Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 April 2013

Ikan Masak Lemak Kuning (Tumis)




Ikan Masak Lemak Kuning, adalah menu tengah hari tadi.  Resepi ini adalah warisan daripada nenda Kak Noor dan merupakan sajian orang Utara.   Kebiasaannya bila kita masak ikan masak lemak kuning,  kita akan gunakan cara merebus sahaja seperti masak lemak cili padi.  Kunyit pula kita gunakan kunyit hidup.  Tetapi ikan masak lemak kuning yang ingin Kak Noor kongsikan lain sedikit cara memasaknya.  Selain menggunakan serbuk kunyit menggantikan kunyit hidup, cara memasaknya pula kita gunakan`method' menumis.

Memandangkan hanya ikan selar sahaja yang ada di dalam peti sejuk, maka Kak Noor hanya gunakan ikan yang sedia ada.  Tetapi lebih sedap kalau dapat ikan tenggiri dan ikan tongkol.  Digoreng dulu garing-garing barulah sedap sebelum dimasukkan ke dalam kuah.




Sememangnya sejak kecil lagi, bila nenda dan bonda masak ikan masak lemak kuning, mereka gunakan cara menumis.  Bila Kak Noor dah berhijrah ke Kuala Lumpur baru Kak Noor didedahkan kepada method cara merebus.

Anyway bagi sesiapa yang tidak pernah lagi merasa masakan ikan masak lemak kuning cara menumis, bolehlah cuba resepi seperti di bawah.  Tetapi ingat, gunakan minyak yang sedikit sahaja untuk menumis supaya tidak terbit minyak di permukaan kuah.

Selamat mencuba...



Bahan-bahannya: 
3 ekor ikan selar besar – seekor dipotong dua dan digaramkunyitkan
Sedikit kunyit serbuk
1 cawan santan kelapa sawit – dicampur dengan tiga cawan air
2 – 3 keping asam gelugor (asam keping)
1 biji timun Jepun, dipotong memanjang – opsyen
1 – 2 biji cili merah
Gula, garam dan serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ikan

Bahan-bahan tumis: 
2 sudu besar minyak
1 biji bawang besar, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
2 inci halia, dihiris memanjang
2 batang serai, dititik

Cara-cara memasak: 
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali dan goreng ikan. Ketepikan.
2. Panaskan dua sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan serai sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
3. Kemudian masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Kaup balikkan seketika.
4. Selepas itu masukkan santan, serbuk kunyit, dan asam gelugor. Kacau rata. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
5. Masak sehingga kuah mendidih. Akhir sekali masukkan timun dan cili merah.
6. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

28 April 2013

Kari Beriani Udang

Assalamualaikum...


Tenggelam, timbul, tenggelam timbul.  Kadang-kadang sehari tu boleh masukkan dua tiga resepi tetapi kekadang waktu dah sampai dua tiga minggu, satu resepi pun tak dapat nak dimasukkan.  Semuanya disebabkan komitmen yang lain. Kalau dah mengadap komputer  mahu dua hingga jam baru siap sesuatu N3  tu. Kadang-kadang sampai 4 jam bila dah teruja tengok masakan di blog kekawan yang lain.  Kalau dah `tekun' di hadapan komputer, alamatnya kerja-kerja rumah yang lain terbengkalailah seketika.  Tak pelah... malam nanti kita bereskan.  






Ok,  hari ini Kak Noor nak syer resepi olahan Kak Noor sendiri.  Kebiasaannya resepi olahan ini adalah dari kreativiti kita sendiri setelah melihat resepi-resepi yang sedia ada di blog kekawan, majalah dan buku resepi. Dari resepi yang sedia ada, kita jadikan panduan untuk menghasilkan satu resepi baharu dan enak dimakan dengan menggabungkan bahan-bahan yang bersesuaian.






Pernah masak kari udang? Tentu semua pernahkan! Kebiasaannya kalau kita masak kari udang, bahan rempah utama yang digunakan tentulah rempah kari udang/daging.  Tetapi hari ini Kak Noor cuba campurkan rempah beriani di samping rempah-rempah lain untuk menerbitkan rasa kelainan pada resepi kari udang ini.  Untuk rempah kari dan rempah beriani,  Kak Noor gunakan jenama favourite iaitu BABAS.  Semasa memasak tadi, ligat juga kepala otak ini berfikir  apakah  nama yang sesuai yang patut diberi kepada resepi ini.  Memandangkan ada campuran rempah beriani, Kak Noor ambil jalan mudah dengan menamakan  nya Kari Beriani Udang.  Oklah  tu kan!  Penat dah berfikir tadi.




Ternyata cubaan resepi ini berbaloi.  Husband dah makan tadi, dan katanya sedap.  Resepi ini Kak Noor buat berkuah, sebab anak-anak Kak Noor suka lauk yang berkuah.  Tapi kalau nak kuah lebih pekat, biarkan kuah mendidih di atas dapur sehingga pekat sedikit, baru dimasukkan udang.  

Jom kita tengok resepinya.


Apa kata kalau kita hidangkan kari beriani udang ini bersama nasi panas,  ikan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman.   Menu yang ringkas tetapi membuka selera......


Bahan-bahannya:
300 gram udang saiz XL - dibuang kepala dan ekor sahaja
1 biji tomato - dipotong kiub
2 biji cili hijau
1/2 santan kelapa sawit - dicampur dengan 2 cawan air
Gula dan garam.
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan A: Dikisar (diblend)
2 ulas bawang putih
2 biji bawang besar saiz sederhana (jika saiz besar, gula 1 biji sahaja)
4 sudu besar rempah kari daging BABAS
1 sudu besar rempah beriani BABAS    
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk cili
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar

Bahan-bahan B: Ditumis:
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari
3 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris memanjang
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Cara-cara memasaknya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.    Masukkan serai dahulu, kemudian bahan-bahan B yang lain.  Tumis sehingga naik bau dan bawang bertukar kekuningan.  Kemudian masukkan bahan-bahan A.  Tutup periuk dan masak sehingga terbit minyak/rempah garing.
2.  Selepas rempah garing, bolehlah dituangkan sedikit air lebih kurang 1/2 cawan dan kacau rata.  Masukkan tomato yang telah dipotong kiub, kacau dan biarkan masak lebih kurang 2 minit.
3.  Kemudian masukkan santan, sedikit gula dan garam.  Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
4.  Selepas itu masukkan udang dan masak sehingga kulit udang bertukar kekuningan.  Tutup api dan masukkan cili hijau.
5.  Sedia dihidangkan.

Cubalah, nanti bagi komen ye!  Terima kasih.

21 April 2013

Sambal Tumis Sotong Petai Padi



Resepi ini Kak Noor `cedok' dari blog CMG.  Cuma dalam resepi ini Kak Noor guna sotong biasa, CMG guna sotong kembang.  Kebiasaannya Kak Noor guna resepi `warisan' untuk memasak sambal tumis sotong petai ini.  Tetapi bila tengok resepi CMG ini, teruja juga untuk mencubanya.  Ada tambahan buah keras dan halia.  Mungkin kedua-dua bahan ini yang menimbulkan citarasa berlainan daripada sambal tumis yang biasa Kak Noor masak.  Petai pula Kak Noor beli yang telah siap dikopek (fresh punya le...) di pasar malam Jelatek, berdekatan dengan LRT Jelatek.   Katanya petai kampung.  Kalau guna petai kampung bertambah sedaplah sambal tumis ini. Petai kampung juga dipanggil dengan nama petai padi.


Petai padi (gambar disalin dari blog Firhan Eidzuddi).   Memang segar petai padi ni kan!

Sedikit maklumat mengenai petai padi ini yang ingin Kak Noor kongsi bersama.  Mkalumat ini Kak Noor perolehi dari blog Firhan Eidzuddi .  Petai padi adalah petai yang paling digemari kerana bijinya tidak terlalu pahit dan kelat. Disebabkan itu ia sering digunakan di dalam masakan atau sebagai ulaman dalam kalangan masyarakat di negara ini. Secara umumnya biji petai mengandungi kalsium, fosforus, zat besi serta kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C. Khasiat petai lebih dilihat sebagai ulam-ulaman, seperti juga ulam raja, pegaga, jering dan kerdas yang lazim dimakan segar dan mentah oleh masyarakat di negara ini.  Kandungan klorofil di dalamnya berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit di samping memastikan kesegaran tubuh badan dan memperbaiki sistem penghadaman si pengamalnya.  Bagaimanapun, ada juga pendapat yang menyatakan kulit akar petai mampu mengubati penyakit diabetes manakala pucuknya pula mampu menyejukkan badan yang panas




Menurut hubby Kak Noor, kebiasaannya petai yang dijual di pasar raya adalah petai siam.  Petai siam ini kurang sikit sedapnya.  Rasanya tak lemak manis macam petai  padi.   Kak Noor pun tak tahu nak bezakan petai siam ngan petai kampung.  Hanya Yang Arif hubby Kak Noor yang dapat membezakan `wajah' petai siam dengan petai padi.  Apapun, hubby Kak Noor memang peminat setia ulam petai.  Kalau makan nasi tak ada lauk pun tak apa, yang penting mesti ada petai untuk dijadikan ulam, walaupun tak ada sambal belacan.  Boleh bertambah nasi you all....  Tabik kepada hubby Kak Noor ni!





Resepi asal : Che Mat Gebu (Sambal Tumis Sotong Petai)

SAMBAL TUMIS SOTONG PETAI PADI

Bahan-bahannya :
600 gram sotong basah - dipotong gegelang
100 gram petai padi yang telah siap dikopek
1 biji bawang besar, potong kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
2 senduk nasi penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar halus:
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 biji buah keras, dihiris
1/2 inci belacan

Cara membuatnya:
1.  Sotong disiang dan dibersihkan.  Kemudian dipotong gegelang (lebih kurang 2 cm).  Ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
3.  Tambah petai dan sotong, kacau rata dan masak sekejap. Perasakan dengan garam secukupnya dan  gula. Akhir sekali masukkan bawang hiris, kacau dan masak hingga bawang layu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk-lauk lain.

14 April 2013

Bubur Jagung dan Keledek Merah



Bubur ini request from my `youngest' sejak seminggu yang lalu.  Petang tadi baru tertunai hajatnya.  Bubur ini Kak Noor masak pekat sedikit dengan menambahkan lebih banyak sagu. Untuk melemakkannya lagi seperti biasa untuk apa sahaja bubur, Kak Noor lebih gemar menggunakan santan sawit KHALIS.  Santannya lebih pekat daripada santan kelapa biasa.  Anak-anakpun suka bila masak guna santan sawit KHALIS buat bubur.  Dia orang kata kuahnya macam rasa susu; lemak berkrim.  Kalau dah cuba baru tahu rahsia keenakannya.



Rasanya kalau letak aiskrim jagung di atasnya pun sedapkan! 


Bahan-bahannya:
1 biji ubi keledek merah (lebih kurang 250 gram)
500 gram jagung sejuk beku (boleh dibeli di pasar raya)
1/2 cawan biji sagu putih  - direndam selama 20 minit dan ditoskan.
1 cawan gula putih        }
1 cawan gula perang     } dimasak dengan 2 cawan air
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan disimpul
½ cawan biji sagu putih
2 cawan santan kelapa sawit (dicampur dengan 2 cawan air)

Cara-cara memasaknya:
1. Masukkan gula putih, gula perang bersama 2 cawan air dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga gula larut dan mendidih.
2. Kemudian masukkan ubi keledek yang telah dipotong dan masak sehingga empuk.  
3. Masukkan pula sagu bersama 1 cawan air dan kacau sehingga kembang.
4. Seterusnya masukkan santan, garam dan jagung.  Kacau rata.  Masak sehingga kuah mendidih.
5.  Tutup api, dan bolehlah dihidangkan setelah bubur sejuk. 

7 April 2013

Puding Bandung Cincau




Bahan-bahannya:
30gm agar-agar strip
1.5 liter air
300 gm cincau - dipotong kiub atau dicincang.
2 cawan gula
1 tin susu cair (400 ml)
Sedikit pewarna sirap ros
Secubit garam

Cara-cara membuatnya:
1.  Rendam agar-agar seketika (lebih kurang 10 minit) sehingga ia lembut.   Toskan.
2.  Masukkan agar-agar di dalam periuk bersama air dan masak sehingga agar-agar betul-betul larut.  Kemudian tapiskan.
3.  Tuangkan kembali larutan agar-agar di dalam periuk.  Masukkan gula dan masak sehingga ia larut.
4.  Selepas itu masukkan pewarna sirap ros secukupnya, susu cair dan secubit garam.   Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
5.  Angkat periuk dan ketepikan seketika (lebih kurang 5 minit).
6.  Gunakan acuan ikut citarasa anda. Kalau guna acuan yang kecil, boleh letakkan dahulu cincau di dasar acuan, kemudian baru dituang larutan puding tadi. Kalau guna acuan besar, tuangkan larutan puding di dalam acuan, kemudian masukkan perlahan-lahan cincau.
7.  Biarkan sehingga hilang kepanasan, baru dimasukkan dalam peti sejuk.


Ini pula menggunakan acuan besar.


Boleh juga menggunakan acuan kecil.  Lebih comel kejadiannya....


Inilah hasilnya menggunakan acuan kecil di atas tadi.  Kalau tidak mahu dikeluarkan daripada acuan, boleh disudu terus daripada acuan dan masuk ke mulut.  

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang