Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 September 2012

KOAY TEOW GORENG BERSOS

Koay teow goreng lagi untuk breakfast hari ini. Pagi-pagi lagi dah suruh encik suami pergi ke kedai membeli koay teow dan taugeh. Bahan-bahan rencah lain seperti sotong dan udang siap aea di dalam peti sejuk. Oh ya! Lupa pula bab cili kisar. Dah tak ada stok di dalam peti sejuk tu.. Kebiasaannya Kak Noor akan beli dua tiga ringgit cili kering dan kemudian dikisar, dan disimpan sebagai stok sedia. Senang dan menjimatkan masa, bila nak masak cedok aje…. Tapi sekarang ni dah emergency. Pakai cili boh ajelah…., bukan nak pakai banyak pun. So… pesan juga kepada encik suami supaya jangan lupa beli cili boh.

Koay teow goreng ini sebenarnya faveret anak bongsu Kak Noor. Tapi….  tak boleh pedas dan mesti bewarna hitam. Nak macam makan kat kedai makan tu... katanya. Memanglah kat kedai tu, bila kita pesan koay teow goreng, selalunya dihidangkan dengan koay teow goreng bewarna hitam. Tetapi untuk citarasa Kak Noor sendiri, lebih suka koay teow yang ditumis menggunakan cili kering dan sudah tentu menghasilkan koay teow goreng bewarna merah dan pedas.


Masih di dalam kuali di atas dapur, masih dalam proses menggoreng


Semasa memotong bawang di dapur, encik suami pun pulanglah dengan barang-barang yang telah dipesan tadi. Semasa nak menumis cili tu, tengok tak ada pun cili boh antara barang-barang yang dipesan tadi. Bila tanya encik suami, jawabnya terlupa Nak kata apa, bawang dah ditumis di dalam kuali. Takkan nak suruh encik suami ke kedai sekali lagi. Kesian pulak! Ok…. camana ye!   Kita guna apa yang ada ajelah…dan tukar ke resepi koay teow goreng citarasa anak bongsu Kak Noor yang bewarna hitam tu... Kak Noor gabungkan sos cili, sos tiram, dan sos kicap,  dan untuk membangkitkan rasa pedas, Kak Noor gunakan hirisan cili merah. Alhamdulillah.. sedap! Berulang-ulang makan anak bongsu Kak Noor menikmati koay teow goreng kegemarannya ini. Memandangkan Kak Noor hanya menggunakan sos sebagai bahan kuahnya, makan sebab itulah ia dinamakan Koay Teow Goreng Bersos. 


Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow – (Guna cap Laksamana)
50 sen taugeh
3 ekor sotong – dipotong gegelang
10 ekor udang saiz sederhana – dibung kulit
1 biji tauhu – dipotong kiub
2 biji cili merah – dihiris
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 biji tomato saiz kecil – dipotong kiub
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Sos kicap pekat secukunya (Sos kicap pekat ABC)
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara membuatnya:
1. Basuh koay teow dan toskan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng tauhu dulu sehingga kekuningan, kemudian baru dimasukkan hirisan bawang besar, bawang putih, dan cili merah.
3. Selepas itu dimasukkan udang dan sotong. Kacau dan tumis lagi sehingga sotong dan udang masak.
4. Kemudian baru dimasukkan sos tiram, sos cili, buah tomato dan 2 cawan air (sekiranya mahukan koay teow goreng kering, kurangkan air). Kacau lagi sehingga semuanya mesra, Perasakan dengan garam dan gula. Biarkan kuah mereneh di atas dapur seketika, lebih kurang 5 minit.
5. Selepas itu baru dimasukkan koay teow. Kaup balikkan sehingga mesra. Kemudian masukkan taugeh dan kaup balikkan sehingga taugeh mesra dengan koay teow. Kemudian bolehlah diangkat.
6. Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang dan bawang goreng.

28 September 2012

ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG


Bahan-bahan:
3 ekor ikan kembung – disiang dan dibersihkan
2 batang serai - dititik
2 batang serai – dititik
1 biji tomato – dibelah empat
1 kuntum bunga kantan – dibelah dua
1 ½ sudu besar pati asam jawa X-tra Adabi – dibancuh dengan sedikit air
Air untuk kuah – bergantung kepada kepekatan kuah yang diingini
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
10 gram cili kering
5 biji cili padi
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
1 sudu besar (10 ml) rempah kari ikan
Segenggam ikan bilis – direndam dengan air panas seketika dan toskan

Cara-cara memasak:
1. Satukan cili kering, cili padi, bawang besar, bawang putih, halia, kunyit hidup, rempah kari, ikan bilis dan air secukupnya di dalam blender. Kisar sehingga lumat.
2. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar tadi sehingga terbit minyak/garing.
3. Masukkan asam jawa dan kacau rata. Tambahkan air secukupnya untuk kuah. Perasakan dengan garam dan gula mengikut citarasa yang diingini. Masukkan serai yang telah dititik. Kacau dan biarkan kuah mendidih.
4. Setelah kuah mendidih, baru dimasukkan ikan kembung tadi. Bila ikan hampir masak, masukkan daun kesum dan bunga kantan. Kacau dan biarkan di atas dapur sehingga mendidih sekali lagi.
5. Akhir sekali masukkan buah tomato dan tutup api.

27 September 2012

CUCUR 4 RASA (CARA SDB)



Apa yang sedap untuk minuman petang ye!  Kuih manis atau kuih pedas?  Kalau nak buat kuih…, banyak juga bahan yang perlu disediakan dan perlu ke kedai untuk dibeli.  Sekarang ni nak guna bahan yang ada kat umah aje... Emm… dah agak lama juga tak makan cucur.  Sejak anak-anak tak ada kat rumah ni, dah malas sikit (sikit aje tau, nanti kalau malas banyak, tak berasap dapur tu nanti!) nak sediakan minum petang.  Kebiasaannya berkumpul ramai-ramai semasa minum petang baru berselera.  Masa tu tak menang tangan sang ibu di dapur `menjemput' dan menggoreng cucur.    Letak sepinggang habis, letak dua pinggan pun licin,   pinggan silih berganti diisi. Dihidang dengan air teh o panas, dan dicicah pula dengan sos cili atau kuah kacang, dan yang paling best kalau dapat cicah dengan kari ikan semalam. Perghh…. memang marvelous!.  Kenyang, tak yah dinner dah…

Hari itu tertonton dalam TV, kalau tak silap Kak Noor rancangan Nasi Lemak Kopi O kot…! mungkin betul atau idak… dah lupa.  Dalam rancangan itu dipertontonkan cara-cara membuat cucur resepi orang Johor.  Mereka menggunakan bahan-bahan seperti ubi kentang, ikan bilis, bawang besar, bawang putih, daun sup dan daun bawang, dan cili merah. Kelainannya mereka tidak menggunakan telur untuk resepi itu dan menggunakan air panas untuk membancuhnya.  Itulah yang dicakapkan oleh juruacara semasa rancangan itu berlangsung. .

Sejurus diangkat daripada kuali

So… hari ini Kak Noor nak cuba resepi orang Johor ni…,  tapi diolah mengikut citarasa Kak Noor dengan menambahkan bahan-bahan lain seperti udang kering dan kacang panggang dalam tin.  Rasa-rasa Kak Noor le… jarang orang menggunakan kacang panggang dalam tin ini untuk membuat cucur kan!  So hari ini Kak Noor dah cuba dan ternyata hasilnya memang memuaskan.  Kak Noor menggunakan kacang panggang keju dalam sos tomato jenama Ayam Brand.  Bila dah buat cucur ni, tak tahu pula nak kasi `judul’nya.  Kalau ikutkan bahan perasa utama cucur ini ada empat semuanya iaitu ubi kentang, ikan bilis, udang kering, dan kacang panggang.  So… sempena dengan bahan-bahan yang digunakan, Kak Noor judulkannya dengan nama Cucur 4 Rasa (Cara SDB).  Okey le.. tu kan!



Bahan-bahannya:
5 - 6 cawan tepung gandum
Segenggam ikan bilis saiz kecil
Segenggam udang kering
Ubi kentang – dipotong kiub kecil
1 tin kecil (230 gm) kacang panggang keju dalam sos tomato jenama Ayam Brand
1 biji bawang besar – dipotong dan dicincang
1 biji cili merah – dihiris
Daun sup dan daun bawang
1 sudu besar perencah maggi cukup rasa
Garam dan gula secukupnya
Air panas untuk membancuh adunan
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya:
1. Basuh ikan bilis dan udang kering. Kemudian rendam di dalam air panas seketika sehingga kembang. Kemudian bilas dan toskan.
2. Masukkan kesemua bahan di dalam bekas. Gaul rata dan kemudian masukkan air panas sedikit demi sedikit dan bancuh adunan sehingga kesemuanya bergaul sebati.
3. Panaskan minyak di dalam kuali. Jemput adunan dan goreng sehingga kekuningan.
4. Dah siap. Cicah dengan sos cili, sos kacang atau kari. Sedap!

26 September 2012

SUP SAYUR PAK CHOY DAN PUTIK JAGUNG


Bahan-bahannya:

6 ikat sayur Pak Choy      
10 batang putik jagung    - dipotong 2
5 ekor udang kecil – sebagai perencah
3 ulas bawang putih – diketuk dan dicincang
1 biji bawang besar saiz kecil – dihiris
1 biji cili merah – dihiris
1 sudu kecil perencah maggi cukup rasa
Serbuk lada hitam kasar – jika suka
Garam secukup rasa
1 sudu besar makan minyak untuk menumis
Air secukupnya – untuk kuah

Cara-cara membuatnya:
1.                Rendam sayur pak choy di dalam air biasa yang dicampur dengan 1 sudu garam lebih kurang 10 minit.  Kemudian dibasuh dan dibilas.
2.                Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis udang, diikuti dengan bawang putih, bawang besar, dan cili merah sehingga kekuningan.
3.                Masukkan air secukupnya untuk sup.  Perasakan dengan perencah maggi, garam dan serbuk lada hitam.  Masak sehingga sup mendidih.
4.                Selepas sup mendidih, masukkan baby jagung dahulu dan kacau rata.  Selang 1 minit, barulah dimasukkan sayur pak choy.  Kacau dan masak sehingga sup mendidih sekali lagi.

Sedap dimakan dan dihidang dengan nasi panas sejurus selepas masak. 


AYAM SAMBAL (SWEET & SPICY)



Menu SDB hari ini ialah ayam sambal rasa manis dan pedas yang Kak Noor rasa sesuai untuk dihidangkan kepada kanak-kanak  yang tidak menggemari  lauk yang terlalu pedas. Anak-anak Kak Noor cukup suka dengan lauk ini.  Kalau ditanya kepada mereka ayam ni nak masak apa, mesti jawapannya ayam sambal yang selalu ibu buat tu...  Lauk ayam ini boleh dimakan dengan nasi putih, nasi ayam, nasi tomato dan nasi-nasi lain yang berperisa.  Ratah pun sedap. Sebab itulah Kak Noor gunakan peha ayam untuk menu ini. Kanak-kanak memang suka sangat dengan peha ayam. Selalunya peha ayam sedap digoreng, tetapi  apa kata sesekali kita cuba resepi ini pula untuk membuka selera anak-anak kita 



Walaupun nampak pedas, tapi bila telah dimasak, ia tidaklah sepedas seperti mana yang dilihat dalam gambar ini. Kombinasi sos tomato, sos cili, dan gula merah serta gula putih telah menenggelamkan rasa pedas pada sambal ayam.  Jenis cili kering yang digunakan juga harus diambil kira dalam penyediaan ayam sambal ini.  Gunakan cili kering yang kerinting.  Jangan beli cili kering yang berkilat, spesis ini memang pedas.  Bagi mengurangkan kepedasan pada cili kering, gunakan kaedah ini sebelum cili kering dikisar.  Selepas cili kering digunting atau dipotong kecil, ia hendaklah direbus sehingga mendidih.  Selepas sejuk, basuh cili kering dengan cara meramas-ramas cili kering itu sehingga keluar bijinya.  Ulangi cara ini sehingga 90% bijinya keluar.  Kemudian ditoskan.

Inilah rupanya cili kering kerinting.  
Bahan-bahannya
10 ketul peha ayam
1 batang serai dititik
1 ulas bawang putih diketuk
2 sudu besar gula merah
1 sudu besar gula putih
1 sudu besar jus lemon
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Minyak secukupnya (menggoreng dan menumis)

Bahan-bahan dikisar halus (guna blender basah):
3 senduk nasi cili kering kisar (gunakan cili kering kerinting – tidak pedas)
3 ulas bawang putih
1 inci halia tua
2 biji bawang besar saiz sederhana
1 biji tomato saiz sederhana
Air secukupnya

Cara-cara membuatnya: 
1. Ketulan peha ayam dibersihkan dan diperamkan dengan ½ sudu kecil gaam dan ½ sudu kecil serbuk kunyit selama 30 minit – 1 jam.
2. Panaskan minyak dan goreng peha ayam sehinggga kekuningan dan masak. Gunakan api yang sederhana untuk menggoreng peha ayam kerana dikhuatiri sekiranya menggunakan api yang kuat,isi di dalam tidak masak dan hanya garing di luar.
3. Panaskan periuk. Gunakan minyak gorengan ayam secukupnya untuk menumis.
4. Tumis bawang putih yang diketuk tadi sehingga kekuningan. Kemudian baru dimasukkan bahan-bahan yang dikisar tadi dan masak sehingga garing dan terbit minyak.
5. Setelah sambal garing, masukkan sos cili dan sos tiram. Kacau rata. Kemudian perasakan dengan gula merah, gula putih, garam, dan serbuk perasa. Tambah sedikit air sekiranya adunan pekat. Kacau dan biarkan kuah mendidih sebentar.
6. Setelah cukup rasa, masukkan peha ayam goreng tadi, diikuti dengan jus lemon. Kacau sehingga kuah sambal berpalut pada peha ayam. Perlahankan api dan biarkan ia mereneh seketika (anggaran 10 minit). Kemudian bolehlah ditutup api.

23 September 2012

BUBUR KELEDEK DAN JAGUNG (SANTAN SAWIT)




Bahan-bahannya:
1 biji ubi keledek saiz besar (Anggaran 800 gram)
200 gm isi jagung – boleh beli isi jagung sejuk beku di pasar raya
150 gm gula Melaka
1 cawan gula putih – boleh dikurangkan
1 cawan sagu
2 cawan pati santan kelapa sawit jenama KHALIS – guna santan kelapa pun boleh
3 helai daun pandan – dikoyak dan disimpul
Garam secukupnya

Penyediaannya:
1. Keledek dikupas kulitnya, kemudian dipotong dadu kasar. Basuh dan toskan.
2. Gula melaka dan gula putih disatukan di dalam periuk dan dimasak sehingga larut untuk dijadikan air gula. Letakkan daun pandan untuk mewangikannya. Kemudian ditapis air gula tersebut ke bekas lain.
3. Sagu direndam seketika sehingga kembang. Kemudian dibasuh dan ditoskan.
4. 2 cawan pati santan kelapa sawit dicampur dengan 1 cawan air untuk dijadikan 3 cawan santan.

Cara-cara memasaknya:
1. Masukkan keledek yang telah dipotong dadu dan air secukupnya di dalam periuk dan masak sehingga keledek lembut.
2. Setelah keledek lembut,  air gula, garam, dan daun pandan, diikuti dengan isi jagung. Biarkan ia mendidih seketika.
3. Masukkan santan dan sagu.  Kacau rata dan masak lagi sambil mengacau sehingga naik wap.
4. Kemudian bolehlah ditutup api. Hidang setelah sejuk.

21 September 2012

SOTONG MASAK KASHMIR



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Telah agak lama juga Kak Noor tidak up date resepi baharu di dalam blog ini. Seingat Kak Noor semenjak Hari Raya bulan lalu. Nak kata sibuk? tak le sibuk mana pun! Cuma tak ada resepi baharu yang spesial gitu yang hendak diketengahkan. Lagipun Kak Noor kurang masak sebab tak ada siapa yang nak makan. Anak-anak semua dah keluar belajar; jauh di perantauan. Yang tinggal hanya dua orang sahaja. So... kuranglah semangat nak masak banyak dan yang special. Teringat pula anak-anak lain yang tak dapat makan nanti. Itulah naluri seorang ibu. Sering teringat anak-anak bila tiba bab makan.  Kalau semua berkumpul, baru berselera makan. Ni kalau tak cukup forum, kalau masak pun, tak habis.... membazir gitu aje. Lastly masuk tong sampah.  Dah kira membazir tu!  So masak yang ringkas dan yang mudah sahaja.




Ingat lagi tak perencah Masak Hitam Kashmir produk keluaran Iman yang Kak Noor gunakan dalam resepi Masak Kambing Kashmir hari itu. Ada satu lagi paket di dalam peti ais tu. Kebiasaannya kita menggunakan daging kambing, daging lembu, dan daging ayam untuk resepi masak hitam kashmir ini. Tetapi kali ini Kak Noor cuba menggunakan perencah ini untuk memasak sotong pula. Sotong boleh dipotong gegelang ataupun dimasak sekor-sekor. Ikut citarasa masing-masing.

Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya:
500 gm sotong –  (boleh dipotong gegelang jika suka)
1 paket (100gm) perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman
2 sudu besar sos lada hitam
5 batang putik jagung - dipotong serong
Gula, serbuk perasa, dan garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris
1 biji tomato - dibelah empat
Daun sup/daun bawang

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia
1 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1. Panaskan minyak. Masukkan bahan-bahan tumis dan masak sehingga naik bau.
2. Masukkan perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman (perencah ini terdiri daripada pes bawang, pes kicap, dan rempah). Satukan kesemuanya dan dibancuh dengan 1 cawan air). Masak sehingga naik bau.
3. Masukkan sotong dan kaup balikkan sehingga sebati. Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa.
5. Bila sotong telah masak, masukkan buah tomato,  hirisan bawang besar, cili merah, cili hijau, daun sup dan daun bawang. Kacau dan tutup api.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang