Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

26 Februari 2012

Masak Lemak Cili Padi Daging Dengan Rebung




Bercakap pasal rebung ni, sebenarnya Kak Noor memang tak gemar sama sekali memakannya.  
Tetapi itu dulu, sekarang......Sememangnya Kak Noor tidak pernah didedahkan tentang masakan rebung ini sejak kecil lagi.  Dalam erti kata yang lain masakan rebung ini tidak pernah masuk rumah. Selalu tengok kawan-kawan makan dengan berselera sekali bila ada  rebung.  Kata mereka sedap.  Lebih-lebih kali kalau masak lemak cili padi. Apa yang Kak Noor tak tahan dengan rebung ini ialah baunya.  Lebih-lebih lagi kalau rebung jeruk.  Memang tak tahan.

So hari itu semasa kawan sepejabat makan nasi bersama masak lemak cili padi rebung, Kak Noor sempat merasanya.  Pergh..... memang sedap.  Balik dari pejabat petang itu juga, singgah di kedai,  makan nasi dengan masak lemak cili padi daging dengan rebung bersama sambal belacan.  Licin sepinggan nasi... nasib baik kat kedai, kalau kat rumah dah bertambah... 

Hari ini Kak Noor sempat cuba memasak resepi ini; cara orang Negeri Sembilan masak.  Mudah dan tak payah guna bawang.  Kuantiti bahan terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Lagipun ramai orang telah mahir memasak masak lemak cili padi ini. 

Bahannya-bahannya:
Daging cincang
Rebung
Cili padi hijau dan cili padi merah
Kunyit hidup
Santan
Garam dan serbuk perasa

Cara-caranya: 
1. Blend cili padi dan kunyit bersama sedikit air, kemudian didihkan di dalam periuk/kuali bersama daging tadi.  Masak sehingga daging lembut. Sekiranya daging belum lembut, boleh tambahkan air lagi.
2. Setelah daging lembut,  masukkan rebung.
3. Setelah daging empuk dan rebung lembut, masukkan santan pekat, garam dan serbuk perasa.  Senantiasa kacau bahan-bahan tesebut agar tidak pecah minyak.
4. Biarkan santan mendidih, kemudian tutup api.  

25 Februari 2012

Kek Batik Marie Coklat


Telah lama Kak Noor teringin nak cuba buat  Kek Batik Marie ini.  Walaupun nampak mudah, tetapi Kak Noor tak pernah membuatnya.  Ada juga rakan-rakan yang membawanya ke pejabat dan rasanya memang sedap.  Sepotong memang tak cukup.  Kata mereka inilah kek yang paling mudah untuk membuatnya.   Sempat juga Kak Noor layari blog-blog masakan yang ada resepi kek batik ini.  Memang terdapat pelbagai resepi untuk penyediaan kek batik ini  dan diolah mengikut citarasa masing-masing.  Tetapi yang pasti, biskut Marie tetap menjadi bahan utama resepi.

Hujung minggu begini baru ada kelapangan sikit untuk mencuba resepi Kek Batik ini. Bolehlah dibekalkan kepada anak lelaki Kak Noor yang akan pulang ke kolejnya.  Seperti blogger-blogger masakan lain, Kak Noor juga mengolah resepi ini mengikut citarasa Kak Noor sendiri.  Ternyata ia memang sedap dan `moist', dan digemari oleh anak-anak. Tak cukup...


Ok.. mari kita tengok bahan-bahan yang Kak Noor gunakan.  First time buat ni.... dan nasib baik menjadi.  Tapi tu le... gambarnya  tak berapa cantik dan sharp.  Guna kamera handphone aje....  

Bahan-bahannya:
1 bungkus (400g) biskut marie - apa-apa jenama pun boleh
125 gram butter
2 biji telur omega
1 sudu kecil esen vanilla
1 cawan ovaltine
1/2 cawan serbuk koko
3 sudu besar horlicks
1 cawan air
3/4 tin susu pekat
Sedikit kismis/buah ceri/coklat rice - tak guna pun tak ape, ini hanya untuk menyedapkan lagi.

Cara-cara membuatnya:
  • Patahkan biskut dan ketepikan.
  • Di dalam periuk, campurkan ovaltine, horlicks, air, dan susu pekat.  Gunakan whisk untuk mengacau semua bahan tadi sehingga larut dengan api yang sederhana.
  • Setelah larut, masukkan butter.  Kacau sampai butter cair.  
  • Kecilkan api, masukkan telur, ceri, kismis, dan esen vanilla. Kacau sehingga pekat.  Padamkan api.
  • Di dalam periuk, masukkan biskut yang dipatahkan tadi dan kacau semua biskut sehingga diselaputi coklat.
  • Kemudian masukkan ke dalam loyang. Tekan bagi padat dan taburkan coklat rice di atasnya.
  • Simpan di dalam peti sejuk semalaman, sebelum dipotong dan dihidangkan. 
Nota:  Cawan sukatan yang digunakan untuk resepi ini ialah cawan metrik.

22 Februari 2012

Cucur Ikan Bertaugeh

Bila masak cucur ikan ini, teringat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak dulu.  Cucur inilah yang selalu dimasak oleh nenda Kak Noor untuk minum petang.  Kak Noor dibesarkan dalam suasana kampung oleh nenda sejak dilahirkan lagi sehinggalah Kak Noor berusia 12 tahun.  Kebiasaannya selepas penat bermain, perut akan terasa lapar, lalu dihidangkan dengan cucur ikan dan teh o. Bahan pencicahnya pula bukanlah sos cili tetapi kari ikan ataupun sambal tumis. Boleh juga dicicah dengan teh.o. Dalam suasana kampung yang indah dan tenang dikelilingi oleh pokok nyiur yang melambai-lambai dan udara petang yang nyaman, satu persatu cucur dicicah dan disuapkan  ke dalam mulut sehingga tidak sedar akhirnya semuanya selesai.... Memang sedaapp.... bila nenda Kak Noor masak. Tetapi sekarang kena masak sendiri le..... kalau nak makan.


Kebiasaannya cucur ikan ini dibuat apabila ada ikan goreng yang tidak habis.  Orang tua dulu-dulu amat sayang nak buang makanan yang tidak habis.  Selagi boleh makan, dia orang akan makan.  Dia orang tidak suka membazir.  Rezeki datang daripada Allah.  Sekiranya kita membuang rezeki itu, ertinya kita membuang rezeki yang diberi oleh Allah.  Berdosa....  So salah satu caranya supaya tidak berlaku pembaziran,  ikan yang tak habis itu digunakan sebagai bahan campuran untuk membuat cucur.  Inilah resepi cucur original.

Tetapi bagi resepi cucur  ini, Kak Noor campurkan sedikit taugeh untuk melengkapkan piramid pemakanan kita; sayur dan ikan.  So... sekali gus timbul idea  untuk menamakan resepi ini sebagai Cucur Ikan Bertaugeh.


Bahan-bahannya:
*1/2 kilo tepung gandum
*1 sudu soda bikarbonat
1 ekor ikan goreng diambil isinya dan ditumbuk kasar - Kak Noor guna ikan kembung goreng sebab banyak isinya.
Anggaran 50 gram ikan bilis kopek direndam dengan air panas sehingga kembang, kemudian dibersihkan.
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 keping keju - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris
1 biji telur
Daun sup/daun bawang - dihiris
1 paket perencah nasi ikan bilis Seri Aji
Gula dan garam secukup rasa
Air suam secukupnya untuk membancuh tepung

Cara-cara membuatnya:
  • *Tepung gandum dan soda bikarbonat diayak bersama.
  • Di dalam bekas satukan semua bahan.  Gunakan air suam untuk membancuh adunan ini.
  • Gaul adunan sehingga sebati dan ketepikan 30 minit supaya adunan sedikit kembang.
  • Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.  Jemput adunan dan goreng sehingga kekuningan.  Boleh juga menggunakan sudu besar untuk membentuk adunan.
  • Hidangkan dengan sos cili atau mayonis.

Spaghetti Goreng Bonda


Pagi tadi sebelum pergi kerja, Kak Noor sempat menyediakan spaghetti goreng sebagai sarapan untuk kanak-kanak Kak Noor.  Kak Noor cuma guna bahan-bahan yang tersedia ada di dalam peti ais sahaja Sebab itulah Kak Noor namakan resepi ini sebagai Spaghetti Goreng Bonda, kerana bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan spaghetti goreng ini adalah mengikut citarasa dan idea logik Kak Noor... pakai campak aje...tetapi hasilnya sedap jugak (kes masak sendiri, puji sendiri lah ni...)

Dapatlah juga Kak Noor bawa ke pejabat untuk kawan-kawan rasa. Apapun pastinya licin.... Alhamdulillah.

Sekarang kita tengok pula bahan-bahan yang Kak Noor gunakan untuk menyediakan spaghetti goreng ini.

Bahan-bahannya:
Spaghetti ½ paket (jenama ikut suka) 100 gram daging – dipotong kecil dan nipis
½ biji lobak merah – dihiris memanjang
2 biji bawang merah – dihiris/dimayang
3 ulas bawang putih – dihiris/dimayang
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos spaghetti perasa cendawan jenama Kimball
2 keping keju – dipotong kecil (Kak Noor guna jenama Mother Choice)
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil lada putih
Daun bawang/daun sup – dihiris halus
Bawang goreng
Gula dan garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara memasak: 
  • Rebus spaghetti sehingga kembang. Semasa merebus, letak minyak sedikit supaya tidak melekat. Toskan dan ketepikan. 
  • Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Bila telah naik bau masukkan cili kering kisar. Masak sehingga cili garing.
  • Kemudian masukkan daging dan kacau rata. Tambah air sedikit dan masak sehingga daging empuk
  • Selepas itu masukkan sos tiram, sos spaghetti, gula, dan garam. Jika sos kering, tambahkan sedikit air lagi. Masak sampai mendidih.
  • Masukkan lobak merah dan kacau sekejap sehingga sebati dengan sos.
  • Kemudian bolehlah dimasukkan spaghetti. Taburkan lada hitam, lada sulah, dan potongan kecil keju.
  • Gaul rata semua bahan sehingga sebati.
  • Padamkan api dan bolehlah dihidangkan. Semasa menghidang boleh taburkan bawang goreng, daun sup, dan daun bawang.

21 Februari 2012

Sup Campur Soun dan Sosej



Bahan-bahannya:
1 paket campuran soun 
1/2 biji lobak merah - dipotong ikut suka
1 biji ubi kentang - dipotong dadu
4 batang sosej digoreng 1/2 masak - dipotong serong
2 sudu besar sos tiram
1 sudu teh lada putih
1 sudu teh lada hitam
1 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - diketuk
1 inci halia - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1 batang daun saderi
Garam/serbuk perasa
Air secukupnya
1 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-cara memasak:
  • Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bawang putih, bawang merah, halia, dan cili merah sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
  • Masukkan air secukupnya, diikuti dengan sos tiram, lada putih, lada hitam, garam, dan perasa. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
  • Kemudian masukkan ubi kentang dan lobak merah.  Masak sehingga empuk.
  • Akhir sekali masukkan potongan sosej, campuran soun, dan daun saderi. Biarkan di atas dapur seketika sehingga mendidih.
  • Tutup api.  Semasa menghidang sup ini bolehlah ditaburkan bawang goreng.

19 Februari 2012

Daging Masak Sos Lada Hitam Berkentang




Bahan-bahannya:
*1/2 kg daging
*1sudu kecil serbuk kunyit
*1 sudu besar serbuk lada hitam
*1 sudu teh gula
1 biji bawang besar - dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
4 sudu besar sos lada hitam (jenama apa pun boleh) - Kak Noor guna sos lada hitam Sarawak
3 biji ubi kentang - dipotong wedges
2 biji bawang besar - dipotong bulat
Daun bawang dan daun sup
Garam/gula/serbuk perasa
Minyak secukupnya
Air secukupnya

Cara-cara memasak:
  1. Daging dibersihkan dan dihiris nipis dan lebar. *Perapkan daging dengan serbuk kunyit, serbuk lada hitam, dan 1 sudu teh gula.  Ketepikan selama  lebih kurang 30 minit.
  2. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang besar, hirisan bawang putih, dan hirisan halia sehingga kekuningan dan naik bau.
  3. Masukkan sos lada hitam dan kacau rata. Selepas itu masukkan 1 cawan air, diikuti dengan sos cili dan sos tiram. Kacau lagi.
  4. Seterusnya masukkan daging yang telah diperap tadi. Kacau rata dan kemudian tambahkan air secukupnya.  Masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air telah kering tetapi daging masih belum empuk, bolehlah ditambah air dan masak lagi sehingga daging empuk.
  5. Semasa daging 3/4 empuk dan air masih belum kering, bolehlah dimasukkan ubi kentang. Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa. 
  6. Apabila kuah telah agak pekat, masukkan bawang besar yang dipotong bulat, daun bawang, dan daun sup.  Kacau rata dan tutup api.
  7. Sedia untuk dihidangkan.

18 Februari 2012

Ikan Siakap Paprik

Kebiasaannya kita pernah memasak dan menikmati paprik sotong, paprik udang, paprik daging, paprik ayam, dan paprik campur.  Kita jarang memasak ikan paprik.  Kali ini Kak Noor cuba memasak ikan paprik pula.  Kak Noor guna ikan siakap untuk resepi ini.  Ikan siakap selalunya orang masak siakap tiga rasa (amat popular) dan siakap stim.  Apa kata kita guna ikan siakap untuk masak paprik pula.  Resepi ini Kak Noor jumpa dalam koleksi resepi semasa membelek-belek resepi lama semalam.


Macam mana rasa?  Memang sedap... apa tah lagi kalau makan dengan nasi panas-panas.


Bahan-Bahan:
Seekor ikan siakap digaramkunyitkan
Minyak untuk menggoreng ikan
2 batang serai dititik
3 sudu besar sos tiram 
Bahan perasa/garam/gula
Beberapa helai daun limau purut
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 batang lobak merah - dihiris memanjang
1/2 biji cili benggala - dihiris memanjang
1 biji limau nipis



Bahan-bahan dikisar:
5 biji cili merah 
4 - 5 biji cili padi 
1 inci halia
1 biji bawang besar 
4 ulas bawang putih 
Sedikit air


Cara:
  1. Ikan dilumur dengan garam dan kunyit, goreng sehingga warna kekuningan. Ketepikan.
  2. Gunakan sedikit minyak gorengan ikan tadi untuk menumis bahan kisar beserta dengan serai yang dititik. Tumis hingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan sos tiram, garam, gula,  sedikit air, dan bahan perasa.  Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
  4. Selepas itu masukkan air limau nipis, bawang besar,  yang dihiris bulat, cili benggala, lobak merah, dan daun limau purut. Masak selama 5 ke 10 minit.
  5. Kemudian tuang kuah di atas ikan siakap yang digoreng tadi.
  6. Hidangkan bersama nasi panas.
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk masakan ini.

15 Februari 2012

Paprik Sotong

Bermula  minggu ini, Kak Noor jarang memasak seperti dahulu. Dah tak ramai orang di rumah.  Kebiasaannya bila ramai orang, lauk yang tak sedap pun jadi sedap bila makan ramai-ramai.  Jadi berselera.... Tetapi bila dah  kurang forum di dalam rumah, lauk yang sedap pun rasa tak sedap.  Mulalah dijangkiti penyakit malas nak masuk dapur.

Sekarang ini dah kurang tiga ahli senior; tinggal dua junior sahaja kat rumah.  Kak Noor dan husband bekerja, lewat petang baru pulang.  So masa lunch of coz kita orang dah makan. Jarang makan nasi malam, melainkan kalau betul-betul lapar. Hanya perlu sajian untuk dua orang anak Kak Noor sahaja.  Bila tak larat nak masak, Kak Noor beli sahaja di kedai.  Setidak-tidaknya masa memasak pada waktu malam boleh digunakan untuk memantau dan memeriksa pelajaran anak-anak.

Tetapi malam ini terasa pula nak makan nasi.  Ingat nak beli lauk di kedai sahaja tetapi mood Kak Noor rajin malam ini.  Terasa nak makan paprik sotong.  Lagipun sotong memang telah tersedia ada di dalam peti sejuk.   Sayur-sayuran pun masih banyak. Hari Isnin lalu Kak Noor beli kat pasar malam Setiawangsa; harga sekilo RM22.0, saiz besar.  Mahalnye... Tetapi Kak Noor ambil 10 ekor sahaja. Pada mulanya nak masak Sotong Masala, tetapi rempah masala belum dibuat lagi. Postpone dulu masakan tu...

Terdapat beberapa N3 Kak Noor mengenai resepi masakan paprik ini. Kali ini jom kita nikmati  sotong paprik pula.




Bahan-bahan:
8 ekor sotong - bersihkan dan potong
3 ulas bawang putih - diketuk
1 labu bawang besar - dihiris bulat
2 batang  serai - dihiris kasar
2 helai daun limau purut
5 biji cili padi - diketuk
1 biji cili merah- dihiris menyerong
1 biji tomato - dihiris panjang
1/2 biji cili benggala - dihiris menyerong
Sedikit bunga kobis, kacang panjang, lobak merah, putik jagung
 (semua sayuran ini dipotong ikut suka)
2 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan atau sos sotong
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara Memasak.
  1. Panaskan minyak.  Tumis bawang bawang putih dan cili padi. Kacau sekejap
  2. Masukkan cili kering kisar dan kacau sehingga garing sedikit.
  3. Kemudiah baru dimasukkan sos cili, sos tomato, sos tiram, sos ikan atau sos sotong, dan sotong.  Masukkan lebih kurang 1 cawan air dan biarkan kuah mendidih sekejap.
  4. Selepas itu masukkan serai, daun limau purut dan sayur-sayuran.  Masukkan lobak merah dulu, kemudian diikuti oleh sayur-sayuran lain.
  5. Bila telah mendidih, masukkan hirisan bulat bawang besar, cili merah, cili bengggala, dan hirisan tomato. Rasa kuahnya, sekiranya perlu perisakan dengan gula dan garam. Kacau dan biarkan masak seketika.
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi panas.
  7. Sebagai menu tambahan, goreng telur dadar. Boleh tambah nasi ni....

14 Februari 2012

Puding Chipsmore

Kak Noor senantiasa tercari-cari resepi puding yang disukai oleh kanak-kanak.  Puding  ini adalah olahan Kak Noor sendiri.  Terdapat bahan-bahan berunsur coklat dan susu di dalam resepi ini yang sudah tentu menjadi kegemaran anak-anak.

Untuk resepi ini Kak Noor menggunakan kuantiti agar-agar yang agak banyak iaitu 40 gram.  Banyak `sektor' yang hendak diagihkan; untuk baby sitter, untuk rakan-rakan pejabat, dan yang selebihnya untuk dimakan sendiri.  Tak rugi masak banyak, sebab puding ini boleh disimpan di dalam peti sejuk sebagai pemanis mulut.

Kak Noor menggunakan beberapa acuan untuk resepi ini.  Sempena dengan namanya yang lebih kepada citarasa kanak-kanak, Kak Noor menggunakan acuan berbentuk`kucing' di mana acuan ini adalah pilihan `si bongsu'.  Dia yang minta dibelikan acuan ini kerana katanya `cute sangat ibu'. Dan yang selebihnya Kak Noor menggunakan acuan loyang dan acuan bunga.



Bahan-bahannya:
40 gram agar-agar stripe
10 cawan air
2 cawan gula
500 ml susu segar Godday - dibahagikan kepada 2 bahagian @ 250 ml
1 bungkus biskut chipsmore (bungkusan 140 gram) - Kak Noor guna chipsmore butter crunch
30 gram serbuk horlicks
2 sudu besar serbuk koko - dibancuh dengan sedikit air panas sehingga larut
Sehelai daun pandan disimpul.
Cara-caranya:
  1. Rendam agar-agar selama 30 minit sehingga lembut.  Kemudian ditoskan.
  2. Masak agar-agar bersama 10 cawan air sehingga hancur. Masukkan sehelai daun pandan.
  3. Selepas agar-agar hancur, masukkan gula dan masak sehingga larut.
  4. Bahagikan larutan agar-agar kepada dua bahagian. Tuangkan di dalam dua periuk yang berasingan untuk penyediaan lapisan bawah dan lapisan atas. Ketepikan seketika.
Penyediaan lapisan bawah (berwarna coklat):
  • Hancur kasar enam keping biskut chipsmore. Ketepikan.
  • Di dalam blender basah, masukkan 250 ml susu segar dan biskut chipsmore yang telah dihancurkan tadi.  Blend sehingga sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi  bersama bancuhan koko di dalam larutan agar-agar.  Masak kembali dengan api yang sederhana perlahan.  Kacau rata sehingga larutan mendidih dan menjadi pekat sedikit.  
  • Masukkan ke dalam acuan loyang dan biarkan ia sejuk seketika di luar sementara menunggu penyediaan lapisan atas.
Penyediaan lapisan atas (berwarna putih susu):
  • Di dalam blender basah, masukkan 250 ml susu segar dan horlicks. Blend sehingga sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi di dalam larutan agar-agar.  Masak kembali dengan api yang sederhana perlahan.  Kacau rata sehingga mendidih sekali, kemudian tutup api (tidak perlu masak lama seperti lapisan bawah).  Ketepikan dan biarkan ia sejuk seketika. 
Cara-cara melapis:
  • *Cara-cara melapis ini digunakan untuk acuan loyang sahaja. 
  • Apabila lapisan coklat telah mula mengeras pada permukaan atas, susun biskut chipsmore di atas permukaannya. Kemudian tuangkan larutan putih dengan perlahan-lahan di atas biskut tadi.
  • Sejukkan di dalam peti ais.
  • * Bagi acuan lain, cuma tuangkan larutan coklat, biarkan sejuk sebentar lebih kurang 10 minit, kemudian tuangkan pula larutan putih. Sejukkan di dalam peti ais. 
Puding Chipsmore yang telah dikeluarkan daripada acuan loyang dan dipotong untuk dihidangkan.

13 Februari 2012

Sandwich Telur Hancur Berkeju

Sandwich ini amat mudah dan ringkas sekali.  Teramat sesuai untuk anak-anak yang tidak menyukai sayur.  Kak Noor guna butter untuk menggoreng telur dan disapu atas roti.  Keju yang digunakan ialah keju jenama mother choice yang ada 12 keping dalam 1 pack tu.... Bagi yang gemar makan sayur, bolehlah diletakkan sayur seperti yang dicadangkan.

Kak Noor tak sempat nak ambil gambar cara-cara  memasak telur hancur ini kerana mengejar waktu pada waktu pagi.  Buat ala kadar saja untuk anak-anak bersarapan pagi dan bekalan ke sekolah.


Bahan-bahannya:
1 bungkus roti sandwich gardenia
4 biji telur - telur dibersihkan
1 biji bawang besar dicincang
Beberapa keping cendawan tiram - dikoyakkan kecil
1/2 sudu kecil lada putih
1/2 sudu kecil lada hitam
Sedikit garam
4 sudu besar mayonis
12 keping keju
Butter secukupnya (untuk menggoreng telur dan menyapu roti)

Bahan-bahan lain (bagi penggemar sayur):
Lobak merah yang disagat
Daun salad - dihiris
Timun dibuang biji dan disagat
Tomato dibuang biji dan dihiris nipis

Cara-cara memasak telur hancur:
  1. Di dalam bekas, satukan telur, bawang besar cincang, cendawan, lada putih, lada hitam, garam dan 2 sudu besar air. Pukul telur sehingga kembang dan sebati dengan bahan-bahan yang lain.
  2. Panaskan kuali atau frying pan.  Letakkan butter secukupnya untuk menggoreng telur. Masukkan telur dan goreng hancur hingga masak.   Gunakan garpu semasa mengacau/menggoreng telur.
  3. Padam api.  Semasa telur masih panas di dalam kuali, masukkan mayonis.  Kacau rata. Telur akan menjadi sedikit basah selepas digaul dengan mayonis. Ketepikan.
Penyediaan sandwich:
  1. Sapukan butter pada setiap keping rotii 
  2. Selepas itu letakkan sekeping keju di atas roti tadi, diikuti dengan telur hancur. Bagi penggemar sayur, bolehlah diletakkan sayur sekali. 
  3. Lapiskan dengan roti yang lain.
  4. Potong serong dan sedia untuk dimakan.
  5. Sekiranya sandwich tidak diletakkan sayur, bolehlah dipelbagaikan sajiannya dengan membakar di dalam sandwich toaster jika suka.

Ayam Kicap Berempah Madu


Bahan-bahannya:
½ ekor ayam - dipotong 8 
Garam dan gula secukup rasa 
Kicap pekat manis secukupnya
1 sudu besar sos cili 
1 sudu besar sos tiram 
4 sudu besar madu 
1 biji bawang besar – dihiris bulat 
1 biji cili merah – dihiris 
Daun sup/daun bawang 
Minyak untuk menumis dan menggoreng
Bahan-bahan Tumis:
1 biji bawang besar - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
2cm halia - dikisar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
 1 tangkai daun kari
Bahan-bahan pes:
1 sudu besar rempah kari daging 
1 sudu besar rempah kurma 
1 sudu kecil jintan manis 
1 sudu kecil jintan putih 
2 sudu besar serbuk cili 
Air secukupnya 
(Bahan-bahan di atas disatukan dan dibancuh dengan air sehingga sebati) 

Cara memasak:
1. Perap ayam bersama garam, serbuk kunyit dan sedikit rempah kari daging. Ketepikan lebih kurang 30 minit.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak (jangan terlampau garing). Angkat dan toskan.
3. Kemudian panaskan lebihan minyak tadi dan tumis bahan kisar bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan daun kari sehingga naik bau.
4. Seterusnya masukkan bancuhan bahan pes . Tumis sehingga naik bau dan terbit minyak.
5. Setelah itu masukkan kicap pekat, sos cili, sos tomato, dan sos tiram. Kacau rata. Masukkan sedikit air. Sekiranya mahukan kuah lebih, boleh dimasukkan air (sukatan air yang dimasukkan bergantung kepada kuantiti kuah yang dikehendaki).
6. Akhir sekali perasakan dengan gula dan garam. Masukkan ayam goreng tadi, diikuti dengan madu dan hirisan bawang besar bulat. Gaul sebati.
7. Taburkan daun sup, daun bawang, dan hirisan cili merah semasa menghidang.

10 Februari 2012

Sup Ikan Merah ala Thai

Bahan-bahannya:
3 ekor ikan merah
1 batang serai (dititik)
5 helai daun limau purut
2 helai daun pandan (disimpul)
2 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
3 biji bawang merah - dihiris memanjang
2 ulas bawang putih - dihiris memanjang
2 inci halia - dihiris memanjang
2 sudu makan serbuk perisa ikan ataupun ayam
5 biji cili api - dipotong serong
2 biji ubi kentang - dipotong dadu
Garam secukup rasa
1 tangkai daun bawang
1 tangkai daun ketumbar
Sedikit minyak bagi menumis
5 cawan air
Sedikit bawang goreng

Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak.  Kemudian tumiskan bawang merah, bawang putih, halia, serai, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, cili api, daun limau purut, dan daun pandan sehingga wangi.
  2. Masukkan air secukupnya dan ubi kentang.  Biarkan mendidih sehingga ubi empuk.
  3. Kemudian masukkan ikan dan masak dengan api yang sederhana.
  4. Tambahkan garam dan sedikit serbuk perisa ikan.
  5. Taburkan daun bawang, daun ketumbar, dan bawang goreng semasa menghidang.
Sumber: Hidangan Terbaik Dunia Thai oleh Chef Nazira Noran

Som Tam (Kerabu Betik)

Sumber:  Hidangan Terbaik Dunia Thai oleh Chef Nazira Noran

Bahan-bahannya:
1/4 biji betik muda (diparut halus)
2 biji bawang merah (dihiris halus)
2 sudu makan udang kering (ditumbuk)
2 sudu makan kacang gajus (ditumbuk)
8 biji cili api (dipotong nipis)
4 batang kacang panjang (dipotong panjang)
3 tangkai daun bawang (dipotong panjang)
3 tangkai kangkung (dipotong panjang)
4 biji limau nipis (diambil jus)
2 sudu makan sos ikan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya:

  1. Satukan betik, udang kering, bawang merah, cili api, sos ikan, garam, dan gula secukup rasa.
  2. Perahkan jus limau dan gaulkan sehingga sebati.
  3. Kemudian tabur kacang gajus di atasnya sebelum menghidang bersama ulam kacang panjang, kangkung, dan daun bawang.
  4. Simpan di dalam peti sejuk dan enak juga dimakan semasa sejuk.
Tips:
  1. Masyarakat Thailand biasanya menjadikan somtam ataupun kerabu betik ini sebagai pencuci mulut tetapi boleh juga dijadikan ulam bersama nasi putih.

8 Februari 2012

Kari Ayam (Stail Mamak)



Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dibersihkan dan dipotong ikut saiz yang anda suka
(hendaklah digaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, dan diperap seketika)
#1 cawan pati santan sawit KHALIS dicampurkan dengan 1 1/2 cawan air
Ubi kentang dibelah dua (kuantiti ikut citarasa)
2 biji tomato (dipotong dua atau empat, bergantung kepada saiz tomato)
3 biji cili hijau
1 biji bawang besar - dibelah 4
2 helai daun pandan.
1 sudu teh gula
Garam secukup rasa
2 keping asam gelugor
Minyak untuk menumis


Bahan-bahan A (untuk diblender dan dijadikan pes rempah):

5 sudu besar rempah kari ayam
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar serbuk cili/cili kering yang telah dikisar 
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar


Bahan-bahan B (untuk ditumis):

2 biji bawang kecil (merah) dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
3 inci halia dihiris
1 batang kulit kayu manis (ukuran @ 1 inci)
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
4 tangkai daun kari

Penyediaannya:
  1. Panaskan periuk dan masukkan minyak secukupnya. Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau dan kekuningan. Kemudian masukkan bahan-bahan A, kacau dan tutup periuk sehingga bahan-bahan rempah terbit minyak.
  2. Selepas rempah terbit minyak, masukkan sedikit air, diikuti dengan garam dan gula. Kacau rata, kemudian masukkan ayam. Kacau sebati dan tutup periuk semula, biarkan ayam masak ½ empuk. Masa ini air aroma ayam keluar dan bercampur dengan kuah.
  3. Selepas itu masukkan kentang dan masak sehingga empuk.
  4. Selepas kentang empuk, baru dimasukkan santan.  Masak sehingga kuah mendidih.
  5. Akhir sekali masukkan cili hijau, tomato, bawang besar, dan daun pandan.  Biarkan mereneh seketika lebih kurang 5 minit.  Tutup api dan tudung periuk.
# Cawan yang digunakan untuk sukatan ialah cawan kopi lutsinar.

7 Februari 2012

Cekodok Cendawan Mayonis


Bahan-bahannya:
1/2 kg. tepung gandum diayak
100 gram udang geragau - direndam dan dibasuh bersih.
100 gram cendawan tiram - dipotong memanjang
2 sudu besar mayonis
1 biji telur
2 biji bawang besar - dicincang halus
1 biji cili hijau - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1 tangkai daun sup dan daun bawang dihiris
1 sudu besar serbuk kunyit
Gula dan garam secukup rasa
Air suam secukupnya untuk membancuh adunan
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara memasak:

  1. Satukan semua bahan dalam mangkuk.
  2. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil gaul sebati dan dapat dijemput.  Ketepikan lebih kurang 1/2 jam supaya tepung kembang sedikit.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali.  Jemput adunan ke dalam kuali dan goreng sehingga kekuningan.
  4. Hidangkan.

6 Februari 2012

Popia Kentang Berdaging

Untuk membuat popia kentang ini Kak Noor menggunakan inti kentang.  Cara-cara penyediaan  inti kentang adalah sama seperti membuat inti karipap. Rujuk N3 Kak Noor di menu Karipap Rangup untuk penyediaan inti.  Untuk menu karipap rangup Kak Noor gunakan ubi kentang dan ubi keledek.  Tetapi bagi inti popia, gantikan sukatan ubi keledek dengan ubi kentang sahaja.


Untuk memudahkan kerja, Kak Noor cuma membeli kulit popia berukuran 125mm x 125mm  di pasar raya.  Caranya amat mudah, cuma letakkan inti di atas kulit popia, kemudian digulung dan goreng.  Goreng dengan api yang sederhana panas sehingga kekuningan. Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sos cili pilihan.

5 Februari 2012

Sotong Masak Lemak Kentang




Bahan-bahannya:
1 kg sotong saiz sederhana
3 biji ubi kentang saiz sederhana - setiap biji dipotong menjadi 6 ketul potongan kecil
1/2 cawan santan pekat (dicampur dengan 1/2 cawan air)
Beberapa helai daun limau purut dikoyakkan
5 - 6 biji cili padi dititik
1 biji bawang besar dihiris bulat
2 batang cili hijau
1 keping asam gelugor (asam keping) 
Gula dan garam secukup rasa
3 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan tumis:
2 camca besar cili kering kisar*
1 camca besar kunyit hidup*
(Bahan-bahan * disatukan)
2 biji bawang kecil (bawang merah) dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
1 batang serai dititik



Cara-cara memasak:
  1. Sotong dibersihkan dan ditoskan.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumiskan bawang kecil, bawang putih, halia,,dan serai sehingga naik bau dan kekuningan. 
  3. Masukkan cili kering yang telah dicampur dengan serbuk kunyit.  Masak sehingga terbit minyak.
  4. Kemudian dimasukkan santan.  Perisakan dengan garam dan gula.  Kacau rata.
  5. Masukkan ubi kentang.  Sekiranya kuah agak pekat, masukkan 1/2 cawan air.  Masak sehingga ubi kentang empuk.
  6. Setelah ubi empuk, bolehlah dimasukkan sotong, daun limau purut, asam keping, cili padi, cili hijau, dan bawang besar yang dihris bulat.  Biar di atas dapur sehingga sotong masak.
  7. Tutup api dan sedia dihidangkan.

4 Februari 2012

Kupang Goreng Berempah dengan Ubi Kentang


Bahan-bahan A: (Diperap)
500 gram isi kupang
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu teh garam
(Semua bahan-bahan A disatukan dan diperapkan selama 10 minit)

Bahan-bahan B: Tumis
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 tangkai daun kari
1 sudu besar serbuk cili*
1 sudu besar serbuk jintan putih*
1 sudu besar serbuk jintan manis*
1 sudu besar serbuk lada hitam*
Air secukupnya*
(*Satukan semua rempah dan dibancuh dengan air menjadi pes)

Bahan-bahan lain:
4 biji ubi kentang - dipotong baji (wedges)
(ubi kentang digaul dengan kunyit dan sedikit garam)
Daun limau purut
3 - 4 biji cili padi dititik
1 biji bawang besar dihiris bulat
Daun sup dan daun bawang
Garam dan gula

Penyediaannya:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng kupang yang telah diperap tadi 1/2 masak, kemudian angkat. Ketepikan. 
  2. Kemudian goreng ubi kentang sehingga masak.  Ketepikan.
  3. Di dalam kuali yang sama gunakan hanya 3 sudu minyak gorengan kupang untuk menumis.  Tumis bawang putih, halia dan daun kari hingga terbit bau dan kekuningan.
  4. Kemudian masukkan pas rempah dan masak sehingga terbit minyak.
  5. Masukkan garam, gula, dan daun limau purut.  Sekiranya pes agak pekat, boleh dimasukkan sedikit air.
  6. Masukkan kupang dan ubi kentang yang telah digoreng. Kacau rata.
  7. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris bulat dan cili padi. Biarkan di atas dapur lebih kurang 2 minit.  Kemudian angkat.
  8. Hiaskan dengan daun sup dan daun bawang.

Karipap Rangup

Sejak pagi tadi Kak Noor telah rancang nak buat karipap untuk sajian petang. Telah agak lama Kak Noor nak buat karipap tetapi masa tidak mengizinkan.  Tahu ajelah bila nak buat karipap memerlukan masa untuk memasak inti dan kemudian menyediakan pastrinya.
Bila bercakap mengenai karipap, Kak Noor teringat semasa zaman persekolahan dahulu.  Bonda dan ayahanda Kak Noor memang membuat karipap untuk jualan.  Dengan duit jualan karipap itulah dijadikan wang saku perbelanjaan Kak Noor semasa persekolahan dan semasa menuntut di IPTA.  Besar sungguh pengorbanan ibu dan bapa yang bersengkang mata dan bangun pagi-pagi lagi untuk menyediakan karipap untuk jualan.  Masa itu kita anak-anak masih tidur lena dibuai mimpi.  Ibubapa merasa kasihan untuk membangunkan kita untuk membantunya.  Apa yang penting, mereka mahu kita belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam pelajaran.

Pengalaman membuat karipap ini Kak Noor timba daripada ibubapa Kak Noor. Tugas Kak Noor ialah memotong ubi dan mengklim karipap.  Dapatlah upah RM2.00 sehari.  Syukur Alhamdulillah.
So bagi N3 kali ini Kak Noor ingin berkongsi resepi inti karipap yang pernah dimasak oleh bonda Kak Noor.  Bagi pastrinya pula, Kak Noor kongsi daripada blog Bukan Sekadar Masakan kerana tertarik dengan tepung yang digunakan untuk membuat pastri karipap.  Kebiasaannya kita menggunakan tepung gandum sahaja, tetapi resepi ini mengabungkan tepung gandum, tepung beras, dan tepung jagung. Bila dah buat, hasilnya memang berbaloi.  Kulitnya rasa rangup dan gebu. Enaq sangat dimakan.
Inti yang sedang dimasak di dalam kuali
Inti yang telah dimasak
BAHAN-BAHAN UNTUK INTI:
1 kg. ubi keledek merah - dipotong kiub kecil
4 biji ubi kentang - dipotong kiub kecil
100 gram daging dicincang
Garam, dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan A : Diblend untuk dijadikan pes
4 sudu besar rempah daging
2 sudu besar udang kering
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
Air secukupnya

Bahan B: Ditumis
1 labu bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari
1 sudu besar jintan manis

Cara menyediakan inti:
  1. Ubi keledek dan ubi kentang dikupas kulitnya dan dipotong kecil bentuk kiub.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan B sehingga terbit bau dan kekuningan.
  3. Kemudian masukkan bahan A. Masak sehingga rempah terbit minyak (pecah minyak).
  4. Masukkan air secukupnya.  Air hendaklah cukup untuk mengempukkan ubi.  Kacau rata.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.  Kalau suka boleh tambahkan ajinomoto.
  6. Masukkan ubi keledek dan ibu kentang yang telah dipotong tadi dan kacau rata.  Masak sehingga ubi empuk. Sekiranya air kering dan ubi masih belum empuk, tambahkan air dari semasa ke semasa dan masak sehingga ubi empuk.
  7. Setelah masak dan inti agak lembap, bolehlah dimasukkan daun sup dan daun bawang.  Kacau seketika, kemudian tutup api.
BAHAN-BAHAN UNTUK PASTRI KARIPAP:
500 gram tepung gandum
50 gram tepung beras
50 gram tepung ubi
1 sudu besar gula
1 sudu besar garam
2 1/2 sudu besar majerin*
1/4 cawan minyak*
(* dicampur kedua-duanya dan dipanaskan di atas api)
Air sejuk daripada peti ais
Doh  yang telah dibahagikan kepada bahagian kecil membentuk bebola
 Cara-cara menyediakan pastri karipap:
  1. Campurkan kesemua tepung, garam, dan gula.  Gaul rata.
  2. Tuangkan minyak panas dan gaul rata.
  3. Tuangkan air sedikit-sedikit sehingga membentuk doh lembut. 
  4. Sapukan sedikit marjerin di atas doh dan tutup.  Ketepikan selama lebih kurang 30 minit.
  5. Selepas 30 minit, potong doh dan bahagikan kepada bahagian kecil membentuk bebola.  Buat sehingga habis dan ketepikan selama 10 - 20 minit lagi.  Biarkan doh senantiasa dalam keadaan tertutup bagi mengelakkan pastri mengeras cepat. 
  6. Ambil sebiji doh, letakkan di atas papan pencanai dan canaikan dengan kayu pencanai. Bagi mengelakkan doh daripada melekat, taburkan di atas papan pencanai dengan sedikit tepung gandum.
  7. Isikan dengan inti, kemudian diklimkan. Buat sehingga habis.
  8. Goreng dengan minyak dalam sehingga garing. Toskan dan kemudian dihidangkan.

3 Februari 2012

Daging Masak Merah Ala Thai





Dah seminggu Kak Noor tercari-cari resepi daging masak merah ala Thai yang sedap untuk sajian keluarga minggu ini. Minggu ini cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan Thaipusam. Bila cuti panjang begini dan semua ahli keluarga berkumpul, inilah masanya untuk menyediakan hidangan yang istimewa sedikit. Daging Masak Merah Ala Thai ini memang menjadi kegemaran anak-anak Kak Noor. Bila makan di kedai, menu ini wajib dipesan. Tetapi .... tak semua restoran/kedai makan yang dapat menepati citarasa masakan thai yang sebenarnya.

Tapi resepi yang Kak Noor kongsikan di sini menepati citarasa Kak Noor. Bila tengok bahan-bahan yang digunakan, telah terasa kesedapannya. Apa yang Kak Noor perasan, masakan Thai wajib menggunakan daun limau purut dan juga serai. Resepi ini diambil daripada blog Aznanie sebab Kak Noor teruja dengan bahan-bahan yang digunakan. Tetapi gambarnya adalah hasil daripada masakan Kak Noor sendiri. Terima kasih Aznanie.






Bahan-bahan:
1/2 kilo daging - dipotong nipis dan di rebus dengan pewarna merah
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar - dipotong bulat
3 biji bawang putih - diketuk
10 biji cili api - diketuk (terpulang kepada citarasa masing-masing, nak pedas tambah lagi, tak nak boleh kurangkan)
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
Daun limau purut - dikoyakkan
2 batang serai - dititik
Kacang panjang - dipotong memanjang (terpulang, nak letak boleh, tak nak pun tak mengapa)
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa
Sedikit tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air untuk pekatkan kuah

Cara membuatnya:
Panaskan minyak. Goreng daging sebentar dan ketepikan.
Tumiskan bawang putih hingga naik bau.
Masukkan cili kering kisar.dan masak sehingga terbit minyak.
Masukkan sos cili, sos tomato, dan sos tiram dan sedikit air diikuti dengan daun limau purut dan serai. Kacau rata.
Kemudian masukkan garam, gula, dan ajinomoto Kacau sebentar, kemudian masukkan daging yang telah digoreng tadi bersama kacang panjang, bawang besar, dan cili padi.
Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau.
Setelah kuah nampak pekat, boleh diangkat dan dihidangkan bersama nasi putih.

1 Februari 2012

Serawa (Pengat) Keledek

Bahan-bahannya:
1 kg ubi keledek merah
1 cawan jagung manis sejuk beku
1/2 kg santan pekat
1/2 tin susu sejat
1 ketul gula kabung
2 senduk gula pasir - kemanisan ikut citarasa masing-masing
Sedikit sagu biji - direndam sehingga kembang, kemudian ditoskan
1 sudu kecil garam
1 helai daun pandan disimpul

Cara Penyediaannya:

  1. Ubi keledek dikupas kulit dan dibasuh bersih. Kemudian dipotong kecil.
  2. Rebus ubi keledek dengan air secukupnya sehingga ubi empuk.
  3. Di dalam periuk yang lain, masak gula kabung dengan gula pasir sehingga larut. Kemudian tapis dan ketepikan.
  4. Bila ubi telah empuk, masukkan larutan gula tadi dan sagu.  Kacau rata.
  5. Kemudian masukkan santan, garam, dan daun pandan.
  6. Kacau selalu supaya santan tidak pecah.  Masak sehingga mendidih, kemudian tutup api.
  7. Hidangkan.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang