Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

28 September 2013

MASAK LEMAK CILI API UDANG BERSAMA REBUNG MADU




Bahan-bahannya:
600 gram udang saiz sederhana
1 paket rebung madu segar (300 gram)
1 - 2 keping asam gelugor
2 - 3 helai daun limau purut - dibuang urat di tengahnya
1 batang serai - dititik
200 ml santan sawit KHALIS + 400 ml air
(Kalau santan kelapa biasa, guna 300 ml pati santan + 300 ml air)
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar (diblend) lumat:
1 biji bawang besar
20 gram kunyit hidup
6  tangkai cili padi merah
6  tangkai cili padi hijau
Air secukupnya untuk mengisar

Penyediaannya:
1.  Udang dipotong kepala dan hujung ekornya.  Perapkan seketika (lebih kurang 1 minit)  bersama limau kasturi dan garam untuk menghilangkan hanyir udang.  Cuci bersih dan toskan.
2.  Basuh dan celur rebung madu supaya hilang baunya.  Ketepikan.
3.  Masukkan kesemua bahan di dalam periuk.  Masak di atas dapur menggunakan api yang sederhana sehingga kuah mendidih dan udang masak.  Kacau selalu supaya santan tidak pecah (Insya Allah sekiranya menggunakan santan sawit KHALIS, santan tidak pecah walaupun tidak dikacau selalu).
4.  Rasa kuahnya.  Boleh tambahkan garam dan gula sehingga menepati citarasa.

BUBUR GANDUM DAN JAGUNG, SAJIAN MINUM PETANG



Bahan-bahannya:

300 gm biji gandum
1 tin (425g) jagung manis ala krim jenama Ayam Brand
2 sudu besar gula putih
1 ketul gula kabung (anggaran berat 200 gram)
2 cawan air
1 sudu kecil garam
1 cawan santan sawit KHALIS
½ cawan susu sejat

Cara-cara memasak:

1. Masak gula kabung bersama 2 cawan air dan daun pandan sehingga larut. Tapis dan ketepikan.
2. Rebus gandum dengan daun pandan sampai gandum kembang. Masukkan larutan gula kabung, gula putih, dan garam. Kacau rata.
3. Kemudian masukkan jagung, diikuti dengan santan. Masak sehingga kuah mendidih, kacau dan tutup api.


Gula kabung yang digunakan

27 September 2013

Sayur Masak Lemak Putih, lebih enak lagi digunakan Santan Sawit KHALIS




Resepi ringkas dan segera.  Gunakan apa sahaja sayuran yang anda ada untuk memasak sayur lemak putih ini.  Tetapi yang penting ada santan sawit KHALIS; membuatkan kuah masak lemak putih ini lebih rasa lemak dan enak.

Bahan-bahannya:
1/2 biji kubis saiz sederhana (dipotong jangan halus sangat)
10 batang kacang buncis atau kacang panjang - dipotong serong
Sejemput udang kering atau ikan bilis - direndam, kemudian dibasuh bersih dan ditoskan.
1 biji bawang besar - dihiris kasar
1 ulas bawang putih - dihiris halus
1/2 inci halia - dihiris halus
1 biji cili merah - dihiris halus
1 cawan santan sawit KHALIS + 2 cawan air 
(Kalau guna santan kelapa, gunakan 2 cawan pati santan bersama dengan 2 cawan air)
Beberapa biji tomato kecil - dibelah dua
Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaannya:
Masukkan kesemua bahan di dalam periuk.  Kemudian letakkan di atas api dan kacau rata.  Masak sehingga mendidih.  Rasa kuahnya.  Sekiranya telah menepati citarasa, bolehlah ditutup api.  Akhir sekali masukkan tomato kecil yang dibelah dua.  

Set hidangan untuk sayur masak lemak putih ini ialah sambal tumis udang/ikan bilis/sotong dan ikan cencaru sambal belah belakang (ikan poket).  





21 September 2013

LONTONG JOHOR

MENU PILIHAN KELUARGA DI HUJUNG MINGGU SEMPENA CUTI HARI MALAYSIA. 


Assalamualaikum semua. N3 kali ini adalah lontong. Lontong ini Kak Noor masak sempena cuti hari Malaysia yang lalu. Baru hari ini sempat masukkan. Al kesibukan sangat minggu lalu.  First of all sebelum melalut dengan coretan Kak Noor, nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Che Mat Gebu, Dapur Tanpa Sempadan yang sudi berkongsi resepi lontong Johor yang teramat enakknya ini.





Al kisahnya, minggu lalu riuh rendahlah di rumah, cukup forum sebab dua anak bujang pulang bercuti sempena cuti Hari Malaysia. Suamipun off. Masa inilah siibu sibuk di dapur menyediakan juadah buat keluarga. Kalah master chef. Ha…ha.. Sesekali pulang bercuti, of course anak-anak nak makan masakan ibu.   Teringin pula nak cuba masak lontong. Kak Noor dah selalu sangat masak laksa penang, mee rebus mamak, bihun utara dan lain-lain masakan utara untuk hidangan keluarga. Tetapi hari ini nak cuba menu orang Johor pula. Masih tidak puas makan lontong jawa di rumah adik ipar hari itu semasa pulang ke Bukit Mertajam. Anak-anak pun dah minta ibu masakkan untuk mereka sebab masih terasa keenakan lontong hari itu.

Antara bahan-bahan sayuran yang digunakan untuk kuah lodeh

Memandangkan lontong ini menu orang Johor, kenalah rujuk kepada chef yang berasal dari Johor juga. Lagipun Kak Noor tak pernah masak lontong lagi. Kalau masakan Utara, Insya Allah tak perlu dirujuk sangat. Pandai-pandai sendiri dan ingat apa yang bonda pernah ajar. Kot mungkin terconfuse, telefon aje bonda untuk confirmation. Nasib baiklah bonda masih ada. Beliaulah tempat rujukan Kak Noor selama ini. Untuk masakan lontong, Kak Noor rujuk Blog Che Mat Gebu. Teruja sangat dengan gambar lontong yang terpapar di laman blog beliau. Bahan-bahan yang digunakan pun dah sedia ada. Tetapi itulah,cuma sempat masak kuah lodeh aje. Tak sempat nak sediakan serunding ikan bilis sebab nak bergegas keluar hari itu, ada urusan di luar. Untuk sambal pula nasib baiklah masih berbaki lagi sambal ikan bilis nasi lemak.  Mungkin di lain kali boleh cuba serunding ikan bilis Che Mat Gebu pula.





Apakah hasilnya? Baru first time buat, hasilnya Insya Allah memuaskan hati. Buktinya waktu petang bila Kak Noor pulang ke rumah, licin satu periuk besar kuah lodeh. Anak-anak ulang tayang makan. Kak Noor sempat makan sekali aje, sebelum keluar rumah. Paling terkilan, kerana hanya sempat ambil gambar lontong semasa kuah dah nak habis. 

Terima kasih kepada Che Mat Gebu yang sudi berkongsi menu kuah lodeh yang memang sedap sehingga menjilat jari. Walau bagaimanapun ada juga slightly modification untuk resepi ini dari segi penggunaan bahan-bahannya dan juga kuantiti bahan-bahan berkenaan untuk disesuaikan dengan ahli keluarga yang ramai. Bagi menimbulkan rasa lemak bersusu untuk kuah lodeh ini,  Kak Noor gunakan santan sawit KHALIS. Insya Allah, rasanya lemak berkrim. Kalau tak caya, cuba guna santan sawit KHALIS untuk masakan yang menggunakan santan. 


Santan Sawit Khalis, mengenakkan lagi kuah lodeh, lemak dan berkrim



KUAH LODEH
Resepi Asal: Blog Che Mat Gebu


Bahan-bahannya :
12 tangkai kacang panjang - dihiris serong
70 gram fucuk @ tauhu kering, potong kecil dan rendam hingga lembut
1 1/2 batang lobak merah saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
1 biji sengkuang saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
5 keping tempe, dipotong kiub
1/2 bahagian kobis bulat, dihiris kecil
2 biji kentang saiz besar, kupas dan potong seperti anak mancis
800ml  santan sawit KHALIS    )  400 ml santan + 800ml air = 1200ml santan cair
                                                 )  400 ml santan pekat
Air jika perlu
2 cekak soo hoon, kerat pendek
4 helai daun limau purut – dibuang urat di tengah daun
2 kiub pati ikan bilis
1 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan tumis:
3 batang serai, dititik
1 lengkuas, diketuk
Sedikit minyak 


Bahan tumis, serai dan lengkuas


Bahan-bahan kisar halus :
2 biji bawang besar
5 biji bawang putih
5 - 6 cili padi merah
3 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan

(Gambar kiri:  Sebelum dikisar.  Kanan:  Selepas dikisar)

Bahan-bahan sampingan:
Nasi impit
Sambal tumis ikan bilis
Telur rebus - Kak Noor tak letak


Cara membuatnya: 
1.  Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan), tumis serai titik dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. 
2.  Masukkan lobak merah, sengkuang dan kentang. Kacau rata dan tuang santan cair. Biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis, tempe dan fucuk (toskan). Masak hingga semua lembut. Masukkan kacang panjang, tauhu, dan kobis. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air. Biar mendidih. 
3.  Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masukkan daun limau purut. Akhir sekali masukkan soo hoon, kacau dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama ketupat/nasi impit, serunding, sambal tumis dan telur rebus.

Tips:
Soo hoon tak perlu direndam, anda cuma perlu lalukan di bawah air paip sebelum anda masukkan ke dalam sayur lodeh. Masak dengan api sederhana hingga soo hoon kembang. Ini akan membuat sayur lodeh anda lebih pekat....


14 September 2013

Kacang Buncis Goreng Santan, antara menu sayur kegemaranku...


Assalamualaikum semua...  selamat bersantai di hujung minggu bersama keluarga.

Ini adalah salah satu menu tambahan untuk menu utama.  Kalau dah ada lauk, tak lengkap kalau tak ada sayur kan!  Tetapi bukan semua orang gemar makan sayur.  Tapi bagi diri Kak Noor, biarlah tak ada lauk, tapi sayur wajib ada.  Sejak kecil lagi, Kak Noor tak berapa gemar makan lauk banyak-banyak. Apa lagi meratah lauk.  Sesetengah orang tu Kak Noor tengok bila berdiet, dia orang tak makan nasi, ratah lauk aje... 

Sampailah ke usia sekarang, yang dah nak menjangkau separuh abad, banyak lauk yang Kak Noor tak makan.  Bukan tak suka, tapi tak boleh diterima oleh tekak ini.  Nak tahu apa lauk-lauknya?  Biarlah Kak Noor kongsi sedikit rahsia peribadi ni.  Kak Noor tak makan daging kambing dan ikan (termasuk ikan darat).  Kalau bab lembu dan ayam, Kak Noor makan semata-mata dagingnya sahaja. Lain-lain seperti perut, hati, limpa, paru, lidah lembu, kaki ayam, dan organ dalaman lain memang tak pernah masuk mulut.  Kalau beli ayam, siap pesan lagi kepada penjual ayam tu;   `Kaki, pedal, hati, dan buntot ayam, akak tak nak ye!) Tapi portion inilah yang menjadi kegemaran ramai.   Sanggup beli 1kg.  Tak pe lah... itu selera masing-masing.  Kak Noor masih maintain dengan my favourite iaitu sayur.




Dah... salah satu menu sayur kegemaran Kak Noor ialah sayur kacang bunci goreng santan.  Tak ada lauk pun tak kisah, makan dengan nasi panas-panas.  

Resepinya agak ringkas dan sesiapa pun boleh mencubanya.  

Bahan-bahannya:
300 gram kacang buncis
Sedikit ikan bilis
2 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sudu kecil biji sawi
1 biji cili hidup (cili merah)  - dihiris, kalau nak pedas boleh juga hiris cili padi
Sedikit pati santan 
Minyak secukupnya untuk menumis (lebih kurang dua sudu besar)


Cara-caranya:
1.  Kacang buncis dibuang urat terlebih dahulu dan dibasuh bersih.    Kemudian dibelah memanjang, dan dipotong serong.  Basuh sekali lagi dan toskan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis ikan bilis sehingga garing sedikit, kemudian baru dimasukkan biji sawi, bawang kecil, bawang putih, dan cili hidup.  Tumis sehingga bawang kekuningan.
3.  Kemudian masukkan kacang buncis.  Perasakan dengan garam dan gula.  Tuangkan pati santan dan kacau mesra.  Biarkan santan mendidih.
4.  Apabila kacang buncis telah masak (jangan sampai layu), bolehlah diangkat.
5.  Bolehlah dihidangkan.

13 September 2013

Sambal Sotong Kembang




Sambal tumis sotong kembang lagi..... hm... memang tak jemu menu ini.  Anak-anak pun suka.  Tambah-tambah yang bongsu tu.... siap diratah begitu sahaja.  Bila ada sambal tumis sotong kembang ni, anak yang paling bongsulah yang paling berselera.  Bukannya selera makan nasi bertambah, tetapi selera meratahnya yang bertambah.  Nasi sejemput aje.... tapi sotong siap pesan lagi nak banyak-banyak. Itulah perangai anak-anak. 

Jika masak sambal tumis sotong kembang ni, walaupun pedas, tapi pastikan sambalnya ada rasa manisnya yang pekat  dan juga rasa lemak.  Sebab itulah Kak Noor gabungkan penggunaan gula perang dan gula putih.   Kalau rasa pedas sahaja tak sedap.  Fungsi gula perang digunakan adalah untuk memaniskan masakan dengan tidak memerlukan bahan penambah perasa seperi ajinomoto. 


Hai... kalau makan dengan nasi lemak, sedap ni!

Kalau resepi dahulu Kak Noor ada letakkan kacang, tapi kali ini tidak.  Anak-anak komen tak berapa sedaplah ibu, kalau letak kacang.  Bukan selera semua orang sama kan!

So... tak nak panjang lebar celoteh kali ini.  Kita terus ke resepinya.

Bahan-bahannya:
1 kg. sotong kembang
1 biji bawang besar, saiz besar - dipotong gegelang
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
2 sudu besar sos tiram ayam
1 sudu besar kicap manis
1 - 2 keping asam keping (asam gelugor)
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
6 senduk nasi cili kering kisar
2 biji bawang besar saiz sedang
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-cara memasak:
1.   Potong sotong memanjang ikut saiz kegemaran.  Kemudian perapkan  bersama limau kasturi dan garam selama minit (kaedah menghilangkan hanyir sotong).  Basuh bersih dan rebus lebih kurang 15 minit atau 3/4 lembut.  Tos dan ketepikan.
2.Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang telah dikisar. Kacau dan masak sehingga garing/terbit minyak. Tutup periuk.
3. Buka periuk.  Setelah sambal telah terbit minyak, tambahkan sedikit air dan kacau rata. Masukkan gula perang, gula putih, garam, dan serbuk perasa, sos tiram, kicap manis, dan asam keping . Kacau lagi sehingga mesra.
4. Masukkan sotong kembang dan kaup balikkan. Masak sehingga sotong lembut.
5. Sebelum ditutup api, masukkan bawang besar yang telah dipotong gegelang tadi. Biar di atas dapur selama 1 minit. Kemudian bolehlah ditutup api.

8 September 2013

BUBUR KACANG HIJAU, menggunakan santan sawit KHALIS. Lemak berkrim....




Bahan-bahannya:
400 gram kacang hijau
50 gram biji sagu - direndam sehingga kembang, dibasuh, dan ditoskan
4 ketul gula nisan/gula kabung (anggaran 100 gram)
150 gram gula putih
1 sudu kecil garam
320 ml santan sawit KHALIS + 2 cawan air
2 helai daun pandan disimpul

Langkah 1:
Basuh kacang hijau sehingga bersih dan toskan.

Langkah 2:
Satukan gula nisan/gula kabung, gula putih, air, dan daun pandan di dalam periuk dan masak di atas dapur sehingga gula larut.  Tapiskan.

Cara-cara membuatnya:
1.  Masukkan kacang hijau di dalam periuk bersama air secukupnya dan masak di atas dapur sehingga kacang hijau empuk.
2.  Bila kacang hijau telah empuk dan air rebusan mula kering, masukkan larutan gula dan kacau.  Biarkan di atas dapur selama 2 - 3 minit supaya larutan gula mesra dengan kacang hijau.
3.  Selepas itu masukkan santan, daun pandan, sagu, dan garam.  Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.  Tutup api dan tutup periuk.

Sedap dimakan begitu sahaja ataupun dicicah dengan roti.

5 September 2013

Koay Teow Kerang




Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow – dicuci dan ditoskan
100 gram isi kerang rebus
3 genggam taugeh, dicuci dan ditoskan
Daun kucai – sekiranya suka
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
Kicap manis secukupnya
Sos ikan/sos sotong secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
1 senduk nasi minyak jagung

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang halus
2 sudu besar cili kering kisar

Bahan-bahan hiasan:
Hirisan cili merah
Bawang goreng
Daun sup/daun bawang
Hirisan timun

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak. Goreng isi kerang sehingga kecut. Angkat dan ketepikan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
3. Setelah terbit minyak, masukkan ½ cawan air, sos tiram, sos cili, sos tomato, garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
4. Kemudian masukkan kerang, diikuti dengan koay teow, kicap manis, dan sos ikan/sotong. Gaul rata.
5. Akhir sekali masukkan taugeh/kucai, kacau sehingga semua mesra. Pastikan taugeh tidak layu.
6. Angkat dan alihkan dalam bekas. Tabur hirisan cili, daun sup/daun bawang, dan bawang goreng. Bolehlah dihidangkan semasa panas.

SAMBAL TUMIS UDANG PETAI PADI, penambat selera....





Assalamualaikum…

Kalau tengok gambar di atas, memang tak sabar nak makan nasi. Kalau ikutkan hati memang boleh tambah nasi ni! Diet pun entah ke mana….

Sebenarnya telah lama teringin nak makan sambal tumis udang petai ni. Namun terpaksa dipendamkan seketika keinginan ini memandangkan sejak semenjak ini harga udang telah melonjak; dua kali ganda mahal daripada harga biasa. Kalau dulu udang bersaiz L boleh dibeli di TESCO dengan harga RM13 – RM15 sahaja, tetapi sekarang di mana-mana sahaja harga udang yang bersaiz L dijual dengan harga standard RM23 – RM27 sekilogram. Tu belum lagi saiz XL dan XXL.  Kadang-kadang bila difikirkan dari segi penjimatan,  lebih baik membeli ayam daripada udang. Kuantiti 1 kg. udang, banyak manalah sangat.. untuk sekali masak sahaja. Kalau beli ayam, boleh juga tahan dua tiga kali masak.

Tetapi kalau sesekali kurasa teringin, semua itu dah tak kisah. Apa yang penting keinginan tekak ini perlu dipenuhi dulu.  Dah jemu sangat makan ayam.  Sesekali beli udang apa salahnya. Nak makan juga kan…! Tetapi mestilah make sure udang yang dimasak itu kena dengan citarasa kita. Bagi Kak Noor, udang yang bersaiz begini memang sedap kalau dimasak sambal dan ditambah petai di dalamnya. Sambalnya pula biarlah cukup rasa; yang penting seimbang pedas dan manisnya. Dalam setiap menu sambal yang dipersembahkan oleh dapur SDB, antara bahan-bahan penting yang menyedapkannya ialah penggunaan gula perang, sos tiram, dan juga sedikit kicap manis.  Selain dimakan bersama nasi, dicicah dengan roti pun sedap.





Resepinya…..

Bahan-bahannya:
1 kg. udang putih saiz L – dipotong kepala dan ekornya
2 biji bawang besar – dipotong gegelang
Segenggam petai padi yang telah dikopek
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos kicap manis
2 sudu besar gula perang + gula putih secukup rasa
2 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
½ sudu kecil serbuk perasa 
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar lumat:
4 senduk nasi cili kering yang telah dikisar lumat
2 biji bawang besar 
4 ulas bawang putih
½ inci belacan – jika suka
Air secukupnya

Cara-cara Memasaknya:
1.   Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata. Tutup periuk dan masak di atas dapur sehingga pecah minyak/terbit minyak.
2.   Masukkan ½ cawan air dan kacau rata. Tambahkan sos tiram, sos kicap manis, gula perang, gula putih, serbuk perasa dan garam. Kacau rata dan biarkan mendidih.
3.   Kemudian masukkan udang dan asam gelugor. Masak di atas api yang sederhana sehingga udang masak dan kuah mendidih. 
4.   Akhir sekali masukkan bawang besar yang telah dipotong gegelang.  Kacau dan bolehlah ditutup api.
Dah siap untuk dihidangkan.  

Jom makan.

3 September 2013

CEKODOK PISANG EMAS....... antara sajian semasa majlis kenduri kahwin.






Satu lagi juadah unggul yang hendak diketengahkan. Dulu, kini, dan selama-lamanya. Sesuai untuk hidangan seisi keluarga untuk minum petang. Tetapi pada zaman kegemilangan Kak Noor kanak-kanak dulu yang dibesarkan di kampung, ia juga disajikan sebagai sarapan pagi. 

Cekodok pisang emas, itulah juadahnya.  Juadah keluarga yang sekarang ini telah dikomersialkan dalam majlis-majlis tertentu. Tidak hairan kalau cekodok juga disajikan untuk majlis kenduri kahwin. Disajikan semasa masih panas; dalam erti kata lain `fresh from oven’. Kak Noor pernah menghadiri kenduri kahwin di mana tuan rumah menyediakan satu kiosk/stall khas untuk menggoreng cekodok. Ramai jemputan yang sanggup beratur, menunggu giliran untuk mengambil cekodok. Dalam masa dua jam, satu bekas besar adunan cekodok selesai digoreng.  Macam goreng pisang panas.  Mungkin dah jemu dengan menu nasi kenduri, para jemputan beralih kepada sajian cekodok. So… next time bila nak buat kenduri kahwin, jangan lupa tempah cekodok sama ye!

Kalau nak buat cekodok pisang, Kak Noor lebih gemar menggunakan pisang emas sebab ia manis dan tidak banyak air. Bagi memudahkan kerja, Kak Noor menggunakan blender basah untuk blend pisang bersama gula, dan garam sehingga lumat. Mudah dan cepat kan…



Bila telah siap goreng, cekodok pisang emas ni sedap dimakan begitu sahaja, ataupun boleh dicicah dengan sambal tumis atau kari ikan semalam.  Memang sedap sehingga tidak terkata!


Bahan-bahannya:
15 biji pisang emas saiz kecil
2 cawan tepung naik sendiri
1 sudu besar susu tepung
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih halus
½ sudu teh garam halus
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara membuatnya:
1. Kupas pisang. Satukan pisang emas, gula perang, gula putih, dan garam di dalam blender. Masukkan sedikit air untuk memudahkan kisarannya.
2. Sediakan bekas. Masukkan pisang yang telah diblend tadi di dalam bekas, diikuti dengan tepung naik sendiri, garam, dan susu tepung. Gaul rata sehingga mesra. Sekiranya adunan lembik, bolehlah ditambah tepung lagi. Perap selama 15 minit.
3. Panaskan minyak menggunakan api sederhana. Basahkan hujung kari pada setiap kali menjemput adunan ke dalam minyak. Jemput kecil-kecil supaya kejadiannya nampak comel. Pastikan jangan banyak sebab adunan akan kembang di dalam kuali.  Seimbangkan dengan kuantiti minyak yang digunakan.
4. Goreng sehingga bertukar menjadi kekuningan seluruh bahagian cekodok. Tetapi sekiranya menggunakan pisang emas, ia akan menjadi gelap sedikit. Angkat dan letakkan di dalam penapis. Lebih elok jika diletakkan di atas paper tower untuk serap minyak.

2 September 2013

Ayam Kari Lemak, versi Melayu. Memang lemak kalau menggunakan santan sawit KHALIS...

Assalamualaikum dan Selamat Petang.

Telah seminggu lebih Kak Noor menyepi diri tanpa N3 dalam SDP.  Biasalah kadang-kadang kita sibuk dengan hal-hal lain yang memerlukan perhatian kita terlebih dahulu.  Hari ini Kak Noor cuti kecemasan. Letih sangat kerana semalam lebih kurang jam 1.00 pagi baru sampai ke Kuala Lumpur.  Biasalah kalau dah sampai jam 1.00 pagi, jam 3.00 pagi baru boleh tidur.

Hari Sabtu lalu, Kak Noor dan famili pulang ke kampung halaman di Bukit Mertajam kerana rumah bonda mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yaasin, sekali dengan `Open House Raya'.   Petang majlis tahlil dan malam pula majlis BBQ; semua saudara mara terdekat dan adik beradik berkumpul makan adik beradik. Malangnya Kak Noor dan famili tak sempat menghadiri kedua-dua majlis berkenaan walaupun pulang ke Bukit Mertajam.

Salah Kak Noor juga kerana bertolak dari Kuala Lumpur lewat; dah tengah hari.  Sepatutnya bertolak awal pagi tetapi disebabkan gara-gara ketiadaan air kerana lori diesel jatuh dan minyak mengalir ke empangan air menyebabkan air tidak dapat disalurkan untuk seluruh penduduk Lembah Klang.



Kesesakan 500m menghampiri terowong


Kesesakan di dalam terowong


Lebih malang lagi, selepas RTC Perak, lebih kurang jam 6.00 petang kenderaan mula bergerak perlahan dan jalan mulai sesak 500 meter menghampiri terowong menuju ke Utara.  Hujan pula lebat sehingga kabur pandangan jalan. Terpaksa guna `hazard light'.  Lebih kurang jam 11.30 malam barulah sampai ke rumah bonda.  Masa tu majlis BBQ dah selesai.  Api BBQ pun dah padam.  Masing-masing sibuk mengemas.   Terkilanlah juga. Tetapi apa nak buat, kita bisa merancang, tetapi ketentuan adalah daripadaNYA Yang Maha Esa.  Apapun makanan masih banyak lagi. Alhamdulillah.... Bersembanglah kami adik-beradik sampai jam 2.00 pagi.


Semalam (Ahad) bertolak lebih kurang 6.30 petang.  Hujan lebat sepanjang perjalanan dan jalan sesak bila menghampiri terowong, sama seperti situasa hari Sabtu.  Terdapat dua kemalangan menghala ke Utara. Mak oooi... banyaknya kereta.  Macam balik rayalah pulak!

Di atas tadi cerita Kak Noor dan famili sempena cuti Hari Kemerdekaan.  Just to share.  Kalau ada masa dan mood pun ok, dan pada masa yang sama idea pun `mendatang',   bolehlah meluangkan masa di depan komputer ini,  mengarang cerpen.  Tetapi sekiranya `time is limit' dan mood pun agak kureng (kalau mood tak ade, sudah pastinya idea pun tak ade le...), hanya resepi dan gambar ajelah yang dikongsi bersama.




Hari ini Kak Noor nak kongsi resepi Kari Ayam.   Bukan tak pernah poskan resepi Kari Ayam.  Tetapi kali ini lain sedikit daripada kari yang pernah Kak Noor masak.  Kebiasaannya Kak Noor gemar masak kari Utara; dalam erti kata yang lain kari ala mamak.  Seperti kita semua sedia maklum, kari mamak kurang penggunaan santan, dan ada kalanya tidak menggunakan santan langsung.  Ada juga resepi kari mamak yang menggunakan yogurt.



Kuah karinya rasa lemak, bila menggunakan santan sawit KHALIS

Mungkin telah jemu dengan kari mamak, hari ini Kak Noor masak kari Melayu pula. Bonda Kak Noor kata kalau kari Melayu kita menggunakan banyak santan dan rasa kuahnya pun agak lemak dan kurang rasa rempah.  Bila rasa kari ayam lemak ini, sedap juga.  Memang terasa lemaknya, lebih-lebih lagi bila menggunakan santan SAWIT KHALIS.

Jom kita tengok resepi kari ayam versi Melayu ni.

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dipotong 16, dibuang kulit dan dibersihkan.
1 1/2  cawan santan sawit KHALIS
5 - 6 biji ubi kentang saiz sederhana - dibuang kulit dan dipotong dua setiap biji
2 keping asam gelugor
2 biji cili hijau
1 biji tomato – dibelah empat
Garam, dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

 Bahan-bahan dikisar (disatukan di dalam blender basah dan dikisar lumat):
4 sudu besar serbuk rempah kari daging pedas BABAS
1 sudu besar serbuk kurma BABAS
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji buah keras
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
3 biji bawang kecil atau 1 biji bawang besar – dicincang halus
2 ulas bawang putih – dicincang halus
2 inci halia – dihiris mancis
2 helai daun pandan – dikoyak dan disimpul
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Cara-cara membuatnya:

1.           Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan daun pandan, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.  Tumis sehingga naik bau wanginya.  Kemudian masukkan bawang kecil, bawang putih dan halia.  Kacau sehingga bawang kekuningan.
2.           Selepas itu masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan kacau rata.  Masukkan sedikit air dan kacau,  Tudung periuk dan biarkan rempah masak/terbit minyak.
3.           Setelah rempah terbit minyak, kacau dan masukkan daging ayam.  Masukkan 1 cawan air dan kaup balikkan daging ayam supaya mesra dengan rempah.  Perlahan api dan  biarkan ia masak secara mereneh sehingga daging ayam ¾ empuk.
4.           Tuangkan santan sawit KHALIS di dalam periuk dan kacau lagi.  Masukkan asam gelugor dan perasakan dengan garam dan gula.  Pada masa yang sama juga, masukkan ubi kentang.  Masak kari di atas dapur sehingga  ayam dan ubi kentang empuk dan kuah mendidih.

5.           Tutup api dan masukkan cili hijau dan tomato.  Tudung periuk supaya aromanya tidak keluar.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang