Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

7 Ogos 2012

Udang Goreng Kunyit



Resepi udang yang paling simple yang pernah Kak Noor masak.  Kebiasaannya  udang dimasak kari, lemak cili padi dan sambal tumis sahaja.  Udang goreng kunyit ini memang jarang Kak Noor hidangkan.  Tak tahu kenapa, mungkin kerana tidak berkuah kot!  Tetapi hari tu terjengok kat dapur Mat Gebu, teruja juga dengan masakan udang goreng kunyitnya bersama kacang panjang.  Selain itu, dapat juga info mengenai udang belaan dan udang laut; harga udang laut lebih mahal daripada udang kolam atau udang bela.  Patutlah  Tesco boleh menawarkan harga yang murah, udang belaan rupanya.  Thanks for the info Mat Gebu.  Macam mana pula dengan kerang di Tesco tu?  Adakah kerang kolam atau belaan juga?


Untuk resepi udang goreng kunyit ini, Kak Noor tak masak banyak, cuma sekali makan sahaja; semasa berbuka.   Licin juga diratah oleh Kak Noor dan anak-anak.  Lain kali boleh masak lagi, tapi kali ini Kak Noor nak masak kurang minyak, macam Mat Gebu masak.  Tu tengok gambar udangnya, tak berminyak you....  Jaga kesihatan Mat Gebu ni...

Bahan-bahannya:
15 ekor udang saiz besar  - dipotong kepala dan ekornya
Serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk pasti SEDAP Knorr
10 batang kacang buncis - dipotong pendek
2 ulas bawang kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup/daun bawang
Minyak untuk menumis

Penyediaannya:
1.  Udang diperap dengan serbuk kunyit, serbuk jintan manis, dan serbuk pasti SEDAP Knorr selama 1/2 jam.
2.  Panaskan minyak.  Tumis bawang kecil, bawang putih dan cili merah sehingga naik bau.  Kemudian masukkan udang yang diperap tadi.  Gaul rata sehingga udang masak.  Perasakan dengan garam dan gula.
3.  Setelah udang masak, masukkan kacang buncis dan gaul rata. Akhir sekali masukkan daun sup/daun bawang.  Kaup balikkan dan bolehlah ditutup api.

Kuah Kacang Utara

Hari ini cuti.  Cuti?? Bukan cuti yang diwartakan oleh Kerajaan Malaysia tetapi cuti yang diwartakan oleh Kak Noor sendiri. Terpaksa ambil cuti kecemasan hari ini sebab anak yang bongsu demam sejak semalam. Katanya kerongkong sakit dan pedih bila menelan. Kak Noor dah jangka ini mesti ada kaitan dengan tonsilnya yang bengkak. Itulah penyebabnya dia demam tiba-tiba dan menggigil sejuk.  Untuk sementara waktu, hanya beri ubat demam yang memang sedia ada di rumah. Biasalah kalau tak makan antibiotik, demam tak boleh baik. Suhu badan akan naik kembali selepas 6 jam. Lebih-lebih lagi kalau tonsil bengkak teruk. Memang memerlukan antibiotik.

Seawal jam 8.00 pagi Kak Noor telah membawa anak ke klinik. Hubby pun pergi kerja lewat sedikit sebab nak temankan ke klinik. Memang betul jangkaan Kak Noor. Kata doktor tonsilnya merah dan bengkak. Tak bolehlah nak puasa…. kena minum air banyak-banyak. Dapat MC, tak pergi sekolah.

Memandangkan Kak Noor ada di rumah hari ini, bolehlah masak yang best sikit untuk juadah berbuka puasa. Lagipun pagi tadi sekembalinya Kak Noor dari klinik, sempat singgah di NSK Taman Sri Rampai membeli lauk pauk dan sayur-sayuran. Orang tak sebegitu ramai jika dibandingkan dengan hujung minggu. Bolehlah ambil masa yang lama sedikit untuk membuat pilihan.




Sejak seminggu yang lalu teringin sangat nak makan nasi empet dengan kuah kacang. Tak sempat nak tunggu raya dah…. Teringin sesangat ni… Kacang kisar dah memang sedia ada di dalam peti sejuk. Cuma beli bungkusan nasi empet cap Adabi di NSK pagi tadi. Lagipun nasi empet kuah kacang memang makanan kegemaran keluarga. Kalau ada kuah kacang dan nasi empet, itulah yang akan diulang makan . Tak rugi, garenti habis. Pun begitu, walaupun ada kuah kacang dan nasi empet, nasi dan lauk pauk mesti dimasak juga sebab hubby Kak Noor wajib makan nasi semasa berbuka puasa. Selepas makan nasi, barulah dijamah juadah-juadah yang lain.



Bercakap pasal kuah kacang ini, ia adalah resepi turun temurun keluarga Kak Noor. Pada setiap hari raya; hari raya puasa dan hari raya haji, kuah kacang ini tidak pernah ketinggalan sebagai salah satu juadah wajib di pagi raya. Kelainan resepi kuah kacang ini ialah ada antara bahan-bahan yang perlu digoreng terlebih dahulu sebelum dikisar. Tumisnya pula menggunakan marjerin. Mungkin inilah rahsia yang menambahkan aroma pada kuah kacang ini.



So… hari ini Kak Noor nak share resepi kuah kacang Utara yang sedap tu dengan kekawan semua. Rugi kalau tak cuba tau! Selain dimakan bersama nasi empet, boleh juga dibuat kuah untuk mencicah sate dan cucur. Boleh cuba masak untuk raya tahun ini….




Bahan-bahannya:
5 cawan kacang tanah yang telah dikisar kasar - Kak Noor beli yang telah siap dikisar
2 batang serai - dititik
*3 sudu besar gula perang atau gula merah
3 sudu besar gula putih
3 keping asam gelugor (asam keping)
¼ cawan pati santan atau ¼ cawan susu sejat
Garam secukup rasa
1 sudu kecil serbuk perasa – jika suka
¾ cawan marjerin
¼ cawan minyak kelapa

Bahan-bahan B (Digoreng kering tanpa minyak dan kemudian dikisar):
100 g cili kering
8 batang serai – dihilis halus
2 biji bawang besar – dipotong kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 inci halia
2 inci lengkuas
½ inci belacan
Air secukupnya untuk mengisar

Penyediaan Bahan-bahan B:
1. Cili kering dipotong kecil dan kemudian direbus ataupun direndam dengan air panas sehingga lembut. Kemudian dibasuh. Semasa membasuh, ramas cili kering supaya bijinya keluar. Kemudian toskan.
2. Semua bahan B digoreng kering terlebih dahulu di dalam kuali sehingga naik bau lebih kurang 15 minit.
3. Masukkan bahan B di dalam blender bersama air secukupnya. Kisar sehingga semua bahan menjadi halus.

Cara-cara membuat kuah kacang:
1. Panaskan marjerin dan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan B yang telah dikisar sehingga naik bau dan terbit minyak.
2. Masukkan sedikit air dan kacau rata.
3. Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, asam gelugor, dan serai. Kacau rata sehingga semua bahan mesra.
4. Selepas itu bolehlah dimasukkan kacang tanah kisar dan kacau rata. Masukkan pati santan dan juga air secukupnya. Kuah kacang mestilah jangan terlalu cair atau terlalu pekat. Masak sehingga kuah mendidih.

*Kuah kacang akan menjadi warna merah gelap sekiranya kita gunakan gula merah, tetapi sekira digunakan gula perang, warna kuah kacang akan berwarna merah terang.

6 Ogos 2012

Bubur Pulut Hitam



Bubur ini dimasak atas permintaan anak sulung Kak Noor yang teringin sangat nak makan bubur pulut hitam.  Siap telefon Kak Noor lagi.  Walaupun letih kerana seharian berada di Kota Damansara kerana membantu hubby mengecat rumah, namun sekembalinya ke rumah di Keramat, sempat juga singgah di kedai membeli beras pulut hitam. Hendaknya termakbul sudah keinginan anakanda.    Jom kita tengok bahan-bahannya ikut cara Kak Noor.




Bahan-bahannya:
2 cawan beras pulut hitam
Air secukupnya untuk merebus beras pulut hitam
1/2  cawan gula putih - (tahap kemanisan ikut selera masing-masing)
2 ketul bulat gula melaka
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan - dicarik dan disimpul
2 cawan pati santan kelapa sawit atau 2 1/2 cawan pati santan kelapa
Susu sejat - digunakan semasa menghidang

Penyediaannya:
1. Beras pulut hitam dibasuh bersih dan direndam 3 - 4 jam (kalau direndam semalaman lagi elok).  Kemudian dibasuh lagi dan ditoskan.
2. Masukkan beras pulut hitam di dalam periuk bersama air dan daun pandan. Rebus sehingga sehingga empuk dan kembang.   Sekiranya air telah kering dan beras masih belum empuk, tambahkan air lagi.
2.  Sementara itu di dalam periuk yang lain masak gula putih dan gula melaka bersama air sehingga gula larut.  Tapiskan.
3.  Selepas beras pulut empuk dan kembang, bolehlah dimasukkan air gula yang telah dimasak tadi. Kacau dan biar mereneh di atas dapur sehingga bubur nampak pekat.
4.  Kemudian masukkan pati santan  dan garam.  Kacau, dan masak seketika lagi.  Sekiranya agak pekat, bolehlah ditambahkan sedikit air.  Bubur jangan terlalu pekat dan terlalu cair, sederhana sahaja.
5.  Setelah bubur mendidih, tutup api.  Semasa menghidang bubur, bolehlah dimasukkan susu sejat di atasnya.

5 Ogos 2012

Sayur Campur Sos Tiram



Inilah adalah resepi paling ringkas dan segera disediakan.  Sedap dimakan dengan nasi semasa panas dan sedap juga diratah begitu sahaja bagi sesiapa yang sedang berdiet.  Jenis sayur-sayuran dan kuantiti yang digunakan bergantung kepada citarasa dan stok yang sedia ada.  Kak Noor gunakan bahan-bahan yang sedia ada di dalam peti ais dan yang selalu dimakan oleh ahli-ahli  keluarga Kak Noor.  Nanti kalau diletakkan sayur-sayuran lain, tak dimakan pula, membazir aje...  Kalau inginkan sayuran yang dimasak rangup dan masa rasa segar walaupun selepas dimasak,  masaklah dengan api yang sedikit kuat dan jangan terlalu lama memasaknya.  Cukup sekadar kaup balikkan dan kuah mesra dengan sayur-sayuran tadi.  Dihidang dan dimakan sejurus dikeluarkan daripada kuali. Sebab itulah semasa kita makan di kedai sayur-sayuran yang disediakan rangup dan segar; tidak layu.

Pastikan sayur-sayuran yang dimasak tidak layu

Kak Noor rasa resepi sayur campur sos tiram ini semua orang telah maklum akan penggunaan sayur-sayurannya dan cara-cara memasaknya. Resepi yang dipaparkan di sini adalah cara masakan Kak Noor sendiri, sekadar untuk dikongsi bersama.

Bahan-bahannya:
2 biji bawang merah - diracik halus
4  ulas bawang putih - diketuk
1 sudu sos ikan atau sos sotong
5 sudu sos tiram dibancuh dengan sedikit air
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk pasti sedap Knorr
1 biji cili merah - dihiris
Air secukupnya - untuk kuah
1 sudu kecil tepung jagung, dibancuh dengan air (jika suka) - untuk memekatkan kuah
Gula dan garam secukup rasa
1 sudu besar minyak masak untuk menumis -  Kak Noor tidak suka guna minyak yang banyak

Bahan-bahan Sayuran:
Bunga kobis
Lobak merah
Baby jagung (baby corn)
Tomato
Kacang sepat (kacang pea)

(Cara pemotongan dan kuantiti sayuran, ikut suka dan citarasa masing-masing.  Sebahagiannya, kalau tidak mahu dipotong pun tak apa,  bergantung kepada kehendak).

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
2.  Selepas itu masukkan sos tiram bersama air.  Air yang digunakan bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki. Perasakan dengan sos ikan, serbuk lada hitam, serbuk pasti sedap Knorr, garam, dan gula.  Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
3.  Selepas kuah mendidih, masukkan bunga kobis, lobak merah, baby jagung, dan kacang sepat. Masukkan  bancuhan tepung jagung jika inginkan kuah yang pekat. Kaup balikkan sehingga sayur-sayuran mesra dengan kuah.  Akhir sekali masukkan tomato dan kacau, jangan sampai tomato layu.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.


4 Ogos 2012

MEE GORENG MAMAK SEGERA



Kalau selalu berbuka puasa dengan nasi dan lauk pauk, apa kata sekali sekala di bulan Ramadhan yang mulia ini kita menyajikan mee goreng mamak sebagai juadah berbuka puasa.  Bukan apa, kadang-kadang jemu juga mengadap nasi semasa berbuka puasa, terutama sekali anak-anak kita.  Anak lelaki Kak Noor yang bernama Ashraf (anak keempat) memang suka berbuka dengan mee goreng.  Kalau ada mee goreng, nasi tidak lagi dipandangnnya.  Boleh bertambah dua pinggan.  Tetapi.... ada tapinya, mee goreng tu mestilah digoreng ala mee mamak.  Biasalah mee mamak selalunya ada cucur udang sebagai salah satu ramuannya.  Kak Noor mana ada masa nak sediakan cucur udang.  So... kita goreng ringkas sahaja.  Hubby Kak Noor pun suka dengan cara gorengan mee mamak yang segera ini.  Yang paling penting jangan gunakan minyak yang banyak.  Tak payah guna perencah yang `mewah' seperti udang, sotong, daging, dan isi ayam.  Apa yang paling utama dalam mee goreng mamak yang segera dan ringkas ini ialah telur ayam.  Telur ayam mesti guna banyak,  baru sedap dan rasa macam mee mamak di kedai.  Kita sendiri pun pernah tengok bila mamak menggoreng mee, mesti taruh telur banyak.



Resepinya senang aje dan sesiapapun boleh memasaknya.  Tak sampai 10 minit dah siap.  Sebab itu dinamakan Mee Goreng Mamak Segera.  Kalau nak makan ketika panas, pastikan mee digoreng  20 minit sebelum berbuka puasa.  Masih sempat lagi tu... Insya Allah....

Bahan-bahannya:
1 bungkus mee kuning, dibasuh dengan air dan ditoskan - (Kak Noor guna cap Laksamana)
50 sen taugeh
2 biji bawang kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar makan cili kering kisar
Beberapa titik cuka
Beberapa titik sos ikan atau sos sotong
Kicap manis secukupnya
Telur ayam 3 biji - dipecah di dalam bekas dahulu dan dipukul kembang
Gula, garam, dan serbuk perasa
Limau kasturi
1 biji cili merah - dihiris serong
Buah tomato - dipotong kecil
Bawang goreng
3 sudu besar minyak masak

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau dan kekuningan.  Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
2.  Selepas cili garing, masukkan telur yang telah dipukul kembang tadi.  Gaul rata.
3.  Masukkan mee, cuka, sos ikan, kicap manis, gula, garam,  serbuk perasa dan sedikit air.  Kacau dan kaup balikkan sehingga mesra.  Bila mee telah separuh masak, masukkan taugeh.  Kacau lagi sehingga semuanya mesra dan sebati.  Tutup api.
4.  Semasa menghidang, bolehlah diletakkan potongan buah tomato, bawang goreng, hirisan cili merah, dan limau kasturi.  Sedia untuk dimakan semasa panas.

3 Ogos 2012

Ikan Sardin Masak Taucu


Hari ini telah masuk dua minggu kita berpuasa. Syukur Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk menunaikan ibadah di bulan yang mulia ini. Di pejabat pada setiap hari selepas roll call, sempena bulan Ramadhan ini, rakan setugas kami iaitu Haji Kamarrudin akan memberikan tazkirah dan nasihat berunsur keagamaan untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya perkongsian ilmu ini dapat dimanfaat bersama.

Hari ini hari Jumaat. Ada pasar malam cum bazaar Ramadhan berdekatan LRT Jelatek. Lokasinya di lapangan tempat letak kereta LRT Jelatek. Banyak jualan di situ; dari makanan hinggalah ke pakaian. Dah lama tak singgah di sini, sebab sepulang dari pejabat terus rushing ambil anak bongsu perempuan di sekolah. Kalau dulu ada abangnya yang menjemput, tetapi sekarang orang harapan Kak Noor telah sambung pelajar  di Politeknik Dungun. So… tak bolehlah Kak Noor dan hubby menjamu mata di pasar malam tu lagi.

Ok seperti biasa, masih berfikir-fikir nak masak apa hari ini. Kadang-kadang tu `blur’ juga memikirkan apa juadah hari ini. Bukan sahaja Kak Noor, tetapi ibu-ibu yang lain pun turut merasa begitu. Kak Noor nak masak lauk yang mudah sahaja tetapi membangkitkan selera. Ayam dengan daging tak nak le…. Mungkin dah jemu buat masa ni.




Apa kata masak ikan sardin masak taucu aje… Lagipun ada ikan sardin putih ada di dalam peti ais. Biasanya orang guna taucu masin, tetapi kali ini Kak Noor guna campuran taucu masin dan taucu manis pula dalam masakan ini. Jom kita tengok resepinya. 

Bahan-bahannya:
3 ekor ikan sardin putih segar saiz besar – dikerat dua
2 sudu besar cili kering kisar
4 ulas bawang merah – dihiris nipis
3 ulas bawang putih – dihiris nipis
2 cm halia – hiris batang mancis
1 1/2 sudu besar pati asam jawa - dibancuh dengan 1 cawan air
2 sudu besar taucu masin
2 sudu besar taucu manis
2 cawan air
2 tangkai cili merah – belah 4
2 tangkai cili hijau – belah 4
4 tangkai cili padi – ketuk sikit
1 labu bawang besar – potong gegelang bulat
1 biji tomato - dibelah 4
Garam, gula, dan perasa
Minyak untuk menumis

Cara Memasak:
1. Ikan dicuci bersih dan dipotong kepada dua bahagian. Lumur dengan garam dan serbuk kunyit, kemudian digoreng garing.
2. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan ikan, tumiskan bawang merah, bawang putih, dan halia hingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan kacau lagi biar cili masak. Kemudian masukkan taucu masin dan taucu manis.  Kacau rata.
4. Selepas itu masukkan air asam jawa dan biar mendidih sebentar. Perasakan dengan gula dan serbuk perasa.  Seimbangkan rasa, jika tak cukup masin boleh tambah sedikit garam.
5. Masukkan ikan tadi beserta bawang besar, cili merah, cili hijau, dan cili padi.  Jika inginkan kuah banyak, boleh tambah air lagi.
6. Reneh sebentar sehingga ikan lembut dalam kuah. Akhir sekali masukkan buah tomato.  Tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang