Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Julai 2013

Sambal Tumis Kerang Kerisik



Bahan-bahannya:
600 gram isi kerang rebus
2 biji bawang besar - dihiris gegelang
1 batang serai - dititik/diketuk
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar pati santan
2 keping asam gelugor (asam keping)
2 helai daun limau purut - dicarikkan
2 sudu besar kerisik
2 sudu besar gula perang
Gula putih secukupnya (sebagai tambahan kepada gula perang)
Garam dan serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering kisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci panjang kunyit hidup
1 batang serai
1 inci halia
1/2 inci belacan

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis serai dan bahan-bahan kisar sehingga garing/terbit minyak.
2.  Masukkan sedikit air, gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa dan asam keping.  Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
3.  Kemudian masukkan kerang diikuti dengan pati santan dan kacau.
4.  Akhir sekali masukkan kerisik, bawang besar dan daun limau purut.  Kacau sebati dan perlahankan api.  Biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga kuah menjadi sedikit pekat dan bersalut dengan kerang.
5.  Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Ikan Tenggiri Bunga, Masak Asam Pedas Tumis



Bahan-bahannya:
5 - 6 ketul ikan tenggiri bunga
2 batang serai - dititik
Secekak daun kesum - anggaran RM1.00
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua
1 biji tomato - dibelah 4
3 - 4 helai daun limau purut
1 camca besar pes asam jawa (jenama Adabi)
3 senduk nasi cili kering kisar
1 sudu besar gula perang - Kak Noor tak guna gula putih
Garam secukup rasa
Serbuk perasa - opsyen
Minyak secukupnya untuk menumis (Jangan gunakan minyak yang banyak)

Bahan-bahan tumis:
1 labu bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
1 sudu teh jintan kasar
1 sudu teh jintan halus

Bahan-bahan dikisar halus (menggunakan blender):
1 labu bawang besar saiz besar
4 ulas bawang putih
4 biji buah keras
3/4  inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 camca teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan tumis dan serai, tumis sehingga harum.  Tambah bahan kisar halus dan masak sekejap.  Masukkan cili kering kisar dan masak hingga garing dan terbit minyak.
3.  Masukkan air secukupnya yang telah dibancuh dengan pati asam jawa (banyaknya air bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki).  Biarkan kuah mendidih.
4.  Kemudian masukkan  ikan, daun kesom,  bunga kantan, dan daun limau purut. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
5.  Masak sehingga kuah mendidih.  Jika rasa dah okay, bolehlah ditutup api.  Masukkan buah tomato dan tutup periuk.

26 Julai 2013

Daging Masak Lemak Cili Api dengan Rebung Madu, menggunakan Santan Sawit KHALIS



Bahan-bahannya:
500 gm daging cincang
300 gm rebung madu -  boleh beli di pasar raya yang siap paket
3 cawan santan sawit KHALIS - dicampur dengan 2 cawan air
2 batang serai - dititik
1 biji tomato - dibelah 4 - opsyen
Garam secukup rasa
Serbuk perasa - opsyen

Bahan-bahan dikisar:
2 inci kunyit hidup
1 biji bawang besar
10 - 15  biji cili padi merah
Air secukupnya.

Cara-cara memasak:
1.  Rebung madu dibasuh dan dicelurkan terlebih dahulu.  Kemudian ditoskan sehingga sejuk dan dipotong bulat.  Ketepikan.  (Rebung madu ini lembut)
2.  Kisar kunyit hidup, bawang besar dan cili padi sehingga lumat.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar bersama serai di dalam periuk.  Masukkan daging dan tambah air.  Masak sehingga daging empuk. Sekiranya air kering dan daging masih belum empuk lagi, boleh tambahkan air.  Ulang proses ini sehingga daging betul-betul empuk.
3.  Selepas daging empuk, masukkan santan.  Perasakan dengan garam  Kemudian masukkan rebung madu yang telah dicelur tadi.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih (pastikan senantiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak).  Tutup api dan masukan tomato.
4.   Masak lemak ini agak pekat kerana menggunakan santan sawit KHALIS.


Maka terhasillah NESTIES COOKIES

Assalamualaikum...

Hari ini izinkan Kak Noor berceloteh sikit.  Dah lama tak berceloteh kan... !  So... dalam minggu ini Kak Noor agak sibuk juga kerana mengejar masa untuk menyiapkan biskut yang ditempah oleh pejabat sebagai ole-ole Hari Raya untuk staf barisan hadapan. Tidaklah banyak tempahannya, tetapi boleh tahan juga kepenatannya. 

Sebenarnya selama ini Kak Noor tidak pernah  dan tidak berani mengambil apa-apa tempahan biskut raya. Biskut raya yang dibuat adalah untuk diri sendiri sahaja. Kalau tak silap Kak Noor dah empat atau lima kali raya, Kak Noor `pencen' menyediakan biskut raya disebabkan masa yang tidak berapa mengizinkan. Masa tu anak-anak masih kecil dan lebih memerlukan perhatian kita. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dibuat pada setiap hari sekembalinya dari kerja. Biskut raya semuanya pakai order sahaja daripada rakan-rakan sepejabat ataupun beli di pasar raya.  Tetapi sekarang apabila anak-anak semua telah meningkat dewasa dan boleh berdikari dan menjaga diri, barulah ada ruang dan masa. Tambahan pula, tahun ini anak sulung perempuan Kak Noor  telah tamat pengajiannya pada bulan Jun yang lalu setelah empat tahun di IPTA. Bolehlah membantu Kak Noor membuat kuih raya tahun ini. Kalau ikutkan seorang diri yang membuatnya, memang tidak berdaya rasanya. Apapun bila ada semangat orang sebelah, kita yang lemah pun akan bersemangat semula kan!


Inilah wajah Nesties Cookies

Biskut ini diolah oleh Kak Noor dan anak perempuan setelah menempuh `try and error'. Sebagai panduan, bahan-bahan yang digunakan adalah berpandukan kepada pelbagai resepi biskut sama ada di internet ataupun dalam majalah. Bukan mudah nak dapatkan biskut yang `crispy' dan sedap. Terdapat resepi yang kita ikut bulat-bulat, tetapi bila kita buat, tidak sempurna kejadiannya seperti dalam gambar. Bila ini berlaku, rasa `frust' tu memanglah wujud, sebab masa yang diluangkan tidak mendatangkan hasil yang diinginkan. Tetapi dari satu segi, kita perlu menerimanya sebagai `cubaan' kerana practices make perfect.

`Penamaan' biskut ini adalah idea daripada anak perempuan Kak Noor berdasarkan bahan-bahan yang digunakan. `Nesties Cookies', sedapkan nama tu! Mesti tak sabar nak merasanya. Biskut ini mengandungi gabungan nestum, coklat smarties, badam, dan susu lemak berkrim. Paling penting ialah penggunaan butter dalam biskut ini. Kak Noor telah cuba menggunakan margerin biasa tetapi hasilnya tidaklah sesedap kita menggunakan butter. Kita sedia maklum bahawa harga butter adalah lebih mahal daripada margerin biasa. Yang paling murah Kak Noor dapat beli Buttercup dengan harga promosi RM3.29 sebuku @250gm di pasar raya. Ada juga kedai runcit biasa yang menjualnya sehingga mencecah harga RM4.00. Apapun terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan, bergantung kepada bajet yang kita mampu.


On the way to the oven...
Dah masuk pun dalam oven....  tunggu sampai masak.  Suhu oven 160C, bakar 20 - 25 minit. 

24 Julai 2013

Tau Miu (Taugeh Hijau) Goreng



Bahan-bahannya:
1 paket tau miu
2 ulas bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – ketuk
1 biji cili merah – dihiris
3 – 4 bebola ikan sayur panjang – dihiris serong
4 sudu besar sos tiram – dibancuh dengan sedikit air
Gula dan garam secukup rasa

Cara-cara memasak:
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, cili merah dan bebola ikan. Bila bawang telah kekuningan dan bebola ikan masak, masukkan bancuhan sos tiram. Kacau rata dan perasakan dengan gula dan garam. Akhir sekali masukkan tau miu, kacau dan kaup balikkan. Bila sayur telah masak bolehlah ditutup api (jangan goreng sampai layu).



23 Julai 2013

SAYUR CAMPUR SOS TIRAM



Bahan-bahannya:
Kacang buncis
Lobak merah (Kak Noor guna baby carrot)
Cendawan tiram kelabu
Kacang sepat
Putik jagung
Bebola ikan sayur panjang – dipotong serong
¼ biji lada benggala – warna kuning, dihiris memanjang
¼ biji lada benggala – warna hijau, dihiris memanjang
3 ulas bawang kecil - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
3 biji cili padi merah – diketuk
4 sudu sos tiram ) disatukan dalam bekas dan
1 sudu kecil serbuk lada hitam ) dibancuh dengan air
2 sudu besar tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1. Kuantiti setiap jenis sayur-sayuran yang digunakan adalah bergantung kepada keperluan hidangan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang kecil, bawang putih, cili padi merah sehingga naik bau. Kemudian masukkan bebola ikan. Tumis sehingga bebola ikan masak.
3. Masukkan sos tiram dan serbuk lada hitam yang telah dibancuh dengan air. Kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah mendidih. Sekiranya mahukan kuah yang lebih, bolehlah ditambah air lagi.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan semua sayur-sayuran dan lada benggala, diikuti dengan tepung jagung. Kacau rata.
5. Bila sayur-sayuran telah masak, bolehlah ditutup api.




Inilah bebola ikan sayur panjang

21 Julai 2013

PUCUK MANIS MASAK LEMAK PUTIH



Bahan-bahannya:
2 ikat pucuk manis (diambil daunnya)
Segenggam udang kering
2 cawan santan sawit KHALIS – dicampur dengan 4 cawan air
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
¼ biji cili benggala kuning – dihiris memanjang
3 - 4 cili padi merah
Gula, garam dan serbuk perasa secukupnya

Cara memasaknya:

Satukan semua bahan di atas  di dalam periuk.  Masak sehingga mendidih.  Selalu dikacau supaya santan tidak pecah.   Bila cukup masak, barulah diangkat untuk dihidangkan.

KACANG BUNCIS GORENG TAUHU




Bahan-bahannya:
15 batang kacang buncis - dipotong serong
1/4 biji cili benggala hijau - dipotong memanjang
2 biji tauhu - digoreng dahulu, dipotong kecil
2 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sudu besar sos tiram + 1 sudu besar air
1 genggam udang kering - direndam, dibasuh dan ditoskan
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara memasaknya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang merah, bawang putih dan udang kering sehingga naik bau.  Masukkan sos tiram, garam, dan gula, kacau rata. Selepas itu bolehlah dimasukkan kacang buncis, tauhu goreng dan cili benggala.  Kaupbalikkan dan goreng sehingga sayur masak, tetapi jangan sampai sayur layu.  Tutup api dan sedia dihidangkan.



19 Julai 2013

Kari Ikan Tenggiri Bunga.

Assalamualaikum...

So seperti biasa ibu-ibu di luar sana mesti tengah fikir nak masak apa hari ini.  Kalau masih tak pasti apakah yang hendak dimasak, jom kita layari internet.  Banyak laman blog yang memaparkan pelbagai masakan untuk kita buat pilihan.   Kak Noor pun kerap juga singgah di blog rakan-rakan  lain untuk mencuba resepi-resepi yang diketengahkan dalam blog mereka untuk mencari kelainan citarasa dalam setiap sajian yang dihidangkan.





Menu yang hendak dikongsi bersama ialah Kari Ikan Tenggiri Bunga. Menu ini merupakan juadah berpuasa hari ke-8 tetapi tidak sempat untuk dimuatkan dalam blog kerana masa tidak mengizinkan.  Cuma hari ini baru ada kelapangan.    Isnin lalu on the way balik kerja, sempat singgah di Pasar Malam/Bazar Malam di AU1, Keramat/Setiawangsa.  Tengok ramai orang tengah memilih ikan tenggiri bunga ini.  Harganya satu kilo  RM16.  Fresh juga ikannya.  Ambillah seekor, selepas ditimbang tak sampai 1 kg pun, harganya cuma RM11.

Kuah kari sedap dicicah dengan roti


Pada mulanya plan nak masak taucu dan dalam masa yang sama teringin pula tekak ni nak makan kari.  Selepas ditimbang-timbangkan dan diambil kira selera anak-anak, maka Kak Noor ambil keputusan masak kari aje. Lagipun kuah kari ini sedap juga dicicah bersama roti semasa sahur (bagi yang tidak berselera makan nasi).

Seperti resepi kari-kari ikan yang lain, bahan dan cara memasaknya lebih kurang sama, cuma nak `ulang tayang' aje..

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan tenggiri bunga - dipotong 5 atau 6 (bergantung kepada saiz ikan tenggiri)
10 batang bendi
2 biji cili hijau
1 biji tomato - (kalau kecil dibelah 2, besar dibelah 4)
1 cawan pati santan kelapa + dengan 2 cawan air)
1 sudu besar pati asam jawa Adabi
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar lumat (gunakan blender basah):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 sudu besar serbuk rempah kari ikan BABAS
1 sudu besar kas-kas
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Air secukupnya
(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender basah dan dikisar lumat menjadikannya pes)

Bahan-bahan tumis:
4 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar halba campur - boleh didapati di pasar raya
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan tumis.  Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Kacau rata dan tutup periuk.  Masak sehingga rempah garing/terbit minyak.
3.  Selepas rempah garing, kacau dan masukkan santan kelapa.  Masukkan asam jawa, garam dan sedikit gula.  Masak sehingga kuah mendidih.
4.  Selepas kuah mendidih bolehlah dimasukkan ikan tenggiri bunga.  Biarkan di atas dapur sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak.
5.  Akhir sekali masukkan bendi, tomato dan cili hijau.  Bila bendi telah lembut, bolehlah ditutup api dan ditutup periuknya.

16 Julai 2013

MENU BERBUKA PUASA, SAMBAL UDANG PETAI, SUP SAYUR PETOLA CAMPUR FISH BALL DAN SOUN, DAN TELUR MASIN


Assalamualaikum.....

Inilah juadah yang sempat disediakan oleh Kak Noor untuk juadah berbuka puasa hari Ramadhan yang ke-7.   Tak sempat nak sediakan lauk yang beraneka, maklumlah orang bekerja.  Sambal tumis udang campur petai itu merupakan menu kegemaran keluarga Kak Noor.  Bila dah dihidangkan, kecur juga `menatap'nya di bulan puasa ini,   Dihidangkan pula dengan sup sayur petola campur fish ball dan telur masin.  Anak-anak dah tak sabar.... tunggu azan maghrib berkumandang aje..., nak `on'.






Resepi sambal tumis udang petai telah ada di blog ini.  Klik di SINI untuk resepinya. Cuma N3 kali Kak Noor berikan resepi sup tumis petola saja.  Mudah aje resepi ni, anak-anak bujang pun boleh mencubanya.


SUP SAYUR  PETOLA CAMPUR FISH BALL DAN SOUN






Bahan-bahannya:
1 batang petola - dipotong serong
1 paket kecil fish ball sayuran
Sedikit soun - direndam dan ditoskan
1 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - diketuk
1 inci halia - dihiris mancis
1 biji cili merah - dihiris
1 kiub ayam
Garam, gula
Air secukupnya untuk sup

Cara-caranya:
1.  Panakan sedikit minyak di dalam periuk, lebih kurang 2 sudu besar aje.  Tumis bawang merah, bawang putih, halia, dan cili merah. Kemudian masukkan fish ball dan kacau rata.
2.  Bila bawang telah bertukar kekuningan masukkan air secukupnya bersama kiub ayam.  Perasakan dengan garam dan gula.  Masak sehingga sup mendidih.
3.  Kemudian masukkan petola dan soun.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali (Jangan masak sayur terlalu lama, nanti kecut sayurnya).
4.  Tutup api.  Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun sup.daun bawang, dan bawang goreng.

SAMBAL TERUNG




Assalamualaikum...



N3 Kak Noor kali ini ialah Sambal Terung.  Bila masa tidak mengizinkan kita lama-lama berada di dapur, inilah cara paling mudah untuk menyediakan sambal terung.  Paling menjimatkan masa sekiranya anda mempunyai stok sambal belacan yang lebih di dalam peti sejuk.  Kak Noor suka membuat sambal belacan dalam kuantiti yang banyak dan simpan di dalam tupperware dan masukkan di dalam peti sejuk.   Bila nak makan, ambil sahaja. So inilah cara mudah yang ingin dikongsikan bersama-sama untuk N3 kali ini.  Jom kita tengok resepi mudah sambal terung ini.





Bahan-bahannya:
5 biji terung pendek - dibelah dua
*4 sudu besar sambal belacan
Segenggam udang kering - direndam, dibersihkan, dan ditoskan.
1 sudu teh kicap manis
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

*Sekiranya tiada sambal belacan, gunakan bahan-bahan berikut untuk bahan sambal.
5 biji cili merah
3 biji cili padi merah
Sedikit belacan
Air secukupnya
(Bahan-bahan ini disatukan dan diblend lumat terlebih dahulu)

Cara-caranya.
1.  Terung dibersihkan dan dibelah dua.  Kemudian digaramkunyitkan.
2.  Panaskan kuali.  Letakkan sedikit minyak.  Masukkan terung dan masak sehingga terung lembut.  Ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar, bawang putih dan udang kering sehinggga kekuningan.  Kemudian masukkan sambal belacan atau bahan-bahan dikisar tadi.  Masak sehingga sambal sedikit garing.
3.  Masukkan sedikit air.  Perasakan dengan garam, gula, serbuk perasa dan kicap manis.  Masak sehingga kuah mendidih.
4.  Setelah cukup rasa, bolehlah dimasukkan terung.  Kaupbalikkan sehingga terung disaluti sambal.
5.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

14 Julai 2013

AYAM SEMANIS KURMA



Bahan-bahan A:
1 ekor ayam organik - digaramkunyitkan
1 biji tomato – dipotong kiub
½ cawan santan + ½ cawan air
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 kiub ayam Knorr
1 batang serai - dititik
2 sudu besar gula perang + gula putih
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam

Bahan-bahan B (dikisar halus):
3 senduk nasi cili kering kisar
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan C (dikisar halus):
5 biji kurma
2 sudu besar kismis – sebarang kismis
Sedikit air

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ayam sehingga 3/4 masak. Ketepikan.
2. Gunakan 2 senduk nasi minyak gorengan ayam untuk menumis. Tumis serai dan kemudian masukkan bahan B. Masak sehingga terbit minyak.
3. Masukkan bahan C dan tomato, kacau rata. Gunakan api perlahan dan biarkan ia mereneh di atas dapur selama 5 minit.
4. Kemudian masukkan sos tiram dan sos cili, diikuti dengan santan. Kacau rata dan masukkan kiub ayam. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Rasa kuahnya. Sekiranya cukup rasa, bolehlah dimasukkan ayam goreng tadi. Kacau rata sehingga ayam bersalut dengan sambal. Biarkan di atas dapur selama 5 minit lagi, kemudian bolehlah ditutup api.




13 Julai 2013

Biskut Cip Coklat


RESEPI DIAMBIL DARI VIDEO TRY MASAK 

Bahan-bahannya:
280 gram tepung gandum
1 sudu kecil serbuk koko
1 sudu besar tepung jagung
150 gram gula kastor
½ sudu besar soda bikarbonat
2 sudu besar susu tepung
½ sudu kecil garam
250 gram mentega
½ sudu kecil esen vanilla
1 biji kuning telur
100 gram cip coklat HERSHEY'S
50 gram almond yang dibakar/panggang terlebih dahulu

Cara-caranya:
  1.  Mula-mula pukul mentega dan gula sehingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan esen vanilla.  Pukul sehingga sebati.
  3. Kemudian masukkan tepung gandum, serbuk koko, tepung jagung, soda bikarbonat, susu tepung dan garam.  Kacau perlahan sehingga sebati.
  4. Masukkan cip coklat dan almond.  Gaul sebati menggunakan spatula.
  5. Seterusnya ambil adunan menggunakan sudu dan letakkan doh di atas dulang pembakar.
  6. Akhir sekali bakar pada suhu 160c selama 20 – 30 minit.
  7. Bikust cip coklat sedia untuk dihidangkan.



12 Julai 2013

KOBIS MASAK LEMAK PUTIH SUHUN, FUCUK & CENDAWAN



Bahan-bahan A:
1 biji kobis - anggaran 200 gram - dipotong lebar
1 biji cili merah - dihiris
2 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Segenggam udang kering
2 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air

Bahan-bahan B:
1 paket campuran suhun, fucuk & cendawan
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara memasak:
1.  Rendamkan suhun, fucuk & cendawan sehingga lembut dan kembang.  Kemudian ditoskan.
2.  Satukan  semua bahan A di dalam periuk.  Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih.  Gunakan api yang sederhana.  Kuah hendaklah dikacau selalu supaya santan tidak pecah.
3.  Setelah kuah mendidih, barulah dimasukkan suhun, fucuk & cendawan tadi.  Kacau  rata dan  perasakan dengan garam dan gula.  Setelah kuah mendidih sekali lagi dan rasa pun dah ok, bolehlah ditutup api.

IKAN SAMBAL KICAP ALA MAMAK




Bahan-bahannya:
5 ekor ikan mata besar (Ikan lain pun boleh)
2 senduk nasi cili kering kisar
1 biji tomato - dibelah 4
1 labu bawang besar - dipotong gegelang
1 labu bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 batang serai - diketuk
2 tangkai daun kari - dilurut
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar kicap manis
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.  Ikan dibersihkan dan digaramkunyitkan.  Kemudian digoreng sehingga garing.  Ketepikan.
2.  Gunakan sedikit daripada minyak gorengan untuk menumis.  Bila minyak panas, tumis halia, serai,  dan daun kari sehingga naik bau.  Kemudian baru dimasukkan bawang besar dan bawang putih.  Tumis sehingga bawang kekuningan kemudian baru dimasukkan cili kering kisar.  Masak sehingga cili garing/terbit minyak.
3.  Setelah cili garing, masukkan 1 cawan air dan kacau.  Masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, dan kicap. Perasakan dengan garam dan gula.  Kacau rata dan biarkan kuah sambal mendidih.
4.  Setelah  kuah mendidih dan rasapun dah ok, bolehlah dimasukkan ikan goreng tadi. Masukkan bawang besar yang dipotong gegelang dan buah tomato.   Kaupbalikkan supaya sambal menyaluti ikan goreng tadi. Cara lain ialah dengan mencurahkan kuah sambal di atas ikan.
5.  Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang.

Asam Pedas Tulang (Daging Lembu) - Versi Melaka


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan 1434 Hijrah buat teman-teman blog semua.  Agak tidak terlewat untuk Kak Noor mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.  Semoga ibadah kita tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.  Semoga kita diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini dan di bulan-bulan seterusnya.  Ampun dan maaf jua dipinta seandainya sepanjang Kak Noor berbicara di ruangan ini mungkin terdapat tinta yang menghiris ataupun menyentuh hati kecil pembaca yang tidak disedari ataupun disengajakan.  Almaklumlah kita ini insan biasa yang banyak kelemahan.

Dah masuk hari ke-3 kita berpuasa.   Syukur Alhamdulillah kerana kita masih diberi `nafas' untuk menunaikan perkara keempat dalam rukun Islam.   Kebiasaannya dalam bulan Ramadhan, kaum wanitalah yang paling sibuk.  Lebih-lebih lagi bagi wanita yang bekerja.  Balik kerja, ada kerja lain yang sedia menanti di rumah iaitu menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga. Tetapi kalau tak sempat masak ataupun letih nak masak, kita mempunyai pilihan iaitu membeli lauk-pauk di bazar Ramadhan.  Beres cerita.   Balik hidangkan sahaja.  Dah boleh jimatkan masa kat situ.

Tetapi bagi yang tidak suka membeli disebabkan tidak `sesuai' dengan citarasa, walaupun letih mereka sanggup memasak di rumah walaupun ia satu masakan yang ringkas.  Bagi Kak Noor hari pertama puasa, sepulangnya dari kerja singgah di bazar ramadhan membeli apa yang patut untuk berbuka.  Ingat first day puasa nak masak asam pedas tulang, tetapi tulang dalam peti ais itu tak dikeluarkan lagi untuk dinyahbeku. Nak kena rebus sampai empuk dulu tulang daging tu, mestilah ambil masa yang lama.  Nanti tak sempat masak pula. So... mahu tak mahu terpaksalah beralih ke bazar Ramadhan. Tetapi bagi Kak Noor kalau ada masa, lebih baiklah masak kat rumah, lebih memenuhi citarasa kita.   Setakat kuih-muih tu bolehlah beli kat Bazar Ramadhan, banyak pilihan.  Kalau kita buatpun, hanya satu jenis sahaja.






Menu yang Kak Noor muatkan hari ini ialah menu hari ke-2 berpuasa.  Jadi juga akhirnya masak asam pedas tulang daging ini.  Teruja sangat dengan resepi Asam Pedas Daging Seri Melaka dalam blog Che Mat Gebu, itulah yang `menyemarakkan' lagi semangat Kak Noor untuk cuba masak  asam pedas ini walaupun letih sepulangnya dari kerja. Tapi nasib baiklah dalam bulan puasa ini, balik awal.  Jam 4.30 dah boleh balik. Sempatlah masuk ke dapur.   Dah kecur sangat tengok asam pedas dalam blog Che Mat Gebu.  Tetapi dalam resepi ini Kak Noor guna tulang daging lembu (Mat Gebu gunakan isi daging).  Kuahnya pula Kak Noor banyakkan sebab Kak Noor dan anak-anak suka menghirup kuahnya.  Lagi sedap kalau makan `nasi banjir'.  Bukan roti canai sahaja yang ada banjir tau!



Juadah berbuka puasa hari ke-2 Ramadhan; asam pedas tulang, ikan goreng, telur masih, ulam-ulaman dan sambal belacan.  Alhamdulillah..., menyelerakan sekali.


Bagi menjimatkan masa di dapur, selepas sahur Kak Noor terus rebuskan tulang daging tu.  Jam 7.00 pagi, tulang daging dah empuk.  Tutup api.  Balik kerja nanti, tak payah fikir nak rebuskan tulang daging lagi. Asam pedas ini Kak Noor hidangkan bersama telur masin, ikan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman. Walaupun ringkas, ia cukup menyelerakan.  Bertambah nasilah Encik Abang dan anak perempuan bongsu Kak Noor.



Ulam-ulaman, bendi celur dan baby carrot, dicicah dengan sambal belacan.


Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cik Mat Gebu yang sudi berkongsi menu yang `amat sedap' ini. Sebenarnya inilah pertama kali Kak Noor memasak asam pedas versi Melaka ini.  Selalunya masak stail Penang aje, ikut resepi bonda.  Sekali sekala pekena asam pedas versi Melaka, meletop juga.... sedap tidak terkata!





Jom kita tengok resepinya.  Resepi ini Kak Noor ambil dari blog Che Mat Gebu.  Adalah sedikit olahan, tapi tak banyak pun...  Resepi asal Che Mat Gebu boleh klik di SINI.


Bahan-bahannya:
800 gram tulang daging lembu yang ada isi  -  direbus bersama daun limau purut sehingga empuk
2 batang serai - dititik
Secekak daun kesum - anggaran RM1.00
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua
3 - 4 helai daun limau purut
1 camca besar pes asam jawa (jenama Adabi)
3 senduk nasi cili kering kisar
1 kiub tom yam (apa-apa jenama pun boleh) - Kak Noor tambah
1 sudu besar gula perang - Kak Noor tak guna gula putih
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis (Jangan gunakan minyak yang banyak)

Bahan-bahan tumis:
1 labu bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus

Bahan-bahan dikisar halus (menggunakan blender):
1 labu bawang besar saiz besar
4 ulas bawang putih
4 biji buah keras
3/4  inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 camca teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya:
1.  Rebus dulu tulang daging bersama 4 helai daun limau purut sehingga daging empuk.  Ketepikan.  Jangan dibuang air rebusan kerana ia akan dijadikan kuah.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan tumis dan serai, tumis sehingga harum.  Tambah bahan kisar halus dan masak sekejap.  Masukkan cili kering kisar dan masak hingga garing dan terbit minyak.  Guna api kecil dan kacau selalu.
3.  Masukkan tulang daging bersama air rebusannya, kiub tom yam,  daun kesom,  bunga kantan, dan daun limau purut. Masukkan pes asam jawa, kacau rata.  Perasakan dengan garam dan gula.  Sekiranya air rebusan sedikit, bolehlah ditambahkan air lagi.  Terpulang kepada citarasa masing-masing, kalau mahukan asam pedas ini pekat, tak perlu ditambah air dan masak sehingga pekat.
4.  Masak sehingga kuah mendidih.  Jika rasa dah okay, bolehlah ditutup api.
5.  Set hidangan dicadangkan bersama ialah telur masin, ikan goreng, sambal belacan, dan ulam-ulaman.

SELAMAT MENJAMU SELERA!

9 Julai 2013

Kari Masak Merah Peha Ayam - Kari Pekat


Bahan-bahannya:
5 ketul peha ayam saiz besar
3 biji ubi kentang kulit kuning – dibelah dua (tidak perlu kupas kulit)
1 biji buah tomato – dibelah dua
1 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air (gunakan cawan yang sama)
1 keping asam gelugor (asam keping)
2 biji cili hijau – dibelah dua, tidak putus
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan A (ditumis):
2 biji bawang merah (bawang kecil) – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari – dilurut daunnya

Bahan-bahan B (disatukan dan diblend):
3 sudu besar serbuk kari masak merah Cap O
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar kas-kas
Air secukupnya

Cara-cara Memasak:
1.Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan A sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2. Masukkan bahan-bahan B dan kacau rata. Tutup periuk. Masak sehingga rempah menjadi garing dan naik bau.
3. Setelah rempah garing, masukkan peha ayam dan 1 cawan air. Kacau rata dan tutup periuk. Perlahan api dan biarkan ayam mereneh selama lebih kurang 10 minit.
4. Selepas 10 minit, masukkan pula santan, diikuti dengan ubi kentang dan asam keping. Kacau rata dan masak sehingga peha ayam masak dan ubi kentang empuk. Perasakan dengan garam, dan gula.
5. Setelah cukup rasa, bolehlah ditutup api. Masukkan cili hijau dan buah tomato. Tutup periuk.
6. Sebelum kari dihidangkan, kacau rata terlebih dahulu.

7 Julai 2013

Masak Lemak Sotong dengan Kacang Buncis



Bahan-bahannya:
10 ekor sotong saiz sederhana – dipotong gegelang
Kacang buncis – ikut keperluan
1 biji tomato - dibelah empat
1 biji cili merah – dibelah dua tetapi tidak putus
1 biji cili hijau – dibelah dua tetapi tidak putus
2 cawan pati santan (sekiranya guna santan sawit KHALIS, kurangkan kepada 1 cawan sahaja)
Sedikit kunyit serbuk
Garam dan gula secukup rasa


Bahan-bahan ditumis: 
2 sudu besar makan minyak
1 labu bawang besar saiz kecil – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 batang serai diketuk
1 inci halia - dihiris

Cara-caranya: 
1. Sotong digaul dengan serbuk kunyit dan diketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan serai terlebih dahulu diikuti dengan bawang besar, bawang putih, dan halia. Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
3. Selepas itu masukkan sotong dan kacau selama 1 minit. Kemudian tuangkan santan dan kacau rata lagi. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah sedikit air.
4. Masukkan kacang buncis, buah tomato, cili merah, dan cili hidup. Perasakan dengan garam dan gula. Setelah cukup rasanya,dan kuah telah mendidih, bolehlah ditutup api.
5. Sedia dihidangkan. Sebagai set pembuka selera bolehlah dihidangkan bersama ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.


Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang