Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

28 November 2015

Menu di Hujung Minggu, Asam Pedas Tumis Sotong

Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari terutama sekali kepada ibu-ibu yang sedang memikirkan apakah menu yang ingin dimasak untuk keluarga di hujung minggu ini.



Seperti ibu-ibu yang lain pada setiap hujung minggu, Kak Noor mesti memikirkan apakah menu tengah hari yang hendak dipersembahkan untuk keluarga . Seperti biasa pada setiap hari Sabtu Encik Hasben akan ke pasar tani membeli lauk-pauk untuk bekalan seminggu. Ada sotong, ayam, dan udang. Ikan jarang sangat dibeli sebab anak-anak tak berapa gemar ikan. Ikan sekarang pun dah mahal, kalau masak tetapi tidak dimakan akan terbuang begitu sahaja. Dah kira membazir tu.





Kak Noor jarang ke pasar tani ini sebab kalau dah ikut Encik Hasben, round lama di pasar tani tu... Biasalah orang perempuan ini, nak tengok tu, nak tengok ni, nak belek dulu barang sebelum membeli, dan kadang-kadang membeli barang yang tiada dalam list pun. Bila balik rumah dah letih, tak larat ke dapur. Last sekali beli lauk di gerai aje. So better Encik Hasben aje pergi. Isteri pesan sahaja apa yang hendak dibeli. Encik Hasben ni kalau pergi membeli cepat balik. Beli ikut apa yang kita pesan saja. Kan senang gitu.


Teringin pula nak makan asam pedas. Agak lama menu ini tidak muncul di persada blog ini. Tapi kali ini Kak Noor nak cuba masak Asam Pedas Sotong. Mula-mula rasa musykil juga nak masa asam pedas sotong ini, mungkin tak pernah orang masak. Tetapi bila Kak Noor google, ternyata ada menu asam pedas ini.




Resepi Asam Pedas Tumis Sotong
Oleh: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
10 ekor sotong – saiz sederhana besar
2 senduk nasi cili kering yang telah dikisar lumat
Beberapa tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan 
2 batang serai diketuk
2 biji tomato – dipotong wedges
½ sudu teh serbuk jintan manis
½ sudu teh serbuk jintan putih
½ sudu teh serbuk lada hitam
1 kiub ikan bilis
1 sudu besar pes asam jawa – (Kak Noor guna pes asam jawa Xtra Adabi)
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
½ sudu teh halba
1 tangkai daun kari

Bahan-bahan dikisar halus: (Saya menggunakan chopper blender)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
½ inci belacan
½ inci halia
½ inci kunyit hidup

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan tumis dan serai sehingga terbit aromanya. Masukkan bahan-bahan yang dikisar halus dan masak sekejap. Kemudian masukkan cili kering kisar. Masak menggunakan api sederhana dan biar cili mereneh sehingga terbit minyaknya (pecah minyak).
2. Bila telah terbit minyak, masukkan serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk lada hitam, kiub ikan bilis, dan pati asam jawa. Kacau rata sekejap dan kemudian tuang air secukupnya (tidak perlu air yang banyak sebab sotong akan mengeluarkan siar juga). Masak sehingga kuah mendidih.
3. Masukkan sotong diikuti dengan dengan daun kesum dan bunga kantan. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Biarkan kuah mereneh sekejap sehingga naik kemerah-merahan.
5. Akhir sekali masukkan tomato dan terus tutup api agar tomato tidak layu sangat. Hidangkan bersama nasi panas.

27 November 2015

Nasi Goreng Bonda, sarapan pagi untuk keluarga di hujung minggu

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

Hari ini hari Sabtu. Bagi ibu-ibu yang bekerja lima hari seminggu, hari ini adalah waktu untuk bersama keluarga. Tentu pagi-pagi lagi ibu telah bangun untuk menyediakan sarapan pagi untuk keluarga. Cuma cuti hujung minggu sebegini sahaja semua ahli keluarga dapat berkumpul semeja untuk bersarapan bersama.


Tak terkecuali juga Kak Noor. Pagi ini Kak Noor cuma sediakan nasi goreng untuk keluarga. Semalam En. Hasben tolong masak nasi sebab nasi dah habis. Kesian pula kepada anak-anak yg belum dinner lagi. Pagi ni tengok nasi di dalam periuk tidak terusik pun. Bila tanya nape x makan nasi, masing-masing jawab diet x nk makan masi malam.


So pagi ini buat nasi goreng ajelah untuk breakfast. Sebelanga tu....silap haribulan boleh sampai lunch ni. So tak yahlah ibu masuk ke dapur lagi. Kasi langsai nasi goreng tu dahulu baru ibu masak. Ibu nak mentelaah di depan komputer pagi ini. Update apa-apa yang patut sebab dah lama sepi tanpa berita.



Nasi goreng ini resepinya pakai campak-campak aje.  Guna bahan-bahan yang sedia ada di dalam peti ais.  So tak tahu nak bagi tahu nasi goreng apa, cuma disebabkan resepi nasi gorengini  menggunakan kreativiti Kak Noor, maka dinamakan Nasi Goreng Bonda.  Sebenarnya nasi goreng ini sesiapa pun boleh buat, tak perlu resepi pun. Rasanya tak perlulah Kak Noor letakkan resepi yang lengkap untuk nasi goreng ini.  Bahan-bahannya boleh pakai agak-agak aje.



Resepi Nasi Goreng Bonda
oleh:  Kak Noor Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
  • Nasi semalam yang tak habis tu...  (jangan guna nasi semalam yang dah basi pula)
  • Ikan bilis gred A yang bila digoreng, garing jadinya dan tak liat - dibasuh dan ditoskan (separuh digunakan untuk menumis, dan separuh lagi digoreng untuk taburan semasa menghidang).
  • Beberapa batang sosej - Ikut citarasa masing-masing, tak terhad berapa batang sosej.  Sosej ini digoreng terlebih dahulu, kemudian dipotong ke bahagian kecil.
  • 1 biji bawang besar - dihiris untuk ditumis
  • 3 ulas bawang putih - dicincang kasar
  • Sedikit lebihan sambal tumis atau sambal belacan.
  • Beberapa biji telur - (Kak Noor guna 3 biji telur dan juga lebih putih telur yang ada.   Putih telur ini Kak Noor asingkan semasa membuat biskut yang hanya menggunakan kuning telur. Letak di dalam bekas dan simpan di dalam peti ais.   Nak guna ambil.  Tak membazir kan.. ada gunanya)
  • Nak lebih sedap boleh guna perencah Nasi Goreng Cina Seri Aji.  Tak guna pun tak apa.  Ini opsyen.  Kak Noor guna sebab dah ada, guna ajelah...
  • Beberapa biji cili padi - dipatah-patahkan sahaja (Ikut citarasa kepedasan masing-masing, kalau memang extreme pedas, letaklah banyak-banyak).
  • Hirisan daun sup
  • Minyak, garam, dan gula secukupnya.  Agak-agak aje...

Cara-caranya:
  • Terlebih dahulu gaul nasi goreng bersama sambal tumis semalam @ sambal belacan,  garam dan gula secukupnya sehingga semuanya bergaul rata - Cara ini digunakan oleh bonda dan nenek Kak Noor. 
  • Panaskan minyak di dalam kuali secukupnya.  Masukkan ikan bilis terlebih dahulu dan goreng sehingga separuh garing.  Kemudian masukkan hirisan bawang besar dan bawang putih dan tumis sehingga bawang bertukar kekuningan.
  • Masukkan  telur dan kacau sehingga telur menjadi seperti scrambled eggs.
  • Kemudian masukkan nasi, diikuti dengan perencah Nasi Goreng Cina Seri Aji. Masukkan juga sosej yang telah digoreng tadi.
  • Kaupbalikkan nasi sehingga semua bahan dan perencah bergaul rata.  
  • Beberapa minit sebelum ditutup api, masukkan cili padi dan hirisan daun sup.  Gaul rata dan bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.
  • Semasa menghidang,  kalau nak lebih meriah nasi goreng tu..  bolehlah tabur ikan bilis goreng.
Selamat Mencuba.



Homemade Cookies Sajian Dapur Bonda: White Chocolate Cranberry Crunchy Cookies -

Assalamualaikum.



White Chocolate Cranberry Crunchy Cookies atau dalam terjemahan bahasa ibunda kita,  Biskut Rangup Cranberry Coklat Putih. Dah terbiasa dengan nama biskut omputih ni, bila diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia, rasa macam tak berapa sesuai dan tak berapa sedap pula bila disebut. 



Walau bagaimanapun kita mesti memperkayakan bahasa kita, `Cintailah Bahasa Kita'. Mungkin pada mulanya kita rasa janggal, tetapi lama-kelamaan akan jadi biasa. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Kalau selalu kita gunakannya, lama-lama pasti sedap didengar.


Hari ini Kak Noor nak kongsi salah satu Biskut ini adalah salah satu produk Biskut Homemade Sajian Dapur Bonda. Memang rangup dan enak. Telah dua tahun berturut-turut Kak Noor menerima tempahan biskut ini daripada pelanggan sama ada yang tinggal di Kuala Lumpur atau di luar Kuala Lumpur. Rata-rata maklum balas yang diterima amatlah memberangsangkan. Mereka berpuas hati dengan kerangupan dan keenakannya.   Bagi sesiapa yang berminat untuk menempah biskut ini bolehlah tinggalkan komen di kolum ulasan ataupun wa/sms Kak Noor di 0162890412.



Dengan menggunakan dua hingga tiga titik esen perasa cranberry, biskut ini berbau
harum semasa dibakar,  Aroma biskut ini amat membangkitkan selera.  


Bahan-bahan A:
150gm mentega
100 gm gula kastor
50 gm gula perang
1 biji telur ayam Gred A
3 titik teh esen perasa cranberry
100 gram coklat bar putih – disagat atau dipotong kecil @ coklat cip putih
50 gm badam flakes @ badam cincang
50 gram cornflakes – diramas kasar
100 gram buah cranberry kering – dipotong kecil
Buah cranberry kering untuk hiasan (ospyen)

Bahan-bahan B (diayak bersama):
200 gm superfine flour @ tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar susu tepung Everyday
1 sudu kecil emplex 
                 
Cara membuatnya:
1. Pukul mentega bersama gula kastor dan gula perang sehingga kembang menggunakan mixer.
2. Masukkan telur dan esen cranberry. Pukul lagi.
3. Masukkan bahan B dan mix sehingga adunan bergaul rata. 
4. Masukkan coklat putih, badam, buah cranberry, dan cornflakes. Gaul adunan menggunakan spatula atau senduk kayu sehingga semuanya bergaul rata.
5. Masukkan adunan 1/2 jam di dalam peti sejuk sebelum membentuknya.
6. Alas dulang pembakar dengan baking paper. Dengan menggunakan sudu, bentukkan adunan dan susun di atas dulang pembakar.  Jika suka, bolehlah diletak buah cranberry kering di atasnya (opsyen). 
7. Panaskan oven terlebih dahulu selama 10 minit dengan suhu 150C.  Kemudian baru dimasukkan adunan ke dalam oven dan bakar selama 20 – 25 minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven yang digunakan).
8. Bila biskut telah masak, keluarkan daripada oven dan biarkan sebentar selama 1 minit sebelum dipindahkan ke rak untuk penyejukan sepenuhnya.
9.  Apabila biskut telah sejuk, simpan di dalam bekas kedap udara. 


Nota:
Bagi langkah No. 1 – 3 menggunakan mixer.
Bagi langkah No. 4 menggunakan spatula .

Kuih Keria, faveret sejak dulu dan selama-lamanya.

Assalamualaikum.


Seingat Kak Noor boleh dikira jari berapa kali saja kuih keria ini pernah dibuat oleh Kak Noor sejak berkahwin 26 tahun lalu. Lebih kerap dibeli di kedai untuk sarapan pagi dan minum petang. Kuih keria ini merupakan kuih faveret Kak Noor sejak kecil lagi. Kriteria kuih keria yang menjadi faveret Kak Noor mestilah teksturnya rasa lebih ubi dan disalut oleh banyak gula. Hmm... sedap tu.... lupa diet seketika. 



Walaupun nampak mudah dibuat, tetapi sekiranya resepi yang digunakan tidak betul, maka hasilnya tentu tidak menepati citarasa. Tetapi Kak Noor tengok orang dulu-dulu tak ikut resepi sangat. Pakai agak-agak aje bancuhannya. Mungkin dah selalu buat; alah bisa tegal biasa.




Tapi Kak Noor taklah seterror orang dulu-dulu tu. Masih dok rujuk resepi sebab masih tak konfiden nak guna sukatan agak-agak tu.  Takut terlajak lembik atau terlajak keras bancuhannya. Untuk lebih konfiden Kak Noor layari You Tube untuk mendapatkan resepi Kuih Keria ini daripada Video Try Masak. Mudah belajar daripada video ini. Ada step by step dan mudah diikuti. Resepi ini Kak Noor salin semula daripada Video Try Masak.



Resepi Kuih Keria
Rujukan:  Video – Try Masak
Dicuba oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
2 biji ubi keledek merah direbus sehingga empuk (lebih kurang 900 gram)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil tepung ubi
Garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng
100 gm gula
60 gm air

Cara Membuatnya:
1.  Mula-mula lenyek ubi keledek yang telah direbus sehingga lumat.
2. Kemudian masukkan tepung gandum, tepung ubi, dan sedikit garam. Gaul rata sehingga menjadi doh yang lembut.
3. Selepas itu ambil sedikit doh, bentukkan bulat dan buat lubang kecil di tengahnya seperti donut.
4. Ulangi langkah ini sehingga semua doh habis dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak.

Penyediaan Sira Gula:
1. Masukkan air dan gula di dalam kuali dengan api yang sedikit kuat masak sehingga pekat tanpa perlu dikacau.
2. Setelah pekat, tutup api dan kacau selama 10 saat. Selepas itu masukkan kuih keria yang telah digoreng tadi sambil digaul sehingga gula menjadi keras dan rangup.
3. Kuih keria sedia dihidang. 

Sambal Manis, Kombinasi Tauhu & Sosej

Assalamualaikum dan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi singgah di blog Sajian Dapur Bonda ini.

Malam ini Kak Noor luangkan masa di hadapan komputer. Nak update beberapa menu untuk dikongsi bersama. Menu ini Kak Noor masak tengah hari tadi. Sambal manis, kombinasi tauhu dan sosej boleh menghasilkan satu menu yang ringkas, tetapi tetap membuka selera anak-anak. Pada mulanya plan nak masak sambal manis tauhu sahaja, tetapi bila buka peti ais tengok tauhu yang dibeli semalam hanya tinggal empat keping sahaja. Tak payah siasat siapa yang ambil. Kalau dah terkurang tu, siang-siang dah tau kerja Encik Hasben la.. yang memang suka makan tauhu mentah ni!



Terpaksalah siibu fikir altenatif lain untuk memeriahkan lagi lauk ini. Nasib baik semalam beli empat paket sosej untuk dibuat roti sosej. Itulah jalan penyelesaiannya. Campur sosej aje dalam sambal manis ini. Memang faveret anak-anaklah sosej ni. Sosej ini digoreng sama seperti tauhu sebelum dimasukkan di dalam sambal. Menu ini rasanya pedas-pedas manis.

Kebiasaannya sosej akan clear dahulu tak sampai ke malam, projek meratah sosej oleh anak-anak. Tak makan nasi, tapi ratah sosej aja. Banyak mana letak sosej pun tak akan cukup. Tinggallah tauhu terkonteng-konteng, dimakan oleh siibu dan siayah. Baru sekejap tadi, sibongsu sound beritahu sosej dah habis. Nasib baik kuah masih banyak lagi. Bangunlah siibu ke dapur untuk menggoreng sosej lagi dan dimasukkan ke dalam kuah dan panaskan kembali.


Resepi Sambal Manis Tauhu & Sosej
Oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
4 keping tauhu - dipotong empat setiap keping
1 paket sosej Ayamas - 1 batang sosej dipotong 3
1/2 biji tomato - dipotong kiub
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
1 sudu kecil perencah TUMIX kuah
Garam secukup rasa
1 cawan air
Minyak secukupnya

Bahan-bahan dikisar lumat:
3 senduk nasi cili kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 cawan air

Cara-caranya:
1. Terlebih dahulu goreng tauhu dan sosej sehingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan kacau rata. Guna api sederhana dan masak mereneh cili sehingga terbit minyak. Tutup periuk bagi mengelakkan cili terpercik keluar.
3. Selepas terbit minyak, masukkan 1 cawan air. Kacau rata.
4. Masukkan tomato, sos cili, sos tomato, sos tiram, kicap manis, gula perang, gula putih, perencah TUMIX dan garam secukup rasa. Gaul rata dan masak sehingga kuah mendidih sekali lagi.
5. Selepas kuah mendidih, bolehlah dimasukkan tauhu dan sosej yang digoreng tadi. Kacau rata dan biarkan beberapa minit di atas dapur, barulah ditutup api.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Roti Pertamaku, Roti Sarang Lebah @ Bee Hives Bun

Assalamualaikum.

Roti Sarang Lebah atau dalam bahasa omputihnya `Bee Hives Bun'. Roti ini telah menjadi fenomena masa kini di kalangan chef-chef roti yang termasyhur dan tidak kurang juga di kalangan `chef yang bertaraf amatur'. 


Ramai juga kawan-kawan yang bukan bertaraf chef dapat menyediakan roti ini dengan begitu baik sekali. Gambar roti yang diposkan bisa bikin orang yang melihatnya terasa akan kesedapan dan keenakan roti tersebut. Dan... tidak secara langsung orang yang zero knowledge dan tidak pernah membuat roti selama ini pun ingin mencuba membuatnya.




Bagi sesiapa yang tidak pernah menghadiri kelas membuat roti, maka resepi yang dikongsi dalam FB atau blog oleh rakan-rakan yang telah mahir membuat roti menjadi rujukan. Ada juga di kalangan rakan-rakan FB dan blogger yang rajin memuatkan resepi berserta gambar dan langkah-langkah membuatnya.  Ini telah banyak membantu dan memudahkan rakan-rakan yang masih baru nak bereksprimen dengan roti. 

Doh yang telah naik

Di samping itu terdapat video cara-cara membuat pelbagai jenis roti yang diuploadkan dalam You Tube yang boleh menjadi rujukan kita. Walapun ada orang yang tidak pernah menghadiri kelas membuat roti, tetapi sekiranya minat itu tinggi, banyak yang boleh dipelajari daripada video-video ini. 


Seperti Kak Noor juga, tidak pernah menghadiri kelas membuat roti, apalagi membuat roti. Hari-hari mesti beli roti standby di rumah. Roti ini merupakan makanan asasi kedua selain nasi. Kekadang waktu kita tak selera untuk menjamah nasi, so kita akan beralih ke roti. 


Dalam usia mencecah 5 series ini barulah nak berjinak-jinak membuat roti. Itupun disebabkan rasa bersemangat apabila melihat rakan-rakan asyik mengepos aneka roti yang gebus gebass dalam FB dan blog. Inilah roti pertama yang Kak Noor cuba membuatnya, Roti Sarang Lebah, rujuk empunya resepi Norfadila ShamsawiII. 


Alhamdulillah, jadi juga roti akhirnya... Macam tak percaya dan terpegun sejenak apabila doh keluar daripada oven telah menjadi roti. Bertanya kepada diri sendiri, betulkah aku buat roti ini? Anak-anakpun turut terpegun melihat roti di hadapan mata mereka. Tak sangka ibu mereka dah pandai buat roti.


Insya-Allah pada waktu-waktu yang lain akan Kak Noor cuba membuat roti lain pula. Nak cuba buat roti sosej pula, request daripada anak-anak.  Hai... nak rujuk resepi siapa pula lepas ni?

Roti Sarang Lebah
Resepi asal: Norfadila Shamsawi II - FB
Diolah dan dicuba oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan A:
1 cawan air suam
1 sudu besar susu pekat
4 sudu besar gula
1 paket ragi segera (11 gm)

Bahan B:
1 biji telur
3 cawan tepung roti + 1 cawan tepung gandum
2 sudu besar butter
1 sudu teh bread softener
1 sudu teh cream K-Fine

Bahan C (Glis & Taburan):
Gliss (dibancuh):
1 biji telur
2 sudu besar susu cair

Taburan:
Secukupnya kuaci, bijan putih/hitam, biji labu, atau badam flakes

Sos Butterscoth:
2 sudu besar mentega
½ cawan gula perang
½ cawan susu cair
1 sudu teh esen butterscoth
1 sudu besar tepung gandum
(Dengan api sederhana, panaskan gula perang hingga cair. Masukkan bahan lain. Kacau laju. Masak hingga pekat)


Cara-cara Membuat Roti:
1. Bancuh dan rehatkan bahan A sehingga berbuih. Satukan bahan A dan B. Uli hingga elastik dan tidak melekat pada mangkuk mixer. Tutup dan rehatkan doh 40 – 45 minit. 
2. Tumbuk doh. Bahagikan doh sama berat. Bulatkan. Susun atas loyang yang digris (bagi ruang untuk doh naik). Tutup dan rehatkan doh 40 – 45 minit atau sehingga naik berganda.
3. Panaskan oven pada suhu 170C api atas bawah. Glis permukaan bun dengan bancuhan telur. Taburkan kuaci, bijan, biji labu, dan hirisan badam. Gliss lagi. Bakar selama 20 minit. 
4. Setelah masak, sapukan permukaan roti dengan mentega/margerin. Tuang sos butterscotch.

Resepi Roti Sarang Lebah Lengkap oleh Norfadila ShamsawiII

Variasi Mee Leper Goreng (Pedas dan Kicap)

Salam semua.

Just nak kongsi dengan kekawan semua resepi mee leper goreng ini.  Sebenarnya tak pernah makan dan tak pernah masak mee leper ini.  Mee leper ini Encik Hasben beli di pasar tani Setiawangsa, sebungkus RM3.00, produk muslim.   Tak tahu nak panggil mee apa sebab first time baru beli. Disebabkan bentuknya leper, kita panggil mee leper aje.

Sebungkus digoreng pedas dan sebungkus lagi digoreng kicap. Cara masakannya lebih kurang sama sahaja macam mee goreng biasa.  

Okay, kita tak payah cerita panjang-panjang.  Jom tengok kedua-dua resepi mee ini.  Resepi ini memang simple dan mudah.  Anak bujang pun boleh memasaknya.



Mee Leper Goreng (Pedas)
Oleh Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
1 bungkus mee leper - dibasuh dan ditoskan
Sotong secukupnya untuk rencah
1 senduk nasi cili kering
1 biji bawang besar - dicincang kasar
3 ulas bawang putih - diketuk
1 cawan air
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu kecil perencah TUMIX
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya

Hiasan Semasa Menghidang:
Cili merah - dihiris
Daun sup/daun bawang
Bawang goreng


Cara-caranya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan bawang bertukar kekuningan.
2. Masukkan cili dan kacau rata. Gunakan api sederhana dan biarkan ia mereneh sehingga terbit minyak. Kalau tidak mahu cili terpercik, tudung kuali.
3. Selepas terbit minyak, masukkan sotong. Kacau dan masukkan 1 cawan air. Masak sehingga kuah mendidih. Kemudian masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, gula, perencah TUMIX, dan garam secukupnya rasa. Kacau dan biarkan kuah mendidih sekali lagi. Sekiranya mahukan mee basah, bolehlah ditambah air lagi.
4. Akhir sekali masukkan mee leper dan kaupbalikkan sehinggal semua bergaul rata.





Mee Leper Goreng (Kicap)
Oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
1 bungkus mee leper - dibasuh dan ditoskan
Daging - dipotong kecil
1 biji tomato - dipotong wedges
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji cili merah - dihiris serong
1 senduk nasi cili kering
1 biji bawang besar - dicincang kasar
3 ulas bawang putih - diketuk
1 cawan air
Kicap manis secukupnya
Kicap masin secukupnya
1 sudu kecil perencah TUMIX
Minyak secukupnya


Hiasan Semasa Menghidang:
Telur rebus
Daun sup/daun bawang
Bawang goreng

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan bawang bertukar kekuningan.
2. Masukkan cili kisar dan kacau rata. Gunakan api sederhana dan biarkan ia mereneh sehingga terbit minyak. Kalau tidak mahu cili terpercik, tudung kuali.
3. Selepas terbit minyak, masukkan daging. Kacau dan masukkan 1 cawan air. Masak sehingga daging empuk. Sekiranya daging masih belum empuk, boleh tambah air. 
4. Selepas daging empuk, masukkan kicap manis, kicap masin, dan perencah TUMIX, Kacau dan biarkan kuah mendidih sekali lagi. Sekiranya mahukan mee basah, bolehlah ditambah air lagi. 
5. Akhir sekali masukkan mee leper dan kaupbalikkan sehinggal semua bergaul rata. 
6. Sebelum ditutup api masukkan tomato dan cili merah. Gaul rata dan bolehlah ditutup api. 
7. Semasa menghidang bolehlah diletakkan telur rebus, daun sup/daun bawang, dan bawang goreng.

21 November 2015

Menu Untuk Minum Petang: Cucur Jagung Ikan Bilis, rangup dan enak

Assalamualaikum.


Inilah juadah minum petang yang sempat Kak Noor sediakan untuk keluarga petang tadi. Rajin-rajinkan diri masuk ke dapur bila tekak ini rasa nak makan cucur jagung. Lagipun memang dah berkira-kira sejak semalam nak buat cucur jagung ini memandangkan dah seminggu tongkol jagung itu berada di dalam peti ais. Kalau tunggu lagi seminggu, alamatnya busuklah jagung tu. Membazirlah pulak kan.. 

Sebenarnya anak perempuan sibongsu request minta dimasak bubur jagung kegemarannya. Tetapi cuma ada dua tongkol jagung sahaja. Kalau masakpun tak cukup untuk sekeluarga makan, melainkan jika dicampur dengan gandum. Tetapi gandum pun tak ada.  Malas pula ke kedai untuk membeli. Tak apelah.. lain kali ibu masakkan. Hari ini kita makan cucur jagung dulu. Lagipun dah lama tak makan cucur jagung ni.

Cucur jagung ini Kak Noor masukkan sedikit ikan bilis supaya rasa enak lagi.  Kak Noor juga kurangkan penggunaan tepung supaya cucur ini lebih rangup dan sedap.


Cucur Jagung Ikan Bilis
Oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
3 cawan tepung gandum - diayak
2 tongkol jagung - dihiris isi jagungnya
Segenggam ikan bilis - direndam sehingga lembut, dibasuh dan ditoskan.
1 biji bawang besar- dicincang
2 biji cili merah - dihiris
1 sudu besar cuka masakan
2 sudu KFC perasa TUMIX
Garam dan gula secukup rasa
Air panas secukupnya untuk membancuh
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya:

1. Masukkan tepung gandum, isi jagung, ikan bilis, bawang besar, cili merah, garam, gula, perasa tumis, dan cuka di dalam bekas. Gaul rata semua bahan tadi.
2. Tuangkan air panas secukupnya dan gaul menggunakan sudu atau senduk sehingga semua bahan bergaul rata. Ketepikan 10 minit.
3. Panaskan minyak. Jemput adunan ke dalam kuali dan goreng sehingga kekuningan. Kalau nak cucur garing sedikit, lebihkan masa menggorengnya, tetapi jangan sampai rentung.
4. Toskan minyak sebelum dihidangkan.
5. Cicah dengan sos atau kuah kacang.

Selamat Mencuba.

Fenomena Brownies Kedut

Salam Ceria dan Santai di Hujung Minggu.

Assalamualaikum.



Sekarang ini fenomena orang membuat Brownies Kedut. Di FB dok tayang gambar-gambar brownies dengan pelbagai resepi masing-masing. Terliuq cheq tengok...dan teruja tahap gaban juga dengan tayangan gambar oleh rakan-rakan kita ini. Sampai kenyanglah tengok gambar. Dari sehari ke sehari nak cuba buat, tapi tak buat-buat juga.



Hati terpaut dengan gambar dan resepi brownies kedut yang diposkan oleh Rahel Blogspot dalam FB. Melihat pada bahan-bahan yang digunakan dan cara-cara membuatnya, rupa-rupanya brownies kedut ini agak mudah juga membuatnya jika dibandingkan dengan kek.

Akhirnya.....!  dapat juga buat brownies kedut ini ikut resepi rahel blogspot. Ternyata cubaan pertama berjaya dan mendapat ucapan tahniah daripada tuan punya resepi. Mungkin wajahnya tak sesempurna brownies kedut yang dibuat oleh sifu, tetapi anak-anak dan rakan-rakan pejabat semua kata marvellous.



Hari ini buat brownies kedut kali kedua. Kali ini tabur pelbagai jenis coklat ikut citarasa kita. Ada coklat coin putih, cip butterscoth, cip coklat, dan chocolate rice, dan badam flakes. Dah ada dalam peti ais tu... tabur ajelah. Hm... nyum...nyum... rich of chocolate (kalah brownies yang dijual oleh secret receipe ni....).



Ada juga beberapa tips yang Kak Noor terbaca dalam beberapa resepi brownies yang diposkan oleh rakan-rakan dalam blog dan juga FB yang ingin Kak Noor kongsikan di sini.  Harap memberi manafaat kepada semua yang ingin mencuba resepi brownies ini.
  • Jangan terlalu lama bakar brownies di dalam oven, nanti brownies terlalu kering dan tidak moist.
  • Setelah brownies masak, jangan terus dikeluarkan dari oven.  Buka sedikit pintu oven  dan biarkan brownies 10 - 15 minit di dalam oven.
  • Brownies hendaklah dipotong sewaktu ia masih panas.

Brownies Kedut 
Rujukan Resepi: Rahel Blogspot
Dicuba oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
400 gram coklat compound - Kak Noor guna Milk Compound Beryl's
150 gram mentega
100 gram gula perang
100 gram gula kastor
4 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla - Kak Noor guna esen butter vanilla
*100gram tepung naik sendiri
*30gram serbuk koko
(*diayak bersama)


Cara-caranya: 
  • Satukan coklat compound dan mentega dalam bekas. Cairkan dengan kaedah double boil. Tutup api dan angkat 
  • Dalam mangkuk lain, satukan gula perang, gula kastor, telur, dan perasa vanilla. Gaul sebati. 
  • Tuang dalam mangkuk adunan coklat dan gaul sehingga kesemua adunan rata dan sebati. 
  • Masukkan sedikit-sedikit adunan tepung dan gaul rata. 
  • Sediakan loyang 10" x 10". Lapik dengan kertas minyak dengan melebihkan sehingga paras ketinggian loyang. 
  • Tuangkan adunan dan ratakan. Jika suka, tabur dengan kekacang atau coklat coin. 
  • Bakar pada suhu 160'C selama 35 minit atau ikut oven masing-masing. 
  • Bila brownies telah sejuk, bolehlah diletak topping kalau suka.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang