Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Jun 2012

DAGING KAMBING MASAK HITAM KASHMIR

Minggu lalu, bertempat di Aras 2, Stesen Sentral Kuala Lumpur telah diadakan pameran Peluang Perniagaan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara  (NCER).  Seingat Kak Noor inilah adalah kali kedua pameran Koridor Utara diadakan di sini.  Kebiasaaannya banyak syarikat perniagaan Bumiputra mengambil bahagian mempamerkan produk-produk tempatan mereka, tetapi kali ini tidak banyak syarikat yang mengambil bahagian.   

Sambutan yang paling menggalakkan ialah di gerai menjual oblong SEMPOI dan di gerai yang menjual produk jenama Iman.  Gerai menjual oblong burger SEMPOI dibuka dari jam 11.00 pagi sehingga 5.00 petang. Gerai ini menawarkan oblong daging ayam, daging lembu, dan daging kambing, dan ia dijual dengan harga RM4.00 satu.  Memang tak menang tangan membuatnya, sehingga orang ramai yang hendak membelinya perlu beratur. Apapun burger oblong SEMPOI memang sedap.  Thumb up!

Kak Noor sempat juga ke gerai menjual produk jenama Iman. Ada mee segera, beehun segera, dan perencah-perencah masakan.  Teruja dengan barangan yang dipamerkan dan promosi yang ditawarkan beli 7 barangan dapat 1 percuma, Kak Noor pun beli beberapa bungkus mee bandung dan beberapa perencah untuk masakan harian.  Salah satu daripada perencah masakan yang Kak Noor beli ialah  masak hitam Kashmir.


Hari ini perencah masak hitam Kashmir itu Kak Noor gunakan untuk memasak daging kambing. Sebenarnya Kak Noor tidak pernah membeli daging kambing kerana Kak Noor sendiri tidak makan daging  kambing sejak kecil.  Cuma suami dan anak-anak  yang memakannya; itupun makan di kedai.  Ada lebihan daging kambing panggang yang dibawa balik oleh anak lelaki Kak Noor dari rumah kenduri kahwin petang tadi.  Terlupa pula dia membawa balik kuah pencicahnya.  So....dari terbiar daging kambing panggang itu begitu sahaja, timbul idea untuk memasak daging kambing ini menggunakan perencah masak hitam Kashmir.  Kak Noor telah mengolahnya mengikut citarasa Kak Noor dengan menambahkan beberapa bahan lain selain menggunakan perencah masak hitam Kashmir ini.  Perencah ini mempunyai tiga pes di dalamnya iaitu pes bawang, pes rempah, dan pes kicap.  Sekiranya tidak mahu mengikut resepi Kak Noor, boleh masak ikut resepi yang terdapat di belakang bungkusan. 


Bahan-bahannya:
30gm minyak masak
200 gm daging kambing panggang - hiris nipis
1 paket (100gm) perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman
2 sudu besar sos lada hitam - Kak Noor guna sos lada hitam Sarawak
1 cawan air
Gula, serbuk perasa, dan garam secukup rasa
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak. Masukkan bahan-bahan tumis dan masak sehingga naik bau.
2.  Masukkan perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman  (perencah ini terdiri daripada pes bawang, pes kicap, dan rempah.  Satukan kesemuanya dan dibancuh dengan 1 cawan air).  Masak sehingga naik bau.
3.  Masukkan hirisan daging kambing.  Tambah 1 cawan air dan kaup balikkan sehingga sebati .
4.  Kecilkan api dan masak sehingga masakan menjadi kering.
5.  Kemudian masukkan hirisan bawang besar, cili merah, dan cili hijau.  Kacau dan tutup api.

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS KENTANG



Semua orang suka makan sambal tumis ikan bilis kan!  Kebiasaannya sambal tumis ikan bilis ini sinonim dengan nasi lemak.  Bila masak nasi lemak mesti akan sambal ikan bilis. Tetapi boleh juga dihidang dengan nasi putih panas-panas.

Tetapi kali ini Kak Noor mempelbagaikan sambal tumis ikan bilis ini dengan meletakkann beberapa potongan ubi kentang. Anak-anak Kak Noor memang suka masakan seperti ini.  Selain dapat makan ikan bilis, kita juga dapat makan ubi kentang sambal.  Dalam erti kata lain masakan dua dalam satu.  Dalam masakan sambal tumis ikan bilis ini Kak Noor letakkan daun pandan untuk mewangikannya.  Memang semerbak bau sambal tumis ini semasa di atas dapur.

Resepi sambal tumis ikan bilis kentang ini lebih kurang sama sahaja dengan resepi sambal tumis ikan bilis yang pernah Kak Noor masak. Cuma ada beberapa bahan tambahan sahaja.  Jom kita tengok bahan-bahannya.


Bahan-bahannya:
100 gram ikan bilis yang telah siap dikopek - Rendam seketika (lebih kurang 5 minit dan ditoskan)
3 biji ubi kentang - dipotong kecil
2 keping asam gelugor
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
Serbuk perasa - jika suka
1/2 cawan pati santan
1 cawan air
2 helai daun pandan disimpul
1 biji bawang besar - dipotong bulat
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci belacan

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga naik bau dan terbit minyak.
2. Masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, asam gelugor,  dan daun pandan.  Masak sehingga kuah mendidih.
3.  Selepas kuah mendidih, bolehlah dimasukkan santan diikuti dengan ikan bilis dan ubi kentang. Kacau rata dan  masak sehingga ubi kentang empuk.
4. Selepas ubi kentang empuk, masukkan potongan bawang besar.  Kacau, kemudian bolehlah ditutup api.

21 Jun 2012

AYAM GORENG REMPAH


Mudah aje resepi ni.  Sesiapa pun boleh buat.  Jom kita tengok bahan-bahan yang Kak Noor gunakan untuk resepi ayam goreng rempah ini.

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dibuang kulit dan dipotong ikut suka
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar perencah ayam TUMIX
Garam secukupnya

Bahan-bahan Kisar: 
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
5 batang serai - dipotong halus
3 tangkai daun kari
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk kas-kas

Penyediaannya:
1.  Satukan kesemua bahan-bahan kisar di dalam blender dan dikisar hingga lumat dan sebati. 
2.  Perap ayam dengan bahan-bahan yang telah dikisar tadi bersama gula perang, perencah ayam TUMIX, dan garam secukup rasa.  Ayam lebih elok diperap semalamam di dalam peti ais (freezer).
3.  Pastikan ayam yang diperap dinyahbekukan sebelum digoreng.
4.  Panaskan minyak dan masukkan beberapa helai daun kari.
5.  Goreng ayam sehingga masak dan garing.  Angkat dan toskan.  
6.  Sedia untuk dimakan dengan nasi panas.

13 Jun 2012

AYAM ROS BERKISMIS



Pernah dengar ayam masak merah? ayam masak ros? ayam masak wangi? Sebenarnya ketiga-tiga masakan ini adalah lebih kurang sama, cuma diolah dengan menggunakan bahan-bahan tambahan untuk disesuaikan dengan citarasa masing-masing.  Pun begitu, rasanya tidak banyak bezanya dan masih mengekalkan keaslian masakan ini.


Masakan ayam masak merah dan ayam masak ros memang sinonim sejak dahulu lagi, dan sering dimasak semasa kenduri kendara, terutamanya semasa kenduri kahwin.  Bezanya ayam masak merah dengan ayam masak ros ialah ayam masak merah tidak diletakkan santan, dan ditumis dengan menggunakan bawang merah, bawang putih, dan halia sahaja manakala untuk ayam masak ros diletakkan santan dan ditumis dengan campuran rempah-rempahan seperti kulit kayu manis, bunga lawang, biji pelaga di samping bawang merah, bawang putih, dan halia.  Ditambah pula daun pandan, memang tidak dapat dinafikan aromanya sudah pasti terserlah dan berbau wangi.


Sebenarnya masakan ayam ros ini selalu dimasak oleh bonda Kak Noor semasa Hari Raya, dihidang dengan nasi tomato atau nasi minyak bersama jelatah.  Tetapi pada hari ini, Kak Noor telah  mengolah resepi ini dengan menggantikannya dengan bahan-bahan yang sedia ada dan menambah bahan-bahan lain yang dapat menyedapkan lagi masakan ini.

Terdapat beberapa bahan asli di dalam resepi ini  seperti tomato puri dan santan yang telah Kak Noor gantikan dengan buah tomato dan susu sejat. Ada juga bahan-bahan tambahan yang digunakan  untuk memberi kelainan pada resepi ini seperti kismis dan juga kacang pis.  Ternyata hasilnya amat berbaloi dan tidak sia-sialah usaha Kak Noor mengolah resepi ini.


Nak tahu sedap ataupun tidak, kenalah cuba masak mengikut resepi di bawah.

Bahan-bahan A:
1 ekor ayam – dipotong 12 (digaramkunyitkan dan digoreng)
1 biji tomato – dipotong kiub
2 sudu besar kismis
1 ketul kiub ayam atau 1 sudu besar serbuk Ayam Tumix
3 sudu gula perang
1 cawan air
1 ½ cawan susu sejat
2 batang serai - dititik
2 helai daun pandan - disimpulkan
Gula putih dan garam secukup rasa

Bahan-bahan B (Ditumis):
3 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia – dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 sudu besar kismis

Bahan-bahan C: (disatukan dan dikisar)
5 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Hiasan:
Kacang pis di dalam tin – ditoskan airnya
Daun sup
Kismis
Cili hidup/merah

Penyediaannya:
1. Ayam dibersihkan dan digaramkunyitkan. Perap selama 1 jam.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ayam sehingga ¾ masak dan ketepikan.
3. Panaskan lebih kurang 2 senduk minyak di dalam periuk. Gunakan minyak ayam goreng tadi. Masukkan daun pandan dan kacau seketika sehingga naik wanginya.
4. Kemudian masukkan bahan-bahan B diikuti dengan kismis. Tumis seketika sehingga bawang kekuningan.
5. Selepas itu masukkan bahan-bahan C yang telah dikisar. Kacau rata dan tutup periuk. Masak sehingga terbit minyak.
6. Setelah terbit minyak, masukkan 1 cawan air, sos tomato, buah tomato, kiub ayam, gula perang, gula putih, garam, dan serai. Kacau sebati dan biarkan ia mendidih.
7. Selepas itu masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kaup balikkan dan biarkan 2 minit di atas dapur.
8. Masukkan 1½ cawan susu sejat dan kacau rata. Dengan menggunakan api sederhana biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga ayam masak. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah air sedikit.
9. Setelah ayam masak, bolehlah ditutup api.
10. Semasa menghidang, taburkan kacang pis dan kismis. Hiaskan dengan daun sup dan cili merah.

12 Jun 2012

KARI BEBOLA AYAM DAN UDANG BERSAYUR



Kari bebola ayam dan udang bersayur ini adalah hasil eksperimen Kak Noor sendiri dengan mengkombinasikan bahan-bahan seperti bebola ayam, udang, dan sayur-sayuran.   Selain sedap dimakan bersama nasi, ia juga sedap dimakan dengan mee .  Dalam erti kata lain kuahnya sesedap kuah mee kari yang pernah kita makan. Pertama kali mencuba resepi ini, hasilnya memang memuaskan hati dan  menepati citarasa.  Kalau nak cuba masak, boleh gunakan resepi di bawah sebagai panduan.  Bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan resepi ini adalah terbatas kepada stok yang sedia ada di dalam peti ais Kak Noor pada ketika itu.


Untuk bebola daging ayam, Kak Noor membeli jenama Ayam Dindings (Asli), berat 800 gram, cuma gunakan separuh sahaja iaitu 400 gram.  Penggunaan bebola daging ayam ini sebenarnya tidak terhad kepada 400 gram sahaja, boleh digunakan lebih bergantung kepada citarasa masing-masing.  Begitu juga dengan udang, boleh gunakan udang yang bersaiz besar.  Kalau dapat udang galah bertambah-tambahlah kesedapannya.  Bagi penggunaan rempah, boleh digunakan sama ada rempah kari ikan atau rempah kari udang.  Begitu juga dengan sayur-sayuran, boleh dikurangkan dan boleh ditambah.  Seperti yang Kak Noor katakan, semuanya bergantung kepada citarasa masing-masing.  Santan pula Kak Noor lebih gemar menggunakan santan kelapa sawit kerana pati santannya lebih pekat daripada pati santan kelapa biasa.  Selain menjimatkan, rasanya  lemak dan elok untuk kesihatan iaitu kurang kolestrol.



Try makan dengan mee pulak...walaupun simple tetapi SEDAP!

Bahan-bahannya:
400 gram bebola daging ayam
250 gram udang saiz sederhana
3 sudu besar rempah kari ikan - dibancuh dengan air
4 biji ubi kentang - dipotong sederhana (sekiranya ubi kentang kecil, memadai dibelah dua sahaja, tetapi sekiranya besar, dibelah tiga atau empat)
1 biji lobak merah - dipotong bulat
10-15 batang kacang buncis - dipotong serong
2 biji tomato saiz kecil - sebiji dibelah dua
2 biji cili hijau
Beberapa keping tauhu pok saiz kecil
2 cawan pati pekat santan kelapa sawit - dicampur dengan 5 cawan air (Sekiranya menggunakan santan kelapa, gunakan 3 cawan pati santan dan dicampur dengan 5 cawan air)
Garam, gula, dan serbuk perasa

Bahan-bahan untuk ditumis:
2 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 pelepah daun kari
Minyak untuk menumis (lebih kurang 3 sudu besar)

Penyediaannya;
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bawang kecil, bawang putih dan daun kari sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Masukkan rempah dan kacau rata.  Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.
3.  Setelah terbit minyak, masukkan bebola daging ayam dan gaul rata dengan rempah.  Biarkan ia masak selama 3 minit.
4.  Masukkan santan, ubi kentang, garam, gula, dan serbuk perasa. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah mendidih.
5.  Selepas itu masukkan lobak merah dan kacang buncis.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali lagi.
6.  Akhir sekali masukkan tauhu pok, cili hijau, dan tomato. Kacau sekali lagi dan tutup api. Taburkan bawang goreng dan tutup periuk.

5 Jun 2012

SOTONG GORENG KUNYIT



Bahan-bahannya:
1 kg. sotong saiz sederhana
1 sudu serbuk kunyit
Serbuk lada hitam dan serbuk lada putih
1 biji bawang besar - dihiris (untuk ditumis)
3 ulas bawang putih - dititik (untuk ditumis)
1 inci halia - dihiris (untuk ditumis)
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
1 biji bawang besar - dipotong bulat
1 biji tomato - dibelah empat
Garam, gula, dan perasa (jika suka)
Daun sup dan daun bawang
Minyak untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.  Sotong dibasuh bersih dan ditoskan.  Kemudian kerat sotong dalam bentuk gegelang dan lumurkan dengan serbuk kunyit, serbuk lada hitam, dan serbuk lada putih.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga naik bau.
3.  Selepas itu masukkan sotong dan gaul rata. Masukkan garam, gula, dan perasa.  Biar mereneh sehingga pekat dan sotong masak.
4.  Akhir sekali masukkan bawang besar ,buah tomato, cili hijau, dan cili merah.  Kaup balikkkan.
5.  Semasa menghidangkan bolehlah dihiaskan dengan daun sup dan daun bawang.

3 Jun 2012

Menu Tengah Hari: Siakap Tiga Rasa, Sotong Goreng Kunyit, Ayam Goreng, Ulam-ulaman dan Sambal Belacan

Inilah masakan yang sempat Kak Noor sediakan untuk santapan tengah hari sempena berkumpulnya keluarga pada hujung minggu semalam.  Telah menjadi kebiasaan,  bila masuk ke dapur sendiri,  Kak Noor lebih selesa memasak seorang diri tanpa perlu pembantu.  Kita dah tahu selok belok dapur sendiri.  Kak Noor rasa dengan memasak keseorangan lebih cepat daripada masak ramai-ramai.  Tetapi lainlah kalau masakan itu berbagai-bagai, let say lebih daripada 10 resepi of course Kak Noor perlukan pembantu.

Kak Noor ambil order sahaja apa yang dia orang nak makan.  I am your chef today and kindly please make make your order.  Ha..ha..  (only chef for my family.... ye!)


Inilah menu yang Kak Noor sempat hidangkan iaitu siakap tiga rasa dengan putih jagung, sotong goreng kunyit, ulam-ulaman, dan sambal belacan.  Ringkas kan! Makan pula panas-panas dengan nasi putih....  Eh..eh...kenapa ayam goreng tu tiga ketul aje? Nak tahu ceritanya.... lihat gambar ayam goreng di bawah.

Siakap Tiga Rasa, dah banyak kali masak... tetapi masih mendapat sambutan.  Special request from my brother, Hezri.

Antara sotong paprik dan sotong goreng kunyit, sotong goreng kunyit yang menjadi pilihan.  Juga request from my brother.

Ulam-ulaman, faveret my hubby.  Ada daun selum dan daun tenggek burung.  Daun tenggek burung?  Pernah dengar tak?

Bercakap mengenai ulam ini, sebenarnya Kak Noor sejak dari kecil dulu Kak Noor tak pernah makan ulam. Kalau makan pun, cuma timun.  Belajar makan ulam ini daripada hubby Kak Noor.  Dia ni memang `antu' ulam.  Kalau ada ikan goreng, ulam, dan sambal belacan, bertambah berselera makannya.  Dialah yang memilih ulam-ulam ni.  Jering pun ada tetapi tak sempat nak kupas kulitnya. Sambal belacan pula selalu ada di dalam peti sejuk.  Tak ada masalah kalau nak makan ulam dengan sambal belacan.  Daun selum semua orang kenal, tetapi daun tenggek burung?  Pelik namanya kan?  Siapalah agaknya yang memberi ID untuk daun ni?  Nak tahu juga kenapa orang panggil daun ni tenggek burung? Ataupun ada nama lain selain tenggek burung? Nanti Kak Noor poskan dalam FB resepi turun temurun untuk dapatkan komen daripada rakan-rakan FB.

Ayam goreng untuk anak saudaraku Aiman.... tetapi x makan pun!  Letih Along goreng tau!

Bila tengok ayam goreng di atas, jangan kata Kak Noor kedekut pula.  Ramai orang kat rumah, tetapi ayam goreng ayam 3 ketul aje. Inflasi betul Kak Noor ni!? Sebenarnya ayam goreng ini tidak termasuk dalam menu hidangan makan tengah hari semalam.  Ayam goreng ini Aiman yang punya!  Siapa Aiman?  Aiman adalah anak saudara Kak Noor.  Aiman ini mempunyai citarasa yang berlainan dari segi pemakanannya. Aiman bukanlah seorang budak yang cerewat,  tetapi sejak dari kecil lagi memang amat jarang makan nasi.  Kalau makanan asasi kita adalah nasi, tetapi lain pula dengan Aiman.  Roti, biskut dan ayam goreng adalah makanan asasinya.  Itulah Aiman.... susah sangat nak makan nasi, puas kena pujuk.  Kalau dia kata tak nak, tak nak le.... Ikut mood dia makan nasi ni.   Kalau makan nasi pun, lauknya hanya ayam goreng atau telur goreng aje dan sup sahaja.  Ketiga-tiga hidangan ini sahaja yang boleh masuk ke tekaknya.  Tetapi Aiman tak makan pun ayam goreng ni.... sebab abahnya (adik lelaki Kak Noor) telah bawanya makan RFC (Radix Fried Chicken)  di Bangi semalam.   Aiman dah kenyang pun! 

Itulah serba sedikit cerita di sebalik menu keluarga ni.  Just for fund dan reading pleasure. Enjoy it...

SIAKAP TIGA RASA DENGAN PUTIK JAGUNG

Hari ini situasi rumah kembali seperti biasa.  Baru semalam rumah riuh rendah dengan gelagat anak-anak saudara, bonda, dan adinda yang datang bertandang.  Pada masa yang sama  anak lelaki kedua Kak Noor yang belajar di IKBN juga pulang bercuti pada hujung minggu. Bonda mertua dan anak lelakinya juga datang sebab tak ada orang yang hendak menjaga mereka sebab  ipar ada urusan di Melaka. Maka penuh sesaklah rumah seketika. 

Sesekali berkumpul begini memang seronok; taklah sesunyi seperti hari-hari biasa.   Sembang-sembang dan makan bersama-sama.  Hari pertama, untuk sarapan Kak Noor hidangkan nasi lemak santan kelapa sawit.  Kalau sudah ramai begini, tak boleh beli di kedai, tak puas kalau  makan seorang sebungkus sahaja.  Lagipun mereka tak pernah merasa lagi nasi lemak santan kelapa sawit.  So... masa inilah nak tunjukkan kehebatan santan kelapa sawit yang tidak mempunyai kolestrol ini.  Nak bertambah-tambah nasi pun tak apa.

Untuk hidangan tengah hari pula, ada request daripada adinda lelaki Kak Noor.  Selama ini hanya menjamu mata  masakan Kak Noor melalui blog aje.  Nak tunggu Kak Noor balik ke Utara untuk masak, tak balik-balik juga.  Tak pelah.... sempena kunjungan mereka yang julung-julung kalinya, Kak Noor akan sediakan hidangan mengikut request mereka.  Kalau nak hidangkan masakan ayam, dah selalu sangat.


Request sajian daripada adik Kak Noor.. Siakap Tiga Rasa dengan putik jagung, istimewa untuk adikku....

Selepas menyediakan sarapan pagi, Kak Noor dan hubby ke pasar tani Setiawangsa.  Nak cari ikan siakap dan sotong segar.  Ikan siakap Kak Noor nak masak tiga rasa campur dengan putik jagung dan sotong pula goreng kunyit aje.  Inilah request daripada adik Kak Noor tu!


Nyum...nyum....

Kalau nak rasa keenakannya, makan sejurus selepas dihidangkan.  Jangan tunggu sampai sejuk.


Bercakap mengenai ikan siakap ini, teringin nak share info mengenai ikan ini. Ikan Siakap atau juga dikenali sebagai Ikan Kakap Putih merupakan ikan air tawar dan air masin.  Ikan Siakap mendiami sungai dan air laut.   Ikan siakap ini ada yang mahal dan ada yang murah.  Kalau di Carrefour atau di TESCO, kita boleh membelinya  dengan harga RM7.00 seekor, tetapi kalau di pasar tani harganya RM24.00 satu kilo.  Jauh bezanya.... Nak tahu kenapa?  Kak Noor sempat tanya penjual ikan di pasar tani hari itu.  Katanya kalau yang murah tu... diternak di dalam sangkar dan diberi makan dedak, dan kalau yang mahal diperolehi di kuala sungai.

Resepi ikan siakap tiga rasa  ini pernah Kak Noor poskan dalam blog SDP (Sajian Dapur Bonda).  Kali ini Kak Noor poskan sekali lagi resepi yang sama, cuma ditambah putik jagung aje.




Bahan-bahannya.
Untuk Ikan:
2 ekor ikan siakap
Serbuk kunyit
Tepung jagung
Serbuk Pasti Sedap Knor
Minyak untuk menggoreng ikan

Untuk Kuah:
2 biji bawang besar - dipotong dadu
6 biji bawang putih - dititik
10 biji cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu
1 tin kiub nanas
Putik jagung
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili thai
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan
2 batang serai - dititik
Beberapa helai daun limau purut
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Ikan dibersihkan dan ditoskan.
2.  Lumurkan ikan dengan serbuk pasti sedap knor dan kunyit. Pastikan semua bahagian dilumur rata. Kemudian lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur kedua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam.
3.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan cili padi, halia, serai,  dan bawang putih.
5.  Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan, dan 3 sudu jus nanas di dalam tin. Kacau sebentar.
6.  Masukkan bawang besar, tomato, nenas, putik jagung, dan cili benggala.
7.  Masukkan air sedikit. Tambahkan garam, gula, dan ajinomoto.
8.  Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang