Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

26 Mac 2017

KARI KETAM DENGAN NANAS, TUMIS DARAT - Versi Periuk Noxxa

Assalammualaikum dan Selamat Santai di Hujung Minggu.

Alhamdulillah dan selesai menikmati makan tengah hari. Hari ini Kak Noor masak menu yang dinantikan oleh Encik Hasben sejak semalam iaitu Kari Ketam Dengan Nanas, versi tumis darat. Semalam Encik Hasben beli ketam di Pasar Tani Setiawangsa. Bolehlah besar-besar juga ketamnya; enam ekor RM41. Biasalah harga ketam, mana ada yang murah. Tu lah tak boleh beli selalu. Isinya tak seberapa, berat pada kulitnya aje. Better beli ayam lagi. Tapi kalau tiap-tiap hari mengadap menu ayam, rasa jemu juga


Kari ketam masih dalam di dalam periuk noxxa.  Senantiasa panas aje kuahnya. 

Bila masak menu ketam ini, rasa kasihan pula kepada kedua-dua anak Kak Noor. Kita bila mendengar ibu nak masak ketam, mesti dah beria-ia dan tak sabar nak makan. Bukan selalu pun dapat menikmati hidangan ini.  Tapi lain pula feedback daripada dia orang ni; tak teruja langsung sebab mereka alergik dengan masakan ketam. Dah pernah makan, bibir bengkak, tekak gatal, telinga gatal, dan sehingga ke tangan pun gatal. Makan kuahnya pun gatal. Tak pe lah ibu masak menu ayam aje untuk kau orang.

Ada juga beberapa N3 untuk menu ketam dalam blog ini. Boleh klik di SINI jika nak refer resepi-resepi yang lalu. Tetapi untuk kali ini Kak Noor masak kari ketam menggunakan periuk Noxxa. First time masak ketam guna periuk Noxxa, memang mudah dan cepat. Tetapi versi tumis darat masih dikekalkan.  Perlu ditumis di dalam kuali terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam periuk noxxa.

RESEPI KARI KETAM DENGAN NANAS, TUMIS DARAT
- VERSI PERIUK NOXXA

Oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
6 ekor ketam (anggaran 11/2 kilo) – seekor dikerat dua bahagian
Nanas masak dikupas, dan dipotong nipis 1/2 bahagian daripada sebiji nanas
1 1/2 kotak santan Ayam brand
2 keping asam gelugor
1 biji tomata - dibelah empat
2 biji cili hijau
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Pes (disatukan di dalam blender basah dan dikisar halus):
7 sudu besar rempah kari ikan & udang pedas BABAS

1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 cawan air

Bahan-bahan Tumis Darat:
1 sudu besar jintan manis
1 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari
Minyak secukupnya

Cara-cara Membuatnya:


1. Buang kulit ketam dan kerat hujung kaki-kaki kecil dan ketuk sedikit bahagian penyepit ketam untuk memudahkan isinya dikeluarkan nanti. Gaul dengan beberapa biji limau kasturi dan garam dan perapkan selama 1 minit. Kemudian dibasuh bersih dan toskan.

2. Masukkan ketam, pes rempah, di dalam inner pot Noxxa. Tambahkan 2 cawan air dan kacau. Set `high pressure' 2 minit, tombol dalam kedudukan high pressure juga. 



3. Selepas dua minit periuk akan berbunyi beep. Putar tombol ke arah steam untuk pelepasan wap. Buka tudung periuk. Kacau rata. 





4. Kemudian masukkan santan dan nanas. Masukkan asam gelugor, perasakan dengan gula dan garam. Kacau rata. Set `stir fry' dan masak sehingga kuah mendidih. Off `stir fry'.



5.  Masukkan buah tomato dan cili hijau dan kacau rata.



6. Untuk tumis darat, panaskan minyak (anggaran 1 senduk nasi) di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darat sehingga kekuningan dan naik bau. 



7.  Semasa bahan-bahan tumis masih panas tuangkannya di dalam periuk noxxa tadi.



8.  Tutup periuk untuk mengelakkan hilangnya aroma wangi tumisan.



6. Kacau atau gaul rata sebelum menghidangkannya.

24 Mac 2017

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum.

Finally, dapat juga makan bubur kacang hijau ni, walaupun siapnya dah malam. Buatnya taklah susah sangat, lebih-lebih lagi kalau ada periuk Noxxa, Penyediaannya lebih mudah dan cepat, 30 minit dah boleh dihidangkan.




Mulanya plan nak hidangkan kepada tetamu bubur kacang hijau semasa majlis akad nikah anak Kak Noor hari Sabtu lalu. Masih banyak kacang hijau yang berbaki semasa buat bubur asyura tahun lalu. 



Tetapi semasa membeli barangan untuk jamuan majlis akad nikah di pasar Keramat tempoh hari, ternampak pula pisang seakan-akan pisang tanduk yang digantung bersama pisang tanduk. Pasti rasanya sedap kalau dibuat serawa. Penjualnya memberitahu ini bukan pisang tanduk, tetapi pisang Helang. Ia lebih kecil daripada pisang tanduk. Harganya lebih murah daripada pisang tanduk. Sekilo RM4 jika dibandingkan dengan pisang tanduk RM8 sekilo. 

Pisang Helang atau Pisang Lang (Gambar hasil daripada google)

Timbul pula idea nak masak serawa pisang campur sagu untuk dihidangkan kepada tetamu semasa majlis akad nikah nanti. Masih teringat kesedapan serawa pisang yang disediakan oleh rakan-rakan sepejabat sewaktu rehat makan tengah hari. Pertama kali masak serawa menggunakan pisang helang ini, memang sedap. Rasanya seakan-akan pisang tanduk juga. Kalau goreng pun sedap agaknya, ditambah pula dengan taburan cheese. Alahai....Terlupa pula nak snap gambar serawa pisang helang tempoh hari. Kalau tidak boleh upload gambar di sini.

Gula melaka yang digunakan

Ok kita berbalik semula kepada cerita bubur kacang hijau. Dah plan sejak pagi tadi nak masak bubur kacang hijau ini, tetapi tak berapa sihat nak masuk dapur pagi tadi. So petang ini baru dimasaknya. Hasben makan bertambah-tambah. Resepi ini ada kelainan sedikit sebab Kak Noor gunakan santan dan susu cair untuk menimbulkan rasa enak dan lemak berkrim. Gula melakanya pula tak perlu dilarutkan terlebih dahulu, dimasukkan terus ke dalam periuk noxxa. 


RESEPI BUBUR KACANG HIJAU BERSAGU LEMAK BERKRIM
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
3 cawan kacang hijau
1 cawan gula pasir
1 ketul gula Melaka – anggaran 200 gram
6 cawan air
1 kotak santan Ayam brand
1 tin susu cair
½ cawan sagu – dibasuh dan direndam sehingga kembang, kemudian ditoskan.
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan – disimpul

Cara-caranya:


1.  Masukkan kacang hijau, daun pandan dan 6 cawan air . Set `high pressure 20 minit dan tekan ON. Dalam masa yang sama putar tombol ke arah high pressure juga.


Selepas HP 15 minit, kacang hijau telah empuk. 

2. Selepas 15 minit Noxxa akan berbunyi. Putar tombol ke arah steam untuk pelepasan wap. Buka penutup dan kacau rata.


3. Masukkan gula Melaka, gula pasir, dan sagu. Set `high pressure’ semula selama 2 minit dan tekan ON. Bila periuk Noxxa berbunyi ulangi langkah 2 – (putar tombol…..)



4. Masukkan santan, susu cair, dan garam. Tekan stir fry. Kacau selalu menggunakan senduk kayu supaya santan tak pecah . Sekiranya kuah pekat dan mahukan kuah cair, boleh tambah 1 cawan air lagi. Masak lagi sehingga mendidih.


5. Bila kuah telah mendidih, off stir fry.
6. Siap untuk dihidangkan.

8 Mac 2017

Ayam Goreng Kunyit Kari Madu

Assalammualaikum.

Menu tengah hari tadi, menu yang simple, cepat dimasak sedap dimakan. Walaupun simple tetapi amat menyelerakan. Ada pula sambal belacan dan tuang sedikit kicap lemak manis Enaq di atas nasi panas.



Dah jemu makan lauk berkuah, sesekali makan lauk sebegini adalah satu kepuasan. Laju aje tangan ini menyuap ke mulut dan kalau diikutkan selera memang boleh bertambah nasi.


Sedap dimakan bersama Kicap Lemak Manis ENAQ
Memang banyak resepi ayam goreng kunyit yang Kak Noor sempat google. Majoriti resepi yang dikongsikan ayam tidak digoreng terlebih dahulu; terus ditumis bawang dan kemudian dimasukkan ayam. Untuk resepi ini isi ayam digoreng terlebih dahulu dan diketepikan. Semasa menumis dimasukkan sedikit daun kari bagi membangkitkan aroma nasi kandar. Nama pun orang Penang, aroma nasi kandar dalam masakan telah menjadi satu kemestian. Sebelum diangkat, masukkan pula sedikit madu.


Pasti menyelerakan.
Bagi yang gemar sayur-sayuran, boleh tambah karot dan kacang panjang. Kak Noor lebih suka ditambah sayur, menjadikan menu ini dua dalam satu. Tak perlu lagi fikir dan tercari-cari nak masak menu sayur yang lain. Tetapi dalam keadaan `emergency' (perut dah berbunyi) masak apa aje yang terada di dalam peti sejuk. 

Ayam Goreng Kunyit Kari Madu
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahan A (Perap):
4 ketul isi ayam bahagian keel - dipotong kecil
Kunyit secukupnya
Garam secukupnya
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk Maggi cukup rasa

Bahan-bahan B (Tumis):
1 helai daun kari
3 ulas bawang putih - diketuk sahaja
2 sudu besar minyak gorengan ayam
2 bij bawang besar - dihiris memanjang

Bahan-bahan C:
1 biji cili merah - dipotong serong
1 biji cili hijau - dipotong serong
3 - 4 biji cili padi - dihiris serong
Sedikit gula
2 sudu besar madu

Cara-caranya:
1. Bahan-bahan A disatukan, digaul, dan diperap selama 10 - 15 minit sehingga meresap.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam menggunakan api yang besar. Kacau kerap supaya tidak mudah keras dan hangus. Angkat dan ketepikan.
3. Gunakan minyak gorengan ayam untuk menumis. Tumis daun kari diikuti dengan bawang putih dan bawang merah. Apabila bawang telah layu masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
4. Masukkan cili merah, cili hijau, dan cili padi. Sekiranya ada kacang panjang, boleh dimasukkan kacang panjang. Kacau sehingga ayam bergaul rata dengan kacang panjang.
5. Sebelum diangkat, masukkan madu dan sedikit gula, dan kacau sekata selama 1 minit. Angkat dan hidangkan.

6 Mac 2017

Puding Laici Tanpa Telur

Assalammualaikum.
Salah satu pencuci mulut yang dibawa sebagai pot luck untuk jamuan kesyukuran di pejabat. Syukur Alhamdulillah hari ini dapat juga ditunaikan janji yang tertangguh lebih kurang setahun yang lalu kepada seorang adik di pejabat ini yang teringin sangat nak makan puding laici.



Kebiasaannya bila membuat puding atau agar-agar, Kak Noor lebih suka menggunakan agar-agar stripe @ agar-agar tali.  Sejak zaman berzaman semasa zaman bonda Kak Noor lagi agar-agar tali digunakan untuk menyediakan juadah ini. 



So Kak Noor tak berapa mahir dalam penggunaan agar-agar serbuk yang rata-rata mengatakan ia lebih mudah jika dibandingkan dengan penggunaan agar-agar tali. 



Untuk resepi ini telur tidak digunakan.  Pun begitu rasanya tetap sedap.  Cukup sekadar hanya  menggunakan susu cair. Kalau tiada susu cair boleh digantikan dengan susu segar seperti Gooday. Tekstur puding ini tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut, dan rasanya pula tidak terlalu manis. Sedap secukup rasa.



Memandangkan agar-agar yang digunakan adalah sebanyak 37g gm (1 paket), maka adunan yang dihasilkan adalah lebih daripada satu bekas.  Penuh satu loyang saiz 10"x10" dan baki yang ada boleh diisi dalam acuan plastik.

Puding Laici Tanpa Telur
Oleh Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
37gm agar-agar stripe (agar-agar tali)
1.5 liter air
1 cawan gula
*1 tin laici – saya guna laici jenama Hosen, berat 565 grams
(* sirap laici di dalam tin dan ¾ daripada buah laici di dalam tin diasingkan untuk diblend bersama bahan B. ¼ buah laici lagi digunakan untuk hiasan)

Bahan-bahan B - diblend bersama sehingga hancur:
*1 tin sirap laici
*3/4 daripada buah laici di dalam tin
1 tin susu cair
1 cawan susu pekat

Cara-caranya:

1. Basuh agar-agar dan kemudian masak bersama air sehingga larut. Disarankan menggunakan air tapisan.
2. Selepas agar-agar larut, masukkan gula dan masak sehingga gula hancur dan sebati dengan agar-agar.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan yang diblend tadi dan kacau rata. Gunakan api perlahan.
4. Apabila aduna telah mendidih, tutup api.
5. Sediakan loyang pilihan hati. Susun buah laici di dasar loyang mengikut kreativiti masing-masing. Kemudian dengan menggunakan senduk, tuangkan sedikit larutan agar-agar tadi di atas laici sehingga tenggelam sedikit. Masukkan di dalam peti ais selama 5 minit untuk agar-agar mengeras sedikit. Nak cepat keras letak di tempat freezer dalam 3 minit.
6. Keluarkan daripada peti ais dan tuang semua adunan agar-agar tadi di dalam acuan tadi. Biar ia sejuk sebentar di luar, baru dimasukkan di dalam peti ais. Elok dibiar semalaman di dalam peti ais. Esok pagi dah boleh makan. Myum nyum.

Selamat Mencuba.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang