 sebungkus. Ingat nak ambil beberapa bungkus, tetapi bila mengenangkan tak ramai orang kat rumah, siapa pula nak makan. Membazir pulak nanti….



Jarang sekali Kak Noor masak nangka muda ini. Hanya bila teringin sahaja dan apabila dah jemu dengan lauk ikan, daging, dan ayam. Memandangkan di dalam peti ais tu ada udang sahaja, maka Kak Noor masak kari nangka muda dengan udang sahaja. Kalau orang Utara tak panggil kari. Dia orang panggil gulai. Tapi kalau luar dari Utara, gulai ni adalah masak lemak. So… supaya tidak keliru, lebih baik gunakan perkataan standard iaitu kari. Kalau masak dengan ikan kering masin lagi sedap. Tak pe lah… itu yang ada. Lain kali kita letak ikan masin pulak.

Kari nangka muda ini Kak Noor masak cara tumis darat. Cara masak tumis darat ini memang terkenal di kalangan orang-orang Utara. Orang Utara panggil tumis darat sebab bila kari dah masak, baru dimasukkan bahan-bahan yang telah ditumis garing bersekali dengan minyak yang digoreng tadi.

Jom kita tengok resepinya cara Kak Noor.

Bahan-bahannya:1 bungkus nangka muda - Kak Noor beli di pasar tani, siap dibungkus
300 gm udang sederhana besar
1 cawan pati santan kelapa sawit (campur dengan 2 cawan air)
2 keping asam gelugor
Garam/gula/serbuk perasa

Bahan-bahan A: (untuk diblend)3 sudu besar rempah kari udang
1 senduk nasi cili kering kisar
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan-bahan B: (tumis darat @ atas)3 biji bawang merah – dimayang
3 ulas bawang putih – dimayang
1 inci halia - dimayang
1 sudu besar jintan manis
Daun kari
Minyak secukupnya

Caranya:1. Bersihkan nangka. Rebus sekejap nangka, jangan terlalu empuk, cuma nak buang getahnya sahaja. Toskan.
2. Di dalam periuk, masukkan nangka yang telah direbus, bahan-bahan yang dikisar, dan 1 cawan air. Masak sehingga rempah mendidih dan nangka empuk.
3. Selepas itu masukkan santan dan kacau biar semua sebati. Bila telah mendidih masukkan udang, garam, gula, dan serbuk perasa. Tambahkan air sekiranya kuah terlalu pekat. Bila udang telah masak, masukkan cili hijau/cili merah dan buah tomato. Tutup api.
4. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan B hingga kekuningan dan wangi. Kemudian masukkan semua sekali dengan minyak ke dalam kuah kari nangka tadi. Tutup periuk cepat supaya aromanya tidak keluar.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang