Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

26 Oktober 2014

Puding Koktel Kastard

Salam hujung minggu buat semua yang singgah di Sajian Dapur Bonda.  

Telah menjadi fenomena di FB sekarang, ramai yang gemar mengepos apom, kek, dan puding yang diwarnakan dengan pelbagai warna menarik, `I want to touch the colour!' Bukan di atas kertas sahaja kita boleh warna tau!  Kini kuih muih pun boleh kita apply dengan beraneka warna yang boleh membuat orang teruja bila melihatnya. 




So kali ini Kak Noor telah apply pada Puding Koktel Kastard ni. Agak menarik juga hasil kombinasi warnanya. Bukan sahaja warnanya menarik, tapi teksturnya pun sedap. Lembut... sejuk bila masuk ke tekak.  





Dalam FB juga kita tengok ramai yang guna acuan seperti yang Kak Noor gunakan untuk membuat apom, kek, puding dan sebagainya.  Acuan ini Kak Noor beli on line, nun.... jauh dari  Sabah.  12 pieces harganya RM35.00.  Dengan menggunakan resepi di bawah Kak Noor dapat buat dua bekas puding menggunakan acuan di atas. 








Bahan-bahannya:
20 gram agar-agar tali
1 ½ cawan gula pasir
1 tin susu cair 

1 tin koktel Ayam Brand (410 gram) @ jenama lain 
1 biji kuning telur
4 sudu besar tepung kastard
875ml air bersamaan 5 cawan air

Cara-caranya:

1.  Basuh agar-agar. Masak agar-agar bersama 875ml air sehingga larut.
2.  Kemudian masukkan gula. Masak lagi sehingga gula larut.
3. Satukan susu cair, tepung kastard, dan kuning telur di dalam blender. Blend sehingga semua bahan bercampur sebati.
4. Perlahankan api. Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi dan buah-buahan koktel bersama jusnya di dalam larutan agar-agar yang bercampur gula tadi.
5.  Kacau senantiasa supaya tidak bergentel. Kacau sehingga adunan mendidih dan nampak pekat.
6. Tuang adunan di dalam acuan. Biar seketika di luar sehingga suam, kemudian dimasukkan di dalam peti sejuk. 
7.  Sekiranya suka boleh bahagikan adunan kepada beberapa bahagian warna mengikut citarasa masing-masing.

22 Oktober 2014

Pencuci Mulut di Hari Cuti, Agar-Agar Koktel Strawberry

Assalamulaikum teman-teman semua.

Hari ini cuti am.  Memang ditunggu-tunggu oleh orang macam Kak Noor ni.  Kalau boleh nak rehat aje... Sesiapa yang bekerja di sektor awam mahupun swasta hari ini telah diisytiharkan cuti am sempena Hari Deepavali.  Anak-anak yang bersekolah pun turut diberi cuti; tetapi bukan sehari dua tetapi sehingga hari Ahad.  Hari Isnin minggu hadapan naik sekolah kembali.  Ada juga famili yang mengambil kesempatan ini untuk bercuti panjang membawa anak-anak pulang ke kampung menziarahi ayahanda bonda, dan sanak saudara, dan ada juga yang membawa anak pergi `Cuti-cuti Malaysia'.





Kak Noor dan famili hanya menghabiskan cuti sehari ini di Kuala Lumpur sahaja.  Lagipun pada minggu hadapan, akan bermula peperiksaan hujung tahun sebelum cuti sekolah penggal ketiga. Kalau balik kampung, sudah tentu anak perempuan bongsu Kak Noor akan leka bermain dengan sepupu-sepupunya, bukupun hilang entah ke mana. Biasalah budak-budak, tak boleh dihalang.  So biarlah dia study untuk exam dulu.





N3 hari ini tiada lauk pauk yang disajikan.  Masih banyak lagi nasi goreng di dalam kuali.  Biar dihabiskan, baru difikirkan apa yang hendak dimasak hari ini. Lagipun hari ini Kak Noor buat pulut inti juga.  Dah lama tak buat dan makan pulut inti ni.  Sesekali terasa teringin pula.  Pencuci mulut yang menjadi pilihan ialah Agar-agar Koktel Strawberry kerana telah sedia ada stok 2 tin koktel di rumah.  
Jom kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan pencuci mulut ini.

Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar tali
4 cawan air
1/2 tin susu cair
200 gram gula pasir
1 tin koktel Ayam Brand (410 gram) @ jenama lain
1 sudu besar perasa dan pewarna strawberry emulco
2 helai daun pandan – disimpul

Cara-caranya:

1.  Basuh agar-agar tali dulu. Kemudian masukkan di dalam periuk bersama 4 cawan air dan daun pandan. Masak sehingga agar-agar larut sepenuhnya. Kemudian ditapis.

2.  Masukkan kembali larutan agar-agar di dalam periuk. Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
3.  Kemudian baru dimasukkan air sirap koktel, susu cair, dan perasa strawberry. Kacau dan masak sehingga mendidih. Selepas itu masukkan buah-buahan koktel. Kacau rata dan tutup api.
4.  Tuang agar agar ke dalam loyang dan sejukkan seketika diluar sehingga suam. Kemudian bolehlah diletakkan di dalam peti ais.
5.  Apabila telah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

RESEPI PERIUK NOXXA: PULUT INTI



Bahan Untuk Pulut:
3 cawan beras pulut
4 cawan air
2 cawan santan pekat
Garam secukupnya

Bahan Untuk Inti:
1 biji kelapa parut muda
3 ketul gula Melaka
2 sudu besar gula pasir
2 cawan air
2 helai daun pandan
1 sudu besar tepung gandum atau tepung beras – Kak Noor guna tepung gandum


Cara Masak Pulut Guna Periuk Noxxa:
1. Basuh pulut dan toskan.  
2. Masukkan pulut dalam inner bersama air dan daun pandan.
3. Tutup periuk.  Putar tombol ke arah `PRESSURE’.
4. Guna  fungsi `HIGH PRESSURE’ dan set  6 minit.  Tekan`ON’.
5. Selepas masa tamat, putar tombol ke arah STEAM untuk membebaskan wap.
6. Buka tudung dan kacau pulut.  Masukkan santan yang telah dibancuh dengan garam secukup rasa dan kacau sehingga pulut dan santan bergaul rata.
7. Tekan `OF’.  Tutup periuk.  Putar tombol ke arah `STEAM’.
8. Guna fungsi `STEAM’ dan set 3 minit.  Tekan `ON’.
9. Selapas masa tamat, buka tudung periuk dan kacau rata.  Biarkan dalam status `WARM/REHEAT’.

Inilah hasil setelah pulut masak



Cara Masak Inti:




1. Masukkan gula Melaka, gula pasir,  air, dan daun pandan di dalam periuk.  Gunakan api sederhana untuk memasak gula hingga larut.  Apabila telah larut, tapiskan.
2. Masukkan larutan air gula di dalam kuali bersama daun pandan.  Biar atas api hingga pekat.  Gunakan api sederhana supaya gula tidak rentung.
3. Apabila gula telah pekat, masukkan kelapa. Kaup balikkan sehingga sebati dengan air gula tadi. 
4. Kemudian masukkan tepung gandum dan kacau rata sehingga kelapa tidak berderai. 
5.     Boleh dibungkus dengan daun pisang atau dihidangkan di dalam pinggan.



20 Oktober 2014

Asam Pedas Rebus Ikan Pari, Sayur Campur, dan Ikan Goreng Garing Untuk Sajian Tengah Hari. Syukur Alhamdulillah.

Assalamualaikum.  Syukur Alhamdulillah, rezeki pada hari ini. 



Asam Pedas Rebus Ikan Pari, menu sajian tengah hari tadi.  Sesekali masak menu ini sedap juga.  Kuahnya boleh dihirup. Slurrp… Satu kepuasan bila dimakan bersama nasi panas.  Kak Noor suka letak kuah banyak-banyak sampai nasi tenggelam.  

Sebenarnya memang malas nak masuk dapur hari ini.  Pagi-pagi lagi telah siap masak bihun goreng untuk sarapan pagi.  Pada mulanya ingat nak terus masak untuk makan tengah hari.  Senang, lepas itu boleh relaks dah... Tetapi tergendala pula sebab terleka menonton beberapa program TV yang agak menarik di hujung minggu.  Apapun selepas tamat cerita `Cinta Hero Malaya’ lebih kurang jam 1.00 tengah hari, akhirnya masuk ke dapur untuk memasak.


Sesekali makan menu seperti ini, memang menyelerakan.  Ala-ala kampung gitu...

Hmm…. nak masak simple aje hari ini.  Dah tiga hari ikan pari tersimpan di dalam peti sejuk.  Memang dah pelan sejak semalam nak masak asam pedas rebus sahaja.  Selalunya Kak Noor guna method tumis.  Masa zaman Kak Noor kecil dulu, arwah nenda selalu masak asam pedas guna method rebus naik sahaja.  Memang mudah dan cepat, masukkan semua bahan dan terus masak di atas dapur sehingga mendidih.  Kemudian angkat dan hidangkan.   Jarang tengok arwah nenda masak asam pedas ini menggunakan method menumis.  Selalunya dicampur dengan nanas manis.  Memang sedap.  Tetapi tadi tak ada nanas, so kita masak apa yang ada saje. 




Menu tidak lengkap tanpa sayur. So Kak Noor gandingkan dengan sayur goreng campur (kobis, putik jagung, cendawan, dan lobak merah).  Digoreng pula ikan garing-garing. Diratah pun sedap ikan ni. Maka lengkaplah menu makan tengah hari untuk hari ini. Tapi… kalau ada ulam dan sambal belacan bertambah sodap lagi..


Bahan-bahannya:
I batang ikan pari – dipotong
1 kiub ikan bilis
3 keping asam gelugor
1 cekak daun kesum
2 batang serai dititik
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 batang bunga kantan – batangnya dikerat dan diketuk, bunganya dibelah dua
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
6 biji cili merah – dibuang biji
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci belacan
Air secukupnya

Cara-caranya:
1.     Masukkan ikan, bahan-bahan yang dikisar, bahan-bahan lain dan air secukupnya (bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki) ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan kacau rata.  Apabila telah cukup rasa, bolehlah ditutup api.

12 Oktober 2014

Kek Pelangi, warna pelangi inspirasi puteri-puteriku

Salam rakan-rakan semua.




Welcome to Dunia Kek Warna Warni.  Teruja sungguh Kak Noor bila lihat kawan-kawan pos kek yang dicorakkan dengan pelbagai warna yang menceriakan dalam FB mahupun blog.   Kalau kita yang dewasa pun tertarik dengan warna-warna yang digabungkan, apatah lagi budak-budak yang melihatnya.  




Dari sehari ke sehari memendam rasa untuk cuba membuatnya.  Akhirnya sehingga ke hari ini, Kak Noor telah mencuba membuat dua kek; iaitu Kek Marble dan hari ini Kek Pelangi.  Bahan-bahan yang digunakan untuk kedua-dua kek ini agak sama sahaja, cuma dari segi pewarnaannya. Kek Marble tidak diletakkan ovalette, tetapi untuk Kek Pelangi Kak Noor letakkan sedikit Ovalette untuk melembutkannya.  


Warna-warna yang digunakan pada Kek Pelangi

Kek Pelangi ini adalah inspirasi daripada kedua-dua puteri Kak Noor; iaitu yang sulung dan yang bongsu. Bila dah nonton You Tube yang menunjukkan penyediaan `rainbow cake', di mana pelbagai warna digabungkan, mereka turut teruja untuk mencubanya. Seronok sungguh bila mereka diberi `mandat' untuk mewarnakan setiap bahagian adunan.



video


Inilah resepi Kek Pelangi untuk perkongsian bersama.



















Ini pula cara menyelangselikan adunan ke dalam loyang. Part ini yang paling seronok.  



11 Oktober 2014

RESEPI PERIUK NOXXA: Sambal Tumis Daging Bonda (Ala Mamak)

Assalamualaikum.

Santai di hujung minggu bersama keluarga, apakah agaknya menu tengah hari ini?  Apa kata masak sambal tumis daging ala mamak ini.  Pasti membuka selera, dimakan bersama nasi putih yang masih panas.  Tetapi kalau rasa terajin nak masak nasi tomato atau nasi minyak, silakan.  Itu dah kira bonus makan tengah hari. 





Kak Noor jarang beli daging untuk dimasak di rumah. `Sesekali bila kuterasa teringin' aje baru dibeli di pasar tani. Selalunya Kak Noor beli daging tempatan `fresh' yang dijual di pasar tani atau pasar.  Tetapi anak-anak dan Encik Hasben lebih suka ayam daripada daging.  




Daging yang dimasak ini ialah daging korban yang diberi oleh jiran.  Alhamdulillah dapat juga merasa daging korban tahun ini walaupun tak balik kampung berhari raya.  

Memandangkan menu ini merupakan salah satu favourite Kak Noor, maka Kak Noor ingin berkongsi bersama-sama rakan semua cara memasaknya menggunakan periuk Noxxa. Ini adalah cara Kak Noor, tetapi tak tahulah kalau ada cara lain memasaknya.  Lagipun Kak Noor masih orang baharu. Masih ramai sifu di luar sana yang lebih arif dan mahir memasak menggunakan periuk Noxxa ini.


Makan dengan nasi lemak pun sedap..

Apapun kalau masak menu ala mamak ini, banyak bawang besar digunakan di samping rempah-rempahnya.   Tetapi itulah yang membezakan antara masakan Melayu dan masakan ala mamak.

Bahan-bahannya:
850 gram isi daging – dipotong ikut suka
2 biji bawang besar – dipotong bulat
Air secukupnya
3 sudu besar gula perang
Kerisik 350 gram – Kak Noor guna kerisik keluaran Agro
Tambahan gula putih secukup rasa
Garam secukup rasa
2 sudu besar kicap manis

Bahan-bahan dikisar (untuk perapkan daging):

1 1/2 cawan cili yang telah dikisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
15 gram halia muda
10 gram lengkuas
Sedikit belacan (sebesar hujung jari)
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk cili
2 sudu besar sos tomato puri
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar – dihiris
1 batang serai – dititik
1 helai daun pandan – dikerat 3

Penyediaannya:



1. Daging diperap dengan bahan-bahan kisar selama lebih kurang 30 minit. Ketepikan.



2. Masukkan minyak secukupnya dalam periuk dalaman Noxxa. Tekan fungsi STIR FRY dan on. Bila minyak telah panas, masukkan bahan-bahan tumisan. Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan. Off fungsi STIR FRY.





4. Kemudian masukkan perapan daging tadi dan kacau rata. Masukkan sedikit air. Tutup periuk dan putar tombol (cap) ke arah PRESSURE. Tekan Fungsi High Pressure 30 minit dan On.

5. Selepas masa tamat, putar tombol ke arah STEAM untuk melepaskan wap. Selepas habis semua wap dilepaskan, buka tudung periuk . Kacau rata. Off fungsi HIGH PRESSURE. (Masa ini daging telah empuk tetapi kuah masih belum kering).




video

6. Masukkan kerisik, gula perang, gula putih, garam, dan kicap. Kacau rata. Tekan fungsi STIR FRY dan On. Biarkan ia mendidih sehingga kuah kering sedikit. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan dikaup balikkan. Off STIR FRY.

7.  Siap untuk dihidangkan.

TART NYONYA, tempahan untuk Deepavali





Assalamualaikum...
Kebiasaannya bila nak tiba Hari Raya Puasa baru kita akan dapat lihat N3 pelbagai biskut dalam blog dan juga FB. Tetapi tiba-tiba saja Kak Noor pos Tart Nyonya ini dalam blog Kak Noor. Tart nyonya ini special Kak Noor buat atas permintaan rakan yang meminta tolong membuatnya untuk jirannya yang akan menyambut Deepavali.






Hari Raya tahun lalu Kak Noor mengambil tempahan untuk membuat tart gulung nanas. Tak pernah lagi membuat Tart Nyonya ini. Resepi tart nyonya mungkin berlainan daripada resepi tart gulung. Terpaksalah google dan intai-intai blog yang ada resepi tart nyonya.

Finally, teruja dengan N3 tart nyonya dari Dapur Kak Jee.   Kak Jee buat menggunakan caranya yang tersendiri.  Beliau tidak mencanai doh, tetapi membulat-bulatkan doh dan kemudian ambil cutter, letak atas doh.  Tetapi Kak Noor 100% menggunakan acuan dan cutter.  Tak berapa mahir lagi nak buat macam Kak Jee.

Anyway terima kasih kepada Kak Jee kerana sudi berkongsi resepi tart nyonya yang sedap ini.


Bahan-bahannya:
300 gram tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
3 sudu besar gula ising
200 gm butter
2 kuning telur
Jem nanas

Cara-caranya:
  1. Ayak tepung gandum, tepung jagung, dan gula ising ke dalam bekas.  Kemudian masukkan butter yang telah dipotong dadu.  Kalau guna unsalted butter, masukkan secubit garam.
  2. Ramas tepung dengan butter guna hujung jari hingga berderai (rub-in method).  Kemudian masukkan telur dan satukan menjadi doh.
  3. Simpan kira-kira 20 minit di dalam peti ais.
  4. Canai jadi setengah inci dan turap guna acuan atau cutter. Kemudian keluarkan doh perlahan-lahan. Sekiranya tidak mahu doh lekat, masukkan acuan ke dalam tepung terlebih dahulu sebelum menurap.
  5. Bulat-bulatnya jem nanas dan letak di atas doh yang telah diturap.
  6. Susun doh yang telah siap di atas dulang pembakar. Bakarlah sampai masak iaitu kira-kira 20 minit di dalam oven dengan kepanasan kira-kira 175 darjah celcius.

10 Oktober 2014

Kek Marble, teruja dengan keceriaan kombinasi warnanya....


Bila ramai orang pos gambar Kek Marble di FB, Kak Noor pun turut teruja untuk cuba membuatnya. Kak Noor ni bukan orang yang selalu buat kek, selalu beli adalah.  Apatah lagi bila tengok keceriaan kombinasi warna pada kek-kek yang diposkan itu.  Mesti like.  Terima kasih kepada empunya resepi yang hanya dikenali dengan CT Hajar.   First time buat, Alhamdulillah beginilah hasilnya.  Kak Noor guna warna merah, hijau dan serbuk koko utuk warna coklat.

Ini adalah cara memasukkan adunan secara selang seli ke dalam loyang (dipos oleh CT Hajar dalam FB).


6 Oktober 2014

RESEPI PERIUK NOXXA: Nasi Tomato Mamak Penang

Assalamualaikum.






Untuk N3 resepi periuk Noxxa kali ini, Kak Noor ingin berkongsi menu nasi tomato yang dimasak menggunakan periuk Noxxa.  Resepi ini diambil daripada blog Mamak Haji Roslan, my favourite chef from Penang. Resepi asal menggunakan 2 kg. beras.   Boleh klik di sini untuk resepi asal. Kak Noor hanya menggunakan 1 kg. beras sahaja.   Beras pula Kak Noor hanya gunakan beras biasa sahaja. Masak tidak dirancang, so tak belipun beras Basmathi.


Ayam Semanis Kurma

Untuk lauknya pula Kak Noor gandingkan dengan Ayam Semanis Kurma.   Tak sempat nak sediakan jelatah.  Just nasi dengan ayam sahaja dapat dihidangkan.



Antara bahan-bahan yang diperlukan.


Bahan-bahannya:
1 kg. beras biasa bersamaan 5 cawan beras
¼ tin Kimball Tomato Soup – (Tomato Soup tin 425g)
1 ½ sudu besar Kimball Tomato Puree
¼ tin susu cair
3 sudu besar serbuk badam
Air mengikut sukatan beras 1 nisbah 1 (1:1)

Bahan-bahan Tumis:
1 ½ sudu besar minyak sapi
1 batang kayu manis 3”
1 helai daun pandan dikerat 4 inci
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
1 biji bawang besar dihiris
½ sudu besar pes (kisar) bawang putih dan halia
½ sudu besar pes (kisar) bawang besar
½ sudu besar gula pasir
20 gram buah kismis

Cara-cara Memasak Menggunakan Periuk Noxxa:


1. Tekan fungsi `STIR FRY’ dan On. Masukkan minyak sapi.





2. Bila minyak panas, masukkan kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, dan kismis. Seterusnya masukkan pes bawang putih dan halia kisar, bawang kisar dan daun pandan.






3. Bila tumisan mula keluarkan bau yang harum, masukkan Kimball Tomato Soup, Kimball Tomato Puree, susu cair, serbuk buah badam, dan air yang telah disukat. Masukkan gula dan garam secukupnya. Rasa kemasinan air. Biarkan air mendidih.

4. Apabila air mula mendidih, masukkan beras dan kacau perlahan. 

5. Off fungsi STIR FRY. Tutup periuk. Putar tombol ke arah `PRESSURE’. Tekan fungsi `HIGH PRESSURE’ 10x (10 minit) dan On.

6. Selepas tamat masa, putar tombol ke arah `STEAM’ untuk keluarkan wap.





7. Selepas habis wap dikeluarkan, buka tudung. Ambil chopstick dan buat beberapa lubang kecil pada nasi. Masukkan beberapa titis pewarna kuning (yellow egg) ke dalam setiap lubang tadi. Kemudian gaul rata.

8.  Biarkan dalam status WARM/PRE-HEAT untuk nasi senantiasa panas. 





5 Oktober 2014

KUAH KACANG VERSI BONDA, WARISAN KELUARGA

Selamat Hari Raya Aidil Adha...

Resepi kuah kacang ini pernah Kak Noor muatkan dalam blog SDB sebelum ini. Cuma kali ini Kak Noor gunakan sukatan gram bagi membolehkan ia diikuti dengan mudah.

Mungkin orang lain, lain caranya. Tetapi bagi Kak Noor yang berasal dari Utara, ini adalah resepi warisan keluarga yang selalu dimasak oleh bonda Kak Noor. 
 

Antara bahan-bahan untuk kuah kacang


Bahan-bahan perlu digoreng terlebih dahulu untuk mendapatkan aromanya
 
Pesan bonda, kalau nak kuah kacang yang sedap, bahan-bahannya perlu digoreng tanpa minyak terlebih dahulu untuk mendapatkan aromanya. So... kenalah lebih kerja sedikit ye!

 

Mudah! kacang yang telah siap dikisar
 
Tak nak sembang panjang-panjang, kita terus ke resepinya.

KUAH KACANG UTARA
Oleh:  Sajian Dapur Bonda
 
Bahan-bahannya:500 gram kacang mesin– Kak Noor beli yang telah siap
1 batang serai – dititik
1 kiub ayam
1 keping asam gelugor
4 sudu besar gula perang
Tambahan gula putih secukup rasa
Garam secukup rasa
Sedikit air
Planta + minyak untuk menumis – Lebihkan planta daripada minyak


Bahan-bahan B (digoreng tanpa minyak dan dikisar):
200 gram cili kering
3 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih
20 gram lengkuas - dihiris
10 gram halia muda - dihiris
Kunyit hidup 10 gram – dihiris
1 inci belacan - opsyen
50 gram hirisan serai
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-caranya:
1. Bahan-bahan B digoreng dahulu tanpa minyak lebih kurang selama 10 minit. Jangan sampai rentung. Ketepikan sehingga sejuk.
2. Masukkan bahan-bahan B yang telah digoreng tadi ke dalam blender bersama air secukupnya. Blend sehingga lumat.
3. Panaskan planta bersama minyak di dalam periuk. Tumis serai yang dititik. Bila naik bau, masukkan bahan-bahan B. Gunakan api sederhana. Tutup periuk. Masak sehingga terbit minyak.
4. Selepas terbit minyak, kacau rata. Masukkan gula perang+ gula putih, garam, kiub ayam, asam gelugor. Masukkan sedikit air dan kacau rata. Tunggu sampai kuah mendidih baru dimasukkan kacang kisar
5. Masak di atas dapur dengan api perlahan sehingga kuah kacang mendidih sekali lagi. Sekiranya pekat bolehlah ditambah air. 
6. Kuah kacang lebih sedap dimakan setelah semalaman dimasak.
 

4 Oktober 2014

CORETAN DI HARI RAYA AIDIL ADHA 1435 HIJRAH, BERAYA DI KUALA LUMPUR

Assalamualaikum semua.  

Dengan ingatan tulus ikhlas, terlebih dahulu Kak Noor menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, seandainya ada terkasar bahasa, tersinggung perasaan sepanjang Kak Noor berbicara di Sajian Dapur Bonda ini.  Semoga kita senantiasa dalam ampunan dan lindungan Allah.

Selamat Hari Raya 
AIDIL ADHA

Saat berderai jatuh
Titisan air mata suci IBRAHIM,
Melihatkan keteguhan iman anaknya ISMAIL,
Di kala itulah bermulanya sejarah agung
Erti sebuah PENGORBANAN


Hari Raya Adil Adha tahun ini Kak Noor dan famili beraya di Kuala Lumpur sahaja.  Pagi-pagi lagi anak perempuan yang bongsu, Asilah telah bersuara `Bosanlah ibu raya di sini.  Raya di rumah Acu best, ramai dan meriah. Ada Acu, Mak Tok, Acik, Shakirin, Darwisya, Damia, dan Aiman.  Acu adalah panggilan kepada bapa saudaranya iaitu adik lelaki bongsu Kak Noor yang tinggal di Bukit Mertajam.  Setiap kali kalau `balik kampung' di rumah Acu inilah yang Kak Noor tuju. Lagipun bonda pun tinggal dengan adik lelaki. 

Sebenarnya Kak Noor pun 50/50 nak balik ke tak balik.  Anak lelaki Kak Noor yang belajar di Dungun tak balik, sebab katanya sekejap sahaja cuti.  Lagipun banyak assignment, dan minggu hadapan study week, dah dekat nak final exam.  Okaylah Kak Noor accepted the reason.  Dulu kakaknya pun macam tu juga, tak balik raya haji sebab hampir exam. Tambahan pula sabtu minggu lalu anak lelaki yang nombor 4 itu kemalangan.  Baru keluar wad hari Isnin lalu dan masih dalam tempoh rawatan dan pemulihan.

Kasihan Asilah.  Sejak dua minggu yang lalu asyik bertanya, `Ibu balik tak raya.  Asilah doakan minta-mintalah ibu jadi balik raya. Raya rumah Acu seronok. Nak raya ngan Mak Tok dan Acu'. Budak-budakkan... dia rasa sunyilah tu.  Tak ada teman untuk bermain.  Kakak dan abang telah besar, masing-masing dengan haluan mereka.  Bila sesekali berkumpul dengan sepupu-sepupunya Asilah happy sangat. Bila tiba detik berpisah, mulalah sedih dan termenung sampai seminggu. Kadang-kadang menangis teringat Mak Tok dan sepupu-sepupunya.





Raya di KL ni, duduk rumah ajelah.  Makan-makan dan nonton rancangan TV. Macam Kak Noor taklah bosan sangat. Banyak lagi kerja yang masih berlegar dalam kepala ini yang perlu disiapkan. Salah satunya menyiapkan coretan ini.  Just nak share untuk hari raya ini Kak Noor masak lontong dan kuah kacang, dan untuk pemanis mulut pula, Kek Buah.  Dah berpuluh tahun Kak Noor tak pernah masak kek buah.  Kek Buah, one of my favourite! Selalunya beli saja bila teringin nak makan.  Since dah ada stok fruits Mix (brand nona), teruja pula nak mencubanya. 

Akhirnya terhasilnya kek buah.  Tidaklah sempurna kejadiannya, maklumlah 10 tahun sekali buat.  Mesti bereksperimen selalu, baru dapat hasil yang terbaik. 



Sampai di sini sahaja catatan Kak Noor.  Nak rehatkan diri sebab semalam `berperang' sehari di dapur menyiapkan juadah untuk hari ini.

Jumpa lagi di N3 yang lain.  Wassalam.

2 Oktober 2014

RESEPI PERIUK NOXXA: Daging Goreng Kunyit Campur Kentang dan Buncis

Assalamualaikum semua. 
Selamat menjamah juadah tengah hari. 

Tiada menu istimewa untuk hidangan tengah hari ini. Seboleh-bolehnya Kak Noor nak masak sesuatu yang ringkas tetapi sedap dimakan. Tak nak masakan berkuah. Kalau masakan berkuah jarang dihabiskan. So.. nak masak kering-kering saja dan dimakan bersama nasi panas. Sesekali membuka selera lauk macam ini.

Ada sedikit daging dalam freezer. Pagi tadi Kak Noor dah keluarkan untuk unfrozen. Ada dua tiga resepi dalam kepala ini. Tapi nak masak apa ye? Semalam dah cakap kat hasben nak masak kering-kering aje, nak makan bersama nasi panas.   

Finally, resepi Daging Goreng Kunyit menjadi pilihan. Dicampur dengan ubi kentang dan kacang buncis. Lengkap 2 in 1; lauk dan sayur. Masak guna periuk Noxxa, cepat empuk dagingnya. 

Apa kata kita tengok hasilnya dulu sebelum ke bahan-bahan dan cara-cara memasaknya.

Sedap dimakan bersama nasi panas.
Bahan-bahannya:
250 gram daging pinang – dipotong kecil
3 biji ubi kentang – dibuang kulit dan dipotong wedges
1/4 cawan air
1 biji bawang besar saiz besar – dihiris bulat
1 biji cili merah – dihiris serong
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar saiz sederhana – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
3 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-caranya:

1. Gaul daging dengan serbuk kunyit dan satu sudu kecil garam. Perap selama 30 minit.

2. Masukkan minyak ke dalam periuk dalaman. Tekan fungsi STIR-FRY dan `ON’. Tidak perlu tudung periuk. 

3. Apabila minyak telah panas, masukkan bahan-bahan tumis. Tumis sehingga bawang kekuningan.


4. Kemudian masukkan daging yang diperap tadi. Kacau sehingga bergaul rata. Masukkan sedikit air.

5. Off STIR FRY. Tudung periuk. Tekan fungsi HIGH PRESSURE 15 minit. Putar tombol ke arah PRESSURE. Tekan On.

6. Selepas 15 minit berlalu, daging pun empuk.  Bebaskan wap.  Putar tombol ke arah STEAM. Biar sehingga wap habis dibebaskan. Buka tudung dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula.



7. Masukkan ubi kentang. Tekan fungsi STIR FRY dan on. Kacau rata dan biar kuah kering sedikit. Kemudian masukkan kacang buncis, bawang besar, dan cili merah. Off STIR FRY.

8. Tekan fungsi STEAM selama 3 minit. Putar tombol ke arah STEAM. Tekan butang on.


9. Selepas 3 minit berlalu, daging goreng kunyit telah boleh dihidangkan.

1 Oktober 2014

PUDING ROTI MARBLE

Assalamualaikum.




Hari ini ingin dikongsi bersama resepi puding roti marble. Puding ini acap kali juga Kak Noor sediakan untuk keluarga sebab ia cukup mudah dan cepat disediakan. Bila ada lebihan roti di rumah yang hampir nak expired tu, dari membuang dan membazir, bolehlah kita gunakan untuk menyediakan resepi ini.



Tapi yang paling Kak Noor teruja untuk menyediakan resepi ini adalah disebabkan acuannya. Sekarang famous acuan ini di FB. Ramai rakan FB yang pos agar-agar, kek kukus, apam, dan puding menggunakan acuan ini. 





Acuan ini dibeli daripada rakan FB kita iaitu Aslindawati Aning, dari Sabah. Jauh tu di seberang. Walaupun jauh, tetapi cepat sampainya di Semenanjung. Hari Sabtu pos, hari Isnin tengah hari dah dapat... Kak Noor beli 12 pieces dengan harga RM35.00. Ada juga dijual dengan kuantiti yang kecil iaitu 4 pieces RM20.00. Pada mulanya nak beli 4 pieces aje tetapi bila difikirkan kembali rugi kalau beli 4 pieces aje. Tak pelah beli aje 12 pieces. Mesti ada yang teruja bila dibawa ke pejabat nanti. Memang betul, sampai aje acuan di pejabat, ramai kawan Kak Noor yang berebut nakkannya. Tinggallah pada Kak Noor 4 pieces aje. Ada yang tak dapat dan Kak Noor telah suruh mereka order sendiri daripada rakan FB kita.



Antara juadah yang disediakan mengguakan acuan ini.


Bahan-bahannya:
1 bungkus agar-agar tali berat 37.5 gram
5 cawan air
4 sudu besar gula pasir
4 jenis pewarna  - (Kak Noor guna warna biru, hijau, oren,  dan merah)


Bahan-bahan diblend:
5 keping roti sandwich Gardenia
1 tin susu sejat
7 susu besar susu manis pekat
3 sudu besar serbuk koko/serbuk milo
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla

Penyediaan sebelum diblend:



Rendam 5 keping roti sandwich Gardenia bersama 1 tin susu sejat sehingga roti menjadi lembut. (lebih kurang 10 minit).  




Setelah lembut,  masukkan ke dalam blender bersama susu manis, koko/milo, telur, dan esen vanilla.  Blend sehingga hancur.


Cara-cara Memasaknya:



1.  Basuh agar-agar terlebih dahulu.  Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama 5 cawan air.  Masak sehingga agar-agar larut.  Kemudian masukkan gula dan masak sehingga gula larut.




2.  Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi ke dalam periuk agar-agar.  Gunakan api perlahan.  Kacau dan masak sehingga mendidih.  Matikan api.

3.  Asingkan adunan yang telah dimasak tadi ke dalam 5 mangkuk. Warnakan ikut citarasa masing-masing (4 pewarna + 1 adunan asal).  Selang-selikan warna dalam acuan.

4.  Sejukkan dalam peti ais sebelum dimakan.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang