Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

29 Disember 2016

Lets Cook with Kicap ENAQ, Ayam Masak Kicap Cabai

Assalammualaikum.

LETS COOK with Kicap ENAQ. Memang sedap sangat.  Siapa yang belum memiliki kicap ini bolehlah mencubanya. Kicap ini telah jadi viral di media masa. 



Sejak dahulu lagi kita cuma mengenali kicap jenama Tamin, Jalen, dan Kipas Udang. Kini kicap terbaharu di pasaran iaitu Kicap ENAQ tidak kurang sedapnya, malah lebih sedap dan lebih ekonomik.  Sesuai dengan tag linenya `Tersedap, Bukan Termahal' kicap ini telah mula diterima oleh masyarakat. Kalau dulu kicap ini sukar didapati di pasar raya, tetapi sekarang ini mudah diperolehi di semua pasar raya ternama, malah di negara Berunai.  Produk Bumiputra dan Halal Toyibban. Thumbs-up to Kicap ENAQ dan ownernya Hj Jaffar Abu Bakar (JAB).




Kak Noor memang telah bertukar kepada kicap Enaq sejak kemunculannya di pasaran.  Masa itu kicap ini belum lagi dikenali ramai. Biasalah sebagai consumer, kita akan beli jenama yang biasa kita beli; amat sukar untuk bertukar kepada jenama atau produk baharu yang lain.  




Tetapi bila owner kicap ENAQ sendiri memberi sample kicap ENAQ untuk dirasai, dan Kak Noor telah  mencuba memasak pelbagai menu menggunakan kicap ENAQ ini, hasilnya memang awesome.  Sejak itu hanya kicap ENAQ sahaja yang bertakhta di rumah Kak Noor.

Jom tengok video ni sekejap.  Tentu teruja nak cuba resepi inikan.  Memang sedap.  Apalagi kalau makan bersama nasi panas.  Anak-anak pun suka sebab rasa pedas dan manisnya seimbang.





Inilah salah satu resepi faveret famili yang menggunakan kicap lemak manis ENAQ, Ayam Masak Kicap Cabai.   Kak Noor telah cuba kicap lain untuk masakan ini tetapi hasilnya tak seenak menggunakan kicap ENAQ.  





Ayam Masak Cabai Kicap
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:


1 ekor ayam – dibuang kulit dan dipotong 16 atau ikut suka
2 sudu besar sos tiram

Kicap lemak manis ENAQ secukupnya
2 sudu besar serbuk jintan manis
2 sudu besar serbuk jintan putih

2 sudu besar serbuk cili
1 labu bawang besar – dipotong bulat

1 biji tomato saiz besar - dipotong 4
2 biji cili hijau - dihiris serong
1 sudu besar madu (opsyen)

1 tangkai daun kari - untuk ditabur
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menggoreng ayam

Bahan-bahan B (Tumis):
2 batang serai – diketuk
2 tangkai daun kari
1 labu bawang besar – dihiris
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan C (dikisar halus):
2 senduk nasi cabai kering
2 labu bawang besar saiz sederhana
3 ulas bawang putih
1 inci halia (saiz ibu jari)

Bahan-bahan D (Perapan Ayam):
1 sudu kecil garam halus
Serbuk kunyit secukupnya
1 sudu besar serbuk Cukup Rasa Maggi

Persediaannya:
1. Ayam diperap bersama serbuk kunyit, garam, dan serbuk Cukup Rasa Maggi selama 30 minit. Kalau boleh perap semalaman di bahagian sejuk beku lagi bagus. Bila nak goreng keluarkan dan nyakbekukan dulu.
2. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Goreng ayam ¾ masak dan toskan.

Cara-cara Memasak:
1. Ambil minyak gorengan ayam secukupnya untuk menumis. Tumis bahan B; serai, hirisan bawang besar, dan daun kari sehingga layu dan naik bau.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan C yang telah dikisar halus, kacau rata, dan dimasak sehingga terbit minyak (cabai garing).
3. Masukkan sos tiram dan kacau lagi. Masukkan sedikit air (bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki), gula, dan garam secukupnya. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Kemudian masukkan ayam gorengan tadi. Tuang kicap lemak manis ENAQ secukupnya, serbuk jintan manis, jintan putih,serbuk cili,  dan kacau rata. Biar ia mereneh di atas dapur sehingga ayam masak.
5. Sebelum tutup api, masukkan potongan bawang besar, buah tomato, cili hijau dan madu. Kacau rata sehingga bawang besar layu sedikit, kemudian bolehlah ditutup api. Taburkan daun kari.

6. Sedia untuk dihidangkan. 

12 Disember 2016

KEK BATIK EXTRAVAGANZA SEDAP (TOPPING COKLAT GANACHE, CHEESE DAN CHOCOLATE RICE)

Assalammualaikum.


Dalam banyak-banyak posting,  Kak Noor cuma perasan ada satu sahaja N3 berkaitan kek batik yang dimuatkan dalam blog Kak Noor bertajuk Kek Batik Marie Ekspres. Ini bermakna kek batik marie memang jarang dibuat untuk kudapan famili, walaupun anak-anak begitu menggemari kek ini. Sebenarnya penyediaan dan cara membuatnya memang ringkas dan mudah, tak perlu guna oven, cuma disejukkan di dalam peti ais. 



Kalau untuk resepi asas kek batik marie, kebanyakan bahan-bahan yang digunakan memang telah tersedia stok di rumah. Cuma perlu beli bahan utamanya iaitu biskut marie. Pun begitu ada juga resepi yang menggunakan biskut disgestive. Tetapi untuk resepi kek batik ini Kak Noor lebih prefer menggunakan kombinasi biskut marie dan biskut tiger; kedua-duanya jenama Tiger. 



Semasa kecil dahulu tak pernah tahu yang biskut marie boleh dibuat kek. Hmm...mungkin juga nenda tidak pernah membuatnya. Biasanya biskut marie ini Kak Noor buat ala-ala nestum. Caranya dengan merendam biskut marie di dalam teh o. Selepas biskut lembik, kacau sampai biskut hancur. Kalau nak sedap letak gula lagi. Jadilah nestum.... nyum..nyum..




Tetapi untuk penyediaan kek batik  kali ini, resepinya diubah suai mengikut citarasa Kak Noor hasil daripada melayari blog rakan-rakan yang memuatkan pelbagai resepi kek batik. Kebanyakan resepi yang ditemui hanya menumpukan kepada penggunaan biskut marie dan koko.  


So Kak Noor ambil satu pendekatan iaitu untuk mengolah resepi sendiri berdasarkan resepi-resepi yang sedia ada. Selepas menciptanya (macam komposer lagu pulak) dengan mencampuradukkkan bahan-bahan untuk resepi-resepi tersebut, maka terhasillah satu resepi Kek Batik inspirasi daripada Kak Noor. Kak Noor namakan kek batik ini dengan nama `Kek Batik Extravaganza Sedap'.  


Kek Batik olahan Kak Noor ini adalah esidi istimewa dan pertama kali released kepada jiran Kak Noor yang bernama Yang Noi. Sebelum kepemergiannya ke tanah suci menunaikan umrah bersama suami dan anak-anak, beliau telah menempah beberapa jenis biskut dan kek untuk diberikan kepada sahabatnya.  Katanya sebagai surprise,  dan meminta tolong Kak Noor deliver kepada sahabatnya nanti. Beliau request kek batik sebab sahabatnya pernah menyatakan keinginan nak makan kek batik bila terlihat gambar yang dimuatkan dalam FB. 


Wow! bila dah buat memang berbaloi. Tak sia-sia memerah otak untuk mencipta resepi ini. Sedap sangat mak ooi... Tengok ajelah bahan-bahan yang digunakan dalam resepi ini. Mesti kau orang semua dah dapat imagine betapa extravaganza sedapnya Kek Batik  ini.


Okay jom kita layan resepinya di bawah:

Resepi Kek Batik Extravaganza Sedap
(Topping Ganache, Cheese, dan Chocolate Rice)
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahan:
500 gm biskut marie susu - patah 4
100 gram biskut susu Tiger – patah 2
250 gm butter (Kak Noor guna jenama twin cows)
3 biji telur gred A - pukul sikit
1 cawan susu pekat manis coklat jenama SAJI
1 cawan susu segar perasa coklat Gooday
1/2 cawan serbuk koko
½ cawan serbuk milo
½ sachet coffee hazelnut
2 sudu besar susu tepung berkrim
1 sudu besar butter vanilla
1 sudu besar chocolate emulco
½ cawan mixed fruits
½ cawan kismis
½ cawan coklat chip
¼ cawan cornflakes – diramas kasar
Almond nib/almond flakes yang telah dipanggang
3 sudu besar sirap coklat Van Hounten

Topping:
Coklat ganache
Parutan keju
Coklat rice

Cara-caranya:
1. Mula-mula cairkan mentega terlebih dahulu menggunakan api yang sederhana.
2. Masukkan susu pekat coklat, susu segar, dan kacau sebati.
3. Kemudian masukkan telur dan butter vanilla. Kacau sehingga bergaul rata dan sebati.
4. Masukkan milo, serbuk koko, coffee hazelnut, dan susu tepung. Kacau sehingga sebati. Masak sehingga sedikit pekat dan berkilat. Tutup api.
4. Cepat-cepat masukkan biskut, diikuti dengan dengan mixed fruits, kismis, coklat cip putih, cornflakes, dan almond. Gaul sebati dan semua bahan diselaputi
6. Tuang ke dalam loyang 9 x 9 yang telah digriskan dengan butter terlebih dahulu (semasa ini adunan masih lagi suam)
7. Susun dan tekan biskut sehingga padat.
8. Curahkan coklat ganache di atas permukaan kek tadi dan sapu rata. Taburkan parutan keju dan coklat rice.
9. Sekiranya mahu keseluruhan kek disaluti oleh coklat ganache, masukkan adunan ke dalam peti ais terlebih dahulu setelah kaedah No. 7. Selepas adunan menjadi keras, keluarkan daripada loyang, dan teruskan dengan kaedah No. 8.  Semasa mengeluarkannya sapukan sedikit butter pada spatula.
8. Tutup loyang dengan pembalut plastik, dan akhir sekali sejukkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama dua jam. Kalau semalaman lagi elok.
9. Keluarkan kek batik tadi daripada peti ais dan biarkan di luar selama lebih kurang 10 minit supaya ia lembut kembali sebelum dipotong.

Penyediaan Coklat Ganache: Nisbah 1:1
100 gram coklat milk compound
100 ml whipping cream

Cara-caranya:
Teknik yang betul mencairkan Coklat Compound adalah setup asas (wap air panas)

1. Panaskan air di dalam periuk atas dapur. Bila dah berasap, tutup api.
2. Di atasnya letakkan bekas yang lebih besar berisi coklat yang telah dipotong kecil dan whipping cream. Gaulkan secara perlahan sehingga coklat cair sepenuhnya dan sebati dengan krim.
3. Sejukkan menggunakan suhu bilik sebelum digunakan .

Tips:
Gaulkan campuran tersebut dengan sebati dan secara perlahan sehaja supaya udara tidak terperangkap di dalam coklat tersebut, yang akan menyebabkan tekstur coklat Ganache yang tidak licin.

21 November 2016

Kek Red Velvet Versi Bakar; cheese leleh atau plain, kedua-duanya citarasa famili

Assalammualaikum.

Suatu ketika dahulu fenomena Kek Red Velvet menjadi viral di sana sini. Semua teruja untuk membuatnya, mungkin disebabkan teruja dengan warna red velvetnya dan gambar-gambar yang menggamit selera. 

Gambar Hasil Google, memang teruja melihat hasilnya
Bagi tahap sifu tu, sudah tentu dah cukup mahir untuk membuat kek ini. Tetapi bagi yang tidak pernah langsung membuat kek, dan mungkin baru berjinak-jinak belajar nak buat kek ini, sudah tentu memerlukan satu resepi yang mudah untuk diikuti dan langkah-langkah untuk penyediaannya.

Kek Red Velvet Versi Bakar
Bagi yang baru nak berjinak-jinak membuat kek seperti Kak Noor sendiri, disyorkan rujuk resepi yang diposkan oleh Sifu Azlina Ina dalam page FBnya Azlina Ina Fans. Terdapat pelbagai resepi kek; dari resepi kek yang simple hinggalah yang agak heavy, semuanya memang menggamit selera. Bukan hanya sekadar gambar kek yang mengancam selera diposkan, tetapi juga dimuatkan sekali dengan tutorial bergambar untuk membuat kek. 



Kak Noor yang selama ini hanya bertindak sebagai `pemerhati' kepada gambar-gambar kek yang diposkan pun teruja untuk cuba membuatnya. Memang terliur dibuatnya. Alhamdulillah, setelah mengikuti tutorial sifu Azlina Ina melalui FBnya, dah boleh buat kek untuk makan sendiri  dan ada sesetengah kek yang simple tu dah boleh dibuat dijual. 


Terdapat pelbagai variasi kek red velvet ini. Kalau google, pelbagai `wajah' kek red velvet yang dipaparkan. Dari segi method masaknya, ada dua cara sama ada kukus atau bakar. Kebiasaannya Kak Noor kukus sahaja bila buat kek ini, tetapi hari ini cuba versi bakar pula. Nasib baik resepi Kek Red Velvet Azlina Ina tu boleh digunakan untuk kedua-dua method. 

Selepas kek masak, diterbalikkan di atas redhai terlebih dahulu

Dah dua minggu hasrat nak buat Kek Red Velvet Cheese Leleh ini tertangguh disebabkan faktor kesihatan dan yang paling utama tak berapa ada mood nak masuk dapur. Biasalah bila tak sihat, semua aktiviti jadi hambar dan rasa malas menguasai diri. Kasihan kepada si bongsu dah lama minta untuk ibu buatkan Kek Red Velvet Cheese Leleh ini. 


So minggu ini, diteruskan projek yang tertangguh itu. Badan pun dah sihat. Tetapi tulah ada yang request nak kek red velvet yang plain, dan ada pula yang request nak letak topping cream cheese sampai overload leleh😆. Layan aje lah... 

Kek Red Velvet Cheese Leleh Perasa Bandung

Kalau yang tahap overload leleh tu of courselah request daripada sibongsu. Tak cukup yang leleh atas kek, ditambahnya lagi baki topping yang ada bila nak makan. Untuk toppingnya pula Kak Noor tukar salah satu bahan toppingnya iaitu menggunakan susu pekat perasa bandung jenama Saji instead of susu pekat biasa. Sebab tu krimnya bewarna pink.


Jom kita tengok resepinya.

KEK RED VELVET - VERSI BAKAR
Resepi asal oleh:  Azlina Ina
Diedit oleh:  Kak Noor @ SajianDapurBonda

Bahan A (buat buttermilk)
1 cawan susu segar atau susu cair
1 sudu besar cuka masakan - (Kak Noor guna cuka epal jenis Heinz)
1 sudu besar pewarna red velvet
(Satukan semua bahan di atas, biar 10 minit dan jangan kacau).

Bahan B:
250 gram Buttercup
1 1/4 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen butter vanilla
(Mixed bahan-bahan di atas sehingga kembang)

Bahan C:
2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu besar serbuk koko
(Satukan bahan-bahan di atas dan ayak bersama-sama)

Cara-caranya:
1.  Masukkan telur sebiji-biji dalam adunan butter (Bahan B) dan mix selama lima minit.
2.  Masukkan Bahan C berselang-seli dengan Bahan A (kacau dulu) tadi. Mix tiga minit dan matikan mixer.
3. Lapik dasar loyang dengan baking paper dan sapu mentega.
4.  Tuang adunan di dalam loyang dan bakar menggunakan suhu 150C selama 40 - 45 minit (bergantung kepada oven masing-masing)
5. Setelah masak, buka pintu oven dan biarkan 5 minit di dalam oven.
6.  Selepas itu keluarkan daripada oven dan terbalikkan di atas redhai lebih kurang 5 minit.  Selepas itu terbalikkan semula.
7.  Bila telah sejuk bolehlah diletakkan topping.

Bahan-bahan Topping:
250 gram cream cheese tortura
1/2 cawan susu pekat manis Bandung jenama Saji
1/4 cawan whipping cream
(Satukan bahan-bahan di atas dan mix sehingga sebati.  Kemudian tuang atas kek).


Resepi Asal Kek Velvet oleh Azlina Ina




14 November 2016

EGGLESS RICH FRUIT CAKE (VERSI BAKAR)

Assalammualaikum.


 
Alhamdulillah sempurna kejadian kek buah tanpa telur ini walaupun percubaan kali pertama. Dah lama teringin nak makan kek buah hasil air tangan sendiri, tapi pada setiap kali nak buat, rasa macam tak ada mood pula.


Kalau nak dibeli di kedai, sudah tentu semua kek ada telur. Disebabkan faktor kesihatan, buat sementara waktu ini perlu pantang masakan yang ada telur. 


Puaslah juga google cari resepi kek buah tanpa telur. So menyinggahlah di dapur beberapa blogger yang memuatkan resepi kek buah tanpa telur. Tertarik dengan gambar kek buah yang dimuatnaikkan dalam blog `Dapurku Sayang’; membangkitkan selera dan cara membuatnya pun mudah. Terima kasih kepada empunya resepi. Yang paling mudah, tak perlu guna mixer (kalau guna mixer, banyak pula kerja nak membasuhnya selepas digunakan).



Kek buah ini faveret Encik Hasben juga. Bolehlah dibuat kudap-kudapan nanti. 


Resepi kek buah ini Kak Noor edit kembali mengikut ketersediaan bahan-bahan yang ada di rumah. Untuk resepi asal boleh klik link Resepi Asal Dapurku Sayang. 


EGGLESS RICH FRUIT CAKE (VERSI BAKAR)
Inspirasi: Sajian Dapur Bonda
Resepi Asal: Dapurku Sayang

Bahan A:
360 gram tepung gandum (ayak 3 kali) 
2 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu besar orange emulco

Bahan B:
250 gram mentega
350 gram mix fruits
¼ cawan ceri dihiris halus
250 ml susu sejat
170 gram gula perang
2 sudu besar susu pekat manis

Bahan Taburan:
Almond flakes

Cara-caranya:
1. Bahan A: Semua bahan disatukan kecuali emulco oren, dan diayak tiga kali. Masukkan di dalam bekas pengadun. 
2. Bahan B: Semua bahan (kecuali mix fruits dan ceri) disatukan di dalam periuk dan masak sehingga semuanya larut dan sebati. Kemudian masukkan mix fruits dan ceri, dan digaul rata. Masukkan ke dalam bekas pengadun dan ketepikan sehingga sejuk. 
3. Apabila bahan B telah sejuk, satukan bahan A. Masukkan sedikit-sedikit. Gaulkan dan sebatikan dengan senduk kayu atau spatula.
4. Akhir sekali masukkan orange emulco. Kacau lagi sehingga sebati.
5. Tuangkan ke dalam loyang empat segi 9”x9”. Lapik dahulu dengan baking paper yang disapu dengan sedikit mentega di sekelilingnya. Taburkan almond flakes. 
6. Bakar selama 50 minit atau 1 jam atau sehingga masak pada suhu 160 – 170C (kepanasan bergantung pada jenis oven masing-masing).
7. Setelah masak, keluarkan daripada oven. Terbalikkan di atas redai. Setelah suam, keluarkan loyang daripada kek. Biarkan sejuk baru dipotong.

14 Oktober 2016

Daging Goreng Kunyit Berempah, memang mudah dengan periuk Noxxa.

Assalammualaikum semua.

Malam ini baru sempat bersiaran.  Siang hari asyik sibuk dengan rutin harian. Malam ini tak rasa mengantuk pula. Sambil jari jemari ini mengetuk keyboard, sempat juga mengerling ke kaca TV yang sedang menayangkan cerita hantu Thailand di channel Astro Citra bertajuk `Coming Soon'. Dan pada masa yang sama sebagai peneman kepada sibongsu yang takut menonton cerita hantu seorang diri. 




Malam ini Kak Noor nak kongsi satu menu yang senantiasa menjadi faveret Kak Noor. Kalau makan nasi kerabu mesti pilih lauk ini. DAGING GORENG KUNYIT BEREMPAH inspirasi daripada Kak Noor sendiri, Tak cekedot dan google kat mana-mana tau; fresh resepi from the bottom of my heart.  Kelainan pada menu daging goreng kunyit berempah ini ialah dagingnya diperap semalaman. Tentulah sedap bila dimakan sebab rempah-rempahannya telah menyerap masuk ke dalam daging. 


Menu ini Kak Noor masak semalam. Siap masak jam 6.00 pagi. Kalau ada periuk Noxxa di rumah, waktu pagi sebelum pergi kerja pun sempat masak untuk famili. Kak Noor tidak guna periuk Noxxa sepenuhnya untuk memasak daging goreng kunyit berempah ini. Periuk Noxxa cuma Kak Noor guna untuk empukkan daging yang telah diperap semalaman. Selepas daging empuk, Kak Noor pindahkannya ke dalam kuali untuk ditumis secara manual. Kak Noor lebih suka cara begini.

Inilah hot pot yang dibeli daripada Maestro Ateh Wan.  1 set ada 4 biji.  Harga RM150

Bagi memastikan lauk masih panas bila anak makan, Kak Noor letak di dalam hot pot yang dibeli daripada Maestro Ateh Wan, tahan 6 jam panas. 1 set ada 4 biji; 3 biji hot pot dan satu flask. Memang banyak membantu hot pot ini.Tak rugi membelinya. Sekarang ini bila masak, terus masukkan ke dalam hot pot. Makanan pun masih elok sehingga ke malam.

Urmm... rasanya dah tak dapat bertahan mata ni.  Jom kita layan resepinya di bawah ini sebelum Kak Noor terlelap di depan komputer. 

Resepi Daging Goreng Kunyit Berempah
Inspirasi: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
1 kg. daging tempatan (bahagian isi)  - dipotong menjadi kepingan kecil
Garam dan gula secukup rasa
2 cawan air

Bahan-bahan B (perapan daging): 
2 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar gula pasir
1 sudu besar perencah maggi cukup rasa
1 sudu besar madu

Bahan-bahan C (tumisan):
1 biji bawang besar - dirancik halus
2 ulas bawang putih - dirancik halus
1 inci halia - dipotong mancis
Minyak secukupnya

Bahan-bahan D:
1 biji tomato saiz besar - dipotong wedges
2 biji bawang besar - dipotong gegelang
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris
2 batang daun sup - dihiris serong

Cara-caranya.
1. Gaul daging bersama-sama bahan B. Perap semalamam di dalam freezer.
2. Esok pagi, keluarkan daging daripada freezer. Masukkan daging bersama 1 cawan air di dalam inner periuk noxxa. Masak guna High Pressure 30 minit(tempoh masa daging empuk).
3. Selepas 30 minit periuk akan berbunyi beep. Releaskan wap. 
4. Panaskan minyak di dalam kuali secukupnya. Tumis bahan-bahan C setakat bahan-bahan layu sahaja. Kemudian masukkan daging yang telah empuk tadi di dalam kuali. Kacau rata. Sekiranya mahu daging nampak lebih bewarna kuning bolehlah ditambah serbuk kunyit lagi. 
5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. 
6. Bila daging telah cukup rasanya, masukkan bahan-bahan D. Kacau sehingga kesemuanya bergaul mesra. 
7. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Selamat berkongsi resepi.


Tips:

Petua ini daripada bonda Kak Noor.  Bila basuh daging, perap dulu daging bersama tepung gandum dan cuka masakan selama 3 minit.  Kemudian dibasuh bersih.  Insya-Allah daging akan lembut dan manis.

17 September 2016

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu.

Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang. 



Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula. 



Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Daging, kita masak kuahnya sampai kering. 

Antara bahan-bahan yang dikisar halus

Resepi Rendang Tok Versi Ayam ini adalah inspirasi dan eksperimen tokok tambah Kak Noor sendiri setelah berpenat lelah menggoggle resepi-resepi rendang tok yang ada dalam internet. Setelah penat buat research (macam buat tesis pulak dah... ) dan mentelaah resepi-resepi sekalian yang ada, maka ia dikombinasikan dengan resepi warisan keluarga, maka terhasillah Rendang Tok Versi Ayam ini. 

Rendang Tok Ayam yang telah siap ditempah - Ready for Delivery

Resepi inilah yang Kak Noor gunakan untuk jualan. Customer yang pernah menempah rendang ini kata sedap dan repeat order.  Rendang Tok Versi Ayam ini Kak Noor jual dengan harga RM60.00 untuk seekor ayam anggaran 2 kilo. Harga ini dinobatkan setelah mengambil kira harga ayam di pasaran ketika ini yang melambung naik secara tiba-tiba, di mana dahulunya cuma RM4.50 - RM6.00 sekilo, sekarang ini telah mencecah RM9.00 sekilo. Di samping itu penggunaan bahan-bahannya yang boleh dikatakan `meriah' juga.     

Santan Sawit Khalis, pengganti santan kelapa.
Salah satu cara untuk menghasilkan rendang yang sedap ialah penggunaan santan yang mencukupi.  Kak Noor guna santan sawit Khalis kerana santannya pekat dan lebih ekonomik.  Telah banyak kali Kak Noor guna dalam masakan rendang dan juga masakan harian, hasilnya memang sedap. Lagipun ia rendah kolestrol dan baik untuk kesihatan.  

Bagi sesiapa yang teringin nak merasa Rendang Tok Versi Ayam, Sajian Dapur Bonda bolehlah roger Kak Noor. Tempahan di hujung minggu dan cuti am sahaja. Hari lain Kak Noor ada tugas di pejabat, masuk jam 0830, dan balik jam 1730. Tak sempat nak `berperang' di dapur bila balik kerja. ... dan lagi satu takut rendangnya tak menjadi. Biarlah bila kita masak tu.. dalam keadaan mental yang tenang, ceria, baru masakan menjadi enak dan sedap.


Dan... bagi sesiapa yang nak save bajet dan nak ingin mendalami skil memasak rendang, boleh bereksperimen sendiri mencuba resepi ini. Kak Noor dengan seiikhlas hati berkongsi resepinya di sini. Kalau boleh Kak Noor nak ambil video dan tunjuk step by step cara memasaknya, tetapi masa senantiasa mencemburui daku. Hanya sempat snap gambar aje untuk tutorial. Harap dapat dimanfaatkan bersama. 

Selamat Mencuba.


Rendang Tok Versi Ayam
Inspirasi: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
Seekor ayam segar (anggaran 2 kg) – dipotong 12
2 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air = 3 cawan santan 
(kalau guna santan kelapa, gunakan tiga cawan pati santan)
6 sudu besar kerisik
5 keping asam gelugor
4 keping daun kunyit – dihiris halus
5 – 6 helai daun limau purut
1 batang serai – dititik
3 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam

Bahan-bahan B (dikisar basah):
8 sudu besar cili kering kisar
4 biji bawang besar – dipotong kecil terlebih dahulu
4 ulas bawang putih
6 batang serai – dipotong serong
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
Air secukupnya

Bahan-bahan C (rempah):
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu keci serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu besar serbuk garam masala
1 sudu kecil serbuk rempah masak hitam – Kak Noor guna jenama Az-Zain
Air secukupnya

Persediaan Sebelum Memasak:
1. Ayam dipotong 12 dan dibuang semua kulit. Kemudian lumurkan ayam dengan 3 sudu besar tepung gandum dan 2 sudu cuka. Biarkan 2 minit. Kemudian basuh bersih dan toskan (Kaedah ini selalu digunakan oleh Kak Noor untuk menghilangkan bau hanyir ayam dan isinya kembali pejal setelah dibasuh – petua daripada bonda).


2. Perap ayam bersama 3 sudu besar rempah daging dan 1 sudu besar serbuk kunyit selama lebih kurang 20 minit.



3. Panaskan minyak dan goreng ayam ½ masak. Angkat dan toskan.



4. Masukkan kesemua Bahan B di dalam blender basah dan kisar sehingga semua bahan lumat. 



5. Satukan kesemua Bahan C dan bancuh dengan sedikit air sehingga menjadi pes.


Cara-cara Memasak:


1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis serai sehingga layu sedikit.



2. Kemudian masukkan bahan kisar B, kacau rata. Diikuti dengan bahan C (pes rempah). Kacau dan masak sehingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.



3. Selepas itu tuang santan dan kacau. Masak sehingga mendidih.



4. Kemudian masukkan ayam, diikuti dengan asam keping, daun limau purut, kerisik, gula perang, gula putih, dan garam. Kacau rata sehinga semuanya rasa sebati.



5. Bila ayam telah masak dan kuah agak pekat, masukkan hirisan daun kunyit ke dalam rendang. Kacau sehingga sebati dan biarkan mereneh 1 minit di atas dapur sebelum tutup api.



6. Ayam Rendang Tok Ayam telah siap untuk dihidangkan.

21 Ogos 2016

KARI KETAM DENGAN NANAS (TUMIS DARAT), kuahnya always be my faveret.

Assalammualaikum semua.  

Apa yang ibu-ibu masak untuk menu tengah hari tadi. Adakah sama menu makan tengah hari dengan menu untuk makan malam ini.  Bagi Kak Noor menu tengah hari sama aje dengan menu malam sekiranya lauk yang dimasak siang tadi masih banyak lagi.  



Biasanya bila masak lauk, Kak Noor akan bajet ia cukup sehingga ke malam.  So tak payahlah dua tiga kali berperang di dapur.  Panaskan aje. Lagipun Encik Hasben dan anak-anak dah tak kisah makan lauk yang sama, telah menjadi kebiasaan mereka.  Sebelah malam adalah masa untuk kita yang dah masuk 50 series ini rehat-rehatkan badan dan tenangkan fikiran.  Esok pagi mental dan fizikal perlu fresh untuk ke tempat kerja.  


Tetapi seandainya pada hari itu permintaan melebihi pengeluaran, maka perlulah ada kontigensi.  Kita pun tak dapat nak baca selera ni,  Kadang-kadang selera meningkat secara tiba-tiba.  Justeru itu stok-stok makanan kering seperti telur, ikan bilis, ikan kering dan sardin tin senantiasa tersedia di dalam almari.  


Ok itu kisah ibu-ibu di dapur.  Mungkin ada yang sama ceritanya dengan Kak Noor.  So malam ini Kak Noor just nak kongsi menu tengah hari tadi iaitu Kari Ketam masak dengan nanas, masak cara tumis darat. 

Bahan-bahan untuk tumis dara

Berdasarkan pengalaman otai-otai dalam bidang masakan, masak kari ketam cara tumis darat ebih sedap daripada cara tumis biasa. Sebenarnya Encik Hasben lebih gemar kalau masak lemak kuning dengan nanas.  Tetapi dah selalu sangat; setiap kali beli ketam mesti nak masak lemak kuning. Kak Noor dah jemu. Kali ini kena ikut lidah cheq pula no.... taste dan lidah  oghang Utaqha. Cheq nak masak kari pula.  Dah lama tak masak kari.  Dok ingat lagi masa kecik-kecik, kuah kari ketam ini rasanya lebih sedap dan manis selepas hari.  Panaskan dan kemudian cicah ngan roti benggali.  Kalau roti benggali dibakar lagilah sedap. Hm..hm.. sejenak nostalgia.



Walaupun sebelum ini N3 menu Kari ketam pernah dimuatkan dalam blog ini, namun Kak Noor masih ingin kongsikannya sekali lagi dalam tahun 2016 ini. Mungkin ada penggunaan bahan-bahan berlainan untuk resepi kali ini. Jom kita skrol di bawah.


KARI KETAM DENGAN NANAS (TUMIS DARAT)
Inspirasi:  Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda.

Bahan-bahannya:8 ketul ketam bunga - seekor dipotong dua
2 biji tomato – sebiji dibelah empat
Cili merah atau cili hijau – dibelah dua tetapi tidak putus
½ biji nanas – dipotong kecil
1 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air menjadikannya 2 cawan santan
Garam secukup rasa
1 sudu kecil penambah rasa kuah TUMIX

Bahan-bahan dikisar:
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
6 sudu besar Serbuk Kari Ikan dan Udang Pedas BABA’S
2 cawan air

Bahan-bahan tumis darat:
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil halba
1 inci halia – dihiris mancis
5 biji cili kering
2 helai daun kari
Minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1. Buang kulit ketam dan basuh ketam bersama garam dan limau kasturi untuk menghilangkan bau hanyir ketam.
2. Masukkan ketam di dalam periuk bersama-sama bahan kisar. 
3. Masukkan nanas dan santan. Perasakan dengan garam dan penambah rasa kuah TUMIX. Kacau dan masak sehingga kuah mendidih dan ketam masak sepenuhnya. 
4. Sejurus sebelum ditutup api, masukkan buah tomato dan cili merah/cili hijau.
5. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darah sehingga garing. 
6. Tuang bahan-bahan tumisan tadi di dalam periuk ketam. Tudung periuk supaya aroma bahan-bahan tumisan bercampur dengan kari ketam.
7. Sebelum dihidangkan, kacau rata supaya semuanya bergaul mesra. 

20 Ogos 2016

KEK MARBLE COCONUT PANDAN BUTTER MILK, ada kelainan aromanya.

Assalammualaikum.

Kebiasaannya bila weekend Kak Noor akan buat kek marble untuk customer yang order masa weekday. So bila dah masak anak yang bongsu selalu bertanya, `Kek ni kita punya ke?.. tapi jawapan yang sama saya beri pada setiap minggu. Ini ada orang order'. Si bongsu tanya lagi, kat kita tak ada ke? So saya akan jawab, tak de... bukan makan punnn.. kalau ibu buat.. membazir aje'. Si bongsu diam dan berlalu pergi.



Minggu ini pertanyaan yang sama diajukan. Suka hatinya bila dapat tahu kek yang siap dibakar atas redai itu ibu buat untuk makan-makan keluarga. Dicuitnya kerak-kerak kek dan terus ngap ke mulutnya. Sedap sangat katanya. 





Tapi seperti biasa, tak makan banyak mana pun. Terpaksalah dimasukkan di dalam bekas kedap udara. Hari Isnin nanti boleh bawa ke pejabat jamu kawan-kawan.



Kek Marble ini diberi nama KEK MARBLE COCONUT PANDAN BUTTERMILK. Memang moist dan wangi sangat bila dibakar. Kombinasi perasa pandan coconut emulco dan butter milk flavour. Memang semerbak baunya.... ada rasa kelainan pada kek marble ini. 

Resepi ini Kak Noor edit dari resepi asal kek marble oleh Azie Kitchen. 

KEK MARBLE
COCONUT PANDAN BUTTER MILK
Inspirasi oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
200 gm butter
¼ cawan minyak jagung
1 cawan gula kastor
2 cawan tepung naik sendiri
5 biji telur Gred B
#2 sudu kecil ovallete 
#1 sudu besar tepung susu penuh krim 
#1 sudu besar butter milk flavor – (sukatan sudu metrik - 1 sudu besar = 15ml)
#3 sudu besar santan sawit KHALIS – (boleh ganti dengan susu segar/susu cair)
#3 sudu besar pandan coconut emulco
1 sudu kecil pewarna green apple

# sukatan sudu metrik
1 sudu kecil = 5 ml
1 sudu besar = 15ml

Cara-caranya:

1. Pukul butter dan gula kastor dengan high speed sehingga kembang (adunan bertukar menjadi warna putih dan creamy) lebih kurang 10 minit.

2. Selepas itu masukkan ovalette dan butter milk flavour. Pukul menggunakan speed medium selama 5 minit hingga kembang.

3. Masukkan telur sebiji sebiji dan pukul lagi selama 5 minit sampai sebati kesemuanya.

4. Masukkan tepung sedikit sedikit, selang-selikan dengan santan sawit. Mixed sampai jadi gebu.

5. Kemudian masukkan pandan coconut emulco dan mixed lagi sehingga semua warna sebati.

6. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Adunan asal ¾ dan adunan ¼ lagi diwarnakan dengan pewarna green apple, lebih pekat lagi warnanya daripada adunan asal.

7. Alaskan loyang (loyang bulat diameter 10) dengan baking paper yang telah disapu dengan margerin.

8. Masukkan adunan asal terlebih dahulu dan ratakan, kemudian tompok-tompokkan dengan adunan green apple dan ulanginya sehingga kedua-dua bahagian adunan habis. 

9. Lorek-lorekkan guna lidi sate ikut corak yang kita mahu.

10. Panaskan oven terlebih dahulu dengan suhu 150C selama 10 minit. Bakar menggunakan suhu 150C selama 40 minit (bergantung kepada oven masing-masing). Selepas 40 minit, buka oven dan cuba cucuk lidi di tengah-tengah kek. Sekiranya masih ada adunan yang masih melekat pada lidi apabila dikeluarkan, ini bermakna kek belum masih lagi, Teruskan bakar. Kalau cucuk lidi keluar bersih, bolehlah dikeluarkan daripada oven.

11. Terlangkupkan kek perlahan-perlahan di atas redai. Biar dalam keadaan terlangkup selama 5 – 10 minit. 

12. Tarik kertas baking perlahan-lahan.

13. Telangkupkan semula ke kedudukan asal dengan lapik board kek atau pinggan. 

14. Biarkan sejuk. Selepas sejam bolehlah dipotong.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang