Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

31 Oktober 2015

Ketam Bunga Masak Lemak Kuning Dengan Nanas

Assalamualaikum.



Syukur Alhamdulillah... Ini saja yang sempat dimasak untuk juadah tengah hari ini. Ketam masak lemak kuning dengan nanas, dimakan bersama nasi putih. Request from En. Hasben. Pagi-pagi lagi dah ke pasar tani Setiawangsa membeli ketam bunga. Empat ekor RM45. Hasben kata kena makan dengan kulit kulit sekali sebab harga termasuk kulit ketam. 

Kalau ikutkan selera sendiri, nak masak kari ketam tumis darat, stail utara. Kuah kari ketam ini sedap, boleh dibuat untuk cicah roti. Tapi Encik Hasben suruh masak lemak kuning. Ok.. layan ajelah. Lagipun kalau ketam ini Kak Noor lebih suka kepada portion kaki besarnya yang ada kepit tu. Sedap dan manis isinya.

Resepi Masak Lemak Ketam Nanas
oleh: sajiandapurbonda


Bahan-bahannya:
4 ekor ketam bunga - seekor dibelah 2.
1 batang serai - dititik
Santan cair 3 cawan - (1 cawan santan pekat KHALIS + 2 cawan air)
Santan pekat sawit KHALIS 2 cawan.
1/2 biji nanas manis - dihiris kecil
1 batang cili merah - dibuang biji dan dibelah 4

Bahan-bahan dikisar lumat:
1 biji bawang besar (saiz besar guna 1, saiz kecil guna 2)
Kunyit hidup secukupnya
1 cawan air

Cara-caranya:
1. Masukkan ketam bersama bahan-bahan yang telah dikisar, serai, dan santan cair di dalam periuk. Masak sehingga kuah mendidih dan ketam bertukar warna.
2. Kemudian masukkan pati santan, diikuti dengan nanas dan cili merah yg dibelah empat. Perasakan dengan garam dan gula.
3. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ketam masak sepenuhya.

30 Oktober 2015

Resepi Periuk Noxxa: Bubuq Asyura Stail Utaqa

Assalamualaikum dan Selamat Bercuti dan Bersantai di Hujung Minggu.


Pagi ini sebelum Kak Noor masuk ke dapur untuk menyediakan juadah untuk makan tengah hari, nak kongsikan dulu resepi Bubur Asyura stail Utaqa menggunakan periuk Noxxa. Seperti tahun-tahun lalu, Kak Noor memasak bubur asyura ini secara sendirian berhad di rumah. 


Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum bahawa Hari Asyura adalah hari yang ke-10 dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram. Asyura berasal daripada perkataan Arab `Asyara' yang bermaksud sepuluh. Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.


Pada tahun lalu masak dalam kuantiti yang banyak sebab berniat nak berikan kepada semua kawan pejabat dan jiran tetangga. Masa tu Kak Noor guna dua bungkus @ 500 gram tepung beras. Kacau pula di dalam kuali. Ambil masa yang lama juga untuk kacau, lebih kurang 2 jam. 



Pada mulanya teragak-agak juga nak buat sebab tak berapa sihat. Tapi semua bahan telah dibeli, kalau tidak dibuat, alamatnya tak buat terus le... sampai tahun hadapan. Resepi ini adalah dalam kuantiti yang sedikit; makan untuk keluarga dan bolehlah dirasai bersama oleh jiran-jiran terdekat. 


Kebiasaannya Kak Noor masak bubur asyura stail Utara. Lagipun Kak Noor orang Utara, sejak dari kecil lagi, bonda selalu masak bubur asyura stail ini. Banyak campuran kekacang digunakan seperti kacang hijau, kacang ketupat (kacang duduk), kacang merah ABC, dan kacang merah kecil. Rasanya manis. 

Bagi rakan-rakan yang memiliki periuk NOXXA, bolehlah ikut resepi ini. Lebih mudah dan cepat dimasak. Penerangan dan langkah-langkah ada pada setiap gambar.


RESEPI BUBUR ASYURA NOXXA 
(VERSI UTAQA)

Bahan-bahan A:
2 cawan tepung beras
3 cawan santan sawit KHALIS
Sedikit garam
1 cawan gula pasir } masak guna 
2 ketul gula kabung } 1 cawan air

Bahan-bahan B:
1 biji keledek oren (anggaran 500 gm)
1 cawan kacang hijau
1 cawan kacang merah ABC
1 cawan kacang merah kecil
1 cawan kacang ketupat (kacang duduk)
1 tin jagung berkrim
1 tongkol jagung 
10 biji pisang emas
3 sudu besar sagu biji 
2 helai daun pandan

Persediaan awal bahan-bahan:


1. Masak dua ketul gula kabung dengan 1 cawan air dengan api perlahan. Setelah larut, masukkan gula pasir dan masak sehingga larut. Ketepikan. 


2. Ubi Keledek dikupas kulit dan dipotong dadu kecil.


3.  Setongkol jagung – diambil isinya

4. Pisang emas dipotong dadu.

5. Sagu biji direndam selama 5 minit, 
kemudian dibersihkan dan ditoskan.


6. Kacang hijau, kacang merah ABC, kacang ketupat, 
dan kacang merah kecil dibasuh dan diketepikan.


7. Bahan A disatukan dan digaul rata.
Kemudian masukkan ke dalam blender dan dikisar sehingga semuanya sebati (kaedah ini lebih mudah digunakan untuk mendapatkan adunan yang halus dan tidak berketul)

Cara-cara Memasak Menggunakan Periuk NOXXA:

1. Masukkan kacang hijau, kacang merah ABC, kacang merah kecil dan kacang ketupat di dalam inner pot. Tuang 1 cawan air. Tutup periuk dan halakan tombol kepada `PRESSURE’. Set butang `HIGH PRESSURE’ selama 15 minit dan tekan `ON’. Selepas 15 minit periuk akan berbunyi `BEEP’. Bebaskan tekanan dengan memusing tombol ke arah `STEAM’. Biarkan wap habis dikeluarkan supaya tudung periuk boleh dibuka. Tekan `OFF’.

2. Masukkan ubi keledek dan tutup periuk. Halakan tombol kepada `PRESSURE’. Set butang `HIGHT PRESSURE’ selama 3 minit dan tekan `ON’. Selepas masak, bebaskan tekanan. Tekan `OFF’.

3. Selepas itu masukkan bahan-bahan A yang telah dibancuh dan diblend halus bersama-sama jagung krim, isi jagung, sagu, pisang, dan daun pandan. Kacau rata menggunakan senduk kayu. Tekan butang `STIR FRY’ dan tekan `ON’. Semasa proses stir fry, periuk tidak perlu ditutup. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan tidak melekat pada periuk. Selepas masak, tekan butang `OFF’.  Tuang adunan ke dalam loyang atau acuan yang disukai.

SELAMAT MENCUBA

21 Oktober 2015

RESEPI PERIUK NOXXA: Bingka Cheese Sarawak

Assalamualaikum.

Malam ini terasa terajin pula nak masuk dapur walaupun jarum jam telah menunjukkan pukul 10.00 malam. Biasanya pada waktu-waktu begini dah malas masuk ke dapur (chef dah tamat kerja dan restoran dah tutup). So sesiapa yang lapar dan rasa nak makan lagi tu... pandai-pandailah self sevice ye! Semua dah tersedia kat dapur tu.




Dari jam 9.00 malam tadi dok layan resepi-resepi yang diuploadkan dalam telefon bimbit. Mula-mula ingat nak buat kek, tapi baru minggu lalu saja buat kek. Nanti tak ada siapa yang nak makan sebab dah `immune’ dengan menu kek. So beralih pula ke resepi apam mekar. Teruja dengan apam mekar yang ditayangkan oleh Niluh Atik dalam FB, dan memang dah tanam niat untuk cuba membuatnya. Tetapi memandangkan proses membuatnya mengambil masa, dan ada bahan yang tiada, terpaksalah hold dulu. Terfikir juga pukul berapa nak selesai? Pukul berapa pula nak tidur? Esok perlu bangun awal untuk pergi kerja.   Sebelum dikukus perlu tunggu adunan apam naik terlebih dulu.




Belek punya belek resepi sampailah ke jam 10 malam. 1 jam menggeledah puluhan resepi, masih tak jumpa-jumpa dan berkenan di hati. Aduhai.... apapun malam ni mesti nak masak juga sesuatu yang boleh dibuat kudapan anak-anak untuk esok. Nak masak sesuatu yang simple dan cepat dimasak.





Oh ye baru teringat hari itu berkobar-kobar bebenor nak masak bingka guna periuk tekanan serba guna NOXXA. Memang cukup teruja dengan pelbagai resepi bingka yang diposkan oleh Cik Kiah Kicen (CKK) dalam FB. Nampak mudah dan cepat dimasak. Semua resepi dah siap save dalam telefon bimbit. Siap buat folder khas lagi untuk resepi NOXXA. Tapi nasib tak baik, tengah bersemangat nak buat hari itu, periuk pula buat hal, tiba-tiba tak nak nyala. Terpaksalah hantar kepada pihak AMWAY untuk dibaiki. Minggu lalu dah dapat balik dan terus simpan di dalam kotak.  Sebulan jugalah tak masak guna periuk Noxxa.   Rindu pula.





Kalau nak cepat masak bolehlah guna periuk noxxa untuk bakar Bingka Cheese Sarawak ini. Bahan-bahan yang digunakan pun ada. Cuma cheesenya saya guna Cheese Tortura. Memang ada stok cheese tortura, takut expired pula kalau dah lama disimpan dalam peti sejuk.






Kalau dilihat bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Bingka Cheese Sarawak ini, ada kelainannya sebab ia menggunakan tepung jagung, larutan agar-agar, dan penggunaan butter dan cheese. Kebiasaannya untuk bingka, digunakan tepung gandum atau tepung beras dan santan sahaja. Disebabkan kelainan inilah, maka Kak Noor ingin cuba membuatnya.




Hasilnya memang marvellous. Teksturnya lembut dan halus. Ada kelainan rasanya daripada bingka-bingka yang pernah dimakan. Dengan menggunakan periuk NOXXA, kita hanya memerlukan masa 25 minit untuk memasaknya. Cepatkan...

So jom cuba resepi ini yang diedit oleh CCK istimewa untuk pengguna-pengguna periuk NOXXA. Seperti biasa Kak Noor olahkannya mengikut citarasa dan kefahaman Kak Noor.

BINGKA CHEESE SARAWAK
Rujukan Resepi Khas Untuk Periuk Noxxa: Diedit oleh rakan FB Cik Kiah Kicen (CKK)
Diolah oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahan A:

15 gram agar-agar bertali
3 cawan air (sukatan guna cawan arcoroc putih)
1 cawan gula pasir

Bahan-bahan B:
250 gram butter – jenama apa pun boleh
250 gram cream cheese tortura
½ tin susu pekat manis
1 ½ cawan tepung jagung
3 biji telur ayam omega
1 sudu teh butter vanilla

Cara-caranya:

1. Basuh agar-agar dan masak dengan tiga cawan air sehingga larut. Bila telah larut masukkan gula. Masak sehingga gula larut. Ketepikan, biarkan panas agar tidak mengeras.
2. Sementara agar-agar dimasak di atas dapur, bolehlah masukkan telur di dalam mangkuk mixer dan pukul sehingga kembang. Selepas kembang, masukkan butter dan susu. Pukul rata.
3. Masukkan tepung jagung, cream cheese, dan butter vanilla. Pukul sehingga sebati.
4. Masukkan bahan A yang masih panas tadi dan dipukul laju (kelajuan maksimum) sehingga sebati.
5. Kemudian masukkan adunan ke dalam inner pot noxxa. Guna fungsi steam 25 minit.  Putar tombol di atas ke arah steam.
6. Selepas 25 minit berlalu, bingka pun telah masak.  Buka tudung periuk dan biarkan  selama 5 minit.  Kemudian keluarkan inner pot daripada periuk.  Jangan dibiarkan lama di dalam periuk, ditakuti rentung pada dasarnya. Sejukkan di luar. Bila sejuk bolehlah dipotong


# Untuk sukatan cawan, guna cawan arcoroc putih.

20 Oktober 2015

Ayam Masak Madu Mamak

Assalamualaikum dan selamat tengah hari kepada rakan-rakan yang selalu mengunjungi dapur Kak Noor untuk mendapatkan resepi-resepi terkini Sajian Dapur Bonda.
 



Sejak seminggu dua minggu ini rasa tak sedap sangat badan ini.  Sekejap rasa sejuk, dan sekejap rasa panas.  Lidah pun rasa pahit dan meloya tekak ini,  Makanpun  kurang berselera.  Mungkin disebabkan faktor usia yang bakal mencecah five series tidak lama lagi ataupun mungkin disebabkan keadaan jerebu yang tidak menentu. Anak perempuan Kak Noor yang bongsu pun tak berapa sihat.  Mempumyai simptom yang sama.  Tapi nasib baiklah diisytiharkan cuti sekolah.  Dapatlah dia merehatkan diri di rumah.
 

 

Bila badan dah tak sihat, nak melangkah masuk ke dapur pun rasa berat dan malas.  Kalau boleh nak beli lauk tunjuk-tunjuk aje.  Tapi tak kena dengan selera pula.  Bila dah tak sihat, selera pun turut terbantut. Apapun yang sedap ditayang di depan mata, tidak membangkitkan selera.  Mahu tak mahu, gagahkan juga diri ini masuk ke dapur, walaupun hanya satu menu, cukuplah untuk santapan sekeluarga.  Lagipun Encik Hasben telah beli lauk-pauk stok untuk seminggu di pasar tani hari Sabtu lalu. So perlulah  berjimat cermat juga ye!
 
 
Anak-anak memang suka sangat kalau dimasak Ayam Masak Merah.  Tapi dah selalu sangat masak ayam merah ini.  So kali ini nak masak ayam masak madu mamak pula.  Ala-ala lauk kandar tu... membangkitkan selera dengan aroma tumisan daun kari. Lauk ini kalau makan dengan nasi panas-panas memang sedap.  Kalau rajin bolehlah goreng papadom. 
 
Resepinya Kak Noor kongsi di sini.
 
Ayam Masak Madu Mamak
oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:1.5 kg. ayam organik
1 biji bawang besar – dihiris bulat
3 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar madu
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar perasa TUMIX berkuah
Garam
Air secukupnya


Bahan-bahan B (ditumis):
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari


Bahan-bahan C (dikisar):
1 biji bawang merah saiz besar
5 ulas bawang putih

Cara-caranya:
1. Ayam digaramkunyitkan, kemudian digoreng hingga masak (jangan sampai garing).
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan B diikuti dengan bahan-bahan C.
3. Bila telah naik bau, masukkan cili kering kisar. Gunakan api sederhana dan biar cili mereneh di atas dapur sehingga terbit minyak. Kalau nak cili cepat masak, boleh tutup kuali.
4. Selepas cili masak, masukkan sos tiram, madu, gula perang, garam, perasa TUMIX dan air secukupnya. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Masukkan ayam dan serbuk lada hitam. Kaupbalikkan dan gaul rata. Masak sehingga kuah pekat sedikit.
6. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar. Gaul rata dan bolehlah ditutup api.
7. Semasa menghidang bolehlah ditabur sedikit daun kari di atasnya.

17 Oktober 2015

Puding Laici Keju Kastard

Assalamualaikum.



Selamat malam semua. Sejak siang tadi dah plan nak buat puding laici ini tapi tak sempat sebab sibuk mengemas rumah. Cuma waktu malam baru ada kelapangan. Kak Noor baru saja selesai masak puding laici. Sementara menunggu puding sejuk sebentar sebelum dimasukkan ke dalam peti ais, sempatlah Kak Noor update blog ini. 


Puding laici ini Kak Noor letak cream cheese, menambahkan keenakan puding. Resepi asal menggunakan butter, tapi teringin pula nak eksperimen guna cream cheese. 


Kebiasaannya guna cream cheese untuk buat cheese cake. Tetapi kali ini eksperimen kat puding pula. Alhamdulillah, menjadi juga dalam suka-suka nak bereksperimen. Hasilnya lebih sedap, dan rasanya lemak berkrim.


So.... kalau nak cuba, bolehlah rujuk resepi di bawah.


Puding Laici Keju Kastard
Oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan A:
180 gm gula pasir
30 gm agar-agar stripe (agar-agar tali)
*5 cawan air - (sukatan guna cawan arcoroc putih)

Bahan B (dikisar menggunakan blender):
2 biji telur ayam Gred A
1 tin susu cair
2 sudu besar tepung kastard - (sukatan sudu metrik - 15ml)
1 tin buah laici
1 tin air laici
40 gram cream cheese tortura

Cara-caranya:
1. Masak agar-agar dengan air hingga larut. Kemudian masukkan gula.
2. Sementara itu blend bahan B kecuali cream cheese. Bila bahan B sudah sebati, baru dimasukkan cream cheese, dan kisar lagi hingga sebati.
3. Bila gula telah larut, masukkan bahan-bahan B yang dikisar tadi ke dalam larutan agar-agar. Guna api perlahan dan kacau sehingga mendidih dan pekat.
4. Tutup api, dan tuangkan ke dalam acuan pilihan. Biarkan sejuk sedikit, baru dimasukkan ke dalam peti ais.
5. Bila telah keras, bolehlah dipotong.

* Sukatan Air - 1 cawan Arocoroc putih bersamaan 3/4 cawan metrik dan 150ml air.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang