Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

21 Jun 2013

Kari Daging Kashmir

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT TENGAH HARI...


Dah makan tengah hari ke belum?  Anyway Kak Noor nak ucapkan selamat menjamu selera bersama keluarga.  Hari ini hari Sabtu, peluang hari kita berkumpul bersama ahli keluarga tersayang untuk makan bersama.  Bila dah ramai, baru berselera nak makan.  Kalau tidak makan sendiri-sendiri aje, siapa lapar ambillah sendiri kat dapur tu, tak ade hidang-hidang.

Memandangkan hari ini cuti bekerja, dapatlah Kak Noor masuk ke dapur untuk menyediakan juadah yang memerlukan kita berada lebih `lama' di dapur.   Mana taknya, nak tunggu daging empuk bukannya sekejap,  ambil masa lebih daripada 1/2 jam.  Memang kita boleh guna slow cooker atau pressure cooker, atau rebus dulu daging supaya empuk.  Tetapi untuk masakan ini, Kak Noor lebih suka menggunakan teknik perapan, supaya rasa rempah meresap masuk di dalam daging. Kemudian bila ia mereneh, air daging akan keluar dan memaniskan masakan itu. 





Menu yang hendak dikongsi bersama ialah Kari Daging Kashmir (gambar kat atas tu le.... timun tu husband Kak Noor yang tolong potongkan).  Hari itu Kak Noor telah cuba masak Kari Ayam Kashmir, dan Alhamdulillah sedap rasanya.  Menu ini  dipanjangkan kepada bonda Kak Noor, tetapi beliau mengolahnya menggunakan daging.  Katanya sedap, 1kg. daging sekali makan aje.... licin!    So hari ini giliran Kak Noor mencubanya pula.  Betul sedap ke?  Kalau Kak Noor kata sedap mungkin tak semua orang akan percaya.  Apapun boleh cuba masak menggunakan resepi ini dan rasanya sendiri.  Lepas itu komen kat Kak Noor k!

Jom kita selongkar bahan-bahan yang kita perlukan untuk menyediakan masakan ini. 


Bahan-bahan A:
600 gram daging lembu tempatan (bahagian isi) - dipotong 1½ inci lebar dan ¼ cm tebal)
2 biji ubi kentang – dibuang kulit dan dipotong besar
1 biji buah tomato – dipotong dadu
1 keping asam gelugor (asam keping)
Garam dan gula secukup rasa, serbuk perasa (opsyen)
Air secukupnya


Bahan-bahan B (untuk pes):
4 sudu besar serbuk kari daging Babas
2 sudu besar serbuk briyani marsala Alagappa's
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar gula perang
(Satukan bahan-bahan di atas dan dicampur dengan air secukupnya untuk dijadikan pes. Perap lebih kurang 30 minit)


Bahan-bahan C (untuk ditumis):
1 biji bawang besar – dihiris
1 biji bawang besar )
4 ulas bawang putih ) disatukan dan diblend kasar
2 inci halia               )
2 batang serai – dititik
1½ inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
Daun kari
Minyak secukupnya untuk menumis


Cara-cara memasaknya:
1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, daun kari, dan serai sehingga naik bau. Kemudian masukkan bawang besar + bawang putih + halia dan tumis sehingga bawang kekuningan.
2. Selepas itu masukkan daging yang telah diperap bersama rempah tadi dan kacau rata. Masukkan air secukupnya, tudung periuk, dan masak sehingga daging empuk. Gunakan api yang sederhana. Sekiranya air kering dan daging masih belum empuk, bolehlah ditambah air lagi dan masak lagi sehingga ia empuk.
3. Selepas daging empuk, bolehlah diasukkan ubi kentang dan buah tomato yang dipotong dadu, asam gelugor, dan kacau seketika. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa sekiranya suka. Sekiranya mahukan kari yang berkuah, bolehlah ditambah air lagi. Perlu diingat bahawa masakan ini tidak menggunakan santan. Tutup periuk kembali dan masak sehingga ubi kentang empuk.
4. Setelah ubi kentang empuk dan rasanya pun telah menepati citarasa, bolehlah ditutup api. Masukkan cili hijau dan tutup periuk.


Bahan-bahan B digaul bersama daging dan diperap selama 30 minit.

Antara bahan-bahan yang digunakan  untuk menumis.
 Semasa menumis aromanya memang membangkitkan selera


Bawang besar, antara bahan penting yang digunakan untuk menyedapkan masakan
terutamanya masakan berempah.  Lebih banyak bawang digunakan, lebih
sedap masakan yang dihasilkan.


13 Jun 2013

Sup Ayam Rempah Soto

Assalamualaikum & Selamat Pagi.



Dah duduk depan komputer ni, sempatlah Kak Noor muatkan resepi menu yang Kak Noor masak pagi tadi.  Sempat masak sebelum pergi kerja.  Tetapi menunya ringkas aje lah, taklah istimewa sangat.  Maklumlah nak mengejar masa.  Just nak kongsi dengan rakan-rakan resepi sup ayam rempah soto ini.  Kak Noor gunakan apa yang `terada' aje.

Untuk menambahkan aroma sup ayam ini Kak Noor gunakan rempah soto.  Taklah rasa `plain' sangat sup ini. Kak Noor apply teknik perapan untuk daging ayam ini.  Lebih sedap kalau dapat perapkan semalaman di dalam peti sejuk.  Masukkan daging ayam di dalam beg zipper dan letakkan di dalam peti ais.  Jangan letak di bahagian sejuk beku, ditakuti esok tak sempat nak defrost.  Apa-apapun kalau nak masak menu ini mestilah plan dari malam lagi.

Ok tak yah nak ceghite panjang-panjang.  Gambar telah dipaparkan di atas.  Menunya?  Jom tengok kat bawah.

Bahan-bahannya:
10 - 12  ketul ayam (saiz ayam dipotong 16) - diambil bahagian yang ada tulang
3 sudu besar serbuk rempah soto                    
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar   
1 bunjut sup tulang
1 biji lobak merah - dipotong bulat
2 biji ubi kentang - dipotong kecil
1/2  kiub ayam maggi
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Daun sup/daun bawang
Bawang goreng

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang halus
2 inci halia - diketuk
2 batang serai - dititik
2 sudu besar minyak jagung untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.   Gaul ketulan ayam bersama serbuk rempah soto dan serbuk lada hitam kasar dan diperap selama 1 jam (minimum).   Lebih elok perapannya kalau semalaman di dalam peti sejuk.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis serai dan halia sehingga wangi.  Kemudian masukkan bawang putih dan bawang besar dan tumis sehingga kekuningan.
2.  Selepas itu masukkan daging ayam yang telah diperap.   Kacau rata dan masukkan dua cawan air,  bunjut sup dan kiub ayam maggi.  Tutup periuk.  Perlahan api dan gunakan kaedah mereneh sehingga ayam empuk.
3.  Kemudian bolehlah ditambahkan air lagi, bergantung kepada banyaknya sup yang kita mahu.  Masukkan ubi kentang dan garam secukup rasa.  Masak sehingga ubi kentang empuk dan sup mendidih.
4.  Akhir sekali masukkan lobak merah.   Tutup api dan tutup periuk.
5.  Semasa menghidang bolehlah ditaburkan daun sup/daun bawang dan bawang goreng.

9 Jun 2013

Paprik Udang Tom Yam

Sebenarnya teramat kekeringan idea nak masak apa hari ini.  Pelbagai resepi berunsur kari telah dipersembahkan minggu lalu.  Jemu juga kalau dah kerap makan makanan berempah ini.  Nanti nak tengok `peti saji misteri' dahulu.  Apa yang kita boleh masak hari ini ye!   Oh.. udang.    Tapi udangnya tidaklah bersaiz XXL yang harganya sehingga mencecah RM40++  sekilo tu...  Yang biasa-biasa aje....

Sekarang ini kita cari menu menggunakan udang  yang boleh membuka selera, yang ada rasa pedas, masam, dan manis.  Apa kata kalau masak paprik.   Masakan begini memang faveret anak-anak Kak Noor, lebih-lebih lagi yang bongsu perempaun.  Gemar sangat masakan paprik.  Tapi yang paling digemarinya paprik sotong.  Diratahnya begitu sahaja.  Mungkin disebabkan semasa mengandung anak yang bongsu ini selera Kak Noor lebih cenderung kepada masakan ala Thai, especially Tom Yam dan paprik.




Tentu dah boleh teka apa menu yang Kak Noor nak persembahkan.  Tentulah Paprik Udang.  Tak kisahlah kalau guna udang kecil sekalipun.  Pokoknya ia udang dan ada rasa udang kan! Paprik Udang ini Kak Noor olahkannya sedikit dengan menambahkan pes tom yam.  Dapatlah dinamakan resepi ini Paprik Udang Tom Yam, dan dapatlah dirasai kelainan rasanya.  Kuahnya pula Kak Noor lebihkan, sebab anak-anak suka cedok kuahnya dan gaul dengan nasi.  So bagi sesiapa yang tidak suka yang  berkuah, bolehlah dididihkan kuahnya sehingga pekat.  Enak sangat bila dimakan dengan nasi panas.

Inilah resepinya.  Tunggu apa lagi, jomlah pegi masak.


Bahan-bahannya:
1/2 kg. udang saiz sederhana, dibuang kepala dan digunting ekornya.
4 - 5 keping daun limau purut
1/2 biji lada benggala (hijau) - dipotong dadu
1/2 biji lada benggala (kuning) - dipotong dadu
1/2 biji lada benggala (merah) - dipotong dadu
Kacang panjang - dipotong 1 inci panjang
1 biji bawang besar - dipotong 4 dan dibuka kelopaknya.
1 biji tomato saiz kecil - dipotong dadu
1 sudu besar perahan jus lemon
Air secukupnya untuk kuah
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Minyak untuk menggoreng udang

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dipotong bulat
4 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
5  - 6 cili padi - diketuk
2 batang serai  - dititik

Bahan-bahan Sos:
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili thai
1/2  sudu besar sos sotobng/ikan - Kak Noor guna sos ikan
2 sudu besar pes tom yam Thai
1 sudu besar kicap manis - Kak Noor guna jenama kicap ABC
(Semuanya disatukan dibancuh dengan sedikit air)

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak.  Goreng udang sehingga kulitnya kekuningan dan angkat.  Ketepikan.
2.  Gunakan 2 sudu besar minyak gorengan udang untuk menumis.   Tumis bawang besar, bawang putih, cili padi dan serai sehingga naik baunya.  Masukkan udang yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
3.  Masukkan semua jenis lada benggala, kacang panjang, bawang besar (kelopaknya),  bahan sos dan juga air. Bagi yang suka berkuah, boleh dilebihkan air.  Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
4.  Masukkan daun limau purut dan gula.  Rasa kuahnya.  Sekiranya kurang masin, bolehlah ditambahkan sedikit garam lagi.  (Haruslah diingat bahawa sos ikan atau sos sotong yang digunakan telah mempunyai rasa masin)
5.  Akhir sekali masukkan jus perahan lemon dan kacau rata.  Semasa menghidang bolehlah dihiaskan denan daun sup/daun bawang.

2 Jun 2013

Rendang Ayam Berempah

Assalamualaikum dan Selamat Berhujung Minggu.

Telah agak lama Kak Noor tak muatkan resepi terbaharu dalam blog SDB.  Tetapi itu bukan bermakna dapur Kak Noor tak berasap tau!  Cuma Kak Noor rasa tak perlu dimasukkan resepi yang sama dalam blog ini.    Biasalah anak-anak Kak Noor, kena masak apa yang mereka suka makan sahaja.  Tak kisahlah walaupun resepi tu minggu lalu dah masak, tetapi minggu ini masak resepi yang sama lagi.  Yang penting masakan itu faveret dia orang.   Kalau cuba masak sesuatu resepi yang baharu, kalau tak kena dengan tekak mereka, alamatnya tak terusiklah masakan tu.  Kadang-kadang sampai dua hari tak `laku' dan asyik panaskan sahaja.


Boleh dimakan dengan nasi putih, nasi minyak, nasi tomato, nasi beriani, ketupat, dan juga lemang.

So... hari ini Kak Noor masak Rendang Ayam Berempah.  Cara masakan rendang ayam berempah ini ala-ala Rendang Ayam Tok yang pernah Kak Noor abadikan dalam blog ini (cuma tak ada gambar).   Cuma bagi resepi rendang ini Kak Noor olahkan sedikit untuk mendapatkan citarasa berlainan. Rendangnya pula tidaklah pekat, masih boleh diceduk kuahnya.

Eloklah, anak lelaki Kak Noor pun nak balik ke IKBN petang ni.  Bolehlah Kak Noor bekalkan kepadanya Rendang Ayam Berempah ini.  Memang kalau balik bercuti, tak pernah mis bawa balik bekalan makanan daripada rumah.   Sekali sekala dapat makan masakan ibu....

Malas Kak Noor nak berceloteh panjang.  Banyak tugas sedang menanti.  Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya:
1 ½ kg ketul ayam (saiz ketulan ayam yang dibelah 16)
2 cawan santan sawit KHALIS (Boleh juga guna pati santan kelapa biasa)
200 gm kerisik
1 keping asam keping (asam gelugor)
Beberapa helai daun limau purut
4 – 5 biji cili padi merah, dipatahkan (opsyen)
3 sudu besar gula merah
Garam secukup rasa

Bahan-bahan No. 2 
3 sudu besar serbuk rempah kari daging
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk cili halus
Air suam secukupnya
(Bahan-bahan no. 2 disatukan dan dibancuh dengan air suam, dijadikan pes)

Bahan-bahan No.3 
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 batang serai
3 cm lengkuas
3 cm kunyit hidup
5 cm halia
Air suam secukupnya
(Bahan-bahan No. 3 disatukan dan diblend halus)

Bahan-bahan ditumis:
1 senduk nasi minyak untuk menumis
2 batang serai – diketuk
2 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang

Penyediaannya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali besar. Tumis serai, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan No. 2 yang telah dijadikan pes. Kacau rata dan biarkan ia masak seketika (selama 5 minit) sehingga naik bau.
3. Masukkan pula bahan-bahan No. 3 yang telah dikisar halus dan dikacau rata. Masak sehingga terbit minyak.
4. Setelah terbit minyak bolehlah dimasukkan ayam. Kaup balikkan ayam dengan adunan rempah tadi sehingga bersalut. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah dimasukkan 1 cawan air. Perlahan api, dan biarkan ayam mereneh selama lebih kurang 10 minit.
5. Kemudian masukkan santan, kerisik, gula merah, garam secukup rasa, asam keping, daun limau purut dan cili padi merah. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk dan kuah agak pekat. Gunakan api yang sederhana dan kaedah mereneh.
6. Sekiranya suka rendang berkuah, janganlah masak sehingga kering. Sebaiknya setelah ayam telah empuk, bolehlah diangkat.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang