Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

20 Oktober 2013

NASI PLANTA BONDA, cetusan daripada ilham dan citarasa bonda..

Assalamualaikum...





Kali ini Kak Noor nak syer resepi nasi planta yang teramat sedap, resepi istimewa daripada bonda Kak Noor.  Bonda Kak Noor ni bukan calang-calang orang ye!.  Walaupun dah berumur lebih daripada 60 tahun tetapi kemahirannya dan citarasanya dalam bidang masakan masih di tahap nombor satu. Sejak dari muda lagi beliau telah aktif menyertai banyak program dan aktiviti masakan.  Apa sahaja hidangan daripada air tangannya memang sedap belaka.  Sehingga ke hari ini beliau masih menjadi sumber rujukan sahabat handai, saudara-mara, dan anakanda-anakandanya.  Banyak lagi ilmu dan kepakaran masakan yang belum Kak Noor timba daripadanya.  Rasa rugi pula...




Sebenarnya resepi ini Kak Noor masakkan untuk famili pada minggu lalu. Baru malam ini sempat dimasukkan dalam blog.  Sebenarnya hari itu terasa malas sangat hendak ke dapur, sebab nak tumpukan kepada agenda mengemas rumah sebab nak hari raya kan.. Tapi kalau dapur tak berasap, kasihan pula kepada anak-anak yang dah pulang sempena hari raya.  Idea nak masak apa memang blank hari tu. So... telefonlah Chef Bonda di Bukit Mertajam untuk rujukan.  Bonda Kak Noorlah yang memberi idea untuk masak nasi planta ni.  Dia kata sedap, rasa macam nasi ayam.  Makan nasi begitu sahaja tanpa lauk pun sedap.

Nasi Planta ini Kak Noor hidangkan bersama roasted chicken, sup ayam, sos cili, dan timun.  Kak Noor hanya masakkan nasi planta dan sup ayam sahaja hari tu.  Roasted chicken Kak Noor beli sahaja. Untuk sos cili pula, Kak Noor gunakan sos chili Thai Maggi.  Masakan yang ringkas; cepat dimasak dan sedap dimakan kan!  Bila malas masak, bolehlah ikut cara Kak Noor.  





Apa rasa nasi planta ini?  Rasanya ada macam nasi ayam juga.   Memang betul kata bonda Kak Noor, kalau makan nasi sahaja pun dah sedap.  Anak bongsu Kak Noor tambah nasi sampai tiga kali tanpa makan dengan lauk.  




Kalau nak tahu sedap ataupun tidak nasi planta ini, cubalah resepi, cetusan daripada ilham dan citarasa bonda Kak Noor ini.

Bahan-bahannya:

5 cawan beras biasa – dibasuh dan ditoskan
6 cawan air – guna sukatan cawan beras
2 senduk nasi penuh Planta
1 batang serai dititik
2 helai daun pandan – dikoyak dan disimpul
1 kiub ayam Knorr
1/2 sudu besar garam
1 sudu kecil pewarna kuning (yellow egg)
1 ½  sudu besar gula

Bahan-bahan Tumis:
50 gram halia muda    )
1 biji bawang besar     )  disatukan di dalam blender dan dikisar lumat
3 ulas bawang putih    )
2 inci kulit kayu manis

Bahan-bahan Hiasan:
Timun atau Salad
Tomato
Papadom

Cara-cara Membuatnya:
1. Basuh beras sehingga bersih dan toskan. Ketepikan.
2. Panaskan periuk (gunakan periuk nasi rice cooker) di atas dapur. Masukkan planta dan kacau sehingga cair sepenuhnya, masukkan kayu manis dahulu diikuti dengan bahan-bahan tumis lain. Tumis sehingga naik bau dan bawang bertukar kekuningan.
3. Masukkan beras yang telah ditoskan tadi dan kacau rata sehingga bergaul dengan bahan-bahan tumisan tadi. Kemudian masukkan 6 cawan air, kiub ayam Knorr, serai, daun pandan, pewarna kuning (yellow egg) garam, dan gula. Masak sehingga air mendidih dan beras ½ masak.
4. Kemudian angkat periuk nasi dan masukkan ke dalam rice cooker. Switch on dan biarkan ia masak seperti biasa. Bila nasi telah masak dan nampak kering, gaul dan gemburkan nasi. Tudung semula.
5. Dah siap.  Boleh dihidangkan bersama ayam goreng berempah atau roasted chicken, beserta sup, sos cili, dan timun.

16 Oktober 2013

SYUKUR ALHAMDULILLAH, SERI DAN MERIAHNYA HARI RAYA AIDIL ADHA 2013 BERSAMA KELUARGA TERSAYANG


Terlebih dahulu Kak Noor ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana pada tahun ini Kak Noor dapat menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama anak-anak dan juga suami tersayang di Kuala Lumpur.  Sebenarnya hasrat di hati untuk berhari raya bersama bonda dan adinda-adinda di Bukit Mertajam, namun disebabkan kekangan waktu dan juga husband baru sahaja bercuti,  maka berhari rayalah sahaja di Kuala Lumpur.   Namun begitu, Alhamdulillah cukup forum tahun ini kerana semua anak ada bersama.

Pada tahun-tahun sebelumnya, ada juga anak Kak Noor yang tidak dapat pulang berhari raya bersama disebabkan kekangan waktu di mana pada masa yang sama mereka perlu mengulang kaji pelajaran kerana hampir dengan tarikh peperiksaan ataupun menyiapkan assignment.

Bila semua anak dah berkumpul, maka perlulah dipelbagaikan hidangan di hari raya. Bukan sahaja untuk santapan keluarga tetapi juga untuk dihidangkan kepada rakan-rakan anak-anak yang bertandang. Bertemu ikut musim, itupun bila pulang bercuti. Selepas sekolah semua empunya agenda masing-masing dalam kehidupan; ada yang melanjutkan pelajaran ke IPTA dan kolej, dan ada juga yang telah bekerja. So… sempena hari raya inilah mereka dapat bertemu, lepak, sembang-sembang sambil menjamu selera. Chef terpaksalah teruk sikit kat dapur, tapi tak pelah sekali sekala, bukan selalu dapat makan air tangan Kak Noor. Beri makan kat orang pun satu sedekah juga.



Sayang ibu... the very manja walaupun dah 10 tahun.  Just a simple velvet cheese cake; beli aje kat kedai.


Kesempatan Hari Raya Aidil Adha semalam diserikan juga dengan slot memotong kek hari lahir oleh anak bongsu Kak Noor; Nur Asilah atau panggilan comelnya `Cheela'. 14 Oktober 2013 telah genap usianya 10 tahun. Dah besar anak bongsu Kak Noor ni… tapi masih dibelai dan dimanja seperti baby. Anak bongsulah katakan....  Slot memotong kek ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga sahaja. Last minute plan dan tak sempat nak jemput sesiapa pun. Lagipun hari raya, ramai kawannya yang balik kampung berhari raya. Walau bagaimanapun, goodies untuk rakan-rakan sekelasnya pasti ada! Itulah yang dapat menggembirakan hatinya dan tak sabar-sabar untuk dibawa ke sekolah pada hari Khamis nanti.

Ok… kat atas tu celoteh Kak Noor yang berjela-jela. Kak Noor ni kalau dah mula menulis memang `ralit', tanpa full stop. Tak tahu kenapa hari ini idea penuh satu tempayan. Anyway supaya ia tidak melimpah ruah, its better to put a full stop.  Nanti bosan pula pengunjung-pengunjung blog Sajian Dapur Bonda membaca celoteh Kak Noor yang terus menerus ni. Apapun ia sekadar perkongsian.


JOM KITA TENGOK APA MENU YANG SEMPAT KAK NOOR SAJIKAN UNTUK HARI RAYA AIDIL ADHA TAHUN INI.  SKROL......


Dah penat baca celoteh Kak Noor di atas, jom kita tengok apa menu Hari Raya Aidil Adha di rumah Kak Noor semalam. Ada lontong, nasi empet, sambal tumis ikan bilis, kuah kacang, laksa Penang dan rendang ayam cili padi. Untuk dessert pula, Kak Noor sempat buatkan truffle cocktail. Tak berapa menjadi sangat truffle tu, terlembik jelinya walaupun mengikut sukatan yang terdapat pada kotak. It's ok, first time cuba. Kak Noor pun bukan terror sangat dalam bab dessert ni. Masih dalam peringkat try & error. Tapi masih sedap dimakan, Insya Allah tidak terbuang. Next time kalau buat lagi dan sempurna kejadiannya, Kak Noor kongsikan ye!

Ayam Rendang Cili Padi dimakan bersama nasi empet ataupun diratah aje....

Kuah kacang dimakan bersama nasi empet


Ada opsyen; laksa atau nasi empet.  Nasi empet boleh dimakan bersama kuah lontong ataupun kuah kacang.  Pilih aje mengikut selera masing-masing.  Tepuk dada, tanya selera.


Bahan-bahan hiasan untuk dimakan bersama laksa; timun, bawang, daun pudina (daun colgate),
 nanas, bunga kantan, dan telur.


Kuah lontong, satu periuk besar; pelbagai sayuran ada.  Potong sayur aje dah 1/2 jam.  Special for vegetarian

Itulah menu yang sempat Kak Noor sajikan semalam. Ayam rendang cili padi, nasi empet, kuah lontong, kuah kacang, sambal tumis ikan bilis, dan laksa Penang. N3 bagi menu-menu di atas (kecuali ayam rendang cili padi) pernah Kak Noor poskan dalam blog Sajian Dapur Bonda. 

Hari ini dua orang anak lelaki Kak Noor telah pulang ke institusi pengajian masing-masing, seorang pulang ke Politeknik dan seorang lagi ke IKBN.  Kembali sunyi semula, dan masak pun sikit-sikit aje.. ikut yang terada kerana orang yang `kaki' makan dah balik.  Chef pun kembali rehat semula setelah seharian `berperang' di dapur semalam. Alhamdulillah, sekarang ini Kak Noor tak perlu lagi bergegas untuk masak waktu pagi, kerana ada Chef Junior kat rumah,  lega rasanya. Dialah yang memasak untuk keluarga.   Who's the Chef Junior? 


Inilah Chef Junior, my eldest - just graduated from UMP in engineering course.

AYAM RENDANG CILI PADI, ANTARA MENU SAJIAN PADA HARI RAYA AIDIL ADHA

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.  Agak tidak terlambat untuk Kak Noor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk semua pengunjung blog Sajian Dapur Bonda.  Di kesempatan ini juga Kak Noor ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini sehingga pengunjung SDB telah mencapai lebih daripada satu juta orang.    Syukur Alhamdulillah, kerana blog ini sedikit sebanyak telah memberi manfaat kepada semua yang pernah singgah.


N3 kali ini ialah masakan Ayam Rendang Cili Padi. Ini adalah antara menu yang disajikan pada Hari Raya Aidil Adha. Memandangkan terdapat banyak lagi menu pilihan seperti lontong, nasi empet dan laksa Penang, maka Kak Noor hanya menggunakan seekor ayam sahaja untuk menu rendang ini. Sebenarnya telah lama Kak Noor berhasrat untuk mencuba resepi ini sebab dah jemu dengan versi rendang yang pernah Kak Noor sajikan.








Ayam Rendang Cili Padi ini merupakan menu Negeri Sembilan. Orang Negeri Sembilan memang terkenal dengan masakan pedasnya dan suka makan pedas. Cili padi telah sinonim dengan masakan mereka. Macam masakan orang Utara le… apapun mesti nak guna rempah. Bahan-bahan yang digunakan untuk Ayam Rendang Cili Padi ini hampir sama dengan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak Ayam Rendang Pedas; cuma yang bezanya untuk Ayam Rendang Cili Padi kita hanya menggunakan cili padi sahaja dan tidak menggunakan cili kering.

Memandangkan ini merupakan kali pertama Kak Noor masak Ayam Rendang Cili Padi, banyaklah juga blog yang telah Kak Noor lawati untuk melihat bahan-bahan yang cara penyediaannya; dan ia tidak banyak bezanya dengan Ayam Rendang Pedas yang pernah Kak Noor masak.  Almost the same.  Cuma diolah dari segi penggunaan bahannya iaitu cili padi dan cara memasaknya iaitu menumis.  Dari segi penggunaan santan pula, Kak Noor lebih gemar menggunakan santan sawit KHALIS, kerana ia lebih ekonomik, tidak perlu menggunakan santan yang banyak tetapi rendangnya tetap sedap dan membangkitkan selera.

  


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam – potong ikut suka dan dibersihkan
1 paket (320ml) santan sawit KHALIS
4 cawan air
4 helai daun kunyit – dihiris kasar
3 – 4 helai daun limau purut - disiat
2 – 3 keping asam gelugor
2 batang serai - dititik
3 senduk nasi kerisik
2 sudu besar gula perang
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar halus:
15 biji cili padi hijau
15 biji cili padi merah
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
6 batang serai – dihiris
5 biji buah keras
Air secukupnya untuk memudahkan bahan-bahan dikisar halus.

Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan terbit minyak. Gunakan api sederhana dan kacau selalu.

2. Masukkan ayam dan gaul rata dengan tumisan bahan kisar tadi. Biarkan di atas dapur selama lebih kurang 10 minit atau sehingga ayam kecut

3. Kemudian masukkan santan, air, daun kunyit, daun limau purut, serai yang dititik, asam gelugor, gula perang, dan garam. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.

4. Tambah kerisik dan kacau lagi. Masak dengan api yang kecil hingga rendang agak pekat dan ayam masak (teknik mereneh).

5. Akhir sekali masukkan kerisik dan gaul rata. Masukkan juga beberapa biji cili padi yang dititik (opysen). Teruskan masak sehingga rendang kering ataupun sedikit berkuah. Matikan api. Bolehlah dihidangkan.

8 Oktober 2013

IKAN KERING TALANG MASAK KARI CAMPUR KENTANG (TUMIS DARAT)

ASSALAMUALAIKUM...


Hmm... hari ni masak kari tumis darat lagi.  Dan...bahan utamanya ialah ikan kering talang.  Hm... sedap tu kari ikan kering talang tumis darat.  Kecur air liur.  Resepi ini memang tak asing lagi bagi orang-orang sebelah Utara, terutamanya di kampung-kampung di mana mereka bersama-sama bergotong royong memasak kari ikan kering talang ini, dicampur dengan ubi kentang atau nanas, atau kedua-duanya sekali.



Kuahnya jangan terlampau pekat, dan jangan terlampau cair


Salah satu daripada menu sampingan, ikan cencaru sambal belah belakang 


Kebiasaannya  menu ini dihidangkan untuk majlis keramaian secara kecil-kecilan seperti majlis doa selamat dan majlis bertunang.  Ada juga yang menjadikannya sebagai menu untuk majlis kenduri kahwin. Dihidangkan pula dengan lauk-pauk kampung yang lain seperti ikan sambal belah belakang, sambal tumis udang petai, sambal belacan, dan ulam-ulaman bersama nasi putih.  Hai...  bertambah berseleralah para jemputan yang hadir.  Bagi tuan rumah, kalau telah disediakan menu seperti ini, kenalah masak extra nasi dan lauk, takut tak cukup pulak nanti!



Bila isi dah habis, kuahnya sedap dicicah roti/roti bakar.


Tetapi ada juga orang yang mengalami alahan bila memakan ikan kering talang ini walaupun isinya lazat. Mereka kurang berminat untuk memakannya kerana dikhuatiri menimbulkan pelbagai penyakit, terutamanya menyebabkan gatal seluruh badan setelah memakannya. Tetapi bagi Kak Noor dan famili ok pulak.  Tak ada pun gatal-gatal.  Mungkin dah biasa memakan ikan kering talang ini sejak kecil maka telah `immune' dengannya. Alah bisa, tegal biasa.  Bagi mereka yang pernah mengalami alahan selepas memakan ikan kering talang ini,  Kak Noor ada selitkan satu artikel mengenai `Cara elak alah ikan talang'.  Kak Noor terbaca mengenai artikel itu di SINI.  Bagi mereka yang sedia alah dengan ikan kering talang ini bolehlah ditukar kepada ikan kering kurau atau ikan kering merah.


Bahan-bahannya:
450 gram isi ikan kering talang – dipotong kecil (anggaran 2 inci)
4 biji ubi kentang saiz besar – dikupas kulit dan dibelah dua
1 cawan santan kelapa sawit KHALIS – dicampur dengan 3 cawan air
1 sudu besar pes asam jawa Xtra ADABI – dibancuh dengan ½ cawan air
2 biji cili hijau - dibelah tengah, tapi tidak putus
1 biji tomato - dibelah 4
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Dikisar Lumat:
70 gram rempah kari ikan dan udang pedas BABAS
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan-bahan Tumis Darat:
1 senduk nasi minyak masak
4 ulas bawang merah (bawang kecil) – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari – dilurut daunnya

Cara-cara Membuatnya:

1. Rendam isi ikan kering talang di dalam air bersama 1 sudu kecil garam selama ½ jam supaya masinnya hilang. Kemudian dibasuh dan ditoskan.

2. Masukkan isi kering talang di dalam periuk bersama bahan-bahan kisar. Sekiranya pes agak pekat, boleh tambahkan air. Masak sehingga kuah mendidih.

3. Selepas itu masukkan santan, diikuti dengan bancuhan air asam jawa. Kacau dan masukkan pula ubi kentang. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah mendidih.

4. Setelah kuah cukup rasa bolehlah ditutup api dan ketepikan.  Masukkan cili hijau dan buah tomato.

5. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darat sehingga kekuningan dan naik bau. Curahkan bahan tumisan ini di dalam periuk kari tadi dan tutup periuk supaya aroma wanginya tidak keluar.

6. Sebelum menghidang, kacau dulu kuahnya supaya bercampur mesra dengan bahan tumisan.

Selamat mencuba.. 

7 Oktober 2013

KARI KETAM MERAH BABAS (TUMIS DARAT)



Assalamulaikum dan Salam Ceria Selalu.


Telah lebih daripada seminggu Kak Noor tak update apa-apa resepi dalam blog ini.  Itulah Kak Noor ni.. ibu yang bekerja, penulisan kadang-kadang tidaklah konsisten; tak dapat nak pos resepi baharu  pada setiap hari.  Letih juga badan ni bila dah pulang ke rumah. Bila badan dah letih, minda pun turut letih, maka mood nak mengarang pun agak kureng.  Lagipun sejak kebelakangan ini kesihatan tidak berapa memuaskan,  masak pun ala kadar saja. Kalau tak larat sangat, seperti biasa beli aje kat kedai.  Suami dan anak-anak pun tak berapa kisah.  






Hari ini kembali segar...  Alhamdulillah. So hari ini  Kak Noor nak kongsi satu lagi resepi masakan ketam iaitu masak kari ketam cara tumis darat. Kak Noor lebih suka cara tumis darat ini kerana karinya kurang berminyak.  Resepi ini pernah Kak Noor poskan dalam blog ini, tetapi yang bezanya kali ini Kak Noor menggunakan rempah kari ikan dan udang pedas BABAS. Karinya rasa pedas, dan tidak perlu lagi ditambah dengan serbuk cili.






Bahan-bahannya:
5 ekor ketam merah (anggaran 11/2 kilo) – seekor dikerat dua
Nanas masak dikupas, dan dipotong nipis 1/4 bahagian daripada sebiji nanas
11/2  cawan santan pekat + 3 cawan air
1 keping asam gelugor
4 – 5 biji tomato kecil (baby tomato) dibelah dua
2 biji cili hijau – dibelah di tengah tetapi tidak putus
1 batang serai - dititik
Garam dan gula perang secukup rasa

Bahan-bahan Pes (disatukan di dalam blender basah dan dikisar halus):
5 sudu besar rempah kari ikan & udang pedas BABAS
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan Tumis Darat:
1 sudu besar jintan manis
4 biji bawang merah (kecil) – dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari
1 inci halia – dihiris mancis
Minyak secukupnya

Cara-cara Membuatnya:

1. Buang kulit ketam dan kerat hujung kaki-kaki kecil dan ketuk sedikit bahagian penyepit ketam untuk memudahkan isinya dikeluarkan nanti.  Gaul dengan beberapa biji limau kasturi dan garam dan perapkan selama 1 minit. Kemudian dibasuh bersih dan toskan.

2. Masukkan ketam, pes rempah, dan serai di dalam periuk. Tambahkan air secukupnya (anggaran) dan masak sehingga mendidih.

3. Kemudian masukkan nanas dan santan. Masukkan garam, gula, dan asam gelugor dan kacau rata. Biarkan kuah mendidih di atas dapur atau hingga ketam masak. Rasa dan jika ok boleh tutup api. Masukkan buah tomato dan cili hijau. Ketepikan.

Cara Tumis Darat:

Panaskan minyak (anggaran 1 senduk nasi) di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darat sehingga kekuningan dan naik bau. Semasa bahan-bahan tumis masih panas tuangkannya di dalam periuk ketam tadi, dan tutup periuk untuk mengelakkan hilangnya aroma wangi tumisan.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang