Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

23 Jun 2014

KARI IKAN SARDIN DENGAN UBI KENTANG, menggunakan Sardin Cap Ayam

Assalamualaikum dan Selamat Pagi Semua.  

Just nak kongsi satu resepi yang agak simple untuk hidangan tengah hari ini, iaitu kari ikan sardin.  Tak perlu bersusah payah menyiang ikan, just guna sardin cap ayam yang boleh dibeli di kedai.  Keenakan karinya setanding dengan kari ikan lain yang pernah kita masak.  Bagi ibu-ibu yang tiada idea lagi nak masak apa untuk tengah hari ini, bolehlah mencuba menu ini. Insya Allah sedap.  Selain dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi, ia sedap juga dicicah dengan roti sandwich, roti benggali,  roti canai, roti bom, capati, dan cekodok.  





Jom kita ke bahan-bahannya.

1 tin besar sardin cap Ayam (asingkan ikan daripada sosnya)
4 biji ubi kentang saiz sederhana - 1 biji dibelah dua
1 biji bawang besar - dihiris
2 tangkai daun kari
1 sudu besar halba campur
2 biji cili hijau 
1 biji tomato  (sederhana masak) - dibelah dua atau 4 bergantung kepada saiz buah tomato
*2 sudu besar serbuk rempah kari ikan dan udang BABAS
*2 sudu besar serbuk rempah kari  ikan  masin BABAS
*Sos dalam tin sardin
*Air secukupnya
1 sudu besar pati asam jawa Exra ADABI - dibancuh dengan sedikit air
1 cawan susu sejat + 2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

(*Disatukan kesemuanya dan dibancuh menjadikannya pes)

Bahan-bahan dikisar (menggunakan chop blender)/ditumbuk kasar:
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih + 1 inci halia 


Cara-caranya:
  1. Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis hirisan bawang besar, diikuti dengan daun kari dan halba campur.   Kemudian masukkan kisaran bawang putih dan halia.  Kacau sebentar, dan selepas itu masukkan kisaran bawang besar.  Tumis sehingga naik bau dan semua bahan layu.
  2. Masukkan pes rempah dan kacau rata.  Sekiranya pes rempah agak pekat, bolehlah dimasukkan sedikit air.  Perlahan api dan tutup periuk.  Biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga terbit minyak/rempah garing.
  3. Selepas rempah garing, masukkan air asam jawa dan kacau rata.  Kemudian masukkan pula susu sejat bersama 2 cawan air. Biarkan ia mendidih.  Gunakan api sederhana.
  4. Selepas kuah mendidih, masukkan ubi kentang.  Semasa ubi kentang 3/4 empuk bolehlah dimasukkan ikan sardin tadi. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ubi kentang empuk. Tutup api dan masukkan cili hijau dan buah tomato. 
  5. Sedia untuk dihidangkan.


Sedia untuk dihidangkan..

BISKUT ARAB SUSU, rasanya sedap dan lemak bersusu

Assalamualaikum.

Bulan Rejab telah berlalu, dan kini kita berada dalam bulan Syaaban. Tak sampai seminggu lagi kita akan menyusuri bulan Ramadhan Al-Mubarak.  Semoga tahun ini kita akan dapat berbuat lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Seperti tahun-tahun lalu, Biskut Arab merupakan salah satu biskut yang wajib ada pada hari raya, dan menjadi kegemaran anak-anak Kak Noor.  Tak tahu kenapa ia dinamakan Biskut Arab.  Adakah kerana ia menggunakan minyak sapi?  Kak Noor tidak mempunyai jawapan mengenai asal usulnya walaupun ingin juga mengetahuinya. 





Sejak kecil lagi Kak Noor mengenali Biskut Arab ini dengan warna putih. Bonda Kak Noor selalu membuat biskut ini untuk hari raya kerana kami sekeluarga amat sukakannya, terutama sekali adik bongsu lelaki Kak Noor.  Tetapi sekarang terdapat juga versi Biskut Arab berwarna di mana adunan dibahagikan kepada tiga warna yang berlainan, dicantum dan digentel bulat.  Setelah dibakar, digolek dengan gula ising.



Fresh from the oven

Sebelum ini  Kak Noor ada poskan dua N3 mengenai biskut ini iaitu Biskut Arab dan Biskut Arab Bersusu.  Bagi kedua-dua resepi berkenaan Kak Noor guna tepung gandum biasa dan gula kastor. Ada yang disaluti dengan gula ising dan ada yang disaluti dengan susu tepung.  





Untuk cubaan kali ini,  Kak Noor menggunakan tepung superfine MFM, di mana tepung tersebut lebih halus.  Nama pun superfine kan... Gulanya pula Kak Noor guna gula ising.  Selepas dibakar, hasilnya amat memuaskan.  Gebu, halus, dan melt in mouth.  





Bagi mengekalkan keenakan rasa lemak pada biskut ini, Kak Noor memilih untuk menyalutinya dengan susu tepung.  Sekali rasa seakan-akan biskut suji.  Selepas dimasak, wajahnya beseri-seri. Tak percaya?  Tengoklah gambar nye...  Boleh diletak dalam paper cup jika suka.  

4 Jun 2014

MEE KERING @ MAGGI GORENG UDANG versi Sajian Dapur Bonda, kegemaran anak-anakku

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. 

Syukur Alhamdulillah dapat lagi Kak Noor berkongsi cerita dan resepi di blog SDB ini.  Semoga kita semua senantiasa dirahmati Allah serta dipelihara ketaatan dan keimanan kita dengan taufik dan hidayahNYA.



Emm... sedapnye bila makan semasa panas


Topik hari ini adalah mengenai sarapan.  Apakah sarapan yang disediakan oleh ibu-ibu kepada keluarga pagi ini? Pagi ini Kak Noor sediakan heavy breakfast untuk anak-anak, iaitu mee goreng. Tetapi bukan menggunakan mee basah ye… Kak Noor gunakan mee kering.   Stok mee kering ini memang sedia ada di rumah kerana ia boleh disimpan lama berbanding dengan mee basah.  Mee basah kalau digoreng pada hari yang sama kita beli memang sedap.  Tetapi kalau sudah dua tiga hari disimpan dalam peti sejuk, mee tu akan hancur bila kita goreng. 



Nak makan udang ke, nak makan mee dulu ni?

Kebiasaannya sebelum pergi kerja, Kak Noor akan pastikan ada breakfast yang ditinggalkan untuk anak-anak dirumah.  Sekiranya sempat Kak Noor akan menyediakannya sendiri.  Bila cuti sekolah, anak-anak semakin berselera makan kerana duduk di rumah aje. Sambil makan, tengok TV, tengok laptop, tengok handphone. Dah jadi 2 in 1. Rasanya musim cuti sekolah ini adalah musim membina badan untuk anak-anak.  Tu cuba timbang, naik tak berat badan anak-anak kita? Anak perempuan Kak Noor yang bongsu tu dah semakin tembam. Bila kita sediakan breakfast sendiri, anak-anak dapat mengulang dan puas makan. Di samping itu dapat menjimatkan perbelanjaan makan pagi.




Tetapi ada kalanya Kak Noor sendiripun tak sempat menyediakan sarapan pagi. Bila keletihan melanda, kekadang waktu terlewat juga bangun pagi. Masa ini dah tak boleh menjengok dapur, fokus nak pergi kerja aje... So anak-anak akan beli breakfast kat kedai aje.  Nasib baiklah di hadapan rumah ada dijual nasi lemak dan kuih-muih.

Ok berbalik kita kepada breakfast yang Kak Noor sediakan iaitu Mee Kering Goreng Udang @ Maggi Goreng Udang. Anak-anak lebih menggemari mee kering ini daripada mee basah. Rencahnya pula Kak Noor gunakan udang.  Memanglah sedap!  Bila kita guna udang, akan rasalah kemanisan air udang menyerap di dalam mee. Kerap juga Kak Noor beli maggi goreng ini di pasar malam. Sebungkus RM2.50 – RM3.00.  



Bahan-bahannya:
12 keping mee kering - apa-apa jenama pun boleh asalkan halal
15 ekor udang saiz sederhana - dipotong kepala dan ekornya
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram ayam
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil sos ikan
1 biji tomato – dipotong kiub
1 cawan mixed vegetables – boleh dibeli dalam paket
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup/daun bawang
Cili merah
Bawang goreng

Bahan-bahan ditumis:
Minyak secukupnya untuk menumis
1 biji bawang besar – dicincang halus
3 ulas bawang putih – dicincang halus
1 senduk cili kering kisar

Cara-caranya:
1. Panaskan air di dalam periuk. Bila air mendidih masukkan kepingan mee kering. Biar di atas dapur sehingga ia lembut dan kembang sedikit. Angkat dan letakkan dalam penapis dan cucurkan dengan air paip supaya hilang panasnya. Tos dan ketepikan.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering kisar. Gunakan api perlahan dan masak sehingga terbit minyak.

3. Kemudian masukkan sedikit air, sos tiram, sos cili, sos ikan, dan kicap manis. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.

4. Masukkan udang dan kacau. Bila udang telah masak, masukkan pula mixed vegetables. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau rata.

5. Akhir sekali masukkan mee kering dan kaup balikkan sehingga bergaul mesra.

6. Tutup api. Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang, cili merah, dan bawang goreng.

Selamat mencuba. Anak-anak tentu menggemarinya.


3 Jun 2014

Kunamakan samperitku SAMPERIT COME sebab ia comel sangat...

Assalamualaikum.  

N3 kali ini mengenai samperit lagi.  Tak jemu-jemu Kak Noor ceghite pasal samperit kan?  Teruja juga dengan Samperit Come ini. Come sesangat! (Puji sendiri pulak!) Tetiba... aje boleh jadi kecik macam tu! 





Sejak semenjak ini Kak Noor busy `menyemperit' bagi memenuhi tempahan rakan-rakan yang ingin merasa samperit come ini. Hujung minggu sahajalah masa yang terluang untuk Kak Noor membuatnya. Lagipun pada setiap hujung minggu baru ada assistant; iaitu anak sulung perempuan Kak Noor.  Bila dia ada, rasa lega.... sangat sebab tugas Kak Noor hanya membancuh, memicit dan packing aje... Bab meletak ceri dan membakar dia yang bantu. Kalau nak harap Kak Noor seorang diri, perlahanlah sikit prosesnya, macam kura-kura. Ha..ha.. Kak Noor kalau bab nak tengok api ni memang malas sikit.  Wajah samperit yang sempurna apabila kita keluarkannya daripada oven kelopak bunganya tidak jatuh, dan warnanya masih kekuningan termasuk tapaknya.




Syukur Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada kawan-kawan terdekat memberi semangat kepada Kak Noor untuk terus menerima tempahan.  So far semua kata samperit ini come dan sedap.  Dia orang suke...dan repeat order untuk hari raya pulak. Ada juga yang ingin menjadi agen untuk menjual samperit ini. Hai... kena fikir dua kali, takut tak menang tangan pula membuatnya.  


Pre-order daripada kekawan


So di sini Kak Noor ingin kongsikan foto samperit come ini dengan kekawan semua. Rasa sayang pula nak makan kalau dah display macam ni kan!?  Samperit ini gebu dan melting in the mouth.





1 Jun 2014

Kari Udang Campur Ubi Kentang & Lobak Merah



Bahan-bahannya:
1 kg. udang saiz sederhana – dipotong kepala dan ekor
2 biji bawang besar – dikisar
3 ulas bawang putih + 1 inci halia – dikisar
*3 sudu besar serbuk rempah kari ikan dan udang BABAS
*2 sudu besar serbuk rempah kari ikan masin BABAS
(* disatukan dan dibancuh dengan air, dijadikan pes)
1 ½ cawan pati santan - Kak Noor guna santan sawit KHALIS
3 – 4 cawan air
5 biji ubi kentang saiz sederhana – dipotong dua
1 biji lobak merah – dipotong memanjang atau bulat
2 biji cili hijau
1 biji tomato saiz besar (tidak berapa masak) – dibelah empat
½ kiub ikan bilis
1 keping asam gelugor (asam keping)
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar – dihiris
1 batang serai – dititik
1 sudu besar jintan manis
2 tangkai daun kari

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis hirisan bawang besar, serai, jintan manis dan daun kari. Apabila bawang besar layu, masukkan kisaran bawang putih + halia. Kacau dan kemudian masukkan kisaran bawang besar.
2. Kemudian masukkan pes rempah BABAS dan kacau rata. Tutup periuk, perlahan api, dan masak sehingga terbit minyak.
3. Setelah terbit minyak masukkan pati santan dan air secukupnya. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih. 
4. Setelah kuah mendidih, masukkan ubi kentang dan masak sehingga ½ empuk. Kemudian masukkan lobak merah dan udang, dan kacau. Perasakan dengan kiub ikan bilis, garam, gula, dan asam gelugor. 
5. Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih. Bila ubi telah empuk dan udang telah masak tutup api. Masukkan cili hijau dan tomato.


Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang