Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

29 November 2011

Puding Laici Fruity

Bahan-bahannya:
Sebungkus agar-agar (25 gram)
1 tin buah laici
1 tin susu cair
3 cawan gula pasir
4 cawan air
Jelly fruity (boleh dibeli dalam paket)






Penyediaannya:
1.       Buah laici dan airnya diasingkan.  Buah laici dihiris nipis-nipis.
2.       Agar-agar dimasak bersama 4 cawan air dan air daripada tin laici.  Masak sehingga agar-agar larut sepenuhnya.
3.       Kemudian masukkan 3 cawan gula dan dibiarkan larut.
4.       Setelah gula larut, masukkan buah laici yang telah dihiris tadi.
5.       Biar mendidih sebentar, kemudian masukkan susu cair.
6.       Kacau sehingga sebati, biarkan mendidih sedikit.
7.       Tutup api.  Masukkan ke dalam bekas.
8.       Pada masa yang sama masukkan fruity jelly ke dalam bekas yang sama. 
9.       Biarkan ia sejuk sebentar di luar, kemudian baru dimasukkan ke dalam peti sejuk.
10.   Sedia dimakan setelah ia beku.







26 November 2011

Mee Kari

Semalam bonda dan adik-beradik Kak Noor tiba dari Bukit Mertajam. So hari ini Kak Noor bangun awal, sediakan sarapan pagi dan terus masak untuk sajian tengah hari. Sajian sarapan pagi ialah nasi lemak dan untuk makan tengah hari pula, mee kari.


Bahan-bahan A :
3 bungkus mee kuning dicelur dan ditoskan
1 mangkuk isi ayam dipotong kecil - (boleh lebihkan, ikut citarasa)
1 mangkuk isi kerang rebus - (boleh lebihkan, ikut citarasa)
Santan secukupnya
2 biji kentang (buang kulit) dan direbus hingga empuk dan dikisar
Sedikit ais asam jawa
Tauhu kering dibelah dua
Chicken ball secukupnya - (boleh dibeli di pasar raya)
Perasa garam, gula dan ajinomoto jika suka
Minyak masak untuk tumisan

Bahan B (Tumisan):
10 biji bawang putih
2 biji bawang besar
4 inci halia dihiris
4 tangkai daun kari
1 inci kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Bahan C (dikisar menjadi pes):
150 gram serbuk rempah kari ayam dan daging (Kak Noor guna jenama Agro Mas)
2 biji bawang besar
5 biji bawang putih
2 sudu besar cili kering kisar

Untuk Hiasan :
Tauhu digoreng dan dipotong kecil
Telur rebus
Cili merah dihiris
Limau kasturi dibelah dua
Sawi, taugeh, dan kacang panjang dicelur
Bawang goreng
Daun pudina (tak letak, terlupa nak beli)
Limau kasturi

Cara-cara menyediakannya:
1. Celurkan mee dalam air mendidih. Letakkan sedikit minyak dalam air supaya mee tidak melekat. Angkat mee dan basuh dengan air sejuk dan toskan.
2. Untuk membuat kuah. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan B sehingga wangi dan naik bau. Masukkan bahan C yang telah dikisar (pes). Tumis hingga terbit minyak.
3. Masukkan isi ayam yang telah dibersihkan. Gaul rata dan biar seketika.
4. Masukkan santan, air asam jawa, kacau sebati. Biarkan mendidih.
5. Sementara menunggu kuah mendidih, kisar kentang yang sudah direbus dengan sedikit air panas. Masukkan ke dalam kuah.
6. Masukkan kerang, chicken ball, garam, gula, ajinomoti, dan biar sekejap. Akhir sekali masukkan tauhu goreng tadi. Masak sehingga mendidih.
7. Hidangkan dengan tauhu goreng, bawang goreng, sawi, taugeh, dan kacang panjang. Kalau nak lebih sedap boleh hidangkan dengan sambal tumis sotong kering.

Rencah hiasan untuk mee kari
yang telah dihias.....
yang sedia boleh dimakan......

Bubur Gandum Cha-cha

Kak Noor masak bubur gandum caca ni atas permintaan anak bongsu Kak Noor.  Maklumlah dah cuti sekolah, duduk rumah asyik nak makan aje...  Semasa memasak juadah untuk tengah hari, Kak Noor sempat masak bubur ini untuknya.  Memang simple sangat dan sesiapa pun boleh memasaknya.  Macam masak tangkap muat aje...


Bahan-bahan seperti biji gandum dan beras cha-cha yang telah siap dipaketkan boleh dibeli di pasar raya.  Tapi kalau orang dulu-dulu beras cha-cha ni dia orang buat sendiri, sebab masa tu tak dijual di pasar raya. 


Untuk resepi ini, Kak Noor tidak mengehadkan kuantiti bahan-bahan yang hendak digunakan. Terpulang banyak mana yang hendak dimasak dan berapa orang yang nak makan.  Kita boleh buat anggaran.   Kak Noor cuma bagi panduan resepi dan tentang cara memasaknya sahaja. 


Kalau ikutkan bahan-bahan utama yang digunakan untuk resepi ini ialah biji gandum dan beras cha-cha.  Tetapi kita boleh tambah  jagung kalau suka.  Terpulang sama ada jagung manis berkrim dalam tin ataupun biji jagung.   


Bahan-bahan yang diperlukan:
Biji gandum
Beras cha-cha
Santan
Daun pandan
Gula pasir
Garam
Daun pandan


Penyediaannya:
1.  Basuh beras cha-cha dan biji gandum sehingga bersih.  Masukkan dalam periuk dan rebus dengan air sehingga biji gandum dan beras cha-cha kembang.
2.  Kemudian masukkan gula pasir, dan kacau rata.  Masak sehingga gula larut.
3.  Selepas itu masukkan santan pekat (1 nisbah 1); contohnya kalau kita guna 1 cawan pati santan, campurlah dengan 1 cawan air juga.
4.  Perasakan dengan gula secukup rasa (ikut citarasa kemanisan masing-masing) dan sedikit garam untuk menaikkan lemak santan.  Jangan lupa masukkan daun pandan untuk aromanya.
5.  Masak sehingga mendidih, kacau dan tutup api.  Sedia untuk dihidangkan.


Mudahkan...


Bubur cha-cha berwarna-warni.  

25 November 2011

Nasi Goreng Telur Simple (Nasi Goreng Ayahanda)

Anak Kak Noor yang bongsu memang gemar sangat nasi goreng ini. Dia namakan nasi goreng ni `Nasi Goreng Ayah'. Nak tahu kenapa dinamakan nasi goreng ayah? Sebab si `Ayah' yang selalu memasak nasi goreng ini. Nasi goreng ini memang yang paling ringkas. Tak sampai 15 minit dah siap .....

Anak bongsu Kak Noor tidak gemar dengan nasi goreng yang Kak Noor buat. Dia kata `Ibu buat nasi goreng tak sedap, ayah buat lagi sedap. Pernah satu malam semasa husband Kak Noor masih berada di pejabat, anak Kak Noor yang bongsu ni lapar dan dia nak nasi goreng. Kak Noor pun nak masaklah untuk dia. Tapi dia tak mahu, nak ayah juga masakkan. Terpaksalah Kak Noor telefon si ayah supaya balik cepat sebab anak nak makan nasi goreng. Tahu ajelah, bila kita orang perempuan masak nasi goreng, kita akan masukkan ikan bilis, daging, ayam, cili, sayur dan apa-apa lagi untuk membuatkan nasi goreng itu sedap.

Tapi hari ini Kak Noor dah pandai masak nasi goreng kesukaan anak Kak Noor ini. Belajar daripada husband le... Pada mulanya dia tak tahu nasi goreng tu Kak Noor yang masak, dia kata ayahnya yang masak sebab rasanya sama. Ertinya telah menepati citarasa...

Mari kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi goreng simple ini.

Bahan-bahannya:
6 cawan nasi putih
3 sudu besar udang kering - direndam seketika, kemudian dibasuh dan ditoskan.
3 biji telur
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 sudu teh lada hitam
1 biji cili merah dihiris
Garam, gula dan perasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya:
1. Masukkan garam, gula, dan perasa ke dalam nasi dan gaulkan rata.
2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih yang dihiris beserta dengan udang kering. Kacau sehingga naik bau dan bawang kekuningan. Jangan sampai rentung.
3. Kemudian pecahkan telur ke dalam kuali. Kacau telur sehingga sebati dengan bahan-bahan tumisan.
4. Masukkan nasi, cili merah, dan lada hitam. Gaulkan sehingga sebati.
5. Sedia untuk dihidangkan.


Walaupun nampak simple, tetapi memang sedap.  
Telur, bahan penting yang menyedapkan  nasi goreng ini.



24 November 2011

Kurma Telur Ubi Kentang

Bila dah jemu dengan sajian ikan dan sajian daging, apa kata kita beralih pula kepada masakan telur. Telur ini merupakan stok tetap di rumah Kak Noor. Tahu ajelah anak-anak ni, walaupun kita dah masak lauk lain, tetapi mereka tetap nak goreng telur juga. Kebiasaannya telur ini digunakan untuk rencah nasi goreng, benjo, telur 1/2 masak, telur mata kerbau, telur dadar dan macam-macam lagi. 


Kita pernah masak kurma ayam dan kurma daging dan masakan ini telah `well known' di kalangan kita. Tetapi kali ini Kak Noor nak ajar masak kurma telur pula. Keenakannya lebih kurang sama dengan masakan kurma ayam dan kurma daging.


Telur yang siap direbus dan dikopek kulitnya

Bahan-bahannya:
10 biji telur ayam direbus dan dikupas kulit
1 cawan santan pekat
1 biji tomato biji dipotong kiub
3 biji kentang dibelah dua atau empat (ikut saiz ubi kentang)
2 – 3 biji cili hijau
1 biji tomato biji (dibelah empat untuk hiasan)
1 biji bawang besar dibelah empat
2 asam keping
Garam/gula/serbuk perasa


Bahan-bahan B (untuk menumis):
Minyak untuk menumis
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris
3 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 tangkai daun kari


Bahan-bahan C (dikisar untuk pes rempah):
4 sudu besar rempah kurma
(Kak Noor guna rempah ayam dan daging Agro Mas)
1 inci halia
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

Cara-cara memasak:
1. Rebus telur ayam dan kemudian kupas kulitnya.
2.Panaskan periuk dan masukan minyak. Bila minyak mulai panas masukkan bahan-bahan B. Masak sehingga keluarkan bau harum dan bawang mulai tukar kuning keemasan. Jangan hanguskan.
3. Selepas itu masukkan bahan-bahan C dan kacau. Tutup masakan dengan tudung periuk dan masak sehingga terbit minyak.
4. Kemudian masukkan buah tomato yang telah dipotong kiub tadi dan masak sehingga ia sebati dengan rempah.
5. Selepas itu masukkan telur rebus dan kacau gaul rata dengan rempah diikuti dengan santan pekat. Sekiranya kuah agak pekat, dan ingin kuah yang lebih, boleh tambah air. Perasakan dengan garam, gula, asam keping dan serbuk perasa (opsyen).
4. Seterusnya masukkan ubi kentang dan lobak merah. Masak sehingga empuk
5. Selepas masak, rasa kemasinan dan tambah garam jika perlu. Akhir sekali masukkan potongan buah tomato, potongan bawang besar, dan cili hijau. Kacau rata dan masak seketika lebih kurang 2 minit.
6. Tutup api dan tutup masakan dengan tudung periuk.

Masak Paprik

Bahan-bahannya:
250 gm isi ayam dipotong kecil
Sedikit sotong, udang, dan daging (Kak Noor tak ada daging ayam, so digantikan dengan chicken ball)
2 biji tomato dipotong dadu
1 batang lobak merah
1 paket jagung muda
50 gm bunga kobis
50 gm broccoli
3 – 5 biji cili padi ketuk
2 – 3 helai daun limau purut
1 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos cili
Garam/gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Penyediaannya:
1.   Panaskan minyak dalam periuk.  Tumis bawang besar, bawang putih, dan halia yang telah dihiris hingga kekuningan.  Kemudian masukkan cili kisar dan masak sehingga naik bau.
2.    Masukkan sos tiram, sos cili, kicap manis, garam, dan gula. Kacau rata dan tuangkan sedikit air.  Biarkan ia masak seketika.
3.    Masukkan isi ayam/chicken ball dan daging,  dan masak sehingga isi ayam dan daging lembut.  
4.    Kemudian baharu dimasukkan sotong, udang, sayuran dan cili padi. Biarkan ia mendidih dan kacau. Akhir sekali masukkan daun limau purut.
5.    Tutup api dan boleh dihidangkan.





Paprik yang Kak Noor masak ini berkuah sedikit sebab anak-anak Kak Noor sukakan kuahnya.  Tapi kalau nak buat pekat pun boleh.  Terpulang kepada citarasa masing-masing.  Lauk paprik ini sedap dimakan bersama nasi panas.  Boleh goreng telur dadar untuk tambahan lauk.

Makaroni Berkuah

Bahan-bahannya:
500g daging dipotong kecil-kecil
½ sudu besar mentega atau margarine
2 sudu besar tomato puri - boleh gantikan dengan sos tomato
1 sudu besar tomato sup
1 sudu sos tiram
400ml air
1 batang lobak merah sederhana di kupas kulit dan potong dadu kecil
30g kacang peas
1 biji lemon (diambil air perahannya)
Garam secukupnya
1 sudu kecil perasa TUMIX ayam
Gula jika suka
250 g macaroni ~ direbus dengan air bersama dengan sedikit minyak supaya tidak melekat
Daun sup dan daun bawang
Bawang goreng

Bahan-bahan B (dikisar):
2 biji tomato sederhana dibuang biji dan dipotong kecil
1 sudu besar cili kering kisar
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1/2 sudu besar serbuk lada hitam
Air secukupnya

Penyediaan membuat kuah makaroni:
1. Gaul daging bersama dengan bahan-bahan B. Perapkan ia lebih kurang 20 minit.
2. Panaskan mentega. Tumiskan daging yang diperap dengan bahan B tadi.. Kacau sehingga rata.
3. Masukkan pula tomato puri, tomato sup, sos tiram, air, lobak, dan kacang peas.
4. Setelah mendidih, campur air perahan lemon, gula, perasa TUMIX ayam serta garam secukup rasa.
5. Kacau lagi sehingga daging dan lobak empuk. Kemudian tutup api.

Cara menghidang:
Letakkan makaroni dalam mangkuk. Kemudian tuangkan kuah.
Hiaskan dengan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dimakan.

23 November 2011

Udang Masak Lemak Kuning

Kebiasaannya bila masak udang masak lemak kuning, kita tidak menggunakan kaedah menumis. Tetapi resepi yang Kak Noor ingin sajikan di sini menggunakan kaedah menumis dengan menggunakan minyak yang paling minimum. Kaedah menumis ini banyak digunakan di sebelah Utara.




Bahan-bahannya:
½ kg udang sederhana
1 biji bawang besar ) dikisar bersama
2 inci kunyit hidup ) ½ cawan air
2 keping asam gelugor
1 cawan pati santan + 1 cawan air
2 biji ubi kentang dipotong kecil
1 biji tomato dibelah empat
½ biji timun dipotong memanjang 1 inci
Garam/gula secukup rasa
3 helai daun limau purut
4 biji cili padi ketuk
2 sudu besar minyak


Bahan-bahan untuk ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia – dihiris
1 batang serai diketuk


Cara-cara menyediakan:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan serai sehingga kekuningan.
2. Masukkan bawang besar dan kunyit hidup yang telah dikisar. Kacau seketika.
3. Masukkan santan dan kacau lagi. Pada masa yang sama masukkan ubi kentang dan masak sehingga kuah mendidih dan ubi kentang empuk.
4. Masukkan udang, asam gelugor , cili padi, dan daun limau purut bersama garam secukup rasa. Kacau semua bahan.
5. Akhir sekali masukkan timun dan buah tomato. dan terus kacau kuah supaya tidak pecah minyak. Bila timun telah layu, bolehlah ditutup api.


22 November 2011

Ikan Mackerel Goreng Berkicap

Masakan yang akan Kak Noor ketengahkan kali ini amat ringkas dan cepat iaitu Ikan Mackarel Goreng Berkicap. Cepat dimasak, sedap dimakan. Macam iklan mee maggi pulak! Ikan mackarel goreng ini sedap dimakan dengan nasi panas ataupun dijadikan sebagai inti sandwich. Bagi orang-orang bujang, boleh cuba resepi ini. Apa yang penting, stok ikan mackarel tin mesti ada kat rumah.





Bahan-bahannya:
1 tin ikan mackerel cap ayam atau 1 tin ikan sardin
2 biji bawang dipotong bulat
1 biji cili hidup dihiris
2 tangkai daun sup
Sedikit asam jawa atau cuka
Kicap manis secukupnya
Garam/serbuk perasa/gula
Minyak secukupnya

Bahan-bahan (untuk ditumis):
1 biji bawang besar – dihiris
2 biji bawang putih – dihiris
1 inci halia dipotong nipis
1 tangkai daun kari
1 sudu besar cili kering kisar
4 - 5 biji cili padi merah diketuk (sekiranya suka pedas)

Penyediaannya:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan daun kari sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering kisar dan cili padi. Kacau rata.
2. Selepas itu masukkan air asam jawa dan sardin bersama sosnya. Kacau rata dan biar sardin masak di atas dapur seketika.
3. Perasakan masakan dengan kicap manis, garam, serbuk perasa, dan gula secukupnya.
4. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan cili hidup. Kacau rata dan tutup api.
5. Semasa menghidang, bolehlah ditabur daun sup di atasnya.


Ikan mackarel boleh diganti dengan ikan sardin.  Cara penyediaannya sama sahaja.

20 November 2011

Sup Bebola Ayam




Bahan-bahannya:
1/2 kg bebola ayam (Boleh dibeli di pasar raya dalam bungkusan 1 kg)
Fucuk/soun/mee sua - ikut citarasa nak letak banyak mana
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
2 biji ubi kentang - dipotong kecil
2 batang daun bawang dipotong 1 inci panjang
2 batang daun sup dipotong 1 inci panjang
Garam, gula, perasa, dan serbuk lada hitam
Bawang goreng


Persediaannya:
1. Fucuk dan soun direndam seketika supaya lembut. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam periuk. Gunakan minyak yang sedikit supaya tidak timbul minyak di permukaan sup apabila telah masak.
3. Tumis bawang merah, bawang putih, halia, dan cili hidup hingga kekuningan. Kemudian masukkan bebola ayam dan kacau seketika.
4. Masukkan air secukupnya. Dalam masa yang sama, perasakan dengan garam, gula, serbuk perasa dan lada hitam. Masukkan juga ubi kentang. Biarkan mendidih.
5. Masak sehingga ubi empuk. Selepas itu masukkan fucuk, soun dan mee suah dan biarkan ia mendidih.
6. Tutup api dan taburkan daun sup/bawang dan bawang goreng. Tutup periuk.

Sedia untuk dihidangkan

19 November 2011

Cucur Udang Geragau dan Ikan Bilis Bertaugeh

Hujung-hujung minggu ni, bila tiba waktu petang terasa lapar pulak.  Semua ahli keluarga pula berkumpul kat rumah.  Nak keluar memang malas sekali.  So... jadilah Kak Noor chef kat umah aje.  Hidangan yang paling mudah ialah masak cucur aje...  





Cucur  ini semua orang boleh buat.  Cuma resepinya sahaja diperbagaikan dari semasa ke semasa mengikut citarasa masing-masing.  Bagi Kak Noor, hanya gunakan bahan-bahan yang tersedia kat rumah.  Masukkan apa-apa sahaja bahan yang dikira munasabah dengan resepi yang kita persembahkan.

Bahan-bahannya:
½ kilo tepung gandum
1 cawan nasi putih  -  diblender dengan 1 cawan air
1 biji bawang besar dihiris
1 biji cili hijau dihiris halus
1 biji cili merah dihiris halus
1 biji telur
1 cawan udang geragau
1 cawan ikan bilis
2 tangkai daun sup dihiris
2 tangkai daun bawang dihiris
30 sen taugeh
Garam/gula/serbuk perasa
Sedikit kunyit

Penyediaannya:
1.  Udang geragau direndam, kemudian dibilas sehingga bersih  dan ditoskan.
2.  Dalam bekas yang lain, masukkan tepung gandum, nasi putih yang telah diblender, udang geragau, ikan bilis, bawang besar, cili hijau/merah, daun sup/bawang, taugeh, telur, garam, gula, serbuk perasa, dan kunyit.  Gaul rata.
3.  Tuang air suam sedikit demi sedikit sambil digaul sebati hingga mendapat adunan yang sempurna (tidak terlalu cair) dan boleh di`jemput’ dengan tangan.
4.  Panaskan minyak.  Api jangan terlalu garang (kuat), ditakuti cucur  garing di luar tetapi di dalam masih mentah.  Goreng dalam minyak yang sederhana.  Boleh menggunakan sudu untuk mencedok adunan ataupun jemput dengan tangan sahaja.
5.  Goreng sehingga kekuningan, angkat dan letak atas paper towel.
6.  Boleh dihidangkan dengan kuah kacang atau sos cili.

Diminum pula bersama teh o panas.... memang sedap!


Nasi Kuning

Nasi kuning ini terkenal di sebelah Utara. Walaupun Kak Noor orang Penang, tetapi Kak Noor tidak pernah makan nasi kuning ini masa kecil. First time Kak Noor diperkenalkan nasi kuning ini semasa Kak Noor tinggal di Padang Besar, Perlis (awal tahun 1990an). Masa itu Kak Noor tidak bekerja, suri rumah tangga sepenuh masa.



Memandangkan masa itu berdua sahaja, maka keraplah Kak Noor dan husband makan kat kedai aje. Lagipun makanan kat Padang Besar masa itu murah. Sebungkus nasi kuning campur dengan sambal tumis ikan bilis cuma dijual dengan harga RM050 sen. Nasi kuning ini disajikan sebagai sarapan pagi di sana.

Ramai orang yang tidak mengetahui mengenai nasi kuning ini. Tambah-tambah orang kat Kuala Lumpur. Sesuatu kelainan bagi mereka. Kak Noor pernah makan nasi kuning ini di sebuah restoran yang terletak di AU Keramat, Kuala Lumpur. Bila tengok nasi kuning ini, Kak Noor dah tahu mesti tuan punya restoran orang Utara; Kedah atau Perlis. Memang tepat tekaan Kak Noor. Sempat bersembang dengan kakitangan di restoran tersebut. Nasi kuning di restoran ini disajikan dengan lauk kari ayam atau lauk kari daging. Telah siap dibungkus macam nasi lemak dan dijual dengan harga RM1.50 sebungkus.




Pernah semasa Kak Noor makan di kafetaria di HUKM baru-baru ini, ramai orang berbaris untuk membeli nasi kuning ini. Suami Kak Noor ambil masa selama lebih kurang 20 minit menunggu giliran untuk membeli nasi kuning ini.

So... di sini Kak Noor ingin memperkenalkan nasi kuning ini kepada semua orang dan cara-cara untuk memasaknya menggunakan periuk nasi elektrik. Kak Noor masak untuk makan tengah hari berlaukkan sambal tumis sotong kering.

Selamat mencuba. Kalau ada apa-apa kemusykilan boleh tanya Kak Noor ok!

Bahan-bahannya:
4 cawan beras basmathi (dibasuh dan ditoskan)
5 cawan air (guna cawan yang sama semasa menyukat beras)
1 sup bunjut
1 sudu kecil perasa Tumix Ayam
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1 sudu kecil pewarna kuning telur (yellow egg) – untuk menguningkan nasi
Daun pandan disimpul
4 sudu besar margerin untuk menumis
Bawang goreng

Bahan-bahan B (ditumis):
1 biji bawang besar dicincang
2 biji bawang putih dicincang
2 inci halia dihiris nipis
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 batang serai dititik

Penyediaannya:
1. Basuh beras dan toskan. Ketepikan.
2. Panaskan periuk elektrik. Bila periuk telah panas masukkan margerin dan tunggu sehingga cair.
3. Selepas itu tumis bahan-bahan B sehingga naik bau.
4. Masukkan 5 cawan air, sup bunjut, daun pandan, garam, gula, pewarna kuning, dan perasa Tumix ayam. Kacau rata dan tunggu sehingga mendidih.
5. Masukkan beras dan kacau rata. Masak nasi seperti biasa menggunakan periuk elektrik.
6. Bila nasi telah kering, kaup balikkan. Biarkan periuk elektrik dalam keadaan `warm’.
7. Semasa menghidang nasi, taburkan bawang goreng di atasnya.




Masak Lemak Kuning Nanas

Teringat Kak Noor kat arwah tok bila setiap kali masak masakan ini. Masakan ini amat popular semasa zaman kanak-kanak Kak Noor. Walaupun masakannya ringkas, ia memang sesuai untuk anak-anak kerana ia tidak pedas dan masakannya agak manis juga. Bahan utamanya bukan udang, tetapi nanas itu sendiri. Masakan ini selalunya dihidangkan dengan lauk lain seperti sambal tumis udang petai, ikan kering masam dan kicap. Makan nasi boleh bertambah oooo....


Bahan-bahan A:
1 biji nanas manis
2 cawan santan (1 cawan pati santan dicampur dengan 1 cawan air)
1 sudu teh jintan manis
1 biji bawang besar dihiris
1 inci halia dihiris nipis
10 ekor udang sederhana besar (dibuang semua kulit)
1 biji cili hidup dibelah dua
Sedikit serbuk kunyit untuk menguningkan kuah (anggaran 1 sudu teh)
Garam/gula/serbuk perisa

Penyediaannya:
1. Kupas nanas. Isi nanas diricih halus.
2. Sediakan periuk. Masukkan kesemua bahan A dalam periuk. Kacau rata.
3. Masak di atas dapur sehingga mendidih. Rasa garam dan gulanya. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Mudahkan....! Semudah A,B,C.

18 November 2011

Kari Pisang Muda Dengan Ikan Kering Masin

Semalam waktu pulang dari kerja semalam, sempat singgah di JJ AU Setiawangsa. Masa jengok kat bahagian sayuran, ternampaklah pisang muda yang segar bugar. Tertulis kat label tu pisang kapas. Terlintas di fikiran esok nak masak kari pisang muda campur ikan kering. Kari pisang muda ini hanya sekali sekala sahaja Kak Noor masak sebab bukan favourite semua ahli keluarga. Hanya suami dan Kak Noor sahaja suka. Orang-orang lama kan! Anak-anak sekarang tak berapa suka makan masakan macam ni. Dia orang siap tanya lagi, nak masa apa ni ibu? Pertama kali yang terlintas di fikiran mereka bila melihat pisang yang sudah disiat ialah pengat pisang ataupun orang Utara kata serawa pisang.

Menurut suami Kak Noor, kalau dapat pisang bakar lagi sedap buat kari. Dia lebih tahu sebab dia membesar di kawasan rumah kampung yang dikelilingi oleh berbagai jenis pokok pisang. Tapi di Kuala Lumpur ni susah nak dapat pisang bakar. So... bagi resepi ini Kak Noor guna pisang kapas aje... Sedap jugak!
Bahan-bahannya:
350 gm isi ikan masin (direndam seketika)
Sesikat pisang muda (siat kulit dan potong serong)
Minyak secukupnya untuk menumis
2 cawan santan (campuran 1 cawan pati santan + 1 cawan air)
¾ cawan air asam jawa
Garam/serbuk perasa/gula secukup rasa


Pisang muda (pisang kapas) yang telah disiat kulit dan dipotong serong 


Ikan kering masin

Bahan-bahan B (dikisar untuk dijadikan pes):
4 sudu besar serbuk rempah ikan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Air secukupnya

Bahan-bahan C (untuk tumis):
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan C sehingga naik bau dan bawang besar kekuningan.
2. Masukkan bahan-bahan B yang telah dikisar. Kacau sebati dan tudung periuk. Masak sehingga rempah naik bau dan terbit minyak.
3. Kemudian masukkan air asam jawa dan biarkan ia mendidih seketika.
4. Masukkan pisang dan sedikit air, tunggu sehingga sedikit empuk dan masukkan ikan masin.
5. Kacau rata, tunggu sehingga ikan masin masak dan masukkan santan.
6. Perisakan dengan serbuk perasa, garam, dan gula. Tunggu sehingga mendidih dan tutup api. Siap untuk dihidangkan.

Roti Pita Berdaging

Bahan-bahannya:
5 keping roti pita dipotong dua (menjadikan 10 keping)
1 biji bawang besar dicincang
2 ulas bawang putih dicincang
200 gm daging kisar (Kak Noor guna daging kisar jenama Ramly)
2 sudu besar serbuk kari daging – dicampur dengan sedikit air dan digaul
1 sudu besar serbuk cili
100 gm sayur campur (kacang peas, jagung, dan lobak merah) – boleh beli di pasar raya
1 biji tomato dipotong kiub
½ biji timur dihiris nipis memanjang
5 kuntum cendawan butang dalam tin – dihiris nipis
Air secukupnya
Secukup rasa garam, lada hitam, dan serbuk perasa
Sedikit mentega
Mayonis secukupnya
Sos cili dan sos lada hitam secukupnya
Beberapa kelopak daun salad
2 sudu minyak masak.

Penyediaannya1. Sapukan mentega di bahagian atas dan tengah roti pita. Panaskannya di dalam ketuhar selama lima minit. Ketepikan.
2. Untuk membuat intinya pula, panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih dan bawang besar sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan air dan serbuk cili. Kacau rata. Biarkan ia masak sehingga terbit minyak.
4. Seterusnya masukkan daging kisar dan air secukupnya. Masak sehingga daging empuk. Perasakan.
5. Masukkan sayur campur, cendawan, tomato dan timun. Kacau rata.
6. Tutup api dan ketepikan.
7. Susun daun salad di bahagian tengah roti pita.
8. Sudukan inti daging ke dalamnya.
9. Akhir sekali, paipkan sos cili, sos lada hitam, dan mayonis.
10. Sedia untuk dimakan.

17 November 2011

Twister Bonda (Ala KFC)

Siapa pernah makan twister KFC? Sedapkan.... Kak Noor pernah juga makan. Bila tak ada selera nak makan nasi masa lunch kat pejabat, benda inilah yang dicari. Sedap dan memang amat mengenyangkan. Boleh kongsi dengan member kalau tak habis. Kau separuh, aku separuh.

Dari sini timbul idea Kak Noor untuk menghasilkan resepi ala-ala twister ni. Mungkin tak sesedap twister KFC; sebab kita sedia maklum setiap produk tu ada rahsia resepinya yang tersendiri. Tapi resepi yang Kak Noor hasilkan ini sedaplah jugak. Kak Noor sendiri tak tahu nak beri nama apa untuk resepi ini.

Memandangkan resepi ini adalah idea Kak Noor, maka Kak Noor namakannya Twister Bonda. Kalau tak nak guna roti paratha, kita boleh guna roti pita (belah dua). Bila roti pita telah dibelah dua, akan terdapat poket. So... letaklah inti di dalamnya. Tapi kalau dah guna roti pita, tak bolehlah dinamakan Twister Bonda lagi. Any idea?







Bahan-bahannya:
Roti paratha (boleh beli di pasar raya)
Sos cili / sos lada hitam
Daun salad
Timun
1 biji tomato dipotong bulat
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan untuk inti:
10 - 15 ketul nuget ayam digoreng
5 batang sosej ayam digoreng
5 batang filamen crab digoreng
1 biji bawang besar dicincang halus
1 biji cili merah atau beberapa biji cili padi (dihiris)
Tuna Mayonis Cap Ayam 1 tin
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
Mayonis secukupnya


Penyediaan membuat inti:
1. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Goreng nuget ayam, filamen crab, dan sosej hingga masak. Toskan minyak dan ketepikan.
2. Bila bahan gorengan telah sejuk, potong dalam saiz yang kecil.
3. Sediakan satu bekas. Masukkan bahan-bahan gorengan yang telah dipotong kecil ke dalam bekas. Masukkan sekali bawang besar, cili merah / cili padi (ikut citarasa), tuna, serbuk lada hitam kasar, dan mayonis.
4. Gaul rata kesemua bahan sehingga sebati.

Pastri balutan menggunakan roti paratha

Penyediaan Pastri Balutan:
1. Panaskan kuali leper (tidak perlu minyak). Gunakan api yang perlahan.
2. Letakkan roti paratha di atas kuali leper.
3. Pastikan roti paratha tidak dipanaskan terlalu lama, hanya lebih kurang 2 - 3 minit sahaja, kemudian angkat. Kebiasaannya roti paratha yang kita beli kat pasar raya telah dimasak 1/4 masak. Jangan sampai roti menjadi terlampau garing kerana ia akan pecah dan tidak dapat membalut inti.



Cara-cara Membalut:
Ambil sekeping roti paratha yang telah dipanaskan. Letakkan daun salad 1 atau 2 helai, tomato dan inti. Tuangkan sedikit sos cili atau sos lada hitam atau kedua-duanya sekali. Taburkan bawang goreng dan sedia digulung.

Cara Hidangan:
Boleh dimakan terus seperti twister KFC atau boleh dipotong mengikut citarasa.






Cubalah, pasti anak-anak suka.

16 November 2011

Tauhu Sambal (Masak Masam Manis)


Tauhu masak sambal manis-manis pedas ini memang favourite Kak Noor sejak kecil lagi.  Resepi yang dikongsi di sini juga adalah warisan daripada bonda dan nenda Kak Noor.  Kalau masak sambal tumis tauhu ini, bonda selalu hidangkannya bersama sayur taugeh masak lemak  dan ikan goreng.  Tetapi yang paling sedap kalau ada ikan cencaru sumbat.



Tauhu basah dipotong dua


Bahan-bahannya:
5 keping tauhu basah
2 sudu besar cili sos
1 sudu besar tomato puri
1 sudu besar tomato sup
1 biji tomato dipotong kiub
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
1/2 sudu teh serbuk perasa (jika suka)
Garam secukup rasa
1 cawan air
Minyak secukupnya.






Bahan-bahan B: (dikisar semua sekali)3 senduk cili kering kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar besar kismis

Penyediaannya:
1. Tauhu basah dibelah dua. Kemudian digoreng sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan periuk dan tuangkan sedikit minyak. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga terbit minyak.
3. Setelah terbit minyak, masukkan 1 cawan air dan kacau. Kemudian masukkan buah tomato yang telah dipotong kiub, tomato puri, tomato sup, sos cili, gula merah + gula putih, garam, dan perasa. Kacau lagi dan biarkan kuah mendidih dan menjadi sedikit pekat. Rasa kuahnya. Kuah sambal tauhu mesti pedas, manis, dan ada rasa sedikit masam.
4. Akhir sekali masukkan tauhu yang telah digoreng tadi. Kacau rata dan masak sehingga kuah melekat pada tauhu.

Sedia untuk dihidangkan. Kalau suka, boleh tabur kacang tanah yang telah dikisar kasar di atas sambal tauhu.

Cadangan hidangan:
Nasi putih
Sambal tauhu
Masak lemah taugeh
Ikan kering goreng / ikan goreng/ikan cencaru sumbat'
Ulam-ulaman dan sambal belacan

14 November 2011

Kari Telur



Bahan-bahannya:
10 biji telur ayam direbus
4 sudu besar rempah kari daging/ayam dibancuh dengan air
3 biji ubi kentang di potong kecil
1 batang lobak merah dipotong serong
1 biji tomato dipotong 4
2 biji cili hijau dibelah dua (tidak putus)
1 cawan pati santan dicampur dgn. 1 cawan air (nisbah 1:)
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
1 sudu teh perasa
1 sudu besar gula perang
Minyak secukupnya untuk menumis.


Bahan-bahan untuk ditumis:
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
Daun kari
1 sudu besar jintan manis


Penyediaannya:
1. Rebus telur sehingga masak, kemudian buang kulitnya.
2. Panaskan periuk.  Masukkan minyak secukupnya.  Tumis bawang merah, bawang putih, daun kari dan jintan manis.  Bila telah naik bau, masukkan rempah.  Masak rempah sehingga garing atau naik minyak.
3.  Masukkan santan dan kacau rata. Dalam masa yang sama masukkan garam, gula, perasa dan asam gelugor.  Masak sehingga kuah mendidih. 
4.  Seterusnya masukkan telur rebus bersama ubi kentang.  Masak sehingga ubi kentang empuk, kemudian dimasukkan lobak merah.
5.  Akhir sekali masukkan tomato dan cili hijau.  Kacau sekejap kemudian tutup api.
6.  Sedia untuk dihidangkan.



Puding Jagung

Puding jagung memang menjadi kesukaan Kak Noor sejak kecil lagi. Bonda Kak Noor selalu masakkan. Bonda Kak Noor ni memang pakar dalam bidang masakan; tak kiralah masakan kuih tradisional, lauk pauk dan biskut raya. Puding jagung yang ingin Kak Noor ketengahkan ini ada kelainan sedikit dari segi bahan-bahannya. Kebiasaannya bahan utama untuk puding jagung ialah jagung dan tepung kastard. Tetapi Kak Noor guna agar-agar sebagai bahan tambahan.





Bahan-bahan A:
1 bungkus agar-agar (20 gm)
4 cawan air untuk memasak agar-agar
2 cawan gula putih
Daun pandan

Bahan-bahan B (diblender):
1 tin jagung manis ala krim Cap Ayam Brand (425g)
1 tin susu isian sejat (400gm)
2 sudu besar tepung kastard
1 biji telur gred A
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit garam

Penyediaanya:
1. Rendam sekejap agar-agar supaya lembut.
2. Masak agar-agar dengan air di atas api yang sederhana. Pastikan air setakat terendam agar-agar. (Kalau banyak air, puding akan menjadi lembik).
3. Bila agar-agar telah larut, masukkan gula.
4. Selepas itu masukkan bahan-bahan B yang telah dikisar dan daun pandan. Kecilkan api dan gunakan api yang perlahan. Pada tahap ini perlu dikacau selalu supaya tidak bergentel dan rentung di bawah. Gunakan senduk kayu untuk mengacau.
5. Apabila telah agak pekat sedikit, tutup api.
6. Sediakan acuan ataupun loyang. Tuangkan puding semasa masih panas. Biarkan seketika di luar supaya hilang panasnya. Bila telah agak sejuk, baharu dimasukkan ke dalam peti ais.
7. Apabila puding telah keras, boleh dikeluarkan daripada peti sejuk. Boleh dihidangkan begitu sahaja ataupun boleh ditambah ais krim di atasnya. Memang sedap sangat....







Boleh tambah ais-krim untuk menambahkan keenakannya.



Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang