Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

13 Mac 2013

ISTIMEWA UNTUK PEMINAT-PEMINAT POKOK BUNGA KRISTAL

Assalamualaikum dan Selamat Malam Semua.

Malam ini Kak Noor gagahi juga untuk update blog SDB.  Sebenarnya mata dah mengantuk tetapi demi mengingati janji Kak Noor kepada rakan sepejabat petang tadi, maka digagahi juga jari jemari ini menekan aksara.  Bukan resepi yang hendak di update, tetapi sesuatu yang agak istimewa untuk pengunjung-pengunjung blog SDB, iaitu trend gubahan masa kini; pokok bunga kristal.  Cantik dijadikan hiasan di dalam rumah mahupun di pejabat.




Mungkin telah jemu dengan resepi dan gambar masakan, apa kata kita ubah selera dengan menatap  gubahan pokok bunga kristal `handmade' hasil kreativiti rakan sepejabat yang bernama Shikin. Beliau adalah seorang  wanita yang mempunyai citarasa yang `super' dan kreatif bila menghasilkan sesuatu. Dengan melihat sesuatu barangan itu, beliau  akan dapat mempelajarinya dan membuatnya dalam waktu yang singkat.  Mahir  menjahit baju kurung, tudung, dan manik.  Jahitannya memang diiktiraf melampaui piawaian.  Ini diakui oleh pelanggan-pelanggan setia yang menempah baju daripadanya (termasuklah diri Kak Noor).  Akhir-akhir ini kreativiti dan minatnya beralih kepada gubahan pokok bunga kristal pula.  Menurutnya banyak yang telah terjual dan semua gubahan tersebut adalah hasil daripada kreativitinya dan sama sekali tidak menciplak idea orang lain.

Memandangkan buat masa ini beliau tidak mempunyai blog untuk diketengahkan hasil kreativitinya, maka Kak Noor cuba mempromosi pokok bunga kristal yang telah digubah oleh saudari Shikin.  Di bawah ini adalah gambar-gambar yang sempat diambil semasa di pejabat tadi.  Tapi... pokok-pokok bunga kristal berkenaan telah ada tuannya.  Cuma dipaparkan sebagai contoh sekiranya ada tempahan.  Harganya antara RM35 hingga RM50 sahaja; bergantung kepada banyaknya bunga dan daun yang digunakan.

Inilah gubahan pokok bunga kristal `handmade' hasil daripada kreativiti Saudari Shikin.  Cantik dan kemaskan!  Inilah adalah antara gubahan yang sempat diambil gambarnya.

K001 - Ini harganya RM35 aje..


K002 - RM35.00

K003 - RM50.00 sebab pokoknya rendang; bunga dan daun banyak

K004 - RM50.00 juga


K005 - RM35.00
K006 - RM35.00

Kalau ada gubahan baharu, Kak Noor akan update kan gambarnya ye!  Kalau sesiapa berminat untuk menempah, bolehlah tinggalkan komen ataupun roger terus Shikin's Crystal di 0192732501.

10 Mac 2013

Puding Roti Jagung Ekspres



Assalamualaikum.

Inilah puding roti jagung yang boleh disediakan dalam tempoh yang singkat. Cepat dan mudah.

Bahan-bahan A: 
25 gram agar-agar strip – Kak Noor guna jenama layang-layang
700 ml air (untuk memasak agar-agar)
2 cawan gula putih
2 sudu besar gula perang

Bahan-bahan B: (Disatukan dan diblender)
1 tin jagung manis ala krim – apa-apa jenama pun boleh
1 tin susu sejat
1/4 cawan air
3 keping roti putih gardenia
1 biji telur
1 sudu esen vanilla
2 sudu besar tepung kastard

Penyediaannya: 
1. Rendam agar-agar di dalam air selama lebih kurang 10 minit (supaya agar-agar lembut). Kemudian dibasuh dan ditos. Ketepikan.
2. Roti gardenia dicarik-carikkan dan direndam di dalam susu sejat sehingga lembut.
3. Satukan bahan-bahan B di dalam blender dan kisar semua bahan sehingga lumat dan sebati.




Cara-cara Memasaknya:
1. Masukkan 700 ml air dan agar-agar di dalam periuk. Masak sehingga agar-agar larut.
2. Selepas itu masukkan gula putih dan gula perang. Masak sehingga larut.
3. Perlahankan api (nyalaan sederhana). Masukkan bahan-bahan B yang telah diblender tadi dan kacau dengan menggunakan senduk kayu. Kacau selalu sehingga adunan bertukar menjadi pekat sedikit (lebih kurang 15 – 20 minit)
4. Tutup api. Angkat adunan dan masukkan ke dalam acuan pilihan anda. Biarkan seketika di luar sehingga agak suam. Kemudian baru dimasukkan di dalam peti ais. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, biarkan ia betul-betul sejuk di dalam peti ais. Lebih elok kalau sediakan pada waktu malam, dan simpan di dalam peti ais semalaman. Esok baru dipotong dan dihidangkan.

Selamat mencuba.



Pajeri Nanas Berempah (Santan Sawit KHALIS)


Emm... sedapnya nanas tu...  terasa kemanisannya walaupun sekadar gambar hiasan.   Sedap jika dimakan begitu sahaja, dicicah dengan kicap ataupun dibuat pajeri nanas. Itulah nanas Sarawak.  Walaupun harganya agak mahal sedikit, tetapi berbaloi kalau kita gunakan ia untuk masakan pajeri nanas. Bila masuk ke mulut, terasa keseimbangan rempah dan manisnya.  






Kalau zaman Kak Noor kecil-kecil dulu, pajeri nanas berempah ini adalah salah satu menu wajib dalam masakan kenduri kahwin di Utara. Tapi tukang masak taklah guna nanas Sarawak, nanas biasa aje... Menu sampingan lain yang sering digandingkan ialah kurma daging, ayam masak merah, kari daging, dan dalca. Semua menu ini dimasak di dalam periuk kawah. Sedapkan! Lauk senantiasa panas sehingga ke malam hari kerana terdapat bara api yang memanaskan periuk kawah ini. Dihidangkan pula dengan nasi minyak. Wau! memang sedap sehingga menjilat jari. Cara hidangannya pula bukan bufe seperti sekarang ini, tetapi cara hidangan; satu meja empat orang. Kebiasaannya bila tetamu tiba, mereka akan disambut oleh mentara kenduri, dan bila tetamu telah cukup empat orang, mereka akan dibawa ke meja makan. Tetamu tidak perlu lagi meninjau-ninjau tempat duduk seperti sekarang ini di mana hidangan bufe telah menjadi trend di mana-mana sahaja kenduri perkahwinan. Kasihan Kak Noor kepada tetamu-tetamu yang hadir (termasuklah Kak Noor), iaitu apabila kes orang ramai, tetamu terpaksa tunggu sehingga tempat kosong. Itu tidak termasuk lagi kes tetamu hendak tambah nasi, apabila pergi tambah nasi dan lauk, bila balik ke tempatnya, orang lain dah duduk. Macam mana tu? Insya Allah, kalau kenduri anak Kak Noor nanti, nak guna cara hidang aje.






Sebenarnya tadi Kak Noor tidak mahu story panjang-panjang. Tetapi bila bab masak pajeri nanas ini teringat nostalgia zaman dulu. Tak dapat nak pendam lagi. Nak juga kongsi dengan pembaca-pembaca sekalian.

Ok jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahan A:
1 biji nanas Sarawak, dipotong bulat atau separa bulat
1 cawan santan sawit Khalis (boleh juga guna santan kelapa)
Kerisek secukupnya
2 sudu besar gula perang
2 biji cili hijau
Gula putih dan garam secukup rasa
Serbuk perasa (opsyen)

Bahan-bahan B (disatukan di dalam blender dan dikisar)
4 sudu besar rempah daging
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan C (ditumis):
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
1 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu besar udang kering

Cara-cara memasaknya:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan C sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2. Masukkan bahan-bahan C dan kacau rata. Sekiranya rempah agak pekat, boleh tambah sedikit air. Tudung periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak (kaedah tudung periuk digunakan supaya rempah lebih cepat masak dan terbit minyak)
3. Selepas itu, masukkan santan sawit dan kacau mesra. Sekiranya mahukan kuah lebih, boleh tambah sedikit air. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, dan kerisek. Kacau lagi sehingga semua bahan perasa yang dimasukkan larut sebati di dalam kuah. Rasa kuahnya. Kuah pajeri selain rasa rempahnya, mestilah ada rasa kemanisannya.
5. Setelah cukup rasa, bolehlah dimasukkan nanas Sarawak tadi dan kacau sehingga mesra dengan rempah. Perlahankan api, dan biar ia mereneh di atas dapur antara 10 – 15 minit.
6.   Sebelum ditutup api, masukkan cili hijau.  Tudung periuk.  Bila nak hidangkan, baru buka.  Wangi sangat….

6 Mac 2013

Sayur Goreng (Kacang Buncis dan Cendawan Tiram)


Assalamualaikum...

Just nak kongsi resepi mudah ini. Sedap dimakan ketika masih panas dengan nasi dan diratah begitu sahaja.  Anak-anak kecil pun suke...

Jom tengok resepinya. Tak sampai 10 minit dah siap satu hidangan (dengan syarat semua bahan telah siap disediakan).

Bahan-bahannya:
Kacang buncis
Cendawan tiram
Fucuk - direndam sehingga lembut, dibasuh dan ditoskan.
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar serbuk lada hitam
Gula dan garam secukup rasa
2 sudu besar minyak

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih - dicincang
1 biji cili merah - dihiris
Sedikit ikan bilis/udang kering

Cara-cara memasaknya:
1.   Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis ikan bilis, diikuti dengan bawang besar, bawang putih, dan cili merah sehingga layu.
2.   Masukkan kacang buncis dan sos tiram, dan kacau.  Selang satu minit masukkan cendawan tiram, fucuk, serbuk lada hitam, gula dan garam.  Kaup balikkan sehingga semua bahan masak dan mesra.  Jangan sampai sayur layu.
3.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan ketika masih panas lagi bersama nasi.


Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang