Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

21 Ogos 2016

KARI KETAM DENGAN NANAS (TUMIS DARAT), kuahnya always be my faveret.

Assalammualaikum semua.  

Apa yang ibu-ibu masak untuk menu tengah hari tadi. Adakah sama menu makan tengah hari dengan menu untuk makan malam ini.  Bagi Kak Noor menu tengah hari sama aje dengan menu malam sekiranya lauk yang dimasak siang tadi masih banyak lagi.  



Biasanya bila masak lauk, Kak Noor akan bajet ia cukup sehingga ke malam.  So tak payahlah dua tiga kali berperang di dapur.  Panaskan aje. Lagipun Encik Hasben dan anak-anak dah tak kisah makan lauk yang sama, telah menjadi kebiasaan mereka.  Sebelah malam adalah masa untuk kita yang dah masuk 50 series ini rehat-rehatkan badan dan tenangkan fikiran.  Esok pagi mental dan fizikal perlu fresh untuk ke tempat kerja.  


Tetapi seandainya pada hari itu permintaan melebihi pengeluaran, maka perlulah ada kontigensi.  Kita pun tak dapat nak baca selera ni,  Kadang-kadang selera meningkat secara tiba-tiba.  Justeru itu stok-stok makanan kering seperti telur, ikan bilis, ikan kering dan sardin tin senantiasa tersedia di dalam almari.  


Ok itu kisah ibu-ibu di dapur.  Mungkin ada yang sama ceritanya dengan Kak Noor.  So malam ini Kak Noor just nak kongsi menu tengah hari tadi iaitu Kari Ketam masak dengan nanas, masak cara tumis darat. 

Bahan-bahan untuk tumis dara

Berdasarkan pengalaman otai-otai dalam bidang masakan, masak kari ketam cara tumis darat ebih sedap daripada cara tumis biasa. Sebenarnya Encik Hasben lebih gemar kalau masak lemak kuning dengan nanas.  Tetapi dah selalu sangat; setiap kali beli ketam mesti nak masak lemak kuning. Kak Noor dah jemu. Kali ini kena ikut lidah cheq pula no.... taste dan lidah  oghang Utaqha. Cheq nak masak kari pula.  Dah lama tak masak kari.  Dok ingat lagi masa kecik-kecik, kuah kari ketam ini rasanya lebih sedap dan manis selepas hari.  Panaskan dan kemudian cicah ngan roti benggali.  Kalau roti benggali dibakar lagilah sedap. Hm..hm.. sejenak nostalgia.



Walaupun sebelum ini N3 menu Kari ketam pernah dimuatkan dalam blog ini, namun Kak Noor masih ingin kongsikannya sekali lagi dalam tahun 2016 ini. Mungkin ada penggunaan bahan-bahan berlainan untuk resepi kali ini. Jom kita skrol di bawah.


KARI KETAM DENGAN NANAS (TUMIS DARAT)
Inspirasi:  Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda.

Bahan-bahannya:8 ketul ketam bunga - seekor dipotong dua
2 biji tomato – sebiji dibelah empat
Cili merah atau cili hijau – dibelah dua tetapi tidak putus
½ biji nanas – dipotong kecil
1 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air menjadikannya 2 cawan santan
Garam secukup rasa
1 sudu kecil penambah rasa kuah TUMIX

Bahan-bahan dikisar:
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
6 sudu besar Serbuk Kari Ikan dan Udang Pedas BABA’S
2 cawan air

Bahan-bahan tumis darat:
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil halba
1 inci halia – dihiris mancis
5 biji cili kering
2 helai daun kari
Minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1. Buang kulit ketam dan basuh ketam bersama garam dan limau kasturi untuk menghilangkan bau hanyir ketam.
2. Masukkan ketam di dalam periuk bersama-sama bahan kisar. 
3. Masukkan nanas dan santan. Perasakan dengan garam dan penambah rasa kuah TUMIX. Kacau dan masak sehingga kuah mendidih dan ketam masak sepenuhnya. 
4. Sejurus sebelum ditutup api, masukkan buah tomato dan cili merah/cili hijau.
5. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darah sehingga garing. 
6. Tuang bahan-bahan tumisan tadi di dalam periuk ketam. Tudung periuk supaya aroma bahan-bahan tumisan bercampur dengan kari ketam.
7. Sebelum dihidangkan, kacau rata supaya semuanya bergaul mesra. 

20 Ogos 2016

KEK MARBLE COCONUT PANDAN BUTTER MILK, ada kelainan aromanya.

Assalammualaikum.

Kebiasaannya bila weekend Kak Noor akan buat kek marble untuk customer yang order masa weekday. So bila dah masak anak yang bongsu selalu bertanya, `Kek ni kita punya ke?.. tapi jawapan yang sama saya beri pada setiap minggu. Ini ada orang order'. Si bongsu tanya lagi, kat kita tak ada ke? So saya akan jawab, tak de... bukan makan punnn.. kalau ibu buat.. membazir aje'. Si bongsu diam dan berlalu pergi.



Minggu ini pertanyaan yang sama diajukan. Suka hatinya bila dapat tahu kek yang siap dibakar atas redai itu ibu buat untuk makan-makan keluarga. Dicuitnya kerak-kerak kek dan terus ngap ke mulutnya. Sedap sangat katanya. 





Tapi seperti biasa, tak makan banyak mana pun. Terpaksalah dimasukkan di dalam bekas kedap udara. Hari Isnin nanti boleh bawa ke pejabat jamu kawan-kawan.



Kek Marble ini diberi nama KEK MARBLE COCONUT PANDAN BUTTERMILK. Memang moist dan wangi sangat bila dibakar. Kombinasi perasa pandan coconut emulco dan butter milk flavour. Memang semerbak baunya.... ada rasa kelainan pada kek marble ini. 

Resepi ini Kak Noor edit dari resepi asal kek marble oleh Azie Kitchen. 

KEK MARBLE
COCONUT PANDAN BUTTER MILK
Inspirasi oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
200 gm butter
¼ cawan minyak jagung
1 cawan gula kastor
2 cawan tepung naik sendiri
5 biji telur Gred B
#2 sudu kecil ovallete 
#1 sudu besar tepung susu penuh krim 
#1 sudu besar butter milk flavor – (sukatan sudu metrik - 1 sudu besar = 15ml)
#3 sudu besar santan sawit KHALIS – (boleh ganti dengan susu segar/susu cair)
#3 sudu besar pandan coconut emulco
1 sudu kecil pewarna green apple

# sukatan sudu metrik
1 sudu kecil = 5 ml
1 sudu besar = 15ml

Cara-caranya:

1. Pukul butter dan gula kastor dengan high speed sehingga kembang (adunan bertukar menjadi warna putih dan creamy) lebih kurang 10 minit.

2. Selepas itu masukkan ovalette dan butter milk flavour. Pukul menggunakan speed medium selama 5 minit hingga kembang.

3. Masukkan telur sebiji sebiji dan pukul lagi selama 5 minit sampai sebati kesemuanya.

4. Masukkan tepung sedikit sedikit, selang-selikan dengan santan sawit. Mixed sampai jadi gebu.

5. Kemudian masukkan pandan coconut emulco dan mixed lagi sehingga semua warna sebati.

6. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Adunan asal ¾ dan adunan ¼ lagi diwarnakan dengan pewarna green apple, lebih pekat lagi warnanya daripada adunan asal.

7. Alaskan loyang (loyang bulat diameter 10) dengan baking paper yang telah disapu dengan margerin.

8. Masukkan adunan asal terlebih dahulu dan ratakan, kemudian tompok-tompokkan dengan adunan green apple dan ulanginya sehingga kedua-dua bahagian adunan habis. 

9. Lorek-lorekkan guna lidi sate ikut corak yang kita mahu.

10. Panaskan oven terlebih dahulu dengan suhu 150C selama 10 minit. Bakar menggunakan suhu 150C selama 40 minit (bergantung kepada oven masing-masing). Selepas 40 minit, buka oven dan cuba cucuk lidi di tengah-tengah kek. Sekiranya masih ada adunan yang masih melekat pada lidi apabila dikeluarkan, ini bermakna kek belum masih lagi, Teruskan bakar. Kalau cucuk lidi keluar bersih, bolehlah dikeluarkan daripada oven.

11. Terlangkupkan kek perlahan-perlahan di atas redai. Biar dalam keadaan terlangkup selama 5 – 10 minit. 

12. Tarik kertas baking perlahan-lahan.

13. Telangkupkan semula ke kedudukan asal dengan lapik board kek atau pinggan. 

14. Biarkan sejuk. Selepas sejam bolehlah dipotong.

9 Ogos 2016

Rendang Kerang Berempah, Inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum.



Siapa suka makan rendang kerang? Ramai yang suka tetapi tak ramai yang suka mengopeknya. Ingat lagi semasa zaman kanak-kanak, sukahati sangat kalau arwah tok minta tolong kopek kerang. Apa taknya satu masuk bekas, tiga lagi masuk mulut. Tak perlu nak tunggu cicah air asam. Biasanya balance untuk dimasak hanya tinggal tiga perempat aje. Satu perempat dah masuk perut. Lepas tu mulalah mengadu sakit perut. Padan muka siapa suruh curi makan. 

Arwah tok selalu pesan semasa kopek kerang tu tengok-tengok sama kalau ada ketam kecil bewarna putih di dalam kerang. Kalau ada buang aje kerang tu, tak boleh makan, nanti sakit perut guling-guling katanya. Anak ketam ini biasanya terletak di sebalik celah-celahan isi kerang. Seingat Kak Noor kerang ini arwah tok masak kari kerang bersama ubi keledek. 




Suatu ketika dulu harga kerang memang murah. Sekilo tak sampai RM1. Tetapi sekarang dah mencecah RM8 sekilo. Jika nak masak rendang kerang tak berbaloi kalau beli setakat sekilo. Paling kurang pun tiga kilo. Kopek kerang mengambil masa yang lama juga, kadang-kadang sampai kecut tangan. Hai... kalau kopek sorang-sorang mahu meroyan. Yang paling tak tahan air rebusan kerang ini gatal. Bila dah lama mengopek kerang mulalah rasa gatal tangan. Kita pun secara spontan garu sana garu sini. Akhirnya satu badan gatal sebab berjangkit air rebusan kerang. Itu kenangan semasa zaman kanak-kanak le.... 
Gambar Ihsan - Aktiviti mencari kerang dan siput apabila air laut surut
Memandangkan Kak Noor dibesarkan di rumah kampung yang berhadapan dengan laut, so setakat mandi laut dan santai bersama kawan-kawan di tepian pantai pabila air surut telah jadi rutin harian waktu petang. Kak Noor juga ada pengalaman mencari kerang. Kebiasaannya aktiviti mencari kerang ini bermula lebih kurang jam 3.30 petang. Masa ini air telah mulai surut. Korek, kais sedikit lumpur tu dah boleh jumpa. Kerap kali mencari kerang ini buat kita leka. Tak sedar dah senja. Tapi masa senja inilah kerang semakin banyak dan kita pun semakin seronok mengorek. Masa ni air dah mulai pasang. Tetapi arwah tok dah pesan awal-awal sebelum senja mesti balik. 


Sambal kerang, sedap dimakan bersama nasi lemak
Kerang ini Kak Noor paling suka masak sambal tumis. Makan dengan nasi lemak panas-panas. Fuuh.... sedap tak terkata. Sekarang ini kalau nak beli nasi lemak lauk kerang sebungkus RM5.00. Kerangnya sejemput aje, memang tak puas makan.


Tapi hari ini nak ajar cara-cara memasang Rendang Kerang melalui video. Jom kita layan video masak rendang kerang berempah yang sempat dirakam oleh Kak Noor. Terlajak rajin pula hari itu merakam cara-cara memasak rendang ini. Sebelah tangan pegang senduk masak, sebelah tangan lagi merakam guna telefon bimbit. Alhamdulillah dapat juga dihasilkan video masakan ini untuk perkongsian dan tontonan bersama. Disertakan juga resepi Rendang Kerang Berempah.




RESEPI RENDANG KERANG BEREMPAH
Inspirasi oleh:  Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
500 gram isi kerang
1 cawan santan sawit KHALIS

Bahan-bahan B (Menumis):
3 sudu besar penuh minyak sapi
1 batang serai - dititik

Bahan-bahan C (Dikisar Lumat):
2 biji bawang besar – dipotong 4
3 ulas bawang putih
3 batang serai – dihiris serong terlebih dahulu
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
1 inci lengkuas – (agak-agak sebesar ibu jari)
3 sudu besar cili kering kisar
#1 sudu besar serbuk rempah masak hitam jenama Az-Zain
2 sudu besar rempah kari daging BABAS
1 sudu teh serbuk lada hitam
Air secukupnya

(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender basah dan dikisar lumat dan sebati)

Bahan-bahan D:
2 – 3 keping asam gelugor
4 – 5 keping daun limau purut
2 sudu besar gula merah
1 sudu besar gula putih
2 sudu besar kerisik
Garam secukup rasa

Bahan-bahan E:
4 – 5 biji cili padi merah – dipatah-patahkan
2 helai daun kunyit – dihiris nipis
Limau nipis/kasturi

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak sapi di dalam kuali. Tumis serai sehingga layu sedikit.
2. Masukkan bahan-bahan C (bahan kisar) dan masak sehingga hampir kering dan terbit minyak. Tudung kuali dan gunakan api sederhana. Pastikan dikacau sesekali supaya rempah tidak hangit di dasar kuali.
3. Kemudian masukkan santan dan kacau rata. Masukkan isi kerang rebus dan kacau lagi sehingga kuah rendang mendidih.
4. Masukkan bahan-bahan D dan kacau lagi. Biarkan rendang mereneh di atas dapur sehingga sedikit kering.
5. Bila kuah hampir kering masukkan bahan-bahan E. Kaup balikkan dan biarkan di atas dapur selama 5 minit lagi sebelum ditutup api.
6. Semasa menghidang bolehlah diperah sedikit limau kasturi atau limau nipis di atasnya.

Nota:
# Saya menggunakan rempah masak hitam jenama Az-Zain. Bahan-bahan rempah ini terdiri daripada campuran serbuk cili kering, lada hitam, ketumbar, jintan manis, jintan putih, serbuk kunyit, bunga lawang, bunga cengkih.

Sekiranya anda tiada rempah masak hitam ini, bolehlah diganti dengan serbuk cili kering, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan jintan putih, serbuk kunyit, dan bunga lawang dan bunga cengkih yang dikisar lumat menjadi serbuk.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang