Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

31 Oktober 2012

ACAR SAYUR (TIMUN DAN LOBAK MERAH)


Resepi Asal:  Acar Timun (http://thyagacook.blogspot.com)
Diolah oleh:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
2 biji timun saiz sederhana, buang biji dan potong panjang
1 biji lobak merah saiz sederhana, dipotong panjang
1 biji bawang besar - dihiris
3 sudu besar minyak - untuk menumis
1 biji cili merah - dihiris serong
1 biji cili hijau - dihiris serong
1 sudu teh pes halia
1 sudu teh pes bawang putih
1/2 sudu teh biji sawi
1 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan cuka
3 sudu makan gula
1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Penyediaannya:
1.  Rendam timun dan lobak merah yang telah dipotong panjang di dalam air ais lebih kurang 1/2 jam untuk merangupkannya. 
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis biji sawi, bawang besar, cili merah, cili hijau, pes bawang putih dan pes halia hingga wangi tetapi jangan sampai bawang layu.
3.  Masukkan serbuk cili, air, gula, cuka, dan garam.  Biarkan ia mendidih dan kuah menjadi pekat sedikit.
4.  Tutup api dan biarkan kuah sejuk sedikit, baru dimasukkan timun dan lobak merah.  Kaup balikkan dan bolehlah dihidangkan.  




BINGKISAN DI HARI RAYA.....

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada para pengunjung blog Sajian Dapur Bonda.  Setelah beberapa hari bercuti sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha, kini kita kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa. Walaupun masih terasa penat kerana banyak persiapan sebelum raya dan sesudah raya, tetapi Kak Noor bersyukur dan gembira kerana anak-anak  dapat pulang berhari raya bersama.  Tidaklah terasa terkilan apabila di pagi raya, ada anak yang tidak dapat menjamah dan menikmati hidangan daripada air tangan bondanya sendiri.  Cuma Kak Noor sekeluarga tidak dapat pulang ke hometown Bukit Mertajam beraya bersama bonda dan adinda-adinda tercinta di sana disebabkan kesuntukan masa.

Kalau dah hari raya mesti ada menu hari rayanya kan! Kebiasaannya Kak Noor tanya suami dulu nak masak apa. Kemudian tanya anak-anak pulak.   Encik Suami tak banyak karenah dan tak kisah; masaklah apa sahaja, asalkan mudah dan cepat.  Encik Suami pun  tahu `kepenatan' kaum Hawa di dapur, lebih-lebih bila hari raya.  Masak bukan sekadar untuk santapan keluarga tetapi juga untuk tetamu.   Maka... pelbagailah request menu daripada anak-anak.  Sebelum raya dah telefon suruh ibu masak tu, masak ini, teringin nak makan, sebab dah lama tak makan... dan macam-macam lagi.  Kalau ikutkan menu setiap orang anak, penuh meja makan. Dan satu lagi yang nak masak dan berjuang di dapur sehari suntuk tu sorang aje....., Si Ibu.  Tapi kalau tak ditunaikan permintaan anak-anak ni...,  nanti sentiasa teringat pula si ibu kerana tidak dapat memenuhi request menu yang dihajatkan oleh anak-anaknya.




Finally, Kak Noor dan Encik Suami seia dan sekata memilih menu yang perlu dimasak.  Menu yang paling digemari dan menjadi `trade mark' keluarga, dan tidak pernah tiada pada setiap kali hari raya; iaitu Laksa Penang dan Nasi Empet bersama kuah kacang.  Minumannya pula ialah Koktel Buah-buahan Ais Krim Vanilla.  Semua menu ini untuk hari raya pertama.  Untuk hari raya kedua pula, Kak Noor masak Nasi Beriani Ayam, dimakan bersama Acar Sayur dan Papadom.


Perencah laksa


Memandangkan Kak Noor seorang sahaja yang menjadi chef di dapur, maka sehari sebelum raya Kak Noor telah menyediakan  kuah kacang, kuah laksa dan merebus nasi empet.  Bahan-bahan lain Kak Noor sediakan pada pagi raya. Untuk kuah laksa, Kak Noor gunakan ikan kembung saiz besar sebab banyak isinya, tidak banyak tulang,  dan mudah untuk diasingkan isinya.



Hari raya pertama, selepas solat Jumaat ramailah tetamu yang datang berkunjung.  Sebenarnya bukan jiran atau kawan-kawan Kak Noor dan suami, tetapi kawan anak-anak lelaki Kak Noor.  Unexpected....! sebab anak-anak tak beritahu awal yang kawan-kawan mereka akan datang.   Setidak-tidaknya bolehlah Kak Noor masak lebih daripada apa yang dibajet dan standby menu `bidan terjun' sekiranya tidak mencukupi.  Yang terkilan sedikit sebab tengah semua berselera makan, laksa dah tinggal `sejemput'.  Kuah masih banyak lagi.  So... ke sana ke sinilah anak lelaki Kak Noor  pergi mencari laksa basah untuk top-up tetapi malangnya dah habis.  Nasib baik ada laksa kering standby di rumah.  Tak sempat nak rendam laksa kering tu kerana akan mengambil masa untuk kembang.  Terus didihkan air di dalam periuk dan masukkan laksa.  Ambil masa kira-kira 30 minit juga untuk kembang.  Alhamdulillah kejadiannya, walaupun warna laksanya tidaklah  seputih laksa basah.  Finally dapatlah tetamu lain menikmati Laksa Penang ini. Syukran...




Hari raya kedua pula Kak Noor tumpukan kepada penyediaan nasi beriani ayam yang dimakan bersama acar sayur dan papadom.   Tiga minggu sebelum hari raya Kak Noor telah blogwalking mencari resepi-resepi nasi yang tidak pernah lagi dicuba.  Semasa blogwalking tu, hati ini terpaut kepada satu blog masakan yang menyediakan masakan kaum Melayu, India, dan Cina.  Kalau diikutkan profail  yang empunya blog, beliau berbangsa India dan dibesarkan di negeri Kelantan.   Itulah uniknya Kelantan, tidak kira kau bangsa India ke... Cina ke... tetapi  perbualan harian mereka tetap dalam loghat Kelantan.  Mungkin disebabkan inilah saudara Thyaga Rajan dapat mempersembahkan menu masakannya dalam Bahasa Malaysia dengan baik.




Memandangkan kita telah arif dengan masakan kaum Melayu, maka  Kak Noor lebih terpikat kepada menu  masakan India seperti nasi beriani udang, muruku, chutney (kuah yang dimakan dengan tosei)  dan pelbagai lagi yang dipersembahkan dalam blog ini.   Jarang kita temui blog masakan yang memuatkan menu-menu  masakan India yang mana ia turut digemari oleh kaum Melayu.  Masakan India atau lebih popular dengan gelaran masakan mamak seperti nasi kandar, nasi beriani, tosei, capati hanya diperolehi apabila kita mengunjungi restoran mamak.   Jarang kita menyediakan sendiri, ditakuti tak sama rasanya.  Bagi mereka yang menggemari masakan India, bolehlah berkunjung di blog yang bertajuk Daun Kari Masakan Malaysia.  Dengan pelbagai resepi masakan India yang dikongsikan bersama oleh saudara Thyaga Rajan, bolehlah kita mencuba beberapa resepi yang mungkin menjadi kegemaran kita. Kak Noor telah cuba memasak nasi beriani menggunakan resepi dalam blog ini.  Cuma dalam resepi asal ia menggunakan udang, tetapi Kak Noor telah mengolahnya  menggunakan ayam.  Ternyata masakan yang terhasil memang marvellous, tetapi banyaklah persiapan bahan yang diperlukan.  

Memandangkan N3 ini agak panjang, maka Kak Noor tidak  memuatkan sebarang resepi  menu hari raya  di dalamnya.  Cuma dipaparkan gambar-gambar menu yang berkaitan.  N3 untuk resepi nasi beriani ayam, acar sayur, laksa penang, kuah kacang, dan koktel buah-buahan boleh diakses di bawah tajuk resepi itu sendiri.

29 Oktober 2012

KOKTEL BUAH-BUAHAN AIS KRIM VANILLA




Minuman koktel buah-buahan ini Kak Noor sajikan semasa sambutan Hari Raya Aidil Adha pada hari Jumaat yang lalu.  Memandangkan ia dihidangkan untuk para tetamu, maka kuantiti setiap bahan yang digunakan adalah lebih daripada satu.




Resepi ini diperolehi semasa Kak Noor menghadiri salah satu jamuan di jabatan tempat  Kak Noor bekerja.  Kebiasaannya kita menggunakan buah-buahan untuk menghidangkan minuman koktel ini tetapi kali ini ada kelainan sikit dari segi penyediaan.   Patutlah semua tetamu kata `sedap tidak terperi' dan bertambah-tambah.  Minuman ini cepat pula cepat habis macam goreng pisang panas, tak sempat nak merasanya.  Terpaksalah sabar menunggu bancuhan seterusnya untuk merasa keenakan koktel ini.  Semasa menunggu inilah Kak Noor sempat berborak dengan staf yang berkenaan untuk mengetahui secret receipe koktel buah-buahan ini (sekarang ini tiada rasa lagi....) 


So sempena Hari Raya Adil Adha baru-baru ini yang Kak Noor rayakan di Kuala Lumpur bersama-sama suami dan anak-anak tercinta, salah satu daripada menu yang dihidangkan adalah minuman koktel ini. 




Bahan-bahannya: 
2 tin koktel buah-buahan – ambil bersama airnya
1 tin buah longan – ambil bersama airnya
1 mangkuk jeli Nata De Coco (laici dan strawberry)
100 gram buah ceri, jika suka
4 tin susu sejat Marigold
½ tupperware ais-krim perasa vanilla - Kak Noor guna jenama Magnolia
Ketulan ais secukupnya

Penyediaannya: 
1. Sediakan punch bowl. Masukkan susu sejat diikuti dengan ais-krim vanilla. Biarkan ais krim larut di dalam susu sejat dan kacau rata.
2. Masukkan buah-buahan koktel, diikuti dengan buah longan beserta jusnya, buah ceri, dan jeli Nata De Coco. Kacau rata.
3. Akhir sekali baru masukkan ketulan ais secukupnya dan hidangkan semasa sejuk.

1/2 bekas ais krim vanilla digunakan untuk resepi ini.

21 Oktober 2012

Sup Cendawan Campur Soun




Sup tumis sebegini adalah antara sup kegemaran Kak Noor sekeluarga.  Bila badan tidak sihat dan tiada selera untuk menjamah nasi, maka sup inilah yang menggantikan hidangan utama.  Boleh juga dicelur mee dan direbus pasta ntuk dimakan bersama sup cendawan ini.

Bahan-bahannya:
300 gm cendawan tiram - dikoyakkan
1 biji lobak merah (lebih kurang 100 gm) - dipotong mancis
5 batang crab filamen stick - dipotong kecil
1 biji tauhu putih - dipotong kecil
Soun secukupnya
Air - bergantung kepada banyaknya kuah
1 sudu kecil serbuk lada hitam (kasar)
1 pokok daun sup - dipotong pendek
1 pokok daun sup - dipotong pendek
Garam dan serbuk perasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan Tumis:
3 ulas bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang halus
1 biji cili merah - dihiris

Cara-cara memasak:
1.  Basuh semua sayuran dan toskan.  Rendam soun sehingga kembang dan kemudian toskan.
2.  Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan tumis sehingga kekuningan.
3.  Masukkan air secukupnya untuk sup.  Perasakan dengan garam, serbuk perasa, dan serbuk lada hitam. Masak sehingga mendidih.
4.  Masukkan lobak merah dahulu dan biarkan mendidih lagi.
5.  Akhir sekali masukkan cendawan, crab filamen stick, tauhu putih, dan soun.  Bairkan ia mendidih sekali lagi dan bolehlah ditutup api.
6.  Semasa menghidang bolehlah ditaburkan daun sup, daun bawang, dan bawang goreng.


Siap untuk di slurrp.....





17 Oktober 2012

Pendidikan Seni: Membuat Bekas Pensil Menggunakan Plastisin (tanah liat)

Selamat malam semua.  Jam telah menunjukkan jam 10.40 malam.  Mata ni masih tidak mengantuk lagi.  Rasanya  kawan-kawan di luar sana  sama juga macam Kak Noor.  Mungkin ada yang sedang menonton TV bersama keluarga, ada yang sedang mentelaah pelajaran bersama anak-anak,  ada yang masih di dapur, dan ada yang sedang update blog (macam Kak Noor sekarang ni).

Malam-malam begini Kak Noor bukan nak poskan resepi masakan tetapi nak pos resepi kreativiti yang dibuat oleh ibu dan anak.  Sudah dua malam berturut-turut Kak Noor bersama anak bongsu, Cheela bertungkus-lumus cuba membuatnya.  Mula-mula Kak Noor tunjuk ajar  cara-cara membuat kepadanya.  Kemudian buka semula, dan suruh dia buat sendiri.  Esok Cheela mesti berjuang sendiri habis-habisan untuk menghasilkan apa yang berjaya dihasilkan pada malam ini.  Ibu tiada di sisi untuk membantu dan menunjuk ajar lagi. Harapan Kak Noor agar Cheela dapat mengingati apa yang telah diajar dan ditunjuk dan membuatnya lebih baik lagi untuk esok.

Seperti kita semua sedia maklum, minggu ini ada anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan akhir tahun.  Anak Kak Noor, Cheela yang sekarang ini berada di Tahun 3 juga tidak ketinggalan.  Peperiksaan telah bermula pada  hari Isnin lalu dan  besok adalah hari terakhir. Hanya satu subjek sahaja untuk esok iaitu  Pendidikan Seni.   Cheela pilih soalan membuat binaan iaitu membuat bekas pensel menggunakan plastisin.  Dia kata kebanyakan kawannya membuat anyaman tikar.  `Cheela suka sesuatu yang lebih mencabar', katanya.

Di bawah ini adalah dua hasil kreativiti bekas pensil yang berjaya dihasilkan.  Just untuk dikongsi bersama.
Asas tapaknya Kak Noor gunakan bekas minuman polisterin.

A. First design

B.  Second Design
Yang mana satu pilihan ANDA, A atau B?


15 Oktober 2012

Masak Lemak Cili Api Ayam dan Rebung

Selamat tengah hari, selamat menjamu selera.... harap apa sahaja menu yang dihidangkan pada hari ini pasti membuka selera anda sekeluarga.

Hari ini menu yang cukup ringkas dan cepat dimasak sedap dimakan.  Resepi yang diberikan oleh rakan Kak Noor iaitu Puan Lailawati, anak jati Negeri Sembilan.  Dia selalu cakap, masak lemak cili api negeri sembilan tak susah.  Tak perlu banyak bahan.  Tapi yang penting lemak santannya mesti seiiring dengan kepedasan.  Pastikan santan tidak pecah minyak.  Kalau pecah minyak, ertinya masak lemak tu `failed' dan jangan ngaku orang Negeri Sembilan.  Nasib baik Kak Noor orang Penang, kalau failed pun taklah sampai dibuang negeri...ha..ha..






Kak Noor pernah masak lemak cili api ayam dengan kentang, tetapi kali ini Kak Noor nak pasangkannya dengan rebung pula.  Sebenarnya kalau nak tahu Kak Noor tak pernah makan rebung, dan tak tahu macam mana nak masak rebung pun!  Selalu juga tengok kawan-kawan makan di pejabat, tetapi buat dont know aje walaupun kawan-kawan suruh rasa.  Bukan apa, Kak Noor cuma tak suka dengan baunya.  Tanyalah juga Kak Noor kepada kawan-kawan macam mana kau orang makan rebung,  tak berbau ke...? Mereka kata kalau tak tahan dengan baunya jangan beli rebung jeruk, beli rebung yang fresh.  Oh.... begitu ceritanya.  Selama ini yang `berbau' tu rebung jeruk lah.  Kak Noor tak tahu ada rebung fresh yang dijual.

Tetapi ada sekali tu, kawan suruh rasa jugak-jugak.  Katanya tak rasa tak tahu.  So... rasalah sikit... sikit aje tau!  Rasa terkilan sungguh kerana dah masuk usia setengah abad, baru tahu rebung tu teramatlah sedapnya.  Petang tu juga, tanpa berlengah-lengah lagi sepulangnya dari pejabat, singgah kat kedai makan berhampiran makan nasi dengan rebung bersama sambal belacan dan ulam-ulaman.  Satu kepuasan!






Semasa ke pasar raya tempoh hari, terjumpalah Kak Noor rebung madu (kat label tulis rebung madu).  Bila dicium tak ada bau, terus Kak Noor ambil 1 paket.  Pada awalnya confuse juga sebab tak tahu sama ada rebung itu perlu direbus terlebih atau terus dimasukkan ke dalam kuah.  Puas juga Kak Noor godek laman-laman web yang ada kaitan dengan masak rebung ni.    Berpandukan informasi di laman web, akhirnya dapat juga Kak Noor siapkan satu hidangan yang diberi nama Masak Lemak Cili Api dan Rebung.


Bahan-bahannya:
4 ketul rib ayam - sekiranya besar 1 ketul boleh dipotong 2
300 gm rebung madu  - Kak Noor beli yang di dalam paket, dijual di pasar raya
2 cawan pati santan kelapa sawit KHALIS - dicampur dengan 1 cawan air
2 batang serai -  dititik
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 inci kunyit hidup
7 - 8  biji cili api (warna merah)
1 biji bawang besar
Air secukupnya
-  Satukan bahan-bahan di atas di dalam blender basah dan kisar sehingga lumat.

Cara-cara membuatnya:
1.  Rebus rebung sehingga empuk (lebih kurang 15 - 20 minit).  Kemudian ditoskan sehingga sejuk dan dipotong bulat.  Ketepikan.
2.  Di dalam periuk yang lain masukkan ayam bersama-sama bahan yang telah dikisar dan serai. Gunakan api yang sederhana dan masak sehingga mendidih.
3.  Selepas mendidih masukkan santan.  Masak sehingga mendidih dan ayam empuk (pastikan senantiasa dikacau supaya santan tidak pecah).
4.  Akhir sekali masukkan rebung, garam dan perasa.  Masak selama 5 - 6 minit lagi dan kemudian bolehlah ditutup api.

7 Oktober 2012

TELUR MATA MASAK SOS



Walaupun nampak ringkas, tetapi lauk inilah yang menjadi kegemaran anak-anak di rumah apabila mereka tidak berselera untuk makan.  Mudahkan!  Just goreng telur mata kerbau dan selepas itu masukkan dalam sos saja. Masakan ini sesuai juga untuk anak-anak bujang yang tinggal jauh di perantauan. Ringkas dan menjimatkan.

Bahan-bahannya:
5 biji telur ayam – (digoreng mata kerbau)
1 biji bawang besar saiz sederhana – diracik halus
3 ulas bawang putih – diracik halus
2 sudu besar cili kering yang telah dikisar
1 inci halia dihiris
4 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
1 biji tomato – dipotong kiub
1 sudu besar gula perang
Garam sekiranya perlu
Daun sup dan daun bawang – untuk hiasan
Cili padi - opsyen
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya:
Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga kekuningan dan naik bau.
Selepas itu masukkan cili kering yang telah dikisar dan masak sehingga cili garing dan terbit minyak.
Tambahkan air, sos cili, sos tiram, sos ikan, buah tomato, dan gula perang (banyaknya air bergantung kepada tahap kepekatan kuah yang dikehendaki). Kacau rata dan biar kuah mendidih. Rasa kuahnya. Perasakan dengan garam sekiranya perlu. Kebiasaannya tidak perlu tambah garam sebab sos cili dan sos tiram telah ada rasa masin.
Setelah kuah mendidih, masukkan telur yang telah digoreng tadi dan kacau. Perlahankan api dan biarkan mereneh di atas dapur seketika supaya kuah mesra dengan telur.
Semasa menghidang, bolehlah ditaburkan dengan daun sup/daun bawang. Jika suka lebih pedas, patahkan cili padi dan taburkan.

6 Oktober 2012

SUP AYAM SOTO



Bahan-bahannya:
5 ketul rib ayam
3 biji ubi kentang - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - diketuk
2 inci halia - diketuk
3 - 4 biji cili padi - diketuk
1 sudu besar serbuk lada hitam (kasar)
2 sudu besar rempah soto - dibancuh dengan sedikit air
1 sup bunjut tulang
1 kiub perasa ayam
1 batang serai - dititik
1 gelung kecil soun - direndam sehingga kembang
Air secukupnya untuk sup
Garam secukupnya
Minyak secukupnya untuk menumis




Cara-cara membuatnya:
1.  Bersihkan rib ayam dan potong menjadi ketulan kecil.
2.  Panaskan periuk.  Letak lebih kurang 2 sudu besar minyak.  Bila minyak telah panas, tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih, serai, dan halia sehingga kekuningan dan naik bau.
3.  Masukkan rempah soto yang telah dibancuh tadi dan masak sehingga rempah terbit minyak.
4.  Selepas itu masukkan ayam dan kaupbalikkan supaya mesra dengan rempah tadi.  Pada  masa yang sama masukkan serbuk lada hitam dan juga cili padi.  Gunakan api yang sederhana, dan biarkan ayam mereneh sebentar di atas dapur lebih kurang 2 - 3 minit (proses supaya ketulan ayam mesra dengan rempah).
5.  Kemudian baru dimasukkan air secukupnya untuk kuah diikuti dengan sup bunjut, kiub perasa ayam, dan garam.  Kacau rata dan masukkan ubi kentang.  Masak di atas dapur sehingga ayam masak dan ubi kentang empuk.
6.  Sebelum ditutup api, masukkan soun yang telah direndam tadi. Biar sup mendidih sekali lagi baru ditutup api.
7.  Semasa menghidang bolehlah ditabur dengan daun sup/bawang dan bawang goreng.

5 Oktober 2012

Ikan Kembung dan Sosej Masak Kicap (Ala 2 in 1)

Mungkin resepi yang dimuatkan pada hari ini, jarang dimasak oleh orang lain.  Pada hemat Kak Noor, masak ini tak semestinya ikut resepi  bulat-bulat, dari A  hingga Z.  Kadang-kadang kita memerlukan kreativiti kita sendiri untuk memasak sesuatu mengikut citarasa tersendiri yang memenuhi piawaian selera keluarga.  Secara tidak langsung, terciptalah satu resepi baharu, Insya Allah.




Nak tahu resepi apa hari ini?  Janganlah hairan pula dengan masakan ini kerana menunya adalah atas permintaan anak-anak yang dua orang yang kat rumah tu... nombor 4 dan nombor 5.   Dia orang ni memang the very cerewet one... susah sikit nak makan kalau tak kena dengan selera mereka.  Bukanlah bermakna anak-anak ni demand nak makan yang sedap-sedap dan yang mahal-mahal belaka,  tetapi ada masanya menu yang disediakan tidak memenuhi citarasa mereka sahaja.  Selera orang dewasa lain.  Kalau kita gemar makan ulam dengan sambal belacan dan juga kari daging atau kari ayam, jangan kita samakan selera kita dengan mereka.  Anak-anak tidak tentu lagi menggemarinya .  Kadang-kadang lauk yang mereka inginkan itu lebih simple dan hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit sahaja untuk disediakan.  Cuba kita bayangkan, kalau sudah penat berada di dapur selama dua tiga jam dengan niat untuk menyediakan masakan yang kita rasa sedap dan special untuk anak-anak, tetapi di sebaliknya ia bukanlah favourite mereka.  At last, telur goreng mata kerbau juga menjadi pilihan mereka untuk dimakan bersama nasi. Apa nak dikata!? Mesti letih dan frust kan! So... the moral of the story, kalau inginkan anak-anak kita makan banyak dan berselera, tidak rugi kalau kita tanyakan mereka.  Mungkin mereka ada idea untuk disampaikan kepada kita sebagai ibunya sebagai chef keluarga. 

Dah agak panjang mukadimah di atas tadi tu.....  Ok, jom kita ke resepi anak-anak Kak Noor ni.  Rasa-rasanya resepi ini amat sesuai sekali untuk kanak-kanak.  Semua orang pernah masak ikan kicap, ayam kicap, dan daging kicap.  Tapi jarang menggabungkan kedua-dua lauk di dalam satu masakan.  Hari ini Kak Noor masak kicap juga, tapi masak kicap ikan kembung dengan sosej.  Inilah yang dinamakan masakan 2 in 1. Bukan minuman dan syampu sahaja yang ada 2 in 1 tau!  Masak kicap 2 in 1 pun ada, tapi hanya boleh didapati dari dapur SDB sahaja.    Senang, very economic dan ada pilihan; kalau tak suka ikan, boleh ambil sosej, dan kalau tak suka sosej boleh ambil ikan.   Mudahkan!  Berbaloi untuk mencuba dan rasanya pun sedap.




Bahan-bahannya:
2 ekor ikan kembung saiz besar - dikerat 2 dan digaramkunyitkan.
10 batang sosej - dikerat dua atau tiga
1 biji bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 pelepah daun kari
Cili padi - opsyen
1  biji tomato - dibelah 4
Daun sup/daun bawang - opsyen
Kicap manis secukupnya - Kak Noor guna jenama JALEN
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ikan dan sosej

Cara-cara membuatnya:
1.  Ikan dan sosej digoreng sehingga masak.  Ketepikan.
2.  Satukan kicap, sos tiram, dan sos cili  dalam mangkuk.  Masukkan air secukupnya dan kacau mesra. (Banyaknya air bergantung kepada kepekatan dan kecairan kuah yang dikehendaki). Ketepikan.
3.  Panaskan kuali.  Gunakan minyak menggoreng tadi (lebih kurang 1 sudu besar)  untuk menumis.  Tumis daun kari, diikuti dengan bawang besar, bawang putih, halia, dan cili padi. Kacau sehingga kekuningan dan naik bau.
4.  Masukkan ikan dan kaupbalikkan dengan bahan-bahan tumisan tadi.
5.  Kemudian masukkan bancuhan sos tadi.  Kacau rata dan masak sehingga mendidih.  Rasa kuahnya.  Kalau tidak menepati rasa yang dikehendaki,  boleh perasakan dengan garam dan gula.
6.  Semasa kuah mendidih, bolehlah dimasukkan sosej dan kacau.
7.  Akhir sekali masukkan buah tomato dan tutup api.
8   Semasa menghidang bolehlah ditaburkan dengan daun sup atau daun bawang.

SELAMAT MENCUBA....

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang