Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

31 Oktober 2011

Ikan Masak Cabai (Cili)

Hari ini Kak Noor nak pertengahkan resepi Ikan Masak Cabai (cakap orang Utara) atau dalam erti kata lain Ikan Masak Cili.  Bezanya ikan masak cabai dengan sambal tumis ikan ialah sambal tumis ikan kita masukkan sedikit belacan.  Resepi ini amat mudah dan ringkas, dan hanya sedikit sahaja bahan digunakan.

Bahan-bahannya:
6 ekor ikan kembung (boleh guna ikan lain, ikan ketul pun boleh)
1 cawan air
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
Gula dan garam secukupnya
1 sudu kecil perisa TUMIX ikan bilis
2 biji bawang besar dihiris bulat
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan untuk dikisar:
4 senduk cili kering yang telah dikisar (Kak Noor senduk nasi untuk menyukat)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji tomato saiz kecil

Penyediaannya:
  1. Ikan dibasuh bersih dan digaramkunyitkan.  Kemudian digoreng sehingga masak; tetapi jangan sampai garing.
  2. Panaskan kuali/periuk dan masukkan minyak masak.  Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata.  Tutup periuk dan masak hingga bahan tumisan tadi terbit minyak.
  3. Masukkan 1 cawan air.  Kacau rata.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato, gula, garam, dan perisa. Biarkan mendidih seketika dan rasa manis dan masinnya.  Rasa masin dan manis hendaklah seimbang.
  5. Masukkan ikan dan balik-balikkan sehingga kuah cili tadi menyelaputi ikan.
  6. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar.  Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.



Inilah rupanya Ikan Masak Cabai (rasa macam sweet sour...)

Daging Masak Hitam (Nasi Kandar Pulau Pinang)

Hidangan untuk satu keluarga.

 Bahan-bahan :
1 kg. daging lembu segar (dipotong hiris mengikut urat daging, anggaran 16 keping)
2 biji bawang besar saiz sederhana dipotong hiris memanjang
5 sudu besar rempah kari daging
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
5 sudu besar cili kering yang telah dikisar halus atau mengikut citarasa kepedasan masing-masing
5 sudu besar kicap pekat mee atau 1/2 botol kicap manis
Gula secukup rasa
1 sudu kecil perasa ayam Tumix
Garam (sekiranya masakan tidak terasa garamnya)
Minyak masak untuk menumis (jangan terlalu banyak minyak, anggaran 2 senduk besar)


Bahan untuk kisar / tumis:
2 biji bawang besar dikisar
5 ulas bawang putih + 10 cm halia dikisar
2 batang serai diketuk
4 helai daun pandan (dipotong atau disimpul, ikut citarasa masing-masing)
2 tangkai daun kari
2 batang kayu manis (setiap batang lebih kurang 2 inci)
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengih


CARA PENYEDIAAN:
Panasakan periuk/kuali dan masukkan minyak masak. Apabila minyak panak, masukkan kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang, daun pandan, daun kari, dan serai. Masa ini ramuan tumisan telah mula keluarkan bau harum (tak sabar nak makan)
Kemudian masukkan hirisan bawang, kacau sehingga warna hirisan bawang kekuningan.
Masukkan bawang kisar, halia dan bawang putih kisar, kacau sebati bahan-bahan ini sehingga keluarkan bau harum.
Masukkan cili kisar dan kacau rata. Selepas 3-4 minit, masukkan daging beserta 3 cawan air. Kacau rata.
Masukkan serbuk kari daging, jintan putih, jintan manis dan kicap, gula pasir satu sudu kecil perisa makanan Tumix. Kacau rata dan masak sehingga daging empuk. Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, boleh ditambah air lagi dan masak lagi daging sehingga empuk. Rasa kemasinan kicap tersedia ada. Sekiranya kurang masin, tambahkan garam.
Masak sehingga kuah menjadi pekat. Setelah kuah pekat, padamkan api. Cadangan hidangan, boleh taburkan daun pudina dan bawang goreng di atas sajian ini dan sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan dengan nasi panas-panas.

Nota tambahan:
Dalam resepi ini, Kak Noor guna potongan daging dalam bentuk hirisan kecil kerana telah sedia ada dalam peti sejuk.

Cadangan sajian:
Daging masak itam ini amat sesuai dihidangkan dengan nasi tomato, nasi beriani, nasi hujan panas bersama dengan jelatah dan juga papadom.


26 Oktober 2011

Nasi Lemak (menggunakan santan kelapa sawit KHALIS)

Kak Noor telah memperkenalkan santan kelapa sawit KHALIS dalam blog hari itu. Sejak diperkenalkan santan kelapa sawit KHALIS ini, Kak Noor tidak lagi membeli santan kelapa untuk masakan. Lagipun ada rakan sekerja yang membekalkan santan ini. So mudah dapat. Boleh juga didapati di pasar raya Giant. Anyway hari ini Kak Noor nak share resepi membuat nasi lemak menggunakan santan kelapa sawit. Kak Noor masak lemak ni menggunakan periuk elektrik; mudah dan cepat. Dah banyak kali Kak Noor masak dan anak-anak kata memang sedap. Yang paling Kak Noor suka tengok ialah warna nasi lemak putih berseri selepas masak.

Bahan-bahannya (untuk hidangan 10 orang)1 kg. beras (Kak Noor guna beras cap masjid)
(Boleh juga guna beras basmathi)
300ml santan khalis
200ml air
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
4 ulas bawang merah (diracik halus)
2 ulas bawang putih (diracik halus)
2 inci halia diketuk
2 batang serai diketuk
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Penyediaannya:Basuh beras di dalam periuk nasi.
Campurkan 300ml santan dengan 200ml air.
Tuangkan campuran santan dengan air ke dalam periuk nasi.
Masukkan bawang merah, bawang putih, halia, serai, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga, daun pandan, beserta dengan garam dan gula ke dalam periuk nasi. Kacau sebati.
Tunggu sehingga masak. Setelah masak, gemburkan nasi supaya tidak melekat.
Hidangkan dengan sambal ikan bilis, ayam goreng, telur rebus, kacang, dan timun.

Petua Simpan Beras

Beras yang disimpan lama kalau nasib tak baik akan terdapat kutu atau kumbangberas.  Oleh itu bagi mengelakkan beras dihinggapi serangga-serangga ini, cuba amalkan petua ini.  Petua ini diamalkan sejak dulu lagi oleh nenek moyang kita.

Cili kering, daun pelepah belimbing, daun limau purut
  1. Masukkan beberapa biji cili kering di dalam bekas simpanan beras.  Pastikan dili kering tersebut ditimbus dengan beras. 
  2. Ada juga petua yang mengatakan kita boleh memasukkan beberapa helai daun limau purut dan beberapa helai pelepah daun belimbing.  Bagi pelepah daun belimbing, kita hendaklah menjemurnya terlebih dahulu sehinggga kering. 
  3. Masukkan beberapa biji cili kering di dalam bekas simpanan beras.  Pastikan dili kering tersebut ditimbus dengan beras. 
  4. Ada juga petua yang mengatakan kita boleh memasukkan beberapa helai daun limau purut dan beberapa helai pelepah daun belimbing.  Bagi pelepah daun belimbing, kita hendaklah menjemurnya terlebih dahulu sehinggga kering. 

Kek Angry Bird

Sekarang ini musim `ANGRY BIRD' di kalangan anak-anak kita. Anak Kak Noor yang bongsu berumur 8 tahun juga turut terkena tempias Angry Bird ni. Minggu lepas pada 23 Oktober 2011, Kak Noor telah mengadakan majlis kecil-kecilan sempena menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-8 tahun.  Dia demand  minta kek Angry Bird untuk birthdaynya.  Mau tak mau terpaksalah Kak Noor akur dengan kehendaknya..  Puas juga cari kat kedai kek tetapi tidak memenuhi citarasa.  Bila kata nak beli kek lain, dibuat muka empat belasnya.  Kesian dan tak sampai hati, anak bongsulah katakan...  Lastly Kak Noor tempah kek ini daripada rakan sepejabat Kak Noor iaitu `Kak Chah'.  Dia ni memang terror buat kek.  Bagi tahu saja nak kek apa dan bagi contoh, dia boleh buat. So kalau nak tempah, bolehlah contact Kak Noor.


Berat sungguh kek ini, lebih kurang 5 kilo.  Berbaloi baloi... Nak tahu berapa harga?

Mengurangkan Kemasinan Ikan Masin

Bagi penggemar-penggemar ikan masih seperti ikan gelama, ikan talang, ikan kurau, ikan tenggiri dan ikan-ikan masin yang lain yang tidak berapa gemar dengan kemasinan yang terdapat pada ikan-ikan berkenaan tetapi masih gemar untuk menikmatinya kemasinan yang ala kadar, bolehlah mencuba resepi ini.

  1. Ikan masin hendaklah direndam dalam bekas air yang berisi air garam juga
  2. Untuk satu atau dua ekor ikan masin, cuma masukkan 1 atau 2 sudu besar garam dalam air.
  3. Kalau dalam kuantiti yang banyak, masukkan lebih garam dalam air.
  4. Rendam ikan kering dalam air garam lebih kurang 20 - 30 minit.
  5. Mungkin kita tertanya-tanya mengapa ikan yang telah masin masih hendak direndam dengan garam.  Sebenarnya garam yang kita rendam itu akan menyerap semula garam daripada ikan masin tersebut. 
  6. Selepas melepasi 30 minit, basuh ikan masin dengan air bersih.  Toskan.

Hilangkan Hanyir Ayam

Petua ini diberikan oleh bonda Kak Noor.  Insya Allah jika mengamalkan petua ini, daging ayam tidak hanyir. Kak Noor senantiasa mempraktikkannya ketika membasuh daging ayam atau daging lembu.  Kebiasaannya Kak Noor membeli ayam di pasar (bukan pasar raya ye), siap suruh dipotong kecil-kecil.  Senang bila balik rumah, basuh saja.

1.  Terlebih dahulu buangkan lemak dan darah beku yang terdapat pada daging ayam. Sekiranya tidak suka kulit, boleh juga dibuang. Kemudian dibersihkan dengan air sekali.
2.  Kemudian gaul ayam tadi dengan tepung gandum dan cuka.  Sekiranya tiada cuka, boleh digantikan dengan limau kasturi.  Ketepikan seketika lebih kurang 5 minit.  Kemudian dicuci dengan air biasa sehingga kesan tepung hilang dan bersih.  Toskan. 

Taugeh Kekal Segar

Sekiranya masih ada lebihan taugeh yang perlu disimpan, cuba petua ini.Masukkan taugeh dalam sebuah bekas bersama air.  Air hendaklah melepasi paras taugeh yang disimpan.  Campurkan dengan sedikit garam dan simpan dalam peti ais di atas rak.

Membersih dan Memotong Kobis

Tips dan petua membersih dan memotong kobis ini Kak Noor ambil daripada laman web http://balannambiar.wordpress.com untuk dikongsi bersama.  Boleh ke laman web berkenaan untuk mencuba resepi-resepi masakan utara @ mamak.
  1. Kebiasaannya bahagian dalaman kobis ini bersih. Ala kadar bersihkan di luaran saja sudah mencukupi. Tetapi dalam banyak kes dalam masakan sayur ini, ada ditemui "cacing sayuran” di  bahagian dalaman kobis.  Dengan ini apa yang disarankan ialah, “biar lambat, asalkan selamat” untuk dimakan, kalau tidak anda yang termakan cacing ini, akan fobia pada sebarang masakan kobis sepanjang hayat anda. Cara bersihkan kobis yang selamat ialah buka sehelai demi sehelai dan bersihkan dengan cara alirkan air bersih menerusi pili paip di dapur. Selepas itu masukkan dedaun kobis itu di dalam bekas yang berisi air garam  atau air cuka untuk membersihkan telur cacing ataupun serangga lain yang sukar dibersihkan. Rendam selama 15 – 20 minit. Basuh kembali dengan air bersih dan masukkan ke dalam penapis supaya kobis dikeringkan. Cara kebersihan ini anda akan yakin 100 peratus bersih.
  2. Memotong kobis perlu gunakan pisau diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel).  Sekiranya gunakan pisau besi (carbon steel) biasa, kobis akan bertukar warna kepada kehitaman.
  3. Selepas potong kobis, jangan biarkan lebih daripada 20 minit, kerana vitamin C yang terdapat dalam kobis akan rosak. Terus masak kobis selepas saja proses pembersihan. Diingatkan kepada suri rumah yang ingin jimat sedikit perbelanjaan, jangan sekali beli kobis yang telah dipotong bersaiz di pasar.  Elakkan membeli kobis yang telah kopek, hinggakan kobis sekilo jadi setengah kilo itu.

Bihun Singapura

Bahan-bahannya:
2 bungkus bihun (boleh dibeli di pasar raya)
500 gm udang saiz sederhana (buangkan kulit)
200 gm isi daging (hiris nipis)
2 batang karot (potong halus seperti batang mancis atau parut panjang-panjang)
1 biji kobis saiz kecil
Garam, gula, dan perisa
2 sudu sos tiram

Bahan untuk ditumis:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih

Bahan untuk pes (dikisar):
2 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
3 sudu besar rempah kurma atau rempah sup
3 - 4 sudu lada hitam

Bahan untuk hiasan:Daun bawang dan daun sup diracik halus
2 biji telur digoreng dadar dan dihiris halus 2 inci memanjang
Bawang goreng
Cili merah dihiris halus


Penyediaannya:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga kekuningan. Kemudian masukkan pes, sos tiram dan masak sehingga wangi dan terbit minyak. Bila terbit minyak, masukkan air secukupnya dan biarkan kuah mendidih.
2. Kemudian masukkan daging dan masak sehingga daging empuk. Setelah daging empuk, masukkan udang, garam, gula dan perisa. Kacau rata dan biarkan udang masak seketika. Sekiranya kuah agak pekat, masukkan sedikit air supaya beehun tidak kering bila masak nanti. Rasakan garam.
3. Masukkan bihun dan kacau rata sehingga sebati. Setelah sebati masukkan karot dan kobis dan kacau lagi. Gaulkan rata sehingga bihun masak dan lembut.
4. Bila menghidang, taburkan daun sup dan daun bawang yang telah diracik, telur dadar yang dihiris memanjang, cili merah, dan bawang goreng. Sekiranya ingin lebih pedas, bihun ini boleh dimakan dengan cili padi dicampur kicap manis.



Looks simple tapi sedap.

LAKSA PENANG


Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan.

Bahan-bahannya:
3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin)
1 ekor ikan tongkol sederhana besar
(Direbus bersama beberapa keping asam gelugor)
4 bungkus laksa kering
7 - 10 keping asam gelugur
2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk
4 sudu besar pes udang
2 cekak daun kesum / cenohom
4 cm keratan lengkuas (diketuk)
6 batang serai (diketuk)
Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa.

Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus):
Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus.
3 ulas bawang putih.
4 biji bawang besar dipotong empat
Anggaran 6 cm belacan bakar.

Bahan hiasan:
Daun pudina
Isi nanas dihiris *empulur nenas dimasukkan dalam kuah
Cili merah dihiris
Cili padi dihiris
Timun dihiris
Daun salad dihiris
Bunga kantan dihiris
Bawang besar dihiris
Telur rebus (sebiji dipotong dua atau dipotong empat)
Limau nipis atau limau kasturi dipotong sipi

Penyediaan kuah:
1. Masukkan air, ikan mata besar, ikan tongkol dan beberapa keping asam gelugor dalam periuk dan rebus hingga masak. Toskan dan sejukkan sebentar. Air rebusan disimpan untuk membuat kuah.
2. Asingkan isi ikan dengan tulang. 3/4 daripada isi ikan diblender dengan air rebusan sehingga halus, dan 1/4 lagi diramas kasar supaya isi ikan akan terasa bila dimakan. Tulang ikan pula diblender dengan air sehingga halus , kemudian ditapis untuk mendapatkan airnya.
3. Masukkan dalam periuk kesemua bahan-bahan di bawah:
  • air rebusan ikan 
  • air tulang ikan 
  • isi ikan 
  • pes kisaran 
  • bunga kantan, daun kesum, serai, lengkuas, kepingan asam gelugor, *empulur nenas 
  • pes udang, garam, gula dan perisa makanan 
  • Tambahkan sedikit air sekiranya kuah agak pekat 
4. Masak kuah sehingga mendidih dan rasa asam dan garamnya. Kalau tidak menepati citarasa, tambahkan garam dan asam jika perlu.
5. Hias hidangan laksa anda atau biarkan dihidangkan di bekas hidangan untuk tetamu memilihnya.

Tips Penting: 
1. Ikan yang telah disiang hendaklah diperap sekejap; lebih kurang 10 minit bersama garam dan limau kasturi bagi menghilangkan hanyir ikan. Kemudian dicuci bersih.
2. Laksa kering hendaklah direndam semalamam supaya betul-betul lembut sebelum direbus. Rebus dalam air mendidih bergaram. Tentukan laksa anda masak sempurna dengan mencuba memicitnya. Selepas lembut, toskan dan basuh dengan air biasa. Toskan kembali dan simpan dalam bekas penapis untuk laksa anda sentiasa kering dan liat. Laksa yang direbus dibasuh dengan air biasa akan menghalangnya daripada melekat dan menghilangkan bau yang tidak menyenangkan sekiranya laksa itu stok yang lama.




19 Oktober 2011

Kari Ayam Utara ala Bonda

Agak lama juga Kak Noor tak buat kari ayam ni sebab dah lama tak beli ayam. Kak Noor lebih suka beli ayam organik kalau nak buat kari ayam. Ayam organik ni selalunya dibeli di pasar tani dan juga kat kedai HPA. Lain rasanya, macam kari ayam kampung, teringat masakan bonda dulu-dulu.

Okay, tanpa berlengah lagi kita terus ke masakan kita hari ni. Kak Noor masak resepi ini seawal jam 5.30 pagi tadi untuk anak-anak kat rumah. Sempat juga snap beberapa keping gambar untuk dipaparkan; tetapi Kak Noor ni bukanlah amateur photographer. Gambar ala-ala kadar saja.


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dibersihkan dan dipotong ikut saiz yang anda suka
(hendaklah digaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, dan diperap seketika)
1 cawan santan dicampurkan dengan 4 - 5 cawan air
(Kak Noor guna santan kelapa sawit Khalis; rujuk catatan Kak Noor mengenai santan ni)
Ubi kentang dibelah dua (kuantiti ikut citarasa)
2 biji tomato (dipotong dua atau empat, bergantung kepada saiz tomato)
3 biji cili hijau
Garam, gula, dan perisa secukup rasa
Minyak untuk menumis


Bahan-bahan A (untuk diblender):
5 sudu besar rempah kari ayam
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar serbuk cili/cili kering yang telah dikisar

Bahan-bahan B (untuk ditumis):
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
3 inci halia dihiris
2 batang kayu manis (ukuran @ 1 inci)
2- 3 kuntum bunga lawang
2-3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
4 tangkai daun kari
2 helai daun pandan

Penyediaannya:
Panaskan periuk dan masukkan minyak secukupnya. Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau dan daun kari agak garing. Kemudian masukkan bahan-bahan A, kacau dan tutup periuk sehingga bahan-bahan rempah terbit minyak.

Memandangkan rempah agak pekat, masukkan sedikit air diikuti dengan ayam. Kacau sebati dan tutup periuk semula, biarkan lebih kurang 5 – 6 minit atau sehingga ayam ½ empuk. Masa ini air aroma ayam keluar dan bercampur dengan kuah.

Selepas itu masukkan santan, garam, gula, dan perisa dan kacau. Biarkan kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang dan masak sehingga empuk.

Akhir sekali masukkan tomato dan cili hijau. Biar mereneh seketika dan kemudian angkat. Jangan sampai tomato dan cili hijau layu.



Selain makan dengan nasi, kuah kari ini amat sesuai dicicah dengan roti jala, roti benggali, roti canai, capati dan juga pulut kuning.  Untuk pulut kuning, masak kuah sehingga pekat.



Untuk mendapatkan citarasa sebenar resepi ini, Kak Noor nak terangkan dengan lebih detail mengenai bahan-bahan yang telah digunakan untuk masakan ini.
 
Ramuan untuk ditumis; bawang besar, halia, bawang putih (semua dihiris), bunga cengkih, bunga lawang, pelaga, daun kari.  Semua ini membangkitkan aroma bau yang enak.  Hmm.... sedapnye...

 Ini dia rempah kari ayam dan daging cap `O' yang digunakan dalam  masakan ini. Kak Noor guna sudu besar untuk sukatan rempah.  Tapi kalau tak ada cap `O', rempah cap lain boleh jugak.

Santan kelapa sawit Khalis.  Dalam masakan ini, Kak Noor guna 1 cawan pati santan Khalis dicampur dengan 4 - 5 cawan cair untuk kuah.

Ubi kentang satu biji dibelah dua atau empat.  Bergantung kepada saiz ubi kentang.

Bahan terakhir dimasukkan.  Masak seketika dan angkat. Jangan sampai cili dan tomato layu.

12 Oktober 2011

Ikan Masak Asam Tumis

Bahan-bahannya:
3 ekor ikan (boleh guna ikan kembung, plata, pari) - Kak Noor guna ikan selar
Bendi (kuantitinya ikut suka)
1 biji tomato
Daun kesum
1 kuntum bunga kantan (dibelah dua)
2 batang serai dititik
Air asam jawa
1 kiub tom yam (Kak Noor guna kiub tom yam Knorr)
Garam dan 1 sudu kecil gula
Sedikit minyak untuk menumis

Antara bahan-bahan yang digunakan


Bahan-bahan dikisar:
1 cawan cili kering yang telah dikisar
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia
Sedikit belacan

Penyediaannya:
  1. Panaskan minyak dalam periuk.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar, kacau sebati dan tutup periuk.  Masak sehingga naik bau dan terbit minyak.  .
  2. Setelah terbit minyak, masukkan air asam jawa secukupnya, diikuti dengan garam, kiub tom yam, gula dan serai. 
  3. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan. Kacau sebati dan masak sehingga ikan masak. 
  4. Akhir sekali masukkan bendi dan tomato.  Sedia dihidangkan dengan nasi panas.


11 Oktober 2011

Kuah Kacang Berdaging Utara

Kuah kacang ini adalah resepi yang diturunkan oleh bonda Kak Noor.  Kak Noor tak copyright kat mana-mana.  Semuanya asli.  Semasa Hari Raya, Kak Noor masak kuah kacang ini untuk dimakan dengan nasi empet dan ketupat.  Kuah kacang ini boleh juga dicicah dengan sate dan cucur udang.  Pernah masak untuk ofis masa jamuan, kawan-kawan kata sedap.  Cubalah resepi ini. 


Bahan-bahannya:
1 kg. kacang tanah yang telah siap dikisar
Sedikit daging lembu dipotong kecil dan nipis
Air asam jawa
Gula putih + gula merah
Garam
Marjerin + minyak masak untuk menumis
Sehelai daun pandan
1 batang serai dititik

Bahan-bahan untuk dikisar: 
Anggaran RM2.00 cili kering
(cili kering dipotong dan direbus sehingga mendidih.  Kemudian dibasuh dan ditoskan)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
5 batang serai dihiris
1 inci lengkuas
(Semua bahan-bahan di atas digoreng tanpa minyak  sehingga naik baunya selama 10 minit.  Kemudian disejukkan seketika.  Bila telah sejuk, masukkan bahan-bahan ini di  dalam mesin pengisar. Tambahkan sedikit air dan kisar sehingga halus menjadi pes)


Penyediaannya:
1.  Panaskan marjerin dan minyak masak dalam periuk.  Setelah minyak panas, masukkan bahan-bahan yang dikisar dan masak sehingga terbit minyak.
2.  Setelah terbit minyak, masukkan air asam jawa, gula merah+gula putih, garam, dan perisa.  Kacau sebati dan kemudian masukkan daging dan serai yang dititik.  Tambahkan sedikit air dan masak sehingga daging empuk.
3.  Selepas daging empuk, masukkan kacang tanah yang telah dikisar bersama daun pandan.  Kacau sebati sehingga kacang tanah bersalut dengan kuah tadi.  Kalau pekat sangat, boleh tambah air. Masak sehingga kuah mendidih dan terbit minyak.

Tips:
1.  Gunakan cili kering yang kerinting, jangan guna cili kering yang berkilat kerana pedas.
2.  Kacang tanah yang telah siap dikisar boleh dibeli di NSK Selayang, NSK Taman Sri Rampai atau pasar raya basah.  Kalau tiada, beli kacang tanah, bakar dalam oven sehingga masak dan kemudian dikisar.

Tumis Kerang Kicap

Masakan tumis kerang kicap ini adalah ringkas dan cepat disediakan.  Bagi orang orang yang bekerja macam Kak Noor, masakan harian mestilah mudah dan ringkas kerana mengejar masa.  


Bahan-bahan:
1 kg isi kerang (Kak Noor beli isi kerang kat pasar tani yang telah direbus dan siap dikopek)
1 biji limau lemon (ambil jusnya)

2 batang serai dititik
Kicap manis secukupnya
Garam, gula, dan perisa
2 biji bawang besar dipotong bulat
5 - 10 biji cili padi
1 biji tomato dibelah empat

Bahan untuk dikisar:
1 cawan cili kering kisar

2 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup


Bahan-bahan untuk ditumis:
3 sudu besar minyak
3 biji bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
2 tangkai daun kari


Penyediaannya:
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan untuk ditumis.  Setelah kekuningan dan naik bau, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Biar masak sehingga terbit minyak.
  2. Kemudian masukkan kicap manis secukupnya, garam, gula, perisa, dan serai yang dititik.  Masukkan sedikit air sekiranya pekat.  Setelah cukup citarasanya,  masukkan kerang bersama cili padi,  kacau sebati dan masak sehingga kerang bersalut dengan kuah kicap tadi.
  3. kemudian masukkan bawang besar yang dipotong bulat  dan jus lemon.  Kacau sebati dan biarkan seketika, kemudian angkat.
Inilah rupenye....

KARI IKAN MACKEREL (DALAM TIN)

Resepi yang Kak Noor ketengahkan ini amat mudah disediakan.  Ia amat sesuai untuk orang-orang bujang dan dalam keadaan emergency.  Stok ikan mackerel atau ikan sardin cap ayam ini sentiasa ada dalam simpanan kat rumah.  Selalunya Kak Noor masak kari ikan sardin, tetapi hari ini cuba buat kari ikan mackerel pulak.  Selain makan bersama nasi, kari ini memang sedap dicicah dengan roti canai, roti benggali, capati dan roti sandwich.


Bahan yang diperlukan:
2 tin kecil ikan mackerel cap ayam
(sos diasingkan dan dicampur dalam bahan-bahan pes untuk dikisar)
Ubi kentang 4 biji (sebiji dibelah empat)
Tomato 2 biji
Cili hijau 2 biji
1 biji bawang besar dipotong empat
Santan secukupnya
1 sudu besar pati asam jawa (dicampur dengan 1 cawan air)
Garam dan perisa secukupnya.

Bahan-bahan pes : (semua bahan dikisar)
1 bungkus kecil rempah ikan
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar serbuk cili
Sos ikan mackerel dalam tin

Bahan-bahan tumis:
3 biji bawang merah dimayang (boleh ganti dengan 1 biji bawang besar)
2 ulas bawang putih dimayang
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari
Minyak untuk menumis
Penyediaannya:

  • Panaskan minyak dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan tumis dan masak hingga kekuningan.  Kemudian masukkan bahan-bahan pes, tutup periuk dan masak hingga terbit minyak.
  • Selepas terbit minyak, masukkan asam jawa, garam, dan perisa.  Kacau sebati dan masak seketika.  Kemudian masukkan santan, diikuti dengan ubi kentang.
  • Bila ubi kentang telah empuk, masukkan ikan mackerel dan biar kuah mendidih.  Akhir sekali, masukkan cili hijau, tomato, dan bawang besar
Di bawah ini adalah antara bahan-bahan yang telah Kak Noor gunakan untuk sajian ini.  Bukanlah nak promote, tetapi nak kongsi aje....

Serbuk rempah ikan cap AgroMas.  First time guna, memang sedap.....
Ikan Mackerel Ayam Brand
Pati asam jawa Xtra keluaran Adabi, memang mudah, campur dengan air sahaja.

9 Oktober 2011

Pancake

Nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, koayteow goreng, roti canai merupakan menu sarapan pagi yang selalu sangat kita sediakan. Apa kata sesekali kita ubah selera kepada menu sarapan pagi yang agak ringkas dan mudah disediakan; ala-ala kebaratan iaitu pancake. Kak Noor hidang pancake ini dengan telur hancur. Sedap juga dimakan bersama madu.



Bahan-bahannya:
1 biji telur
45ml mentega dicairkan dan ketepikan hingga sejuk
225ml tepung gandum serbaguna
15ml gula
1/2 sudu kecil garam
225ml buttermilk*
(*Jika tiada buttermilk, boleh diganti pada 1 cawan susu segar dicampur dengan 1 1/3 sudu besar cream of tartar. Tunggu 5-10 min hingga hasilnya menjadi berbentil-bentil).
1 sudu kecil baking soda

Cara-cara:
Di dalam mangkuk, pukul telur dan butter yang telah sejuk pada suhu bilik.
Ayak tepung, baking soda bersama dan campurkan bersama gula dan garam.
Campurkan bahan kering tadi bersama telur dan butter yg telah dipukul. Gaul rata.
Tambahkan pula buttermilk atau campuran susu segar tadi dan kacau lagi hingga tidak berbentil.
Panaskan kuali yang leper dan tuangkan agak sesenduk kecil ke atas kuali. Biarkan ia berbuih di tepiannya sebelum membalikkan.

Ikan Siakap Kukus

1 ekor ikan siakap (ikan merah/kerapu atau ikan bawal putih pun ok)
1/2 camca teh garam
1/2 camca teh tepung jagung
1/2 camca teh lada sulah
3 camca besar jus limau kasturi*
1 1/2 camca besar minyak masak*
1 1/2 camca teh gula*
1/2 camca teh garam*
5 - 10 biji cili padi, dihiris*
2 batang serai, dihiris halus*
1/2 kuntum bunga kantan, dihiris*
1 helai daun limau purut, dihiris halus*
1/2 inci halia muda. dihiris halus*
2 ulas bawang putih, dihiris halus*
Beberapa biji asam boi*
1/2 camca teh tepung jagung*
1/2 camca teh serbuk Tumix

Cara-caranya:

Ikan dicuci bersih dan lumurkan dgn garam, tepung jagung dan serbuk lada sulah. Ketepikan sementara membuat sosnya.
Dalam satu bekas satukan kesemua bahan sos yang bertanda * hingga sebati. Ketepikan. Panaskan kukusan dan sediakan bekas tahan panas. Letak ikan tadi ke dalam bekas tahan panas dan tuangkan sosnya rata termasuk bahagian dalam belahan perutnya. Kukus kurang lebih 10 minit bergantung pada saiz ikan atau apa bila daging ikan bertukar menjadi putih. Siap untuk dihidangkan dengan nasi panas-panas.
Selok-eloknya dimakan segera selepas proses mengukus. 

Laksa Johor

 




BAHAN UNTUK KUAH:
500 gm ikan kembung (rebus, ambil isinya dan kisar)
2 liter santan (2 biji kelapa)
40 gm udang kering (rendam dan kisar)
50 ml air asam jawa
60 ml minyak masak
50 gm daun kesom (kisar halus)

BAHAN UNTUK PES:
2 sudu besar ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
2 sudu besar serbuk kari
2 sudu besar cili

BAHAN KISAR:
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 sudu kecil lada hitam


BAHAN HIASAN:
Timun (potong nipis dan memanjang)
Lada merah (hiris)
Bawang besar (hiris)
Daun selom
Kacang panjang (hiris halus)
Telur rebus dan belah dua
Limau kasturi (belah dua)
Sedikit lobak masin
Sedikit taugeh
Sedikit hirisan daun selom
Sambal belacan

CARA MENYEDIAKAN:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan pes dan kacau hingga terbit minyak.
3. Masukkan santan dan kacau perlahan.
4. Masukkan isi ikan, udang kering dan air asam jawa.
5.  Selepas beberapa minit masukkan daun kesom.
6. Kacau perlahan dan masukkan garam, gula secukup rasa, dan biarkan mendidih.
7. Boleh dihidangkan bersama spageti dan bahan hiasan

8 Oktober 2011

Pajeri Nanas Berempah

Bahan-bahannya:
1 biji nenas
2 sudu besar kerisik
1 cawan santan
1 sudu kecil udang kering
1 cawan air
2 biji cili hijau
Gula (gula merah + gula putih), garam, dan perisa secukup rasa

Bahan-bahan untuk pes: (diblender semuanya)
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
½ inci halia

Bahan-bahan untuk tumis:
2 biji bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
½ inci halia dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
Sedikit daun kari
3 sudu besar minyak untuk menumis

Penyediaannya:
1.       Potong nenas kepingan bulat, jangan nipis sangat.
2.       Panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan tumis.  Setelah kekuningan dan naik baunya, masukkan pes  dan udang kering, tumis hingga garing dan terbit minyak.
3.       Selepas itu masukkan santan, kerisik, garam, gula dan perisa,   Kalau pekat sangat, masukkan 1 cawan air.  Biarkan mendidih seketika.  Suaikan rasa, kalau kurang garam atau gula, tambah sehingga menepati citarasa.  Kebiasaannya pajeri nenas mesti terasa kemanisannya.. Kemudian masukkan nenas dan masak hingga nenas layu dan kuah pekat.
4.       Akhir sekali masukkan cili hijau  dan tutup api.

Kuah Dal



Hari ni Kak Noor masak Kuah Dal.  Kebiasaannya kuah dal ini sesuai dimakan dengan roti canai, murtabak, dan roti telur.  Jarang-jarang kita masak di rumah.  Kak Noor masih ingat, bonda kak noor kalau masak sambal tumis ikan bilis, mesti dipadankan dengan kuah dal ni.  Lepas tu, kalau nak menambahkan selera lagi, hidang dengan ikan kering goreng. Memang menyelerakan.

Bahan-bahannya:
2 cawan kacang dal (basuh dan rendam selama 1/2 jam, kemudian ditoskan)
2 batang lobak merak dihiris (jangan nipis sangat)
3 biji kentang dibelah (setiap biji dibelah 4)
3 biji cili hijau dihiris (jangan nipis sangat)
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk rempah daging
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk cili
1 biji telur
Sedikit pati santan

Bahan-bahan tumisan (tumis atas):

Minyak untuk menumis
**1 inci halia diracik
**2 biji bawang putih diracik
**3-4 biji bawang kecil dimayang
**sedikit daun kari
**sedikit bunga cengkih, bunga lawang & kulit kayu manis
**1 sudu kecil biji sawi (mustard seed)
**3 tangkai cili kering 

Penyediaannya:
1.  Masukkan kacang dal bersama serbuk kunyit, rempah daging, serbuk jintan manis dan serbuk cili, rebus kacang dal dalam periuk sehingga empuk.

2.  Bila kacang dal dah agak agak empuk, masukkan lobak merah & kentang ke dalam rebusan dal tadi dan  teruskan merebus sehingga kesemuanya empuk. 

3. Kemudian masukkan pati santan, garam, dan gula secukup rasa.  Kalau pekat sangat, masukkan sedikit air dan biarkan kuah mendidih. Semasa kuah sedang mendidih, pecahkan telur ke dalam kuah. Biarkan seketika, kemudian kacau dan masukkan cili hijau. Bila kuah mendidih sekali lagi, tutup api.

4. Dalam kuali yang lain, panaskan minyak kemudian tumiskan bahan bahan yang bertanda ** sehingga layu dan naik aromanya. Kemudian curahkan ke dalam periuk kuah dal tadi. Rasakan garam dan gula ikut citarasa masing-masing. Tutup dengan tudung periuk agar aroma tumisannya menyerap di dalam kuah dal tadi. (Bila nak makan baru kacau sebati bahan-bahan tumisan tadi dengan kuah dal).

6 Oktober 2011

Nasi Beriani Ayam Ala Thai

Bahan Utama:Beras dibasuh dan ditos air secukupnya.
Ayam dipotong ketul.

Bahan-bahan A:Jintan manis }
Jintan putih } digoreng dan dikisar
Rempah biji (ketumbar) }

Bahan-bahan B:Cili padi
Daun ketumbar
Susu cair
Garam secukupnya
Sedikit pewarna kuning

Bahan-bahan C:Bawang putih }
Bawang besar } dipotong
Sedikit halia }

Penyediaan:· Panaskan minyak sapi. Tumis bahan C. Bila telah wangi, masukkan air, bahan A dan B hingga mendidih. Kemudian masukkan ayam. Biarkan sehingga ayam masak.
· Angkat ayam yang telah masak dan letakkan di bekas berasingan.
· Tambahkan lagi air secukupnya dan biarkannya ia mendidih. Kemudian masukkan beras. 
· Bila nasi telah kering, dibalik-balikkan dan kemudian masukkan ayam tadi dan ditutup sampai nasi masak.

Ikan Siakap Kukus Benut


Bahan-bahannya
· Seekor ikan siakap(sederhana besar)
· 2 batang serai dititik
· 1 inci halia dipotong halus ataupun kalau suka diblender halus
· Daun bawang dan sup
· Sebiji bawang besar dihiris bulat
· Cili besar(belah dua) dan asam boi
· Rempah tom yam(botol),minyak jagung
· 2 keping nenas keping, jeruk mempelam
· Gula, garam & bahan perasa (secukup rasa)

Caranya:
Ikan dibersihkan dan diletakkan di dalam pinggan melengkung (yang sesuai).
Masukkan lada merah, serai, hirisan halia, daun bawang/sup, dan asam boi.
Hiaskan dengan nenas dan jeruk mempelam.
Masukkan bancuhan rempah tom yam (setengah cawan),satu sudu makan minyak jagung, garam dan gula (secukup rasa).
Kukuslah selama lebih kurang 10 minit.

Asam Tumis Ayam

Bahan-bahan:
1 kg ayam } potong kecil
1 kuntum bunga kantan } dihiris
2 batang serai } diketuk
1 sudu besar asam jawa*
2 cawan air *
1 sudu besar gula
5 sudu besar minyak untuk menumis
garam secukup rasa
1 kiub tom yam maggi (tak letak pun tak mengapa)
(campurkan air dan asam jawa utk menghasilkan air asam jawa)

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
sedikit belacan
2-3 batang serai
5 ulas bawang putih
1.5 cm lengkuas
1.5 cm kunyit hidup
5-6 ulas bawang merah

Cara membuat:
Panaskan minyak. Goreng bahan kisar, bunga kantan dan serai hingga wangi dan naik minyak
Masukkan ayam, goreng sekejap selama 2-3 minit
Masukkan air asam jawa dan biarkan sehingga mendidih
Masukkan gula dan garam secukup rasa
Kecilkan api, renehkan sehingga ayam empuk
Angkat dan hidangkan panas-panas bersama nasi putih

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang