Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

26 Januari 2013

MEE KERING GORENG





Bahan-bahannya:

6 keping mee kering – (apa-apa aje jenama)
1 biji bawang besar – diracik halus
4 ulas bawang putih – diracik halus
1 cawan isi daging yang dipotong kecil/daging cincang
1 senduk nasi cili kering kisar
Sayur sawi
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya
Untuk hiasan: Lobak merah, daun sup/daun bawang, bawang goreng

Cara-cara memasak: 
1. Masak mee kering dalam air mendidih selama 2 – 3 minit. Kacau dan buangkan air panas. Basuh dengan air paip biasa (untuk membuang suhu panas yang terkandung di dalam mee) dan toskan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga kekuningan. Kemudian masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga naik bau/terbit minyak.
3. Masukkan 1 cawan air dan kacau. Selepas itu masukkan isi daging dan masak sehingga daging empuk. Tambah air lagi sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk.
4. Selepas daging empuk, masukkan kesemua sos, kicap manis, dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
5. Masukkan sayur sawi dan kacau seketika tetapi jangan sampai layu.
6. Akhir sekali masukkan mee dan kaup balikkan sehingga mesra. Kemudian bolehlah ditutup api.
7. Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang, bawang goreng, dan parutan lobak merah. Lebih sedap dimakan kalau ada cili hijau jeruk atau cili padi kicap.


Sedap dimakan bersama cili hijau jeruk atau cili padi kicap.

21 Januari 2013

GULAI NANGKA DAN DAGING (TUMIS DARAT, CARA ORANG UTARA)



Bahan-bahannya:
600 gram nangka muda yang dipotong kecil
500 isi daging – dipotong kecil/dicincang
1 tin susu sejat, dicampur dengan 2 tin air (gunakan sukatan tin yang sama)
(resepi asal menggunakan santan)
2 – 3 keping asam gelugor (asam keping)
Garam, gula secukupnya

Bahan-bahan dikisar (untuk diperap bersama isi daging):
5 sudu besar serbuk rempah kari ayam/daging
½ sudu besar serbuk cili
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil jintan manis
1 inci halia
2 batang cili hijau

Bahan tumis (tumis darat/tumis atas):
3 ulas bawang putih - dihiris
5 ulas bawang merah - dihiris
1 inci halia - dihiris
2 tangkai daun kari
1 sudu besar jintan manis
Minyak secukupnya

Cara-caranya: 
1. Bersihkan potongan nangka dan rebus dengan 1 sudu teh garam sehingga lembut/empuk. Tos dan ketepikan.
2. Perap daging dengan bahan-bahan yang telah dikisar selama 10 minit.
3. Masukkan daging yang telah diperap di dalam periuk bersama air secukupnya. Rebus daging sehingga empuk/lembut. Sekiranya daging belum empuk, tambahkan air lagi dan masak lagi.
4. Selepas daging empuk, masukkan susu sejat (1 tin susu sejat + 2 tin air) dan kacau rata. Perasakan dengan gula dan garam. Masukkan asam keping dan kacau lagi sehingga kuah mendidih. Rasa kuahnya.
5. Apabila telah cukup rasa, baru dimasukkan nangka yang telah direbus tadi. Kacau rata dan masak sehingga mendidih sekali lagi. Masukkan cili hijau dan tutup api.
6. Untuk kaedah tumis darat, panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis sehingga kekuningan dan wangi. Tuangkan bahan tumis ke dalam periuk berisi nangka tadi dan tutup dengan tudung periuk.
7. Bila hendak menghidangkannya baru kacau gulai tadi dan dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan, ulam-ulaman, dan ikan goreng.


Dihidang bersama nasi putih, sambal belacan, ulam-ulaman, dan ikan goreng

20 Januari 2013

CUCUR KEMBONG (CUCUR MANIS)


Cucur kembong atau cucur manis adalah sinonim dengan orang kampong. Ia dihidangkan pada waktu petang sebagai hidangan keluarga ataupun bila ada orang bertandang ke rumah. Seingat Kak Noor yang dibesarkan di kampong, arwah maktok Kak Noor kerap juga buat cucur kembong ini. Mungkin disebabkan mudah dan cepat disediakan. Selalunya dihidangkan bersama minuman teh o atau kopi o. 




Bercakap pasal cucur kembong ini terkenang kembali semasa zaman kanak-kanak dulu. Bersantai di pelantar bersama-sama kawan-kawan sambil menghirup udara nyaman di waktu petang dan menikmati suasana damai ditemani daun nyior yang melambai cukup membuat perut kami semua terasa `keroncong' (lapar).  Maka… maktok Kak Noor akan membuat cucur kembong untuk dimakan beramai-ramai. Dalam masa tidak sampai lima minit dua pinggan cucur telah habis. Kalau diikutkan nafsu makan,  memang tak kenyang lagi, tapi Alhamdulillah itulah rezeki yang diberi olehNYA.  Itulah zaman kanak-kanak Kak Noor yang dibesarkan di sebuah kampong yang diberi nama Kampung Pisang Awak (Bukit Dumbar).  Semuanya cukup membuahkan nostalgia. Terkenang kawan-kawan sepermainan yang ligat bemain di mana sebuah kampung diterokai.   Oh… di manakah kalian semua sekarang?  Kalaulah bisa kuputarkan masa…..




Terlalut pula sentimen Kak Noor ni! Maklumlah bila kita semakin berusia, semakin bertambah sensitif dengan keadaan sekeliling dan juga kenangan lalu. Ok kita tutup nostalgia Kak Noor yang tiada penyudahnya itu dan terus ke resepi. Resepi cucur kembong ini telah diubah suai mengikut arus kemodenan (guna bahan-bahan terkini).

Bahan-bahannya:
3 cawan tepung naik sendiri (self raising flour)
3/4 cawan gula pasir halus – boleh tambah gula sekiranya suka manis
½ sudu kecil garam
3 sudu besar mayonis
1 biji telur
½ sudu esen vanilla/ros - opsyen, tak letak pun tak ape
Air panas (suam) secukupnya
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya: 
1. Masukkan kesemua bahan di atas di dalam satu bekas kecuali air panas (suam). Gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit seperti bancuhan membuat jemput-jemput. Gaul sebati.
2. Memandangkan resepi ini menggunakan tepung naik sendiri, maka ia tidak perlu diperap terlalu lama, hanya lebih kurang 20 minit sahaja atau sehingga bancuhan kembang.
3. Panaskan minyak secukupnya. Guna api sederhana. Jangan terlalu panas, ditakuti renting di bahagian luar tetapi tidak masak di bahan dalam.
4. Sebelum menggoreng, bancuhan tepung tadi hendaklah digaul sekali lagi supaya rata.
5. Kemudian jemputlah bancuhan tepung sama ada dalam bentuk bulat-bulat atau dalam bentuk lonjong.
6. Goreng sehingga kekuningan, kemudian diangkat dan ditoskan.

19 Januari 2013

SUP AYAM CENDAWAN

Selamat Tengah Hari dan Selamat Bersantai di hujung minggu. Apa menu masakan hari ini agaknya ye? Bagi Kak Noor hari ini masakan agak ringkas sahaja; cepat dimasak, sedap dimakan. Semalam dah tanya husband nak masak apa. Lagipun tak banyak stok kat rumah kalau nak dipelbagaikan menu. Kalau dulu setiap minggu mesti Kak Noor dan husband pergi ke pasar, tetapi sekarang ini dah jarang. Tak ramai orang kat rumah, hanya tinggal empat orang sahaja. So beli dan masak ala kadar sahaja.




Semalam husband dah bagi tahu suruh masak sup ayam aje. Lama tak makan sup ayam katanya. Lagipun di dalam peti ais ada daging ayam. So seperti biasa sebelum masak Kak Noor akan blogwalking di dapur rakan-rakan untuk mencari resepi sup ayam. Bukan tak tahu resepinya, tetapi mana tahu jumpa dengan blogwalking, jumpa resepi sup ayam yang best dan lain daripada resepi Kak Noor sendiri.




Resepi sup ayam yang terpilih untuk menghiasi N3 kali ini Kak Noor dapati daripada blog Kak Nor (Secubit Garam). Resepinya memenuhi citarasa Kak Noor kerana beliau menggunakan kaedah menumis. Kak Noor tidak berapa gemar menggunakan kaedah merebus untuk membuat sup. Kalau tumis, memang wangi sekali. Terima kasih di atas perkongsian resepi sup ayam cendawan ini kepada Kak Nor SG.




Bahan-bahan yang digunakan untuk menu sup ayam cendawan ini adalah bergantung kepada ketersediaan bahan-bahan tersebut. Mungkin ada yang Kak Nor SG guna, tetapi Kak Noor tidak guna, dan ada juga bahan yang Kak Noor guna tetapi Kak Nor SG tidak guna. Terdapat juga olahan dalam resepi ini mengikut citarasa Kak Noor.

SUP AYAM CENDAWAN 
Resepi asal: Kak Nor Secubit Garam
Diolah oleh: Kak Noor Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
800 gram isi ayam – dipotong kecil
Cendawan tiram, dibasuh, toskan dan disiatkan sedikit
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 sudu besar rempah soto – dibancuh dengan air
1 biji lobak merah – dipotong bulat
6 biji cili padi merah
1 sudu besar perahan limau nipis
1 kiub ayam Maggi
Garam secukupnya
Air secukupnya
Daun sup/daun bawang/bawang goreng – untuk hiasan

Bahan tumis:
1 batang kulit kayu manis
1 bunjut sup tulang – dibuka bunjutnya
3 ulas bawang putih – ditumbuk
3 biji bawang merah – ditumbuk
½ inci halia – diketuk

Cara-cara memasak: 
1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis dan bahan-bahan di dalam bunjut sup tulang hingga wangi. Kemudian masukkan bahan tumbuk serta halia. Kacau sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan rempah soto yang dibancuh, kacau rata dan masak sehingga rempah garing.
3. Masukkan potongan ayam dan kacau supaya ayam bergaul mesra dengan rempah. Tutup periuk dan biarkan ayam mereneh di atas dapur selama 10 minit dengan api yang perlahan.
4. Kemudian baru dimasukkan air secukupnya, kiub ayam, serbuk lada hitam, dan garam. Biarkan mendidih dan masak sehingga ayam empuk.
5. Selepas itu masukkan lobak merah dan masak sehingga empuk.
6. Akhir sekali masukkan cendawan dan cili padi yang diketuk. Biar sup mendidih sekali lagi. (Kalau suka, ambil sedikit cendawan dan 2 cawan sup diblender halus, kemudian dimasukkan kembali ke dalam periuk dan dididihkan). Kemudian bolehlah dipadamkan api.
7. Masukkan perahan limau nipis, kacau dan bolehlah dihidangkan.
8. Semasa menghidang bolehlah ditaburkan dengan daun sup, daun bawang, dan bawang goreng jika suka.

16 Januari 2013

Koay Teow Goreng Udang (Goreng Basah)



Selamat malam semua.  Malam-malam begini terasa lapar pula.  Nasi masih banyak lagi di dalam periuk.  Tetapi rasa tak selera sangat nak makan nasi.  Kena cari alternatif menu lain yang boleh membuka selera.  Hmm... apa kata kalau pekena koay teow goreng?  Goreng basah-basah dan makan semasa masih panas; fresh from the oven.  Tapi bukan dibeli di kedai, bikin sendiri le...




Lagipun telah agak lama tak makan koay teow goreng sendiri. Koay teow goreng ni favourite anak perempuan bongsu Kak Noor.  Selalu juga dia pesan supaya beli koay teow sewaktu Kak Noor pulang kerja.  Pesannya kalau Kak Noor goreng koay teow mesti warna coklat gelap, tak nak yang warna merah.  Faham-faham ajelah, tak nak pedaslah tu...!  Kalau tak pedas, boleh bertambah makan.  Tapi bagi Kak Noor sendiri, Kak Noor lebih gemar koay teow goreng yang berwarna merah; pedas, baru ada ummp!  Tapi tak apalah demi anak tersayang, kita turutlah kemahuan dia.  Apa yang penting dia makan.  Risau juga kalau budak-budak tak berselera nak makan.  Dahlah seharian kat sekolah, dan makan pun ala kadar sahaja. Tiada siapa nak melayan makan minum mereka sebab ibubapa bekerja.  Lainlah kalau ada `maid' kat rumah.  Terjagalah makan minum mereka.   



Ok,  Kak Noor tak nak merepek panjang-panjang lagi.  Jarum jam dah bergerak laju.  Masih banyak lagi kerja yang belum dibereskan.  Inilah resepi koay teow goreng udang yang menjadi menu makan malam ini.

Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow cap Laksamana - (dibasuh dan ditoskan)
10 ekor udang saiz XL - dibuang kepala dan ekor
50 sen taugeh
1 sudu besar bawang besar kisar
1/2 sudu besar bawang putih kisar
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis secukupnya
1/2 biji buah tomato - dihiris
Garam, gula, dan serbuk perasa
1 biji cili hijau -dihiris (untuk hiasan)
Bawang goreng
Minyak secukupnya

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.  Goreng udang sehingga  kekuningan, angkat dan ketepikan.
2.  Gunakan minyak yang sama untuk menumis bawang besar dan bawang putih.  Tumis sehingga naik bau, kemudian masukkan cili kering kisar. Masak sehingga cili terbit minyak.
3.  Masukkan 1 cawan air, diikuti dengan sos tiram, kicap manis, garam, gula, dan serbuk perasa.  Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.  Masukkan udang yang digoreng tadi dan buah tomato.
4.  Kemudian masukkan koay teow dan kaup balikkan sehingga mesra.  Setelah koay teow hampir masak, masukkan taugeh.  Gaul rata dan jangan sampai taugeh layu.  Tutup api.
5.  Semasa menghidang, sekiranya suka bolehlah ditaburkan cili hijau dan bawang goreng.

SAMBAL KERANG SERAI




Bahan-bahannya:
400 gram isi kerang (dikopek daripada kerang yang direbus)
3 keping asam keping (asam gelugor)
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
1 sudu besar kicap manis
½ sudu teh serbuk perasa
1 batang serai dititik
2 biji bawang besar – dipotong bulat
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar lumat:
4 senduk nasi cili kering kisar
3 ulas bawang putih
5 batang serai – dihiris
1 inci kunyit hidup
2 inci halia
1 inci belacan - opsyen

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis serai yang dititik sehingga wangi.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan kacau rata.  Masak sehingga terbit minyak/cili garing.
3. Setelah cili garing, masukkan ¼ cawan air.  Masukkan gula perang, gula putih, garam, kicap manis, serbuk perasa dan asam keping.  Kacau sehingga semua bahan sebati.  Rasa kuah sambal. Tambahkan garam atau gula sekiranya perlu sehingga menepati citarasa.
4. Selepas itu masukkan isi kerang.   Kacau dan kaup balikkan supaya bergaul dengan sambal.  Perlahankan api dan biarkan ia mereneh di atas dapur selama 10 minit.
5. Sebelum ditutup api, masukkan bawang besar yang dipotong bulat. Kacau rata dan tutup api.

Sempat masak sambal kerang serai ini pagi tadi sebelum pergi kerja.  

12 Januari 2013

MASAK LEMAK PUTIH BOK CHOY



Bahan-bahannya:
1 ikat sayur bok choy
1 1/2 cawan santan kelapa sawit - dicampur dengan 3 cawan air
1 cekak soun pendek - direndam sehingga lembut dan ditoskan
1 sudu besar udang kering - direndam sekejap,  dibasuh kemudian ditoskan.
1/4 biji cili benggala
1 biji bawang besar - dihiris
Gula dan garam secukup rasa.

Cara memasaknya:
Masukkan kesemua bahan di atas di dalam periuk dan kacau rata. Masak sehingga kuah mendidih.  Semasa kuah mula hendak mendidih, kacau santan supaya ia tidak pecah.  Rasa garam dan gula.  Jika telah cukup rasa, bolehlah ditutup api.


11 Januari 2013

SAMBAL TUMIS SOTONG KEMBANG


Bahan-bahannya:
4 ekor sotong kembang -  dipotong memanjang.
1 biji buah tomato - dipotong kiub
1 biji bawang besar, saiz besar - dipotong bulat
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 - 2 keping asam keping (asam gelugor)
Serbuk perasa dan garam secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering kisar
2 biji bawang besar saiz sedang
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak.   Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Kacau dan masak sehingga garing/terbit minyak.
2.  Tambahkan sedikit air dan kacau rata.    Masukkan gula perang, gula putih, garam, dan serbuk perasa, sos tiram, kicap manis, dan asam keping.  Kacau lagi sehingga mesra.
3.  Masukkan sotong kembang dan kaup balikkan.  Masak sehingga sotong lembut.
4.  Sebelum ditutup api, masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat tadi.  Biar di atas dapur selama 1 minit.  Kemudian bolehlah ditutup api.
5.  Semasa menghidang, sekiranya suka bolehlah ditaburkan kacang tanah yang ditumbuk kasar.



7 Januari 2013

Ayam Lemon


Assalamualaikum dan Selamat Petang kepada sekalian pembaca blog yang selama ini sudi bertandang ke Sajian Dapur Bonda. Sebenarnya resepi yang dimuatkan  di Sajian Dapur Bonda ini  tidaklah semeriah dan semewah seperti resepi yang terdapat di laman web masakan yang telah lama establish dan popular.  Resepi yang Kak Noor muatkan dalam SDP adalah sekadar masakan harian untuk santapan keluarga dah mudah untuk diikuti oleh semua golongan. Justeru itu Kak Noor berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua.



" SELAMAT TAHUN BAHARU 2013"


Agaknya tidak terlewat untuk Kak Noor mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013.  Telah masuk minggu kedua kita semua berada di tahun baharu.  Semoga tahun ini membawa keceriaan dan perjalanan hidup kita senantiasa diberkati olehNYA.  Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lalu di mana kita akan berusaha berjuang untuk meningkatkan kualiti kehidupan dari segala kepayahan yang ditempuhi tahun lalu.  





Hari ini Kak Noor ambil cuti kecemasan, memang tidak dirancang.   Walaupun telah bangun sejak jam 5.00 pagi  untuk melakukan rutin pagi sebelum keluar bekerja, namun entah mengapa tiba-tiba sahaja rasa lemah seluruh badan; tak bertenaga langsung.  Mungkin disebabkan kerja-kerja rumah yang dilakukan di hujung minggu. Walaupun tak larat, tetapi digagahi juga.  Al maklumlah sejak masuk kategori lewat 40an ni, kudratpun dah setanding semasa muda-muda dulu.  Selagi ada anak dan suami, selagi itulah tugasan rumah menjadi sebahagian daripada hidup seorang wanita, walaupun bekerja.  Walau demam dan sakit sekalipun, bila teringat anak dan suami, digagahi juga diri untuk menyediakan hidangan untuk santapan keluarga.  Itulah kekuatan seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.




So sempena cuti hari ini, selepas anak-anak pergi sekolah, berpeluanglah Kak Noor meluangkan sedikit waktu untuk blogwalking kat blog kekawan.    Semasa blogwalking,  Kak Noor tersinggah di laman blog `Bicara Kak Noor' dan teruja untuk mencuba resepi Ayam Lemon.  Seperti biasa, resepi daripada blog kekawan Kak Noor gunakan sebagai asas penyediaan masakan dan tidak seratus peratus diikuti. Kak Noor olahkannya mengikut kesesuaian dan citarasa Kak Noor sendiri.   Terima kasih kepada Puan Nooriah Naim kerana sudi berkongsi resepi yang sedap ini dengan kekawan semua.








AYAM LEMON

Resepi Asal : Puan Nooriah Naim - Bicara Kak Noor
Diolah oleh: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya: 
500 gram isi ayam (bahagian dada ayam) – dipotong kecil
1 sudu besar bawang putih kisar
1 inci halia – dihiris
2 biji bawang besar – dipotong bulat
½ biji cili benggala (capsicum) warna kuning – dipotong dadu besar
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
Parutan kulit lemon daripada 1 biji lemon
1 sudu sos cili hijau Thai (Kak Noor guna jenama Thai Heritage)
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
2 sudu besar jus perahan lemon
1 sudu besar planta untuk menumis
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam
Garam, gula, dan serbuk perasa

Bahan-bahan perapan (diperap bersama isi ayam): 
2 sudu besar jus perahan lemon
1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar
1 sudu kecil garam

Cara-cara memasak: 
1. Bahagian dada ayam dibersihkan dan dipotong kecil (dadu besar). Perapkan bersama bahan-bahan perapan selama 5 minit.
2. Panaskan minyak di dalam kuali secukupnya. Goreng ayam yang telah diperam tadi sehingga masak. Ketepikan.
3. Di dalam kuali yang lain, panaskan planta. Tumis bawang putih kisar dan hirisan halia sehingga wangi. Masukkan bancuhan tepung jagung, sos cili hijau, dan jus perahan lemon. Sekiranya pekat, boleh ditambah air.
4. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa. Masak sehingga mendidih. Bila kuah telah mendidih, masukkan ayam, diikuti dengan cili benggala kuning, cili merah, cili hijau, dan parutan kulit lemon. Gaul sehingga semua bahan mesra. Jangan sampai sayur-sayuran layu.
5. Tutup api dan bolehlah dihidangkan bersama nasi putih. Lagi sedap dimakan sejurus selepas masak bersama nasi putih.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang