Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Disember 2012

Sayur Campur Cina



Bahan-bahannya:
Sedikit daging ayam - dicincang (digunakan sebagai rencah)
1 batang lobak merah - dipotong bulat
1 paket cendawan tiram
1 buku brokoli
50 gram kobis - dipotong besar
2 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
2  cawan air
3 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk lada putih
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu besar tepung jagung, dibancuh dengan dengan sedikit air (untuk memekatkan kuah)
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Masukkan cincangan ayam, diikuti dengan bawang merah, bawang putih, dan cili merah.  Tumis sehingga naik bau.
2.  Kemudian masukkan air diikuti dengan sos tiram, serbuk lada hitam dan lada putih, garam, dan gula.  Masak sehingga kuah mendidih.
3.  Selepas itu masukkan lobak merah, cendawan tiram, brokoli, dan kobis.  Kaup balikkan sayuran.  Tuangkan bancuhan tepung jagung tadi.  Kacau lagi sehingga sayur-sayuran serasi dengan kuah tadi, kemudian bolehlah ditutup api dan dihidangkan. Jangan masak sayur sampai layu.

29 Disember 2012

ASAM PEDAS AYAM




Mula-mula nak masak asam pedas ikan tenggiri aje, tetapi last minute bertukar menu apabila hubby beli ayam.  Jadilah asam pedas ayam.

Bahan-bahannya: 
*(800 gm ayam (bahagian ayam yang bertulang)
1 biji tomato – dibelah empat
10 batang bendi
1 inci halia - diketuk
1 ½ inci lengkuas – diketuk
2 batang serai – diketuk
Daun kesum secukupnya
3 – 4 helai daun limau purut
1 biji cili merah – dibelah dua
3 sudu besar pati asam jawa Xtra Adabi – dibancuh dengan 800ml air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar halus:
3 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
5 biji bawang merah atau 1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci belacan
½ sudu teh serbuk jintan manis
½ sudu teh serbuk jintan putih
Air secukupnya

Cara-caranya: 
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis serai, lengkuas, dan halia sehingga naik bau, kemudian baru masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi. Masak sehingga garing dan terbit minyak.
2. Kemudian masukkan ayam dan kacau rata. Biarkan ia mereneh seketika (lebih kurang 5 minit) di atas dapur dengan api yang perlahan. Semasa proses ini air daripada ayam akan bercampur dengan bahan tumisan tadi.
3. Selepas itu masukkan air asam jawa. Perasakan juga dengan garam dan gula secukup rasa. Biarkan ia mendidih dan masak sehingga ayam empuk. Setelah ayam empuk, masukkan daun limau purut, daun kesum, dan bendi. Biarkan kuah mendidih sekali lagi di atas dapur. Setelah bendi masak, akhir sekali masukkan buah tomato dan cili hidup. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

* Bahagian ayam yang bertulang digunakan kerana ia lebih manis.

22 Disember 2012

Sambal Belacan (Guna Blender)






Hari ini Kak Noor nak muatkan resepi sambal belacan cara Kak Noor.  Kalau dahulu kalau nak buat sambal belacan ini memerlukan lesung batu untuk menumbuknya tetapi sekarang ada kaedah baharu yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan blender basah.   Masuk semua bahan di dalam blender dalam satu masa kemudian dikisar.  Dah siap sambal belacan! Cepat dan mudahkan...  Pun begitu ramai yang  berpendapat hasilnya tidaklah sesedap jika ia ditumbuk menggunakan lesung batu.  Apapun, Kak Noor akur dengan pendapat ini.  Kenapa sambal belacan lebih sedap jika kita menggunakan lesung batu?  Adakah disebabkan aura yang ada pada batu lesung itu?


Sambal belacan yang dibuat menggunakan blender


Sekarang ini Kak Noor jarang sekali menumbuk sambal belacan menggunakan lesung.  Suatu ketika dulu Kak Noor memang menggunakan lesung batu menumbuk sambal belacan.    Tetapi sejak penumbuknya hilang dan tinggal lesung sahaja, maka sejak hari itu Kak Noor menggunakan blender sahaja.  Okay lah juga... apapun hasilnya adalah sambal belacan.


Jom tengok macam mana Kak Noor buat sambal belacan menggunakan blender.  Memang mudah sesangat.  Apapun penyediaan bahan-bahan untuk membuat sambal belacan mesti complete.

Bahan-bahannya:
7 biji cili hidup segar - dibelah dua dan dibuang biji
5 - 6  biji cili padi merah - (boleh dikurangkan dan ditambahkan, bergantung kepada kepedasan yang dikehendaki)
1 sudu besar pati asam jawa Xtra ABADI
2 sudu besar jus limau kasturi
Belacan secukupnya - dipanggang/dibakar terlebih dahulu
1 sudu besar sos ikan atau sos sotong
Garam, gula, serbuk perasa

Masukkan semua bahan di atas di dalam blender basah bersama sedikit air (gunakan air mineral, air masak, atau air yang telah ditapis).  Air yang digunakan tidak boleh banyak, nanti sambal cair.  Agak-agaklah, sekadar untuk bahan-bahan di dalam blender tadi boleh dikisar.  Kisar jangan sampai lumat.  Kalau kita buat dalam kuantiti yang banyak, boleh dimasukkan di dalam tupperware dan disimpan di dalam peti ais.  Selain dimakan bersama ulam, sambal belacan juga boleh digunakan untuk menggoreng sayur kangkung dan memasak nasi goreng, dan dicampur dengan kicap dan gula sebagai bahan pencicah mangga. Hai.... terliur bila sebut mangga cicah sambal belacan kicap ni.

21 Disember 2012

Kari Ikan Tenggiri Batang,

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah baru saja habis makan tengah hari bersama keluarga. Hidangan tengah hari ini ialah kari ikan tenggiri, sayur kangkung goreng, sambal belacan, dan ulam kacang botol.  Walaupun lauknya simple, tetapi set hidangan lengkap ini sudah cukup membangkitkan selera dan mengenyangkan perut.  Tengok Encik suami dah dua tiga kali bertambah.





Kombinasi kari ikan tenggiri, sambal belacan, dan ulam kacang botol

Semalam, sempat ke NSK Selayang untuk membeli lauk pauk dan barang keperluan.  Memang ramai orang di NSK Selayang, tidak kira pagi, petang atau malam.  Lagipun NSK Selayang ini dibuka 24 jam.  Pernah suatu ketika Kak Noor dan Encik Suami ke NSK jam 11.00 malam  untuk mengelakkan kesesakan, tetapi sebenarnya semakin sesak. Orang yang tinggal jauh dari Selayang pun sanggup ke NSK Selayang ini untuk membeli barang keperluan di sini. Harga yang ditawarkan memang tersangat murah. Apa lagi peniaga-peniaga restoran dan kedai makan, di sinilah mereka membeli ikan, daging, ayam, sotong, udang, dan sayur-sayuran dengan harga yang murah.  Kadang-kadang sampai dua tiga troli penuh dengan barangan.




Ikan tenggiri tu Kak Noor beli kat NSK le.... harganya memang jauh lebih murah  jika dibandingkan dengan harga di pasar raya atau pasar basah.  Memang dah lebih setahun Kak Noor tak beli ikan tenggiri ni. Tetapi semalam teruja pula nak beli ikan tenggiri. Dalam kepala dah fikir nak masak kari.  Sebenarnya ikan tenggiri ni adalah dua jenis; ikan tenggiri batang dan ikan tenggiri bunga. Kak Noor sendiripun tak tahu apa bezanya.  Tengok sama saja ikannya.  Yang Kak Noor perasan cuma perbezaan dari segi harga sahaja. Ikan tenggiri batang lebih mahal daripada ikan ikan tenggiri bunga.  Kena cari juga maklumat daripada halaman web mengenai ikan tenggiri ni!



Sebenarnya resepi kari ikan tenggiri batang ini sama sahaja masakannya seperti masakan kari ikan yang lain.  Cuma untuk resepi ini Kak Noor tidak menggunakan banyak santan kerana tidak mahu kuah kari terasa lemak sangat. Apa yang penting ada rasa asam dan garamnya.  

Bahan-bahannya:
6 - 7 ketul ikan tenggiri batang (isi + kepala)
10 batang bendi
1 biji tomato saiz besar (dibelah empat)
2 biji cili hijau (dibelah dua tetapi tidak putus)
1 cawan pati santan + air secukupnya (bergantung kepada 
kepekatan kuah)
Garam secukupnya
1/2 sudu serbuk perasa (opsyen)
1 sudu kecil gula (opsyen)
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan diblend halus:
4 sudu besar rempah kari ikan Babas
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar cili serbuk
1 sudu besar pes asam jawa Xtra Adabi
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
3 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
Dua tangkai daun kari
2 sudu besar halba campur

Cara-cara memasaknya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bersama bawang merah, bawang putih, daun kari, dan halba campur sehingga kekuningan dan naik bau.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah diblend. Kacau rata dan masak rempah sehingga terbit minyak/rempah garing (tutup periuk).
2.  Selepas rempah garing, masukkan santan.  Kacau rata dan masak sehingga santan mendidih. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa.  Biarkan mendidih sekali lagi.  Rasa kuahnya. Kuah kari hendaklah ada rasa masam dan masin yang seimbang. Agak-agaklah.
3.  Masukkan ikan dan tunggu sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak.  Akhir sekali bolehlah dimasukkan bendi, tomato, dan cili hijau.  Kacau dan biarkan 1 minit di atas dapur, kemudian bolehlah ditutup api dan ditutup periuk.   

9 Disember 2012

Ayam Koktel Masak Sos




Menu ayam koktel masak sos ini adalah faveret anak-anak Kak Noor.  Kalau tak dimakan bersama nasi, mereka akan meratahnya sahaja. Masaknya pun agak simple, dan tidak memerlukan bahan yang banyak.  Cuma anda perlu menggunakan pelbagai sos untuk menyediakan menu ini. Namanya pun masak sos kan!



Ayam koktel yang digoreng 3/4 masak.

Kak Noor menggunakan ayam koktel jenama Farm Best yang boleh dibeli di pasar raya, bungkusan 1 kg.  Tetapi untuk hidangan ini, Kak Noor guna 500 gram sahaja koktel ayam.  Koktel ayam ini boleh digoreng dengan minyak atau boleh dipanggang di dalam oven sehingga 3/4 masak.

Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya:
500 gram koktel ayam - digoreng atau dipanggang 3/4 masak
1/2 biji cili benggala hijau - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala merah - dipotong dadu
1/2 biji lobak merah - dipotong bulat
1 biji bawang besar - dibelah empat dan dileraikan kelopaknya
3 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu  besar sos tomato
1 sudu besar sos cili hijau Thai
1 sudu kecil sos ikan
2 sudu besar gula perang
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
Air secukupnya

Cara penyediaannya:
1.  Goreng atau panggang ayam koktel sehingga separuh masak.  Ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.  Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili garing/terbit minyak. Tuangkan sedikit air dan kacau.
3.   Masukkan semua sos, gula perang, dan garam.  Kacau rata.  Sekiranya kuah pekat sangat, bolehlah ditambah air lagi. Kepekatan kuah mestilah agak sederhana, tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
4.  Kemudian masukkan ayam koktel.  Perlahankan api dan biarkan kuah  mereneh di atas dapur sehingga ayam koktel masak.
5.  Akhir sekali masukkan cili benggala bersama lobak merah.  Gaul rata dan kemudian tutup api.
6.  Boleh dimakan bersama nasi atau roti, dan diratah begitu sahaja.

8 Disember 2012

SANTAI DI PORT DICKSON: AYAM BARBEKU SAJIAN DAPUR BONDA




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Semoga di hujung minggu sebegini kita semua masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan di alam maya ini dengan penuh keceriaan dan menikmati detik waktu yang berharga bersama keluarga tercinta.  Juga dimohon ke hadrat Illahi semoga dipanjangkan umur ibadah kita, Insya Allah.


Kolam mandi dan anak-anak tidak dapat dipisahkan

Bagi Kak Noor sekeluarga,  Alhamdulillah. Cuma agak lama juga Kak Noor tidak memuatkan cerita dan resepi terkini disebabkan komitmen yang perlu diberi perhatian. Maklumlah kalau dah mula mengarang dan menaip, sudah tentu memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk kita memikirkan apa yang perlu dan yang patut ditulis untuk teman-teman pembaca. 

Resort yang sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga
Terdapat gazebo untuk beristirehat sambil menikmati keindahan pemandangan pantai,  dan juga tempat untuk barbeku




Bermula dengan kepemergian Kak Noor ke Dungun mengambil anak lelaki yang telah menamatkan semester pertama dan kemudian terus bercuti ke Kuala Terengganu, dan kemudian minggu berikutnya `family gathering’ di Port Dickson membuatkan Kak Noor begitu sibuk menguruskan itu dan ini. Dan… sudah tentu tidak dapat dinafikan keletihan pasti melanda.  Walaupun telah beberapa kali memasuki blog dan cuba mencatatkan sesuatu, tetapi setiap kali itu juga idea `pending'.  Cuma hari ini, ada kelapangan waktu untuk mengadap komputer dan memuatkan N3 yang telah agak lama pending di kotak fikiran. 



Anak-anaklah yang paling ceria, bangun seawal pagi ingat kolam aje.....



N3 kali ini Kak Noor just nak kongsi cerita mengenai `family gathering’ yang diadakan di Permaisuri Resort (Rumah Peranginan Persekutuan), Port Dickson. Sebenarnya telah agak lama Kak Noor sekeluarga dan adik-beradik serta bonda tidak bercuti bersama-sama. Ini adalah kali kedua Kak Noor sekeluarga bercuti di resort ini. Kali pertama adalah bersama rakan sepejabat dan keluarganya. Memandangkan tempat ini menarik dan sesuai untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga, di samping harga biliknya yang amat berpatutan khas untuk kakitangan kerajaan sahaja, maka Kak Noor telah memilih resort ini untuk `family gathering’. 


Bila semua ahli keluarga dapat berkumpul, makan sambil bercerita dan bergelak ketawa. 
Tiga orang chef professional sedang membakar ayam.  Kalau tak ada kipas, tudung tupperware pun jadi le....
(Time orang perempuan rehat, dan orang lelaki pula masak) 

Ayam oh! Ayam.  Kaki ayam pun ada....




Salah satu aktiviti yang meninggalkan memori indah percutian kali ini ialah barbeku. Sesekali apabila sanak saudara  berkumpul, membakar ayam bersama-sama, bersembang sambil menjamu makanan yang masih panas diselangi dengan cerita dan gelak ketawa yang meriah amatlah menyeronokkan. Aktiviti ini dilakukan pada sebelah pagi iaitu sekitar jam 10.00 pagi. Kanak-kanaklah yang paling gembira, selepas mandi-manda di kolam dan bila perut terasa lapar, rehat sebentar sambil menikmati ayam barbeku dengan nasi lemak panas. 



Berasap! Cepat dimasak, sedap dimakan sehingga menjilat jari..

Nostalgia semasa zaman kanak-kanak; nasi putih, sardin, dan kicap, set hidangan lengkap yang pasti menyelerakan.  Macam iklan promosi sardin cap ayam pulak dah!  




Memang berselera sungguh! Kemudian terjun kolam kembali. Selepas tu lapar lagi! Tapi ayam barbeku dah habis….. yang ada cuma sardin tin cap ayam. Sardin pun sardin le…. Panaskan aje sardin tu kemudian dimakan dengan nasi putih. Walaupun juadahnya tidak seberapa, tetapi itu sudah cukup menyelerakan kanak-kanak, tidak terkecuali hubby Kak Noor sendiri. Tapi… kalau nak lebih sedap, taruh kicap. Teringat menu ini semasa zaman kanak-kanak. Nasi panas, sardin tin, dan kicap; set hidangan lengkap yang menyelerakan dan boleh bertambah nasi! 



 Sos BBQ Heinz, antara bahan yang digunakan untuk memerap ayam.
Juga boleh disapu ketika membakar ayam, dan juga sebagai pencicah.


Dah agak panjang cerita Kak Noor, tetapi resepi tak muncul-muncul lagi. Resepi yang akan Kak Noor muatkan kali ini ada kaitannya dengan percutian di atas. Apa lagi kalau bukan resepi Ayam Barbeku. Resepi ini Kak Noor olah sendiri berdasarkan resepi-resepi barbeku yang pernah Kak Noor cuba sebelum ini. Apa komen mereka setelah merasainya sendiri? Komen adik lelaki Kak Noor, sedap dan terbaikkk! Betul ke sedap ni? Apapun teman-teman sekalian bolehlah mencuba sendiri resepi ini dan kemudian berikan komen, k. 



AYAM BARBEKU, SAJIAN DAPUR BONDA

Bahan-bahannya:
2 ekor ayam (anggaran 4.5 kg)
Sos BBQ, dibancuh dengan sedikit air – untuk disapu di atas isi ayam semasa membakar

Bahan-bahan Perapan
Bahan-bahan A:
3 sudu besar sos BBQ
5 sudu besar gula perang (boleh ganti dengan madu)
2 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
1 biji lemon (diambil jusnya)

Bahan-bahan B (Dikisar halus dan dijadikan pes):
2 – 3 biji bawang besar (saiz besar) - dihiris
8 ulas bawang putih saiz besar
4 sm halia
4 sm kunyit hidup
2 sm lengkuas
4 – 5 batang serai - dihiris
3- 4 sudu besar serbuk cili
2 sudu besar serbuk jintan manis
2 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk lada hitam halus (kalau nak pedas, boleh tambah lagi)
Anggaran air secukupnya

Cara-cara Penyediaannya:
1. Potong ayam mengikut citarasa anda. Bersihkan ayam dan toskan. Kelar sedikit permukaan isi ayam supaya bahan perapan mudah menyerap dan isi ayam cepat masak bila dibakar nanti.
2. Masukkan kesemua isi ayam di dalam bekas, diikuti dengan bahan-bahan perapan (bahan A dan bahan B). Gaul rata sehingga semua bahan sebati.
3. Masukkan ayam di dalam zipper beg. Kuantiti ayam yang dimasukkan di dalam zipper beg bergantung kepada saiz beg berkenaan. Boleh juga guna bekas plastik/tupperware bertutup untuk menyimpan ayam.
4. Perap ayam tersebut 1 – 2 malam di dalam peti ais (lagi lama perap lagi bertambah sedap).
5. Bakar ayam di atas bara api sehingga masak. Semasa membakar bolehlah disapu sos BBQ di atas isi ayam menggunakan serai (menambahkan aroma)
6. Ayam barbeku ini boleh dicicah dengan sos BBQ dan sos cili atau sos lain mengikut citarasa masing-masing.

SELAMAT MENCUBA...

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang