Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Mac 2012

Mee Goreng Basah



Aha... mesti terliurkan bila tengok udang dan sotong di dalam mee goreng ini kan!   Inilah sarapan pagi keluarga Kak Noor hari ini.  Bila goreng mee, kebiasaannya Kak Noor goreng basah dan taugeh mesti banyak. Memang sedap dimakan sejurus lepas masak.  Jangan tunggu lama-lama sampai sejuk, nanti mee kembang.






Bahan-bahannya:
2 bungkus mee kuning
RM1.00 taugeh segar
10 ekor udang saiz sederhana
2 ekor sotong - dipotong bulat
1 senduk cili kering kisar
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dititik
1 sudu teh cuka
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 cawan air
Gula/serbuk perasa/garam secukup rasa
Minyak secukupnya
Hiasan:  Daun salad dan cili merah dihiris halus, bawang goreng


Penyediaannya:
1. Basuh mee kuning dengan air dan toskan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Kemudian tumiskan bawang putih dan bawang merah. Apabila telah naik bau, masukkan cili kering kisar. Kacau seketika sehingga terbit minyak.
3. Selepas itu masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, kicap manis, cuka,  garam, gula, dan perasa. Kacau biar sekata. Masukkan air, udang, dan sotong. Biarkan kuah menggelegak. Rasa cukup semua bahan perasa.
4. Masukkan mee dan digaul sebati. Balik-balikkan sekejap. Kecilkan api dan biarkan selama 3 - 4 minit atas dapur Apabila semua perasa telah meresap dalam mee, masukkan taugeh dan gaul sekata. Tutup api.
5. Alihkan mee daripada kuali supaya air tidak kering. Taburkan daun salad, cili merah, dan  bawang goreng. Mee goreng basah ini sedap dihidangkan ketika masih panas dan jika suka boleh dimakan bersama cili jeruk.

Kari Ikan Pari



Bahan-bahannya: 
500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping
10 batang bendi
1 biji terung panjang – dipotong serong
1 biji tomato – dibelah empat
2 biji cili hijau
4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil
1 sudu besar pati asam jawa
1 cawan pati santan + 2 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan mesin (A):
4 sudu besar rempah kari
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil serbuk cili
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Air secukupnya
(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus)

Bahan tumis (B):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari



Cara-cara memasak:
· Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan.
· Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.
· Masukkan pati asam jawa dan kacau rata. Kemudian tuangkan santan dan masak sehingga mendidih.
· Masukkan ikan pari dan garam secukup rasa dan biarkan ia mendidih lagi.
· Masukkan bendi , tomato, cili hijau, dan cili kering.
· Perlahankan api dan biarkan sehingga naik minyak dan sayur lembut.
· Angkat dan bolehlah dihidangkan.

Lemak Cili Api Ikan Masin dan Pisang Muda


Bahan-bahannya:
4 - 5 ketul ikan kurau masin - potong kecil
1 sikat pisang muda
1 cawan pati santan
2 batang serai - dititik
Sedikit ikan bilis - dibasuh dan ditumbuk kasar
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
3 - 4 biji cili api (warna merah)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
2 cawan santan cair -  1/2 cawan pati santan + 1 1/2 cawan air)
(Satukan bahan-bahan di atas dan dikisar halus bersama santan cair)

Cara-cara memasak:
  • Siat kulit pisang dan potong serong.  Kemudian rendam di dalam air garam lebih kurang 1/2 jam.
  • Masukkan bahan-bahan kisar, pisang, ikan bilis, serai, dan ikan masin di dalam periuk  Masak sampai pisang agak lembut.
  • Selepas itu masukkan pati santan.  Perasakan dengan garam dan gula.
  • Masak sehingga kuah mendidih sekali.  Kacau kemudian tutup api.

28 Mac 2012

Telur Masak Kicap



Bila daging atau ayam tidak lagi dapat membuka selera anakanda,  maka resepi ringkas inilah yang Kak Noor masak untuk mereka. Dan resepi inilah juga yang menjadi penyelamat sekiranya Kak Noor terlewat bangun pagi, tetapi masih perlu menyediakan sajian tengah hari untuk anakanda di rumah.  Walaupun tidak seberapa, setidak-tidaknya masih ada lauk yang boleh dimakan sepeninggalan Kak Noor pergi bekerja.




Bahan-bahannya:
5 biji telur - digoreng mata kerbau
1 biji bawang besar - dihiris membulat
2 - 3 biji cili padi - diketuk
1 biji buah tomato - dibelah empat
Daun sup/daun bawang - dipotong 1 inci panjang]
Garam/gula/serbuk perasa
Air secukupnya - (Boleh ditambah dan dikurangkan mengikut citarasa masing-masing).
Minyak secukupnya 

Bahan-bahan tumis:
2 bulas bawang putih - dihiris
2 biji bawang kecil - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 sudu besar rempah sup - dibancuh dengan sedikit air

*Bahan-bahan sos:
Kicap manis dan kicap masin (lebihkan kicap manis)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
(Bahan-bahan di atas disatukan dan dibancuh dengan sedikit air)
* Bahan-bahan sos ini boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing

Cara-cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga terbit bau.  Kemudian masukkan rempah sup dan tumis sehingga garing.
  2. Masukkan air secukupnya dan kacau rata.  Tambahkan semua bahan sos.  Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa.  Masak kuah sehingga hampir mendidih.
  3. Kemudian masukkan telur goreng dan kacau semua bahan sehingga rata dan rasa kemasinannya,  Sekiranya kurang masin, bolehlah ditambah kicap masin lagi atau garam.  Masak sehingga mendidih.
  4. Akhir sekali masukkan potongan buah tomato, bawang besar, cili padi, daun sup dan daun bawang. Biar ia mereneh sebentar di atas dapur, kemudian tutup api.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

SAMBAL TUMIS KERANG



Kerang lagi!! Hai…sejak-sejak akhir ini Kak Noor berminat dengan masakan kerang pulak. Sebenarnya Kak Noor ni peminat nombor satu sambal tumis kerang. Kalau makan dengan nasi putih, lebih-lebih lagi dengan nasi lemak, terkelu lidah untuk berkata-kata. Mestilah lidah kelu, sebab tengah menyuap kan… 

Ingat tak zaman kanak-kanak dulu semasa ibu kita meminta tolong kita mengopek kerang. Boleh kata separuh masuk ke mulut dan tinggal separuh lagi untuk dimasak. Kak Noor rasa semua orang pernah mengalami saat-saat indah mengopek kerang ini.





Nak masak sambal kerang ni perlu bersusah-susah dulu, berenak-enak kemudian. Apa taknya, banyak proses yang perlu dilakukan sebelum kerang dapat disajikan sebagai satu masakan yang enak. Kerang perlu dibersihkan dulu sehingga kulit kerang nampak putih. Kemudian direbus (setengah orang suka rebus setengah masak, tetapi Kak Noor rebus sehingga masak). Selepas itu kerang dikopek untuk mengeluarkan isinya. Kalau saiz kerang besar, senanglah dikopek, laju aje….. Tetapi kalau saiz kerang kecil, berpeluh juga mengopeknya. Tangan pula akan terasa kegatalannya disebabkan air rebusan kerang. Mulalah nak menggaru.  Last-last sekali sampai satu lengan gatal.  `Masalah-masalah’ beginilah yang memendamkan hasrat Kak Noor untuk memasak kerang, walaupun masakan ini adalah favourite Kak Noor.  

Tetapi sekarang bila dah boleh dapat isi kerang rebus secara`instant’, maka rajinlah sedikit untuk Kak Noor memasak sajian ini. Dalam N3 terdahulu, Kak Noor ada muatkan resepi rendang pedas kerang. Cubalah memasaknya mengikut resepi. Hari ini N3 Kak Noor ialah masakan sambal tumis kerang. Tips untuk menjadikan sambal tumis kerang ini sedap ialah menggunakan bawang besar yang banyak. Rasa sambalnya pula mestilah menepati citarasa iaitu cukup rasa manisnya, masinnya, pedasnya, dan lemaknya. Bagi membangkitkan rasa seimbang manis dan lemak dalam masakan ini, Kak Noor gunakan gula perang. Sambal akan rasa lebih sedap sekiranya kita gunakan gula perang dicampur dengan gula putih dalam masakan.   



Bahan-bahannya:
600 gram isi kerang rebus
2 biji bawang besar – dihiris bulat
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar pati asam jawa
2 helai daun limau purut – dicarikkan
2 sudu besar gula perang
Gula putih secukupnya (sebagai tambahan kepada gula perang)
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering kisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci panjang kunyit hidup
2 batang serai
1 inci halia
1 inci belacan

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga garing dan naik bau.
2. Masukkan sedikit air, pati asam jawa, gula perang, gula putih dan garam. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
3. Kemudian masukkan kerang diikuti dengan bawang besar dan daun limau purut. Kacau sebati dan perlahankan api. Biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga kuah menjadi sedikit pekat dan bersalut dengan kerang. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

24 Mac 2012

SWEET SOUR BEBOLA AYAM DAN TAUHU



Masakan ini  teramat digemari oleh anak-anak Kak Noor.  Sajian ini dimasak pada hari ini atas permintaan anak lelaki Kak Noor yang akan pulang ke Kolej Komuniti pada hari ini setelah bercuti selama tiga hari pulang ke rumah untuk mengambil keputusan SPMnya.  Syukur Alhamdulillah ke hadrat yang maha ESA kerana dengan limpah rahmatNYA anak Kak Noor memperolehi keputusan yang masih melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Kebiasaannya Kak Noor gunakan 1 bungkus (1kg) bebola ayam untuk sajian keluarga.  Tauhu pula Kak Noor gunakan untuk `memeriahkan' lagi masakan ini. Sesuai dimakan dengan nasi dan juga diratah begitu sahaja. Tetapi bagi anak-anak Kak Noor mereka lebih suka meratahnya.



Bahan-bahannya:
1 kg. bebola ayam - digoreng
4 tauhu putih - dipotong dua dan digoreng
2 sudu besar cili sos
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar gula perang]
1 cawan air
Gula putih secukup rasa - sebagai tambahan kepada gula perang
Garam secukup rasa
Perasa (sekiranya suka)
Minyak secukupnya untuk menumis.

Bahan-bahan dikisar:
3 senduk cili kering kisar - Kak Noor gula senduk nasi untuk menyukat
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji tomato

Penyediaannya:
  • Panaskan minyak.  Goreng bebola ayam dan tauhu sehingga masak dan ketepikan.
  • Gunakan minyak gorengan bebola ayam dan tauhu untuk menumis bahan-bahan kisar sehingga garing.
  • Bila bahan-bahan kisar telah garing, masukkan 1 cawan air dan kacau rata diikuti dengan gula perang, gula putih, garam, dan perasa.  Masak sehingga mendidih.
  • Kemudian masukkan bebola ayam dan tauhu yang telah digoreng.  Kacau rata dan biarkan ia mereneh di atas dapur seketika.
  • Tutup api.  Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan bawang goreng.

Kek Coklat Moist (Kukus)


Bila tengok N3 kek coklat dalam blog rakan-rakan, teruja sangat ingin mencuba membuatnya.  Kak Noor  bukanlah seorang yang mahir membuat kek  seperti rakan-rakan blogger yang lain di mana kek-kek yang dipaparkan dalam blog begitu cantik dan membangkitkan selera.  Kak Noor juga tidak pernah menghadiri mana-mana kelas membuat kek, hanya membuatnya mengikut resepi sahaja.  Bolehlah sekadar untuk santapan seisi keluarga.


Memandangkan `keteringinan' Kak Noor tidak dapat dibendung lagi, maka hari ini Kak Noor cuba membuat kek coklat moist.  Resepi asal kek coklat moist ini diambil  dari blog  Bukan Sekadar Masakan.  Cuma dari segi penggunaan minyak masak, Kak Noor ganti dengan margerin yang dicairkan.  Untuk topping dan hiasannya pula Kak Noor guna Hershey's syrup chocolate flavour yang boleh dibeli di pasar raya dan hanya ditaburkan coklat rice.

Bahan-bahannya :
2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil baking soda
3/4 ( tiga suku cawan) minyak masak  (Kak Noor guna 3/4 cawan margerin cair
1 cawan gula
1 cawan air suam
1/2 cawan susu pekat
1 cawan serbuk koko ( Kak Noor guna serbuk koko jenama van hauten)
3 biji telur
Beberapa titik esen vanila

Untuk Topping dan Hiasan:
1/2 bar coklat masakan di campur dengan 2 sudu besar butter, 1/2 sudu besar gula halus dan beberapa titik esen vanila. guna kaedah double boiler, kemudian curah pada kek yang telah sejuk dan taburkan coklat rice diatasnya.(Kak Noor guna Hershey's Syrup chocolate flavor untuk menggantikan topping di atas).

Cara-caranya:
1. Ayak tepung gandum bersama, serbuk koko, baking powder dan baking soda, ketepikan. Panaskan pengukus.
2 Dengan menggunakan mixer, pukul telur hingga berbuih dan masukkan gula, pukul lagi sehingga kembang dan gula hancur.
3. Masukkan pula tepung yang siap di ayak tadi, sedikit demi sedikit berselang seli dengan air suam, kacau menggunakan senduk kayu atau spatula, kemudian masukkan pula esen vanila, susu pekat dan minyak masak, kacau sebati. jangan over mix, gunakan kaedah kaup balik.
4. Alaskan acuan bulat atau petak ber ukuran 20cm dengan baking sheet, curahkan adunan di dalam acuan dan tutup permukaan acuan dengan alumunium foil bagi mengelakkan air jatuh di atas permukaan kek dan kukus selama 1 jam ke 1 jam 30 minit, sejukkan.

Hershey's syrup yang digunakan untuk topping.

23 Mac 2012

SAYUR CAMPUR GORENG MAMAK



Bahan-bahannya:
1 paket kacang buncis - dipotong serong
1/2 batang lobak merah - dipotong bulat
5 batang putik jagung - dhiris serong
Soun secukupnya
Sedikit isi daging - dihiris nipis dan kecil
1 biji bawang besar - dihiris nipis
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 sudu teh biji sawi
1 biji cili merah - dihiris
1 tangkai daun kari - lurut daripada tangkai
Sedikit serbuk kunyit
Minyak secukupnya untuk menumis


Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih, cili merah, biji sawi, dan daun kari sehingga wangi dan layu.
  2. Tambah  air dan serbuk kunyit.  Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk.
  3. Setelah daging empuk, masukkan semua sayuran dan soun.  Gaul rata hingga sayuran masak.  Tambah garam dan gula secukup rasa, dan gaul sebati. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Ikan Kerisi Masak Asam Pedas Tumis Dengan Nanas



Bahan-bahannya:
3 ekor ikan kerisi - kalau saiz besar boleh dikerat dua
Nanas dihiris
1 sudu besar pati asam jawa
2 batang serai dititik
Beberapa tangkai daun kesum
Air secukupnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar halus:
5 sudu besar cili kering kisar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
1 inci belacan
Air secukupnya

Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak.  Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik bau dan terbit minyak. Kemudian masukkan air secukupnya dan biarkan ia mendidih.
  2. Kemudian masukkan pati asam jawa, serai, dan nanas.  Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa (jika suka). Kacau rata. 
  3. Masukkan ikan dan masak sehingga kuah mendidih.  
  4. Bila ikan agak masak, masukkan daun kesum dan tomato. Bila kuah mendidih sekali lagi, bolehlah ditutupkan api. 

19 Mac 2012

RENDANG PEDAS KERANG

Resepi yang ingin Kak Noor kongsikan pada hari ini ialah Rendang Pedas Kerang.  Telah lama Kak Noor menyimpan hasrat untuk berkongsi resepi favourite ini dengan rakan-rakan semua.   Kebiasaannya orang menggunakan bahan seperti daging dan ayam untuk membuat rendang dan jarang sekali mereka menggunakan kerang. 





Alkisahnya resepi ini Kak Noor perolehi daripada sebuah buku majalah lebih kurang 23 tahun yang lalu semasa Kak Noor baru mendirikan rumah tangga. Dah tak ingat majalah apa.  Maklumlah masa tu tak jadi chef kat dapur lagi.  Untuk menyediakan rendang seperti ini pada ketika itu merupakan suatu cabaran yang besar. Maka majalahlah yang menjadi tempat rujukan agar masakan yang disajikan itu mendapat pujian daripada suami tersayang. Dari A sampai Z Kak Noor follow resepi di dalam majalah tersebut.  Mungkin disebabkan itulah resepi ini masih terpahat kukuh di dalam ingatan Kak Noor, walaupun tanpa nota resepi yang hilang entah ke mana.

Bahan-bahan yang membangkitkan citarasa rendang pedas kerang ini ialah halia muda.  Jarang sekali orang memasak rendang dengan meletakkan hirisan halia muda dan kemudian ditumis layu terlebih dahulu sebelum bahan-bahan lain dimasukkan. Seperkara lagi yang kita perlu ambil kira ialah saiz isi kerang. Kalau boleh biarlah isi kerang itu besar; maka terasalah sedap apabila kita memakannya.  Tidak dapat dinafikan memang agak sukar untuk mendapat kerang yang bersaiz besar sekarang ini.  Tetapi Kak Noor bernasib baik sebab di pasar malam tempat Kak Noor tinggal ada dijual isi kerang rebus yang segar.  Tetapi jualannya agak limited.  Perlu order dulu minggu ini, minggu hadapan baru dapat. 



Kak Noor bukan nak puji masakan sendiri tetapi Insya Allah, kalau masak ikut resepi yang Kak Noor berikan di bawah ini, garenti sedap.  Aromanya pun... sudah cukup menyelerakan.

Bahan-bahannya:
1 kg. isi kerang rebus
500 gram santan pekat
350 gram kerisik
200 gram halia muda – dihiris
1 batang serai – dititik/diketuk
2 – 3 keping asam gelugor
2 – 3 helai daun limau purut – disiat
6 helai daun kunyit – dihiris halus
5 helai daun limau purut – dihiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya

Bahan Kisar Halus:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
3 – 4 ruas kunyit hidup
2 inci halia tua
2 inci lengkuas
3 batang serai
3 senduk cili kering kisar
4 – 5 biji cili padi merah
Air secukup untuk mengisar

(Kiri - isi kerang rebus)  dan  (Kanan - bahan-bahan untuk dikisar halus)
Penyediaannya:
  • Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan halia muda yang telah dihiris dan goreng sehingga kekuningan dan layu.
  • Selepas itu masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga garing dan terbit minyak.
  • Tuangkan santan. Masukkan daun limau purut yang disiat dan serai yang dititik dan asam gelugor. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  • Setelah mendidih, masukkan isi kerang. Setelah kuah rendang agak kering, masukkan kerisik dan kacau sehingga sebati.
  • Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan hirisan daun limau purut. Kacau lagi dan biarkan ia mereneh seketika di atas dapur.
  • Bila telah menepati citarasa dan setelah minyak timbul dipermukaan kuah rendang, bolehlah ditutup api. Sedap dimakan dengan nasi panas, dan dicicah dengan ketupat pulut, lemang, dan ketupat nasi.

17 Mac 2012

Nasi Jagung




Sajian makan tengah hari hujung minggu ini ialah Nasi Jagung.   Lauknya pula Kak Noor gandingkan dengan ayam masak ros, dan tidak lupa papadom untuk pembuka selera. Cuma yang kurangnya ialah acar timun dan nenas, sebab tak ada bahan-bahan tersebut di rumah.  Selain ayam masak ros, nasi jagung ini juga boleh dimakan dengan ayam masak merah, kerutuk ayam dan kurma ayam masala






Bahan-bahannya:
*4 cawan beras, basuh bersih dan rendam selama 1/2 jam, dan toskan.
*4 cawan air biasa
*1 cawan susu sejat
250 gram jagung (corn kennels) - Kak Noor guna jenama simplot
1 helai daun pandan disimpul
2 batang serai dititik
2 sudu besar marjerin
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
Untuk hiasan: bawang goreng

Cara membuatnya:
  1. Panaskan marjerin di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis sehingga bawang kekuningan dan terbit bau.
  2. Alihkan bahan-bahan yang telah ditumis tadi di dalam rice cooker. Masukkan 4 cawan air,  susu sejat, jagung, daun pandan, serai, garam, dan gula. Kacau rata dan masak sehingga air mendidih.
  3. Kemudian masukkan beras dan kacau rata. Masak seperti memasak nasi biasa.
  4. Selepas nasi masak, gembur dan taburkan bawang goreng. 
* Gunakan cawan yang sama untuk sukatan.

13 Mac 2012

Kurma Ayam Masala




Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dibuang kulit - dipotong 12 dan digaramkunyitkan
1/2 kilo pati santan - dicampur dengan 2 cawan air
3 biji ubi kentang saiz sederhana - 1 biji dibelah dua
1 sudu besar serbuk garam masala - boleh dibeli di pasar raya
2 biji cili merah/cili hijau - Kak Noor gula cili merah
Beberapa biji cili padi, sekiranya suka
1 biji tomato - dibelah 4
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa.

Bahan-bahan A: (disatukan dan diblend)
4 sudu besar serbuk rempah kurma
1 biji bawang besar (merah) bersaiz besar
3 ulas bawang putih
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
3 biji buah keras
Air secukupnya

Bahan-bahan B: (Tumis)
3 biji bawang kecil (merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia tua - dihiris
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 tangkai daun kari
3 sudu besar minyak masak/minyak sapi
 atau campuran kedua-duanya.

Cara-cara memasak:
1. Ayam yang telah digaramkunyitkan diperam sekurang-kurangnya dua jam atau semalaman di dalam peti sejuk.
2. Panaskan minyak masak/minyak sapi di dalam periuk.  Tumis bahan-bahan B sehingga naik baunya dan sedikit kekuningan. Masukkan bahan-bahan A yang telah diblend dan tutupkan periuk dengan tudung, dan masak sehingga terbit minyak (pecah minyak).
3. Masukkan ayam, 1 cawan air, dan adunkan sebati dengan rempah.  Tutup periuk dengan tudung dan biarkan ia masak dalam keadaan reneh (braising) sehingga ayam empuk.
4.  Kemudian masukkan santan, ubi kentang, dan serbuk garam masala.  Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga mendidih dan ubi kentang empuk.
5. Akhir sekali masukkan tomato, cili hijau/cili merah dan cili padi.  Kacau dan biarkan 1 minit di atas dapur.  Tutup api.
6. Boleh dihiaskan/taburkan daun saderi di atasnya.



11 Mac 2012

Masak Lemak Lobak Putih




Kak Noor suke….. sangat masakan sayur ni. Kalau tak makan dengan nasi, Kak Noor ratah sayur sahaja. Sebenarnya masak lemak lobak putih ini adalah masakan nostalgia…. Teringat semasa zaman kanak-kanak, nenda Kak Noor selalu juga masak sayur ini. Bagus untuk menyejukkan badan katanya. Setakat itulah yang Kak Noor faham tentang khasiat sayur ni semasa zaman kanak-kanak. Al maklumlah semasa kanak-kanak dulu, leka bermain ke sana ke sini tanpa mengira cuaca panas.  Bila makan sayur ni, sejuklah badan kot!

Tetapi itulah… anak-anak kita tidak gemar lobak putih ini. Mereka mungkin kenal lobak merah, tetapi tidak lobak putih. Mungkin juga tidak banyak fakta yang didedahkan mengenai sayur lobak putih ini kepada umum dan kita jarang mengetengahkan dan mempelbagaikan masakan berunsur lobak putih dalam resepi harian kita. Mungkin juga disebabkan resepinya amat terhad. Kebiasaannya digoreng dan dibuat sup.   Tetapi sebenarnya lobak putih ini banyak khasiatnya. Antaranya ialah:

Lobak putih banyak khasiatnya
· Bermanfaat bagi gigi, gusi, saraf, rambut, dan kuku
· Merangsang nafsu makan
· Meringankan gugup dan darah gemuruh
· Baik untuk mereka yang menghadapi masalah pernafasan
· Mengatasi masalah pencernaan
· Meredakan sembelit
· Baik untuk mereka yang menghidap bronchitis, sakit tenggorok, asma, batuk dan selesema
· Membantu mengurangkan kelebihan berat badan atau obesity dan melarutkan batu empedu.
· Baik untuk pesakit diabetes
· Baik untuk mereka yang mengalami masalah kencing kurang lawas



Oopps! Dah melalut pula dengan info lobak putih ni… hanya sekadar berkongsi ilmu dengan rakan-rakan semua. kita terus ke resepi masak lemak lobak putih ni. Kita guna teknik merebus sahaja.

Bahan-bahannya:
1 batang lobak putih saiz sederhana – dipotong bulat nipis
2 cawan pati santan – dicampur dengan 1 cawan air (gunakan cawan yang sama)
1 sudu besar udang kering – dibasuh bersih dan ditoskan
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 biji cili merah – dihiris
Sedikit soun – direndam sehingga lembut dan toskan.
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara memasaknya:
Masukkan semua bahan di atas kecuali soun di dalam periuk dan rebus naik sehingga kuah mendidih. Dalam masa yang sama, kacau selalu supaya santan tidak pecah. Dalam masa yang sama, rasa kuahnya. Tambahkan gula atau garam untuk menepati citarasa yang diinginkan. Setelah kuah mendidih, masukkan soun. Kacau seketika, kemudian tutup api.

Tips:Hidangan sampingan yang disyorkan bersama masak lemak lobak putih ini ialah sambal tumis udang, ikan kering gelama masin goreng dan kicap sebagai penambah perisa.

Telur Masak Kicap Taucu


Kebiasaannya resepi telur masak kicap, telur masak taucu, atau telur masak sos, kebanyakan orang lebih gemar menggoreng telur terlebih dahulu.  Tetapi bagi resepi ini, Kak Noor cuma guna telur rebus sahaja.  Kalau suka, telur rebus ini  juga boleh digoreng terlebih dahulu. Walaupun resepi ini semudah ABC, tetapi Kak Noor ingin kongsikan juga dalam blog ini memandangkan ia adalah salah satu sajian yang pernah Kak Noor makan semasa zaman kanak-kanak dulu.

Bahan-bahannya:
Beberapa biji telur direbus dan dikopek kulitnya – Kuantiti ikut suka
4 sudu besar taucu – dibasuh untuk menghilangkan kemasinannya
2 biji ubi kentang – dipotong wedges
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
Kicap manis secukupnya
2 sudu besar sos cili
Garam/gula secukup rasa
Air secukupnya
Daun sup/daun bawang - dihiris
1 sudu besar minyak – untuk menumis


Cara-caranya:
1. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan taucu, kacau seketika.
2. Masukkan sos cili dan kicap manis. Kacau dan masukkan air secukupnya dan masak sehingga mendidih. Rasa kuahnya. Tambahkan garam atau gula sehingga menepati citarasa.
3. Masukkan telur dan ubi kentang. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah pekat sedikit.
4. Tutup api. Taburkan dengan daun sup dan daun bawang.

10 Mac 2012

Daging Masak Kicap Berempah

Hari ini untuk sajian tengah hari Kak Noor masak ringkas sahaja.  Nak masak beraneka jenis, takut tak habis pula dan membuang sahaja.  Masing-masing tak berselera sangat nak makan nasi sebab rasa nak demam tak demam.  Tekak rasa pedih, mata rasa pedih dan mulut pun rasa pahit.  Mungkin musim demam sekarang ini.

Tengok di dalam peti ais ada daging.  Dalam mood kurang selera ini, masakan kenalah pedas sikit. Timbul idea nak masak kicap berempah campur dengan ubi kentang.  Sedap juga kalau makan dengan nasi panas.  Cukup satu jenis lauk sahaja.




Bahan-bahannya:
1/2 kilo daging batang pinang, hiris nipis, basuh dengan tepung dan cuka, kemudian toskan.
Minyak secukupnya untuk menumis
2 - 3 biji ubi kentang - dipotong wedges
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
2 biji bawang besar - dihiris bulat
1/2 biji cili benggala - dihiris
1/2 sudu teh jus lemon

Bahan-bahan A: (Pes Perapan Daging)
*2 sudu besar serbuk rempah lima beradik (5 spices) - Boleh didapati di pasar raya
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos lada hitam
Kicap manis secukup rasa
1 sudu besar gula




Bahan-bahan B (Tumisan):
Beberapa helai daun kari
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia - dihiris

Cara-cara memasak:
  1. Perap daging dengan bahan A selama lebih kurang 1 jam.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau.  Kemudian masukkan daging yang telah diperap.  Kacau rata dan masukkan air secukupnya.  Masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, bolehlah ditambahkan air lagi dan masak sehingga daging betul-betul empuk.
  3. Selepas daging empuk, masukkan ubi kentang.  Sekiranya air kering, tambahkan air lagi dan masak ubi kentang sehingga empuk.
  4. Rasa kuahnya, perasakan dengan garam dan gula.  Masukkan bawang besar yang dihiris bulat, cili benggala dan jus lemon.  Kacau rata dan biarkan ia mereneh di atas dapur beberaap minit sehingga bawang besar sedikit layu.
  5. Tutup api dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas.

5 Mac 2012

Puding Cendol

Bahan-bahannya:
30 gram strip agar-agar
800 ml air - untuk memasak agar-agar
200 ml air - untuk memasak gula pasir dan gula merah
500 gram cendol – boleh dibeli di pasar raya
150 gram gula pasir
150 gram gula merah
300 ml santan pekat
300 ml susu cair
2 biji kuning telur saiz sederhana
1 helai daun pandan disimpul
Sedikit garam

Cara-caranya:
1. Masukkan agar-agar dan 800ml air di dalam periuk. Masak sehingga agar-agar larut.
2. Dalam periuk yang lain masukkan gula pasir, gula merah, daun pandan, dan 200 ml air. Masak sehingga gula larut, kemudian tapiskan.
3. Satukan santan pekat, susu cair, kuning telur dan sedikit garam di dalam blender. Blend sehingga campuran sebati.
4. Setelah agar-agar larut, masukkan larutan gula tadi (2) dan kacau rata. Kemudian baru dimasukkan campuran (3) yang telah diblend tadi dan kacau sehingga mendidih.
5. Akhir sekali masukkan cendol, kacau sedikit dan biarkan ia mendidih sekali lagi. Tutup api dan angkat. *Tuangkan ke dalam acuan yang bersesuaian.
6. Ketepikan seketika di luar sehingga suam. Kemudian baru dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Tips:
*Disyorkan menggunakan acuan seperti bekas tupperware supaya puding mudah dikeluarkan daripada acuan apabila telah sejuk.

3 Mac 2012

Nasi Ayam dengan Ayam Goreng Rempah

Hari ini Kak Noor masak nasi ayam untuk makan tengah hari. Agak lama juga tak masak nasi ayam sendiri. Asyik beli kat kedai aje. So sempena cuti hujung minggu, bolehlah lama-lama sikit kat dapur. Ayamnya pula Kak Noor masak goreng berempah, special lah sikit. Resepi nasi ayam ini adalah olahan Kak Noor sendiri dan inilah resepi yang Kak Noor gunakan kalau memasak nasi ayam. Kak Noor gunakan beras basmathi untuk memasak nasi ayam ini.



Pada N3 kali ini Kak Noor akan muatkan resepi set hidangan Nasi Ayam yang terdiri daripada nasi ayam, ayam goreng berempah, sup, sos cili, dan sos kicap.

(1) NASI AYAM - (Masak Guna Rice Cooker)

Bahan-bahannya:
4 cawan beras basmathi - dibersihkan dan direndam seketika lebih kurang ½ jam
*6 cawan stok ayam – resepi seperti di bahagian sup ayam (gunakan cawan yang sama semasa menyukat beras)
1 kiub ayam
1 sudu kecil serbuk kunyit - untuk menjadikan nasi berwarna kuning
1 sudu kecil minyak bijan
Sedikit garam
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul

Bahan-bahan Tumis: (Ditumis di dalam kuali yang berasingan)
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 sudu besar mentega - untuk menumis

Penyediaannya:
1. Toskan beras yang telah direndam tadi dan ketepikan.
2. Panaskan kuali. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, dan pelaga sehingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia. Tumis sehingga bawang berwarna kekuningan.
3. Masukkan beras di dalam rice cooker beserta air rebusan ayam, bahan-bahan tumisan, kiub ayam, daun pandan, serbuk kunyit, minyak bijan, dan garam secukup rasa.
4. Masak seperti biasa. Bila nasi telah masak, gembur (kaup balikkan) dengan senduk kayu supaya nasi tidak melekit.
5. Taburkan dengan daun sup, daun bawang, dan bawang goreng semasa menghidang. 



(2) SUP AYAM

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam saiz sederhana besar – dipotong 12
Air untuk merebus ayam secukupnya
2 inci halia – dititik dan dihiris kasar
3 ulas bawang putih – dititik dan dihiris kasar
1 sup bunjut
1 kiub pati ayam
Serbuk lada hitam
Bawang goreng
Daun sup dan daun bawang

Penyediaannya:
  1. Ayam dibersihkan dan dipotong 12.
  2. Masukkan ayam bersama bahan-bahan di atas di dalam periuk kecuali serbuk lada hitam, bawang goreng, dan daun sup/daun bawang. Masak sehingga mendidih dan ayam empuk.
  3. Keluarkan ayam dan ketepikan. *Ambil 6 cawan stok untuk memasak nasi dan ½ cawan lagi untuk sos cili dan sos kicap.
  4. Kemudian masukkan serbuk lada hitam di dalam baki kuah sup. Sekiranya berkehendakkan sup yang lebih, boleh tambahkan air lagi dan garam secukup rasa. Masak sehingga sup mendidih.
  5. Taburkan dengan hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng semasa menghidangkan sup.



(3) SOS CILI THAI 

Bahan-bahannya:
Sos cili Thai – Kak Noor gula jenama LIFE
1 sudu kecil margerin
2 ulas bawang putih - dititik dan dihiris kasar
Stok ayam (air rebusan ayam)
Garam dan gula
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air (sekiranya sos cair)

Penyediaannya:
Panaskan margerin di dalam periuk. Tumis bawang putih sehinga naik bau. Selepas itu masukkan stok ayam, diikuti dengan sos cili Thai. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula sekiranya perlu. Sekiranya sos cair, boleh masukkan bancuhan tepung jagung untuk menjadikan sos pekat.

(4) SOS KICAP

Bahan-bahannya:
Kicap lemak manis secukupnya – Kak Noor guna jenama JALEN
1 sudu kecil margerin
2 ulas bawang putih – dititik dan dihiris kasar
Stok ayam (air rebusan ayam)
Garam dan gula
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air (sekiranya sos cair)

Penyediaannya:
Panaskan margerin di dalam periuk. Tumis bawang putih sehinga naik bau. Selepas itu masukkan stok ayam, diikuti dengan kicap manis. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula sekiranya perlu. Sekiranya sos cair, boleh masukkan bancuhan tepung jagung untuk menjadikan sos pekat.

(5) BAHAN HIASAN/ULAMAN
Timun – dibuang kulit dan dihiris serong
Tomato – dihiris bulat
Daud salad
Daun sup/daun bawang – dihiris
Bawang goreng





(6) AYAM GORENG REMPAH 

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (12 ketul ayam) yang telah direbus empuk.
1 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar kicap manis
Garam secukup rasa
2 tangkai daun kari
Minyak untuk menggoreng ayam

Bahan Perap Ayam: (Semua bahan disatukan dan diblend)
2 sudu besar mustard honey and herb marinade – boleh didapati di pasar raya
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk ketumbar
2 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 batang serai

Penyediaannya:
  1. Gaul ayam dengan bahan perap, minyak bijan, kicap manis dan garam secukup rasa. Kemudian masukkan dalam storage zipper bad dan letakkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua jam supaya bahan-bahan perapan sebati dengan ayam. Lagi elok kalau perap semalaman. 
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak. Masukkan daun kari di dalam minyak semasa menggoreng. Toskan.



    2 Mac 2012

    Kari Ikan Kembung




    Pagi tadi sempat masak kari ikan ini sebelum ke pejabat.  Semalam dah rancang dengan rakan sepejabat, masing-masing  nak bawa masakan daripada rumah untuk makan tengah hari ramai-ramai di pejabat.  Kali ini Kak Noor masak tak banyak memandangkan ahli keluarga telah berkurang; sebab tiga orang anak KaNoor telah ke kolej dan universiti.  So bahagi dua le... separuh tinggal kat rumah dan separuh lagi bawa ke pejabat.  

    Alhamdulillah... pada hari Jumaat yang mulia ini dapat juga beri  rakan-rakan sepejabat merasai masakan kita. Kawan Kak Noor pula bawa Gulai pisang ikan kering kurau, masakan Negeri Sembilan.  Memang mengancam habis. Ada pula sambal belacan.   Memang tak sabar tunggu lunch time.  Kak Noor tengok bertambah-tambah juga dia orang makan. Habislah juga nasi di dalam rice cooker tu.... Alhamdulillah.... syukur.





    Bahan-bahan yang diperlukan:
    1/2 kg. ikan kembung saiz sederhana
    1/2 cawan pati santan kelapa sawit + 1 cawan air (guna cawan yang sama)
    2 biji tomato (dipotong empat)
    Beberapa biji bendi  - basuh dulu baru dipotong tangkainya
    2 biji cili hijau - dibelah dua memanjang (jangan sampai putus)
    1 biji bawang besar - dibelah empat
    Air asam jawa
    1 senduk besar minyak masak
    Garam secukup rasa.

    Bahan-bahan B (ditumis):
    1 sudu kecil halba campur
    3 biji bawang merah (kecil) dihiris
    2 ulas bawang putih dipotong
    2 tangkai daun kari

    Bahan-bahan B (diblend):
    2 ulas bawang putih
    1 biji bawang besar
    4 sudu besar rempah ikan
    1 sudu kecil serbuk jintan putih
    1 sudu kecil jintan manis
    1 sudu kecil serbuk cili
    1 sudu kecil serbuk kas-kas (sekiranya diperlukan)
    Sedikit air





    Cara-cara membuatnya:
    1. Panaskan minyak di dalam periuk atau kuali. Tumis halba campur. Apabila naik bau, masukkan bawang merah dan bawang putih yang dihiris, dan daun kari.Tumis sehingga bawang bertukar warna kekuningan.
    2. Selepas itu masukkan bahan-bahan B. Kacau rata dan biarkan sebatian kari masak sehingga terbit minyak.
    3. Kemudian masukkan air asam jawa, kacau rata.
    4. Setelah itu masukkan santan dan garam.  Masak sehingga kuah mendidih.
    5. Kemudian masukkan ikan.  Biarkan ikan masak selama 15 - 20 minit.
    6. Selepas itu masukkan bendi, buah tomato,  dan cili hijau.  Biarkan kari menggelegak selama 3 - 5 minit lagi.
    7. Tutup api dapur.  Tudung periuk dengan penutup supaya bau haruman rempah kari tidak terbebas.

    1 Mac 2012

    Sotong Marsala



    Bahan-bahannya:
    10 ekor sotong saiz sederhana
    1 biji bawang besar dihiris
    3 ulas bawang putih dihiris
    1 inci halia dihiris
    2 tangkai daun kari
    1 sudu kecil serbuk jintan manis
    1 sudu kecil serbuk jintan putih
    1 sudu kecil serbuk cili
    1 sudu kecil serbuk kayu manis
    1 sudu kecil serbuk kunyit
    1 sudu besar serbuk ketumbar
    2 sudu besar serbuk marsala  - boleh dibeli di pasar raya Carrefour atau kedai mamak yang menjual rempah
    ½ cawan pati santan
    1 biji cili hijau dihiris
    1 biji tomato – dipotong wedges
    Daun bawang
    Minyak untuk menumis
    Garam dan gula secukup rasa


    Cara-cara membuatnya:
    1. Sotong disiang dan dibersihkan.
    2. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan daun kari hingga naik bau.
    3. Masukkan serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk kunyit, serbuk marsala dan kacau sehingga terbit minyak.
    4. Masukkan sotong dan kacau perlahan-lahan. Masukkan santan dan garam, dan gula secukup rasa.
    5. Setelah sotong masak, masukkan pula tomato, cili hijau dan daun bawang. Hidangkan bersama nasi panas.

    Iklan Nuffnag

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Iklan

    Iklan Nuffnang